Europlug adalah jenis plag dan soket AC domestik 2 pin berbentuk pipih yang secara umumnya dibekalkan dalam keadaan sudah diacu pada penghujung wayar elektrik bagi peralatan berkenaan, direka untuk membawa voltan sehingga 250 V dan arus sehingga 2.5 A.[1] Ia direka supaya boleh digunakan dengan selamat pada semua jenis soket elektrik di negara-negara Eropah, kecuali bagi sistem BS 1363 yang digunakan di Britain, Ireland dan Malta.

Contoh Europlug

Sejarah sunting

Rekaan Europlug mula muncul pada tahun 1963 sebagai Lembaran Piawaian XVI di dalam edisi kedua Suruhanjaya Antarabangsa Mengenai Peraturan Pengesahan Peralatan Elektrik (CEE) Terbitan ke-7[2], satu dokumen yang merumuskan kesemua plag dan soket AC domestik kebangsaan di serata Eropah. Europlug juga dirujuk sebagai plag "CEE 7/16". Ia juga diterima pada tahun 1975 sebagai plag C5 dalam Laporan Teknikal 83 Suruhanjaya Elektroteknikal Antarabangsa (IEC) (kini IEC/TR 60083[3]), serta sebagai piawaian Eropah EN 50075[1] pada Julai 1990.

Pertimbangan reka bentuk sunting

Dimensi bagi Europlug dipilih kerana keserasian dan keselamatan penggunaan pada semua soket kuasa Eropah seperti:-

  • sambungan yang boleh diharap jika plag dimasukkan sepenuhnya;
  • tiada bahagian pengalir hidup yang boleh dicapai setelah plag dimasukkan ke dalam setiap jenis soket;
  • adalah mustahil untuk menghasilkan sambungan antara satu pin bersentuhan dengan soket hidup sementara pin lain dapat dicapai.

Europlug hanya direka untuk peralatan elektrik berkuasa rendah (Kelas II; kurang daripada 2.5 A) yang beroperasi pada suhu bilik biasa serta tidak memerlukan sambungan perlindungan bumi.

Ketidakserasian dengan soket British sunting

Europlug tidak serasi dengan soket British BS 1363 13 A kerana sekurang-kurangnya tiga sebab:-

  1. Soket BS 1363 mempunyai penutup lubang soket yang memerlukan pin bumi sebelum pin hidup dan neutral dapat dimasukkan
  2. Litar gelang pada kebanyakan rumah British hanya dilindungi pemutus litar arus tinggi (biasanya 32 A) serta bergantung kepada fius berarus rendah (antara 3 ~ 13 A) untuk perlindungan daripada lebihan arus, sedangkan Europlug tidak mempunyai fius. Litar soket di negara-negara Eropah lain pula dilindungi fius berarus rendah 10 ~ 16 A.
  3. Jarak antara pin Europlug (13.5±0.5 mm) adalah kurang 2 mm daripada dimensi soket BS 1363 (15.8 mm[4]). Untuk memaksa masuk Europlug ke dalam soket UK, setiap pin mungkin perlu dibengkokkan lebih kurang 1 mm.

Walau bagaimanapun, secara prinsipnya, adalah tidak mustahil untuk memasukkan Europlug ke dalam soket BS 1363 dengan memasukkan objek asing (seperti pemutar skru atau kunci) ke dalam alur pin bumi terlebih dahulu. Namun demikian, perbuatan sedemikian tidak disyorkan atas alasan di atas. Apa pun, di kebanyakan negara di mana peralatan elektrik dijual dalam kedua-dua bentuk plag BS 1363 dan Europlug (seperti Malaysia dan Singapura), amalan memaksa Europlug masuk ke dalam soket BS 1363 sudah menjadi lumrah.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b European Standard EN 50075: Flat non-wirable two-pole plugs, 2,5 A 250 V, with cord, for the connection of class II-equipment for household and similar purposes. CENELEC, Brussels, 1990.
  2. ^ CEE Publication 7, 1993.
  3. ^ IEC/TR 60083: Plugs and socket-outlets for domestic and similar general use standardized in member countries of IEC.
  4. ^ BS 1363-2:1995 menetapkan dalam Gambarajah 14 (mukasurat 30) satu tolok ukuran bukan sentuhan dengan jarak pin 15.775±0.055 mm