Espresso adalah minuman kopi yang berasal dari Itali[1] dihasilkan dengan mengekstrak biji kopi yang sudah dikisar melalui penyemburan air panas di bawah tekanan tinggi[2] menghasilkan cecair yang agak pekat dari seduhan kopi lain yang diketahui.[3] Cara ini lazim diketahui di selatan benua Eropah sebagai asas kepada pelbagai sajian minuman kopi lain termasuk caffè latte, cappuccino, caffè macchiato, caffè mocha, flat white, dan caffè Americano.

Espresso
Secawan espresso dengan lapisan kepala (crema) pada permukaannya.
JenisPanas
Negara asalItali
Diperkenalkan1901
WarnaHitam

Terdapat lebih daripada enam ratus komponen bahan kimia dalam espresso termasuk di antaranya gula, kafein, protein, emulsi daripada minyak kopi, koloid, dan zarah kopi dalam ampaian dengan buih gas halus.[4] Pada setiap espresso terdapat suatu komponen yang disebut crema yang merupakan buih keemasan yang terdiri daripada minyak, protein, gula yang terapung di permukaan.[5]

Etimologi sunting

Perkataan "espresso" serapan bahasa Itali sama ada bermaksud "cepat" - bandingkan dengan kata Inggeris express[6] - ataupun terbitan kata kerja esprìmere "menekan keluar" turunan Latin exprimĕr lakuran ex- "luar" dan premĕre "menekan".[7]

Pembuatan sunting

Kopi yang digunakan untuk membuat espresso dikisarkan terlebih dahulu sebelum dipadat-padatkan menjadi ketulan. Ketulan ini kemudiannya dilalukan air panas bertekanan tinggi: secara teknikalnya, air espresso diperoleh apabila 45 ml air disemburkan melalui 7 hingga 9 gram kopi serbuk pada suhu 90 °C dengan tekanan 9 atmosfera.[4] Air yang terperah dari ketulan ini mempunyai rasa likat dengan suatu lapisan kepala berbusa rasa lemak disebutkan sebagai crema;[8] lapisan crema ini menahan haba dari cepat terlepas lalu tidak segera menyejuk sehingga sebatian aroma dan perisa dalam kopi perahan ini kekal lebih lama dirasa selepas dihirup.[8]

Di kedai-kedai kopi yang mengkhusus kepada sajian kopi Barat, mesin espresso digunakan berkelengkapan omboh atau pam bertekanan tinggi yang menembusi kisaran kopi mengeluarkan air pekat sebegini. Pemerahan ini juga boleh didapatkan secara ringkas menggunakan sejenis teko didih khas iaitu teko Moka yang dipanaskan atas dapur api.

Penyajian sunting

Selain disajikan begitu sahaja, espresso sering dicampur dengan susu, krim susu (foam), dan air panas. Minuman seperti kapucino dan caffe latte menggunakan espresso sebagai bahan utama dan merupakan minuman kopi yang banyak digemari. [9]

  • Espresso con panna, espresso yang ditambah krim putar di atasnya.
  • Espresso macchiato, espresso yang ditambah susu berbuih di atasnya.
  • Americano, espresso dengan tambahan air panas.
  • Cappuccino, diperbuat daripada espresso, susu sejat dan susu berbuih.
  • Caffe latte diperbuat daripada espresso dan susu sejat. Untuk membuat caffe latte, isi cawan dengan 44 ml espresso, dan tuangkan wap susu ke atasnya sehingga ia penuh sebanyak 7/8 daripada cawan.

Sejarah sunting

Pembuatan minuman kopi jenis ini mula dibangunkan di Milan, Itali sejak awal abad ke-20 dengan penemuan mesin kopi yang boleh mengeluarkan wap dan air mendidih melalui serbuk kopi oleh Luigi Bezzera pada 1901.[10] Mesin tersebut merupakan leluhur mesin espresso yang biasa digunakan pada masa ini.[10] Bezzera membuat mesin tersebut untuk menjawab permasalahan yang berlaku pada masa itu, iaitu tempoh masa pembuatan kopi yang mencapai lima minit.[11] Hak paten untuk mesin yang dicipta Bezzera kemudian dibeli oleh Desiderio Pavoni pada 1903.[10] Syarikat milik Pavoni pun mula menghasilkan mesin berdasarkan mesin Bezzera dan menamakannya La Pavona.[10]

Mesin buatan Bezzera dan Pavoni mempunyai kelemahan kerana menggunakan wap dan air panas yang menggelegak sehingga memberikan rasa hangus pada minuman kopi yang sudah siap.[10] Hingga 1938, mesin bertuas omboh diciptakan oleh Cremonesi.[10] Mesin tersebut tidak menggunakan air mendidih melainkan hanya air panas sehingga rasa kopi yang dihasilkan lebih baik.[10]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ "Espresso Coffee Maker Through History". EspressoCoffeeBrewers.com (dalam bahasa Inggeris). 2017-12-13. Dicapai pada 2021-04-08.
  2. ^ (Inggeris) Illy, Andrea (2005). Espresso coffee: the science of quality. Espresso coffee: the science of quality. ISBN 978-0-12-370371-2.
  3. ^ Illy, "Il caffè e i cinque sensi" [1]: "La tazzina di porcellana bianca incornicia la crema: una trama sottile nei toni del nocciola, percorsa da leggere striature rossastre"
  4. ^ a b (Inggeris) Zimmer, Susan (2007). I Love Coffee. Andrews McMeel Publishing, LLC. ISBN 978-0-7407-6377-9.
  5. ^ "Kosakata Kopi : Espresso, Shot, Cappucino, Latte..." Dicapai pada 2011-01-12.
  6. ^ (Inggeris) Espresso Coffee, Coffee Research. Diakses pada 6 Julai 2011.
  7. ^ "espresso" , "esprimere" (2023). Vocabolario on line. Istituto della Enciclopedia Italiana. Dicapai pada 14 Apr 2023.
  8. ^ a b "Espresso Crema". ChemistryViews.org. Dicapai pada 8 October 2014.
  9. ^ "Espresso-based Drinks". Dicapai pada 20 Oct 2012.
  10. ^ a b c d e f g (Inggeris) The History of Espresso, Passion for Coffee. Diakses pada 7 Julai 2011.
  11. ^ (Inggeris) A Short History of Espresso, Home Barista. Diakses pada 8 Julai 2011.