Falsafah India
Pengenalan
suntingManusia sering digambarkan sebagai binatang yang berfikir. Apabila nafsu binatangnya dipuaskan, dia berpeluang untuk maju ke tahap evolusi yang lebih tinggi. Falsafah, termasuk metafizik, adalah satu aspek tertinggi evolusi ini. [1]
Perkembangan sistem falsafah India adalah dipengaruhi oleh dua faktor utama, iaitu proses intelektual dan pengalaman mistik. Oleh itu, falsafah India juga dikenali sebagai ‘Darśana’ (secara literal bermaksud ‘dilihat’).
Matlamat Utama Falsafah India
suntingSemua Darśana menemui bahawa meskipun manusia berusaha dengan bersungguh-sungguh, kehidupannya penuh penderitaan. Oleh itu, matlamat utama Darśana- Darśana ini adalah untuk melepaskan diri daripada penderitaan, bukan sahaja untuk sekarang, tetapi untuk selama-lamanya. Ahli-ahli falsafah Hindu telah menenggelami diri mereka sendiri untuk mencari matlamat hidup.[2]
Kaedah utama falsafah Hindu ialah Tapas (disiplin rohani), Sravana (mendengar kebenaran daripada guru-guru), dan Manana (penghayatan ilmu). Ahli-ahli falsafah Hindu juga menyedari bahawa akal manusia mempunyai hadnya iaitu ia bukan sumber ilmu yang bebas dan tulen. Oleh itu, mereka bergantung kepada Sruti atau Veda untuk mendapatkan ilmu. Dengan bantuan akal fikiran, mereka cuba memahami maksud Veda. Usaha mereka berhasil apabila dengan mengikuti ajaran Veda, mereka berjaya mengatasi penderitaan dan kesengsaraan hidup; dan akhirnya mencapai kebebasan.[3]
Namun, interpretasi berlainan Veda telah melahirkan mazhab-mazhab yang berbeza. Kini, semua mazhab ini telah disatukan di bawah enam mazhab yang dikenali sebagai Saddarśana.
Evolusi Darsana
suntingEnam sistem atau Saddarśana ini, iaitu - Nyaya, Vaisesika, Sānkhya, Yoga, Mimamsa, dan Vedanta telah dimulakan oleh golongan Rishi zaman purba. Nama-nama mereka muncul bukan sahaja dalam Veda, tetapi juga dalam Purana dan epik purba. Ajaran mereka berada dalam bentuk Sutra yang pendek lagi mudah diingati. Sutra-Sutra ini telah diturunkan daripada generasi ke generasi secara tradisi lisan. Apabila penghasilan karya bertulis makin berleluasa, pendeta-pendeta menghasilkan Bhasyas, Tikas, Vrttis, dan Varttikas (pelbagai bentuk ulasan dan eksposisi dalam bentuk prosa dan puisi) bagi menjelaskan idea-idea mazhab mereka dengan lebih mendalam. Sering kali, wujud perselisihan pendapat dalam kalangan mazhab-mazhab ini. Bagi mempertahankan ajaran masing-masing, mereka terpaksa menghasilkan karya-karya yang logikal dan rasional dan juga menyerang balas ajaran yang bertentangan. Dalam proses ini, pelbagai sastera falsafah yang hebat telah lahir di India.
Faktor Umum
suntingMeskipun wujud perbezaan doktrin yang amat berbeza antara enam sistem ini, namun dari segi amalan, wujud keharmonian dan persefahaman yang ketara.
Semua sistem ini bermula dari titik yang sama iaitu kewujudan penderitaan dalam kehidupan. Matlamat akhir ialah untuk mendapatkan kebebasan sepenuhnya daripada penderitaan. Keadaan ini hanya boleh diperolehi dengan ilmu yang betul. Ilmu yang betul bukan sahaja ilmu intelektual tetapi pengalaman terus. Pengalaman sendiri tentang sifat sebenar diri sebagai roh yang mengatasi gabungan badan-minda diperlukan.
Bagi mencapai ini, disiplin-disiplin seperti amalan hidup bermoral, mengelakkan daripada Arisadvargas atau enam musuh seperti nafsu berahi, ketamakan, dan kebencian, mesti diamalkan, Di samping itu, seseorang juga mesti memikirkan, menghayati dan melakukan meditasi berterusan ke atas kebenaran yang didengarnya, sehingga dia menyedari kebenaran itu.
Semua Saddarśana juga mempercayai hukum karma. Dunia ini ialah sebuah pentas bagi melakonkan watak kita dengan baik sehingga menambah tahap rohani kita secara beransur-ansur.
Akhirnya, semua sistem ini menunjukkan satu perkembangan dari tahap rendah ke tahap yang tertinggi. Sistem-sistem ini membantu manusia maju dari kebenaran yang rendah ke Kebenaran Tertinggi dalam Vedanta. Sistem Vedanta bukan sahaja dianggap sebagai kemuncak tertinggi falsafah Hindu, tetapi ia juga boleh mengangkat dada sebagai falsafah yang terhebat dalam kalangan semua falsafah di dunia.
Empat Soalan Utama
suntingEmpat soal utama yang dibincangkan dalam falsafah ialah[4]:
- Alam dan ciptaan atau evolusi
- Kewujudan dan sifat Tuhan atau Yang Maha Mutlak
- Sifat semula jadi manusia
- Matlamat hidup manusia
Perbezaan pandangan dalam perbincangan mengenai soal-soal ini telah melahirkan beberapa mazhab berlainan. Mazhab-mazhab ini dibahagikan secara kasar kepada dua iaitu Astika dan Nastika.
Nastika Darśana
suntingMazhab Nastika tidak menerima Veda. Terdapat 3 mazhab di bawah kumpulan ini:
- Carvaka Darśana – Mazhab ini menafikan kewujudan roh. Oleh itu, ia mengajar kehidupan materialistik sepenuhnya dan tidak ada sebarang konsep tentang kehidupan selepas kematian. Semua penulisan mazhab ini telah hilang.
- Jaina Darśana – Ini ialah asas agama Jain
- Bauddha Darśana – Ini ialah asas agama Buddha
Astika Darśana
suntingMazhab Astika menerima dan mengakui kewibawaan Veda. Terdapat 6 mazhab Astika atau Saddarśana iaitu:
- Nyāya Darśana oleh Gautama
- Vaisesika Darśana oleh Kanada
- Sankhya Darśana oleh Kapila
- Yoga Darśana oleh Patanjali
- Mimamsa Darśana oleh Jaimini
- Vedanta Darśana oleh Badarayana
Nyāya Darśana
suntingPengenalan
suntingMatlamat akhir seorang manusia ialah untuk mencapai tahap apavarga atau mokṣa yang akan menamatkan semua penderitaan. Keadaan ini boleh dicapai hanya dengan ilmu yang betul atau tattvajñāna mengenai apavarga dan perkara-perkara penting yang lain. Ini melibatkan tiga langkah utama yang terdapat dalam beberapa sistem falsafah yang lain seperti Vedānta Darśana, iaitu śravaṇa (mendengar bacaan kitab suci), manana (memikirkan tentang kitab suci), dan nididhyāsana (meditasi). Pelbagai aspek logik dan penaakulan yang diberikan dalam senarai enam belas padārtha seperti saṁśaya (keraguan), dṛṣṭānta (contoh), tarka (logik), nirṇaya (kesimpulan) dan vāda (hujahan), merupakan langkah-langkah untuk membantu proses mengetahui dan memahami kebenaran dengan betul. Teori ilmu ini telah dikemukakan dalam falsafah Nyāya.
Teks-teks Utama
suntingNyāya Darśana oleh Gotama atau Gautama (550 SM) juga dikenali sebagai Akṣapāda merupakan falsafah Astika Darśana yang pertama. Walaupun kadang-kadang, sistem ini dikaitkan dengan Vaiśeṣika Darśana dan dianggap sebagai satu sistem gabungan, Nyāya Darśana masih mempunyai unsur-unsurnya yang tersendiri. Maka, ianya berhak untuk diberikan taraf sebagai satu sistem falsafah yang bebas dan berasingan.
Hampir semua sistem falsafah India menyentuh tentang dua subjek: Pramāṇa (sumber ilmu yang sah) dan prameya (perkara-perkara yang diketahui melalui sumber ilmu). Nyāya Darśana memberikan keutamaan kepada pramāṇa dan telah memperkembangkan subjek ini dengan terperinci. Ini telah membina satu asas yang kukuh untuk sains logik India. Maka, sistem ini juga dikenali sebagai Nyāyavidyā, Tarkaśāstra dan Ānvīkṣakī.
Teks asas bagi sistem ini ialah Nyāyasūtras oleh Gautama. Buku ini mempunyai lima bab, dan setiap bab dibahagikan kepada dua seksyen dan keseluruhannya terdapat 528 sūtra. Vātsyāyana (400 Masihi) telah menulis sebuah ulasan atau bhāṣya untuk Nyāyasūtras. Sebuah Nyāya-vārttika atau ulasan kecil atau Nyāyabhāṣya telah ditulis oleh Udyotakara (kurun ke-7 Masihi). Vācaspati (841 Masihi) telah menulis penjelasan lanjut dalam bukunya, Tātparyaṭīkā. Ulasan terakhir telah ditulis oleh Udayana (984 Masihi) dalam Tātparyaṭīkā pariśuddhi dan Kusumāñjalī. Selain itu, terdapat dua buah buku lain yang penting iaitu Nyāyamañjarī oleh Jayanta (880 Masihi) dan Tattvacintāmaṇi oleh Gaṅgeśa (1200 Masihi). Tattvacintāmaṇi menjadi teks asas bagi melahirkan sebuah sistem falsafah Nyāya yang moden, kini dikenali sebagai 'Navya-Nyāya'. Sistem baru ini berkembang di Bengal dan berpusat di Navadvīpa.
Beberapa teks penting lain ialah Tarkasaṅgraha oleh Aṇṇambhaṭṭa (1650 Masihi) dan Kārikāvali atau Bhāṣāpariccheda oleh Viśvānatha (1650 Masihi) dengan ulasan-ulasannya Dīpīkā dan Siddhāntamuktāvalī.
Teori Ilmu Nyāya
suntingPenggunaan kaedah ilmu yang sesuai adalah amat penting untuk menentukan realiti sebenar sesuatu objek. Maka, pemahaman yang betul mengenai kaedah ilmu adalah amat penting. Teori ilmu menurut Nyāya Darśana menerima empat pramāṇa atau sumber ilmu yang berasingan, iaitu: pratyakṣa (persepsi terus), anumāna (inferensi), upamāna (bandingan) dan śabda (saksi lisan).
Empat pramāṇa ini, sekiranya digunakan dengan betul, akan memberikan pramā atau ilmu yang sah dan bukannya apramā (ilmu yang tidak sah) seperti dalam keadaan smṛti (memori), saṁśaya (keraguan) atau bhrama (persepsi yang salah). Ilmu yang sah juga merupakan sesuatu yang sejajar dengan sifat sebenar sesuatu objek. Empat pramāna ini dijelaskan seperti berikut:
Pratyakṣa (persepsi terus)
suntingPratyakṣa ialah ilmu yang jelas dan betul tentang sesuatu objek diperolehi apabila organ deria mendekati objek itu. Misalnya mata (organ deria) melihat sebuah meja (objek). Dengan cara ini, sesuatu tanggapan yang tidak tepat atau kabur tentang sesuatu objek dapat dielakkan. Misalnya, dari jauh sebuah objek mungkin kelihatan seperti seorang manusia atau tiang. Contoh popular yang lain ialah seutas tali yang kelihatan seperti seekor ular dalam keadaan yang agak gelap. Dalam kedua-dua contoh ini, meskipun objek itu dilihat, namun pengetahuan yang diperolehi adalah tidak betul.
Pengalaman dalaman seperti suka dan duka, juga boleh dikelaskan sebagai Pratyakṣa. Persepsi luar-deria dan intuisi seseorang yang telah mahir dalam kerohanian atau yogi juga dikelaskan di bawah Pratyakṣa dan ianya dipanggil sebagai 'yogaja' atau 'yogipratyakṣa'.
Anumāna (inferensi)
suntingSecara literal, anumāna bermaksud kognisi atau ilmu (=māna) yang mengikuti (=anu) ilmu yang lain. Contoh popular untuk menjelaskan ini ialah inferensi yang dibuat bahawa terdapat api di atas bukit dengan melihat asap dari jauh. Walaupun api tidak dilihat, inferensi dibuat hanya dengan melihat asapnya. Silogisme anumāna ialah seperti berikut: Ada api di atas bukit; kerana asap kelihatan di sana. Biasanya, bila ada asap, tentu ada api. Contohnya, di dapur.
Teks-teks Nyāya menggunakan terma yang teknikal semasa memberikan silogisme ini. Api yang kewujudannya perlu dibuktikan dinamakan sādhya (terma major). Bukit, iaitu subjek yang dirujuk dalam proses inferensi dinamakan sebagai pakṣa (terma minor). Asap iaitu simbol atau tanda yang menunjukkan kewujudan api dinamakan sebagai liṅga (terma pertengahan) atau hetu atau sādhana. Faktor utama dalam anumāna begini ialah bahawa mesti wujud suatu perhubungan iringan yang tetap (invariable concomitance) yang dipanggil sebagai 'vyāpti' di antara liṅga dan sādhya.
Ilmu yang diperolehi melalui anumāna boleh diperkuatkan lagi dengan menggunakan kaedah anvaya (persetujuan dalam kehadiran) dan kaedah vyatireka (persetujuan dalam ketiadaan). Kedua-dua kaedah positif dan negatif dalam menyatakan kebenaran yang sama boleh dijelaskan dengan kenyataan ini: Di mana ada asap, di situ ada api. Di mana tiada api, di situ tiada asap.
Upamāna (bandingan)
suntingIni ialah proses menamakan sesuatu objek dengan menggunakan deskripsi yang dikenali. Contohnya, lembu domestik digunakan untuk menjelaskan maksud lembu liar kepada seseorang yang tidak pernah melihat lembu liar. Jika, orang itu akhirnya dapat melihat seekor lembu liar, dia akan mengenalpastinya sebagai lembu liar. Pengetahuan yang diperolehi dengan cara ini dinamakan sebagai upamāna.
Beberapa mazhab falsafah lain tidak menerima upamāna sebagai suatu sumber ilmu yang bebas, manakala sesetengah mazhab menganggapnya sebagai suatu bentuk upamāna tersendiri.
Śabda (saksi lisan)
suntingŚabda atau saksi lisan bermaksud pengesahan seseorang yang boleh dipercayai. Ini ialah pramāṇa yang terakhir. Śabda melibatkan dṛṣṭārtha (berhubung objek yang boleh dipastikan) dan adṛṣṭārtha (berhubung objek yang tidak boleh dipastikan). Adṛṣṭārtha termasuk realiti kerohanian seperti ayat-ayat suci mengenai Tuhan, jiwa, dan keabadian. Maka, Veda atau Śruti dianggap sebagai śabda yang tertinggi.
Oleh kerana śabda atau saksi lisan didedahkan melalui ayat-ayat, struktur logikal sesuatu ayat merupakan satu topik yang dikaji secara mendalam dalam falsafah Nyāya. Pembentukan satu ayat yang baik mesti mengikuti empat syarat-syarat iaitu ākāṅkṣā (harapan), yogyatā (keserasian, ketiadaan percanggahan), sannidhi (kerapatan yang sesuai antara perkataan-perkataan berlainan dalam satu ayat); dan tātparya (maksud yang dikehendaki).
Teori mengenai Dunia Fizikal
suntingNyāya Darśana telah menerima teori ciptaan keseluruhannya daripada Vaiśeṣika Darśana. Dunia fizikal telah dicipta oleh empat jenis paramāṇu atau atom bumi (pṛthvī), air (ap), api (tejas), dan udara (vāyu). Selain empat atom-atom ini, angkasa (ākāśa) iaitu sumber bukan material dan sumber bukan material seperti masa (kāla) dan ruang (dik) juga terlibat dalam proses ciptaan. Tuhan mencipta alam ini dengan benda-benda material dan bukan material menurut adṛṣṭa atau karma-karma jiwa-jiwa individu.
Tuhan atau Īśvara
suntingSistem Nyāya Darśana menerima Tuhan sebagai penyebab agung sṛṣṭi (ciptaan), sthiti (pemeliharaan) dan pralaya (pemusnahan) dunia. Namun, Tuhan tidak mencipta dunia daripada kekosongan atau daripada diri-Nya sendiri tetapi daripada atom-atom, ruang, masa, angkasa, minda dan jiwa-jiwa yang abadi.
Maka, dalam sistem ini, ciptaan bermaksud penyusunan semula bahan-bahan yang abadi yang wujud bersama-sama Tuhan untuk menghasilkan dunia yang teratur dibentuk menurut karma-karma jiwa-jiwa individu. Pelbagai benda-benda material wujud demi mendorong manusia untuk mencapai matlamat moral dan kerohaniannya. Maka, Tuhan merupakan nimitta-kāraṇa (penyebab-efisien) dan bukannya penyebab material. Selepas ciptaan, Tuhan juga memelihara alam ini. Tuhan melakukan fungsi karma-phaladātā (penjaga moral) dunia ini dengan memberkati orang baik dan menghukum orang jahat.
Tuhan menghapuskan dunia selepas satu kitaran tamat menurut hukum moral. Tuhan melakukan ini dengan membebaskan kuasa-kuasa pemusnahan.
Tuhan Maha Mengetahui kerana memiliki ilmu yang betul tentang semua benda dan perkara. Tuhan mempunyai kesedaran yang abadi sebagai satu ciri yang asing. Kesedaran bukan asas-Nya seperti dalam falsafah Advaita Vedanta.
Tuhan juga mempunyai semua enam kesempurnaan dengan sepenuhnya yang dikenali sebagai ṣaḍaiśvarya seperti ilmu, kekuasaan, kemuliaan, kekayaan dan sebagainya.
Kedua-dua sistem Nyāya dan Vaiśeṣika memberikan hampir sepuluh alasan-alasan untuk membuktikan kewujudan Tuhan. Namun, alasan yang paling penting ialah bahawa seorang ejen yang maha mengetahui harus wujud di sebalik ciptaan kerana hampir semua komponen-komponen ciptaan ialah benda-benda bukan hidup dan roh-roh mempunyai ilmu dan kuasa yang terhad. Ayat-ayat suci Veda juga menyokong pandangan ini.
Roh-Roh Individual
suntingMenurut falsafah Nyāya, roh-roh individual ialah tidak terkira jumlahnya. Roh-roh ini adalah abadi dan tidak boleh dimusnahkan. Kesedaran bukan sifat asasi roh tetapi suatu sifat yang wujud disebabkan fikiran. Roh mendapat pengalaman apabila fikirannya berhubung dengan dunia luar menerusi organ derianya.
Matlamat utama kehidupan ialah untuk mencapai apavarga atau mokṣa iaitu kebebasan daripada kelahiran semula. Namun, berbanding falsafah-falsafah lain, sistem Nyāya tidak menerima bahawa mokṣa ialah suatu keadaan kebahagiaan yang abadi dan kekal. Sebaliknya, mokṣa ialah suatu keadaan negatif, ketiadaan segala duka dan penderitaan selama-lamanya. Oleh kerana suka dan duka sentiasa wujud dalam kehidupan, maka kebahagiaan atau kegembiraan yang sempurna tidak boleh wujud tanpa duka.
Kebebasan diperolehi dengan mendapatkan ilmu yang sebenar atau tattvajñāna bahawa seseorang ialah roh dan bukannya badan, minda atau organ deria. Bagi mendapatkan ilmu ini, seseorang perlu menjalani tiga sādhanā (disiplin rohani) iaitu śravaṇā (mendengar arahan kerohanian tentang Ātman (jiwa), manana (mendalami dan memikirkan tentang Ātman), dan nididhyāsana (meditasi ke atas Ātman menurut kesimpulan yang dicapai dalam dua proses sadhana awal). Dengan cara ini, secara beransur-ansur, semua ilmu palsu atau mithyājñāna dapat dihapuskan. Demikian, seseorang dapat membebaskan diri daripada penderitaan fizikal dan mental.
Vaiśeṣika Darśana
suntingPengenalan
suntingVaiśeṣika Darśana diasaskan oleh Kaṅāda (juga dikenali sebagai Ulūka). Maka, falsafah ini juga dikenali sebagai Kāṅāda atau Aulūkya Darśana. Nampaknya Kaṅāda ialah nama timangan Ulūka kerana beliau menjalani kehidupan rahib. Beliau menyara hidup dengan memakan kaṇa atau bijirin yang dipungut dari sawah (kaṇa = bijiran; ad = memakan).
Kitab utama falsafah ini ialah Vaiśeṣika Sūtras oleh Kaṅāda. Kitab ini dibahagikan kepada sepuluh bab atau adhyāya dan setiap adhyāya mengandungi dua āhnika atau seksyen. Keseluruhannya terdapat 374 sūtra.
Eksposisi awal kitab ini ialah Padārtha-dharma-sangraha oleh Praśastapāda (kurun ke-5 Masihi). Meskipun buku ini dikenali sebagai Bhāṣya, ia bukan ulasan biasa untuk setiap sūtra teks asal. Bhāṣya ini menegaskan prinsip dalam sūtra asal dan juga mengembangkan lagi prinsip itu. Antara ulasan-ulasan popular Praśastapāda ialah Nyāyakandalī oleh Śrīdhara (991 Masihi), Vyomavatī oleh Vyomaśiva dan Kiraṇāvalī oleh Udayana (984 Masihi). Dua ringkasan utama sistem ini ialah Nyāyalīlāvatī dan Lakṣanāvalī oleh Udayana.
Dengan peredaran masa, sistem Vaiśeṣika sering dikaitkan dengan sistem Nyāya sehingga penulis-penulis kemudian mula melihat kedua-duanya sebagai satu sistem tunggal. Antara hasil penulisan begini ini ialah Saptapadārthī oleh Śivāditya (kurun ke-10 Masihi) dan Bhāṣāpariccheda oleh Viśvanātha (1650 Masihi) dengan ulasannya sendiri, Siddhāntamuktāvalī.
Saptapadārtha atauTujuh Padārtha
suntingMazhab Vaiśeṣika mempunyai tujuh padārtha atau kategori-kategori realiti. Padārtha bermaksud 'apa yang dimaksudkan dengan satu perkataan', suatu objek ilmu. Semua objek boleh dibahagikan kepada dua kelas: bhāva (hidupan) dan abhāva (bukan hidup). Bhāva merujuk kepada semua realiti positif yang wujud dan abhāva merujuk kepada fakta negatif (Vaiśeṣika Sūtras 1.1.14). Terdapat tujuh padārtha iaitu: dravya (bahan), guṇa (kualiti), karma (tindakan), sāmānya (umum), viśeṣa (khusus), samavāya (perhubungan), dan abhāva (ketidakwujudan).
Dravya ialah bahan yang mengandungi guṇa (kualiti) dan karma (tindakan). Dravya merupakan asas untuk guṇa dan karma. Terdapat sembilan jenis dravya iaitu: empat unsur-unsur - bumi (pṛthvī, air (jala), cahaya (tejas) dan udara (vāyu); angkasa (ākāśa), masa (kāla), ruang (dik), roh (Ātman) dan minda (manas). Semua ini adalah abadi. Empat unsur-unsur wujud dalam bentuk pramāṇus (atom) sebelum ciptaan. Ākāśa, kāla, dik dan Ātman adalah meliputi segala-galanya. Manas pula adalah aṇu atau bersaiz atom.
Mazhab Vaiśeṣika menerima dua jenis roh : Jīvātman dan Paramātman (juga dikenali sebagai Īśvara atau Maheśvara). Jumlah Jīvātman adalah tidak terkira sementara Paramātman pula hanya satu.
Guṇa atau sifat sering bergantung kepada dravya atau bahan untuk kewujudannya. Menurut sistem ini terdapat 24 guṇa. Antaranya ialah lima sifat organ-organ deria, buddhi (kognitif), sukha dan duḥkha (suka dan duka), icchā dan dveṣa (keinginan dan kebencian), saṁskāra (kecenderungan), dharma dan adharma (pahala dan dosa).
Menurut mazhab ini, Karma atau tindakan ialah suatu pergerakan fizikal. Tindakan dibahagikan kepada lima kumpulan seperti utkṣepana (melontar ke atas) dan ākuñcana (pengecutan). Tindakan boleh dilihat dan disentuh. Manas atau minda juga dikatakan bergerak meskipun pergerakannya tidak boleh dilihat.
- SĀMĀNYA atau perkara-perkara umum dalam sesuatu perkara adalah universal, abadi dan wujud secara semulajadi dalam seseorang individu. Misalnya, gotva (sifat kelembuan) dan ghaṭatva (sifat kebalangan) wujud dalam setiap lembu dan balang masing-masing. Kematian seekor lembu tidak akan menghapuskan kelembuannya. Pemecahan balang tidak akan menghapuskan kebalangannya.
- VIŚEṢA atau penentuan ialah sifat keindividuan yang unik dalam semua bahan-bahan abadi. Contohnya, satu atom bumi adalah berbeza daripada atom bumi lain. Setiap atom mempunyai sesuatu yang membezakannya dengan atom lain. Ini dipanggil sebagai Viśeṣa.
- SAMAVĀYA merupakan sumbangan khas mazhab ini. Saṁyoga (penghubung) dan viyoga (penyarak) antara dua objek boleh dilakukan bila-bila pun. Perhubungan antara dua objek adalah sementara, Sebaliknya, perhubungan samavāya wujud dalam bahan itu. Maka, perhubungan ini adalah abadi atau tetap. Contohnya, perhubungan antara seluruh dan sebahagian objek seperti kemerahan dalam benda-benda berwarna merah, seperti sekuntum mawar merah, pergerakan dalan benda yang bergerak (bola yang bergerak).
- ABHĀVA atau ketidak wujudan adalah satu-satunya kategori yang negatif. Pada waktu malam, kita sedar tentang ketiadaan matahari. Secara amnya, terdapat dua jenia abhāva iaitu saṁsargābhāva dan anyonyābhāva. Saṁsargābhāva ialah ketiadaan sesuatu dalam sesuatu yang lain. Contohnya, ketiadaan balang di atas sebuah meja. Anyonyābhāva pula ialah sesuatu benda bukan benda yang lain. Contohnya, kuda tidak ada dalam seekor kerbau.
Tuhan dan Dunia
suntingMazhab Vaiśeṣika menerima kewujudan Tuhan yang dikenali sebagai Īśvara atau Maheśvara. Menurut mazhab ini, Tuhan Yang Maha Mengetahui dengan kehendak dan arahan-Nya mencipta, memelihara dan memusnahkan dunia ini.
Dunia ini merupakan suatu sistem benda-benda hidup dan benda-benda material yang berinteraksi antara satu sama lain. Aturan moral atau hukum karma sebenarnya mengawal perjalanan dunia yang menentukan destinasi hidup setiap jiwa. Maka, ciptaan bukan sesuatu yang rawak, tetapi rancangan terperinci Tuhan.
Titik permulaan ciptaan (yang diikuti dengan pemeliharaan dan pemusnahan) ialah kehendak Tuhan. Dengan kehendak-Nya, Brahmā atau Roh Dunia dicipta. Brahmā memiliki enam sifat-sifat terpuji seperti jñāna, vairāgya dan aiśvarya (ilmu, pelepasan, semangat tersisih dan keserian). Brahmā merupakan pencipta yang mencipta menurut jumlah adṛṣṭa (dosa dan pahala yang tidak boleh dilihat) setiap jiwa. Ciptaan berlaku apabila Brahmā menggerak paramāṇu atau atom-atom bergabung dan akhirnya membentuk dunia.
Proses pemusnahan pula berlaku secara terbalik. Brahmā meninggalkan jasadnya. Maheśvara kemudian menyebabkan pemusnahan atau pralaya. Selepas proses ini, seluruh alam kembali kepada keadaan asalnya iaitu sebagai tujuh padārtha.
Sāṅkhya Darśana
suntingPengenalan
suntingMenurut golongan orthodoks, sistem ini diasaskan oleh Kapila Muni (vide Bhāgavata 3.25-33). Teks yang masih wujud yang dipercayai ditulis oleh Kapila ialah Sāṅkhyasūtra. Kitab ini mengandungi enam bab dan 526 sūtra. Sebuah ulasan Sāṅkhyasūtra telah ditulis oleh Vijñānabhikṣu (kurun ke-16 Masihi) yang dinamakan sebagai Sāṅkhya-pravacana-bhasya.
Tradisi falsafah Sankhya telah diperkembangkan dan disebarkan oleh Asuri, pengikut Kapila dan pengikutnya Pañcaśikha. Beberapa sūtra Pañcaśikha telah diungkap dalam Vyāsabhāṣya mengenai Yogasūtra Patañjali (200 S.M.). Namun, teks penuhnya masih belum ditemui.
Setakat ini, teks awal dan boleh dipercayai mengenai falsafah ini ialah Sāṅkhyakārikā oleh Īśvarakṛṣṇa (kurun ke-5 Masihi). Teks ini mempunyai 70 stanza dan oleh itu, kadang-kadang teks ini juga dikenali sebagai Sāṅkhya-saptati. Sāṅkhyakārikā mengandungi eksposisi doktrin-doktrin yang ringkas dan padat. Terdapat dua ulasan buku ini iaitu Sāṅkhyakārikā-bhāṣya oleh Gauḍapāḍa (700 Masihi) dan Sāṅkhyatattva-kaumudī oleh Vācaspati (840 Masihi).
Sāṅkhyasāra oleh Vijñānabhikṣu dan Sāṅkhyapravacanasūytravṛtti oleh Aniruddha (kurun ke-15 Masihi) ialah dua karya lain yang penting.
Asal-usul
suntingMenurut beberapa pendapat, sistem ini mendapat namanya daripada perkataan 'saṅkhyā' (= nombor) kerana ia mengutarakan bahawa terdapat 25 prinsip dalam ciptaan. Menurut satu pendapat yang lain pula, oleh kerana sistem ini mengutarakan jnana atau ilmu sebagai satu-satunya jalan kebebasan atau moksha (dipanggil sebagai 'kaivalya' dalam sistem ini), dan 'saṅkhyā' bermaksud ilmu (samyak khyāyate), perkataan ini padan dengan sistem ini.
Sistem Sankhya tidak menerima kewujudan Īśvara atau Tuhan. Oleh itu, sistem ini juga dikenali sebagai Nirīśvara Sāṅkhya ('Sāṅkhya tanpa Īśvara).
Kaedah Ilmu
suntingSistem Sankhya hanya menerima tiga Pramāṇa atau sumber ilmu yang sah iaitu: pratyaksa (pengalaman terus), anumana (inferensi), dan sabda (keterangan lisan). Dengan menggunakan prinsip 'daripada yang dilihat kepada yang tidak dilihat atau daripada yang diketahui kepada yang tidak diketahui,' falsafah Sankhya telah merumuskan semua realiti alam ini kepada dua perkara asasi dan abadi: Prakṛti (juga dikenali sebagai pradhana dan avyakta) iaitu alam dan benda-benda bukan hidup, dan Purusha (jiwa atau roh).
Alasan yang lazimnya diberikan untuk kesimpulan ini dinamakan sebagai 'Satkaryavada,' iaitu prinsip bahawa kesan (= karya) telah wujud (= sat) dalam sebab (= karaṇa). Contohnya, semasa periuk dibuat daripada tanah, periuk telah pun wujud secara potensi dalam tanah. Ini kerana sesuatu tidak boleh wujud daripada kekosongan.
Pemakaian prinsip ini dalam kehidupan seharian manusia ialah bahawa semua objek mempunyai tiga sifat-sifat utama - suka, duka dan tidak peduli. Menurut Sankhya, tiga sifat-sifat ini tentu dihasilkan oleh tiga unsur asasi. Sifat-sifat ini dinamakan guṇa - sattvaguṇa (menyebabkan suka atau kegembiraan), rajoguṇa (menyebabkan duka dan penderitaan), dan tamoguṇa (tidak menyebabkan suka atau duka). Setiap guṇa ini menggambarkan keadaan realiti fizikal yang berlainan. Sattva mewakili segala kesucian dan kebaikan, dan ia menghasilkan ilmu dan kebahagiaan. Rajas pula bersifat sentiasa aktif dan ia bertanggungjawab untuk menyebabkan keinginan dan impian, dan seseorang perlu sentiasa aktif untuk mencapainya. Tamas pula menyebabkan kelembaban, kemalasan dan mendorong tidur.
Ketiga-tiga sifat ini wujud bersama-sama dan tidak boleh dipisahkan. Apabila tiga guṇa ini yang sentiasa bergelora wujud dalam keadaan tenang, seimbang, meskipun aktif atau sentiasa bertindak, ia menjadi Prakṛti atau Pradhāna. Dalam kata lain, Prakṛti ialah ketiga-tiga guṇa ini dalam keadaan keseimbangan.
Prakṛti merupakan unsur bahan material yang asas, jirim purba yang menyebabkan alam semesta ini. Prakṛti adalah jaḍa iaitu ia tidak mempunyai kesedaran. Sebaliknya, Puruṣa atau roh merupakan benda hidup yang mempunyai kesedaran sebagai intipatinya. Puruṣa adalah abadi, kekal suci dan kekal tersisih dan merangkumi segala-galanya. Roh tidak terkira, sama seperti benda-benda hidup yang tidak terkira.
Proses Evolusi Alam
suntingCiptaan atau evolusi alam semesta ini bermula dengan pertemuan antara Puruṣa dan Prakṛti. Karma-karma terkumpul daripada semua roh menyebabkan gangguan keseimbangan tiga guṇa-guṇa dalam Prakṛti lalu mencetuskan proses evolusi.
Proses evolusi berlaku seperti ini: Pertembungan dan percampuran guṇa-guṇa melahirkan mahat atau buddhi (intelek kosmik). Mahat pula melahirkan ahankara (ego kosmik iaitu keindividuan). Bahagian ahankara yang bersifat Sattva pula melahirkan manas (minda kosmik), lima jñānendriya (organ ilmu seperti mata dan telinga) dan lima karmendiya (organ tindakan seperti kaki dan tangan). Bahagian ahankara yang bersifat Tamas pula melahirkan lima tanmātra (unsur-unsur halus air, api, dan sebagainya), dan seterusnya lahir lima mahābhūta atau unsur-unsur kasar air, api, tanah, udara dan angkasa.
Belenggu dan Kebebasan
suntingMenurut falsafah ini, matlamat evolusi Prakṛti menjadi dunia ini ialah untuk memberikan satu lagi peluang kepada Puruṣa untuk mencapai kebebasan. Sebenarnya, Prakṛti sendiri dalam evolusinya yang menyebabkan Puruṣa dibelenggui sekali lagi. Puruṣa dibelenggui kerana aviveka (kejahilannya tentang dirinya sebagai kesedaran tulen dan tidak dapat membezakan dirinya daripada benda bukan hidup). Kejahilan ini yang menyebabkan roh lahir dan mati berulangkali. Bagaimana dan bilakah roh terperangkap dalam kitaran ini tidak boleh dijawab kecuali dengan mengatakan bahawa ianya adalah anādi (tanpa permulaan) tetapi sānta (mempunyai penghabisan).
Oleh kerana belenggu ini disebabkan oleh kejahilan, kebebasan atau kaivalya hanya boleh dicapai dengan vivekakhyāti atau ilmu yang betul. 'Khyāti" bermaksud Ilmu yang betul iaitu ilmu yang diperolehi daripada pengalaman terus. 'Viveka' bermaksud membebaskan diri daripada Prakṛti dan menyedari dirinya sebagai Purusa. Ini boleh dilakukan dengan mengikuti lapan langkah Yoga dan melakukan meditasi ke atas Puruṣa atau roh.
Mazhab ini menerima dua jenis kebebasan : jivanmukti dan videhamukti. Jivanmukti dicapai ketika seseorang masih hidup dan jasad orang itu akan hidup sehingga prarabdhakarma orang itu dihabiskan. Kebebasan akhir yang dicapai selepas kematian badan dikenali sebagai 'videhamukti'. Orang yang mendapat videhamukti tidak akan kembali ke dunia ini lagi. Dia akan kekal bahagia.
Yoga Darśana
suntingPengenalan
suntingSains Yoga dikatakan berasal daripada Hiraṇyagarbha, suatu aspek Tuhan. Yogaśāstra dipercayai ditulis oleh Sanatkumāra dan Jaigiṣavya. Pada masa kini, teks purba yang masih wujud ialah Yogasūtra oleh Patañjali. Sama ada Patañjali, penulis Yogasūtra dan penulis Pāṇini ialah orang yang sama, masih belum dapat ditentukan. Kemungkinan Patañjali telah hidup sekitar 200 S.M. hingga 300 S.M.
Yogasūtra mengandungi 195 sūtra dan empat bab iaitu Samādhipāda, Sādhanapāda, Vibhūtipāda dan Kaivalyapāda. Seperti karya-karya sūtra yang lain, Yogasūtra juga agar sukar difahami. Maka, beberapa orang penulis telah menulis ulasan-ulasan mengenainya,
Karya Bhāṣya oleh Vyāsa dianggap sebagai ulasan asas yang utama. Namun, Vyāsa ini bukan Vedavyāsa tradisional, tetapi seorang lain yang telah hidup sekitar 400 Masihi. Berikut ialah penjelasan-penjelasan popular Vyāsabhāṣya:
- Tattvavaiśāradī oleh Vācaspati Miśra (850 M)
- Yogavārttika oleh Vijñānabhikṣu (850 M)
- Bhāsvatī oleh Hariharānanda Araṇya (kurun ke-19)
Menurut beberapa orang pendeta, Śankaracharya (788-820 M) ialah penulis Yogabhāṣyavivarṇa. Gaya penulisan dan presentasi bukunya ini, dan juga kepercayaan bahawa Śankara ialah seorang yogi yang hebat mengukuhkan kepercayaan bahawa beliau ialah penulis Yogabhāṣyavivarṇa.
Terdapat sekurang-kurangnya enam ulasan terus Yogasūtra yakni:
- Rājamārttāṇḍavṛtti oleh Bhojadeva (kurun ke-11)
- Yogasūtrapradīpikā oleh Bhāvāgaṇeśa
- Yogasūtravṛtti oleh Nagojibhaṭṭa
- Yogamaṇiprabhā oleh Rāmānanda Yati
- Yogasiddhāntacandrikā oleh Nārāyaṇa Tīrtha
- Yogasudhākara oleh Sadāśiva Brahmendra (kurun ke-18)
Apakah itu Yoga?
suntingPerkataan 'yoga' berasal daripada dua perkataan akar: yuj (untuk memasang) dan yuj (untuk menumpukan perhatian). Maka, 'yoga' ialah sesuatu yang membantu roh individu mencapai tumpuan ke atas Tuhan dan akhirnya bersatu dengan-Nya.
Perkataan 'yoga' telah digunakan dalam beberapa konteks dalam Ṛgveda (5.81.1) dan dalam beberapa Upaniṣad seperti Kaṭha Upaniṣad (6.10, 11; 2.12) dan Śvetāśvatara (1.3). Bhagavadgita (6.11, 13, 20 & 35) mengandungi banyak idea yang serupa dengan ajaran-ajaran Yogasūtras.
Kemungkinan terdapat karya purba mengenai Yoga yang dihasilkan oleh Hiranyagarbha, dan karya ini mungkin telah mempengaruhi karya-karya lain.
Karya Yogasutra
suntingMenurut tradisi Hindu, sains Yoga berasal daripada Hiranyagarbha, suatu aspek Tuhan. Biasanya, dua orang Rishi - Sanatkumara dan Jaigisavya dikatakan sebagai penulis-penulis Yogasastra. Namun, karya mereka masih belum dapat dikenalpasti.
Yogasūtra oleh Patanjali merupakan karya purba yoga yang masih wujud.
Terdapat sekurang-kurangnya enam ulasan yang ditulis mengenai Yogasūtra. Antaranya ialah:
- Rajamarttanda Vrtti oleh Bhojadeva (kurun ke-11)
- Yogasutrapradipika oleh Bhavaganesha
- Yogasutra Vrtti oleh Nagojibhatta
- Yogamaniprabha oleh Ramananda Yati
- Yogasiddhantacandrika oleh Narayana Tirtha
- Yogasudhakara oleh Sadasiva Brahmendra (kurun ke-18)
Falsafah Yogasutra
suntingPengetahuan asas mengenai falsafah Sankhya adalah penting untuk memahami Yogasūtra. Yogadarśana menerima tiga realiti asas: Isvara, prakrti dan purusa. Purusa adalah roh-roh individu. Purusa bersifat kesedaran atau cidrupa dan jumlahnya tidak terkira.
Kewujudan Īśvara yang dikenali sebagai 'Puruṣaviśeṣa' (puruṣa yang istimewa) hanya boleh diketahui menerusi kitab-kitab suci. Īśvara ialah sarvajña atau maha mengetahui. Īśvara bebas kerana Ia tidak terikat dengan Prakṛti. Īśvara ialah Ādiguru, guru purbakala. Dia dipanggil sebagai Pranava atau Om. Atas kehendak Īśvara dan menurut karma-karma puruṣa, prakṛti menjadi alam semesta ini. Sama seperti sistem Sankhya, prakrti menjadi mahat (intelek kosmik), ahankara (prinsip ego), manas (minda kosmik), tanmatra (unsur-unsur halus) dan sebagainya.
Disebabkan kejahilan atau avidya, puruṣa melupakan dirinya yang sebenar dan mengaitkan dirinya dengan prakrti. Ini menyebabkan purusa mengalami suka dan duka disebabkan kelahiran, kematian dan kelahiran semula. Namun, apabila puruṣa melakukan aṣṭānga yoga (lapan langkah-langkah yoga), sekali lagi dia menyedari sifat semulajadinya dan dia dibebaskan daripada samsara atau kitaran kelahiran semula. Dengan mencapai Dirinya sendiri, dan dengan itu merentasi samsara, ini dipanggil sebagai 'kaivalya'.
Yoga sebagai Cittavṛttinirodha
suntingPatanjali memberikan definisi yoga sebagai Cittavṛttinirodha (1.2). Dengan mengawal dan menahan semua modifikasi (vṛtti) fikiran (citta), sifat sebenar purusa atau Diri, akan terdedah. Citta merupakan minda yang dipanggil sebagai antahkarana (alat dalaman), manas (minda) atau buddhi (intelek). Arus pemikiran, perasaan dan emosi yang timbul disebabkan kesan objek-deria ke atasnya menerusi organ-deria seperti mata dan teling, dikenali sebagai 'cittavṛtti.' Cittavṛtti boleh digabungkan dalam lima kumpulan: pramana (kaedah mendapatkan ilmu yang betul), viparyaya (ilmu yang tidak betul), vikalpa (gambaran minda dengan mendengar sesuatu perkataan), nidrā (tidur) dan smṛti (memori).
- Pramāna ialah kaedah pembelajaran untuk mendapatkan ilmu yang betul. Terdapat tiga pramāana: pratyakṣa (persepsi terus), anumāna (inferensi) dan āgama (kata-kata orang yang boleh dipercayai dan kitab suci).
- Viparyaya ialah ilmu yang salah seperti seutas tali yang kelihatan seperti seekor ular dalam kegelapan.
- Vikalpa ialah imej mental yang timbul apabila mendengar sesuatu perkataan seperti 'kepala Rahu'.
- NIdrā atau tidur ialah keadaan minda yang disebabkan oleh kelebihan sifat Tamas.
- Smṛti ialah memori pengalaman lama.
Cittavṛtti dinamakan sebagai kliṣṭa apabila ia menyebabkan penderitaan (kleśa) kepada puruṣa disebabkan kejahilan (avidyā), egoisme (asmitā) dan sebagainya. Apabila cittavṛtti membantu puruṣa mencapai kebebasan, ia dipanggil sebagai 'akliṣṭa'.
Citta atau fikiran mempunyai lima keadaan: Kṣipta (gerak hati), mūḍha (lembab), vikṣipta (terganggu), ekāgra (tertumpu pada satu perkara), dan niruddha (tersekat). Dalam tiga tahap awal iaitu Kṣipta (gerak hati), mūḍha (lembab), vikṣipta (terganggu), seseorang tidak boleh melakukan yoga disebabkan fikirannya dikuasai oleh sifat-sifat rajas dan tamas. Apabila sattva menjadi kuat, fikiran dapat bertumpu pada suatu perkara yang akhirnya akan membawa kepada samprajñāta samadhi (keadaan penumpuan yang sempurna yang memberikan kognitif yang jelas tentang sesuatu perkara). Dalam keadaan terakhir, niruddha, semua modifikasi fikiran dikawal dengan sepenuhnya dan asamprajñāta samadhi dicapai dan selepas itu, orang itu menjadi seorang mukta, atau roh yang terlepas, dan bebas daripada segala ikatan prakrti.
Aṣṭānga atau Lapan Langkah-Langkah
suntingPuruṣa atau Jīvātman (roh individu) berada dalam ikatan badan-minda (hasil Prakṛti). Matlamat utama yoga ialah 'viyoga' iaitu untuk melepaskan Puruṣa daripada belenggu Prakṛti. Ini berlaku dengan vivekakhyāti atau ilmu bahawa Prakṛti dan Puruṣa adalah dua perkara berasingan (khyāti = ilmu; viveka = membezakan).
Yogasutra memberikan suatu disiplin yang teratur dengan lapan langkah-langkah, dipanggil sebagai 'aṣṭāngayoga'. Ianya adalah: yama (menahan), niyama (mengamalkan), āsana (postur), prānāyāma (kawalan aliran tenaga), pratyāhāra (keadaan termenung), dhārana (konsentrasi), dhyāna (meditasi) dan samādhi (mendalami sepenuhnya). Dalam lapan langkah-langkah, lima langkah awal dikenali sebagai 'bahiranga' (bantuan luar) dan tiga langkah akhir dikenali sebagai 'antaranga' (bantuan dalam) kepada yoga.
Yama
suntingAhimsā (ketidakganasan), satya (kebenaran), asteya (tidak mencuri), brahmacarya (mengawal nafsu syawat), dan aparigraha (tidak menerima hadiah) menjadi yama atau langkah pertama yoga. Yama menyumbangkan kepada keharmonian sosial.
Niyama
suntingŚauca (kebersihan), santoṣa (kepuasan), tapas (disiplin badan, kata-kata dan fikiran), svādhyāya (pembacaan kitab-kitab suci dan mengulangi mantera), dan Īśvarapranidhāna (beriman kepada Tuhan). Niyama menyumbangkan kepada kesucian diri.
Patanjali mengumpulkan tiga disiplin niyama iaitu tapas, svādhyāya dan Īśvarapranidhāna dan menamakannya sebagai 'Kriyā Yoga'. Ia adalah suatu kaedah pintas untuk Yoga.
Āsana
suntingIni ialah postur untuk duduk dengan tegap dan selesa untuk melakukan Yoga.
Prānāyāma
suntingIni ialah kawalan udara utama dalam badan dengan mengatur pernafasan.
Pratyāhāra
suntingApabila organ-organ deria dipisahkan daripada objek-objek deria, organ-organ deria akan tertumpu dalam fikiran. Ini dinamakan sebagai pratyāhāra.
Dhāranā
suntingKeadaan ini dicapai apabila fikiran tertumpu pada objek meditasi.
Dhyāna
suntingApabila dhāranā berterusan dan tidak terputus, seperti minyak yang dituang dari satu bekas ke bekas yang lain, keadaan ini dipanggil sebagai Dhyāna.
Samādhi
suntingApabila Dhyana menjadi semakin mendalam sehingga fikiran tertumpu sepenuhnya pada objek meditasinya, sehingga seseorang tidak sedar akan dirinya sendiri, keadaan ini dipanggil sebagai Samadhi. Isvarapranidhana atau cinta untuk Tuhan juga boleh menyebabkan keadaan Samadhi (1.23).
Patanjali menamakan tiga langkah akhir ini iaitu Dhāranā, Dhyāna dan Samadhi sebagai 'Samyama'. Ketiga-tiga langkah akhir ini adalah sebenarnya tiga langkah berterusan dalam satu proses yang sama. Samyama harus berlaku terhadap objek yang sama.
Rintangan Yoga
suntingPatanjali menamakan sembilan rintangan yoga sebagai 'antarāyas': vyādhi (penyakit), styāna (sikap tidak peduli), samśaya (keraguan), pramāda (acuh tak acuh), āasya (kemalasan), avirati (kurang sifat pelepasan), bhrāntidarśana (salah tanggapan), alabdhabhūmikatva (kegagalan mencapai tahap yogi), dan anavasthitatva (kekecohan dalam negara).
Patanjali juga menambahkan lima lagi rintangan yoga yang menganggu fikiran iaitu: duhkha (duka hati), daurmanasya (kekecewaan), angamejayatva (kegelisahan anggota badan), svasa dan prasvasa (pernafasan yang tidak seragam). Semua ini perlu diatasi dengan remedi yang sesuai.
Patanjali juga memberikan beberapa kaedah praktikal untuk mencapai penumpuan yang membolehkan seseorang mengalami Samadhi atau pengalaman mistik tentang Atman. Antaranya, vairagya (semangat tersisih atau pelepasan) dan abhyasa (amalan terus) adalah dua perkara yang utama. Vairagya membantu menjarakkan fikiran daripada objek-deria. Abhyasa pula membantu mendekati Atman atau Tuhan.
Beberapa teknik yang berguna dalam Yoga ialah: bersikap mesra (maitri) dengan orang yang bahagia (bukan cemburu); bersimpati (karuna) terhadap orang yang menderita; mengawal tenaga prana dengan mengatur pernafasan; bermeditasi ke atas cahaya pada pusat hati sendiri; bermeditasi ke atas orang yang mulia; sentiasa mengingati mimpi yang suci; merenungkan rupa dewa-dewi; atau planet seperti bulan, atau pusak psikik dalam badan sendiri.
Semua kaedah-kaedah ini dapat membantu seseorang mencapai ketenangan dan maju dalam Yoga.
Yogasiddhi
suntingSejak zaman purbakala wujud kepercayaan bahawa manusia boleh mencapai kesaktian luarbiasa dengan melakukan tapas dan dengan rahmat Tuhan. Demi meningkatkan kepercayaan dan keyakinan seorang sadhaka (seseorang yang menjalankan disiplin kerohanian) yang sederhana, Patanjali menjelaskan beberapa kesaktian luarbiasa dalam bab-bab kedua dan ketiga Yogasutra. Contohnya, di depan seorang yang benar-benar telah mencapai nilai ahimsa, haiwan pemakan dan mangsanya (seperti harimau dan lembu) dapat hidup bersama dengan aman. Kata-kata seseorang yang mengamalkan Satya tidak akan menjadi salah. Seseorang yang mengamalkan aparigraha dengan ketat boleh mendapat kuasa melihat kelahiran-kelahiran lama dan akan datangnya (2.35, 36 dan 39).
Samyama ke atas objek-objek berlainan akan memberikan seorang Yogi beberapa kuasa luarbiasa. Contohnya, samyama ke atas lima unsur seperti prthivi (bumi), dan ap (air). akan memberikan astasiddhi (lapan kuasa ajaib) seperti anima (kuasa untuk menjadi kecil seperti atom), mahima (kuasa untuk menjadi besar) dan sebagainya.
Antara kuasa-kuasa lain yang disebut dalam Yogasutra ialah: kuasa mengetahui fikiran orang lain, kuasa ghaib, mendapatkan kekuatan luarbiasa, memahami bahasa haiwan, dan sebagainya.
Walaupun Patanjali menghuraikan semua kesaktian luarbiasa ini hanya seperti seorang ahli sains, namun, dia memberikan amaran kepada seseorang yang mengamalkan yoga untuk mencari kesaktian ini. Nafsu untuk mengecapi kesaktian luarbiasa ini boleh membawa seseorang jauh daripada matlamat kehidupan iaitu kaivalya atau kebebasan. Namun, selepas mencapai kaivalya - jika seseorang perlu hidup demi menghabiskan prarabdha karma (karma yang telah mula membawa hasil), yogi boleh mendapatkan kesaktian luarbiasa dan menggunakannya demi kebaikan dunia.
Perbezaan dengan sistem Sāṅkhya
suntingSistem Yogadarśana juga dikenali sebagai Seśvara Sāṅkhya ('Sāṅkhya dengan Īśvara). Ini kerana sistem menerima semua 25 prinsip kosmik sistem Sāṅkhya dan sebagai tambahan, ia juga menerima kewujudan Īśvara.
Sistem Sāṅkhya mengutamakan tattvajñāna atau pencarian tentang kebenaran secara teori. Sebaliknya, sistem Yogadarśana mengutamakan sādhana atau mempraktikan disiplin kerohanian.
Kesimpulan
suntingYogadarśana bukan sahaja suatu sains purba tetapi ia juga amat relevan dan praktikal pada zaman moden. Malah sistem Vedanta juga menerima dan menggunapakai aspek sadhana sistem ini. Psikologi moden juga sedang menemui kegunaan sistem ini dalam memperolehi kesihatan mental. Kaedah dan teknik yoga sedang menjadi popular di seluruh dunia. Dua langkah pertama yoga - yama dan niyama - boleh menyumbangkan kepada kebaikan individu dan masyarakat. Pelbagai asana (juga dikenali sebagai yogasana) boleh membantu dalam mengekalkan dan menjaga kesihatan seseorang. Demikian, sistem Yoga sedang berkembang dan mendapat pengiktirafan sejagat.
Mīmāmsā Darśana
suntingPengenalan
suntingIni ialah suatu sistem falsafah yang mengutamakan Kitab Suci lebih daripada Tuhan! Sistem ini juga dikenali sebagai Pūrva Mīmāmsā Darśana. Matlamat utama sistem ini ialah untuk memberikan suatu kaedah interpretasi yang dapat membantu memahami ayat-ayat Veda yang rumit mengenai ritual.
Ritual Veda percaya bahawa:
- Roh akan terus hidup selepas kematian badan dan ia akan menikmati hasil ritual di syurga.
- Terdapat suatu kuasa atau kesaktian yang menyimpan kesan ritual yang dilakukan.
- Ayat-ayat Veda tidak boleh menjadi salah
- Dunia adalah benar
- Kehidupan dan tindakan manusia di dunia adalah benar dan bukannya mimpi semata-mata.
Teks Utama
suntingTeks utama falsafah ini ialah Mīmāmsāsūtra oleh Jaimini (200 S.M). Kitab ini mengandungi 2500 sutra yang dibahagikan kepada dua belas bab dan 60 sub-seksyen. Ulasan atau Bhāṣya terpenting untuk Mīmāmsāsūtra ialah ulasan oleh Śabara Svāmin (57 S.M. atau 200 M). Bhāṣya Śabara mempunyai dua interpretasi. Ulsan pertama ialah Bṛhatī oleh Prabhākara (650 Masihi) yang masih berada dalam bentuk manuskrip. Ulasan kedua ditulis oleh Kumārila Bhaṭṭa (700 M) dalam tiga bahagian iaitu Ślokavārttika, Tantravārttika dan Ṭupṭīkā.
Teks-teks lain sistem ini ialah Prakaraṇapañcikā oleh Śalikanātha (seorang penuntut Prabhākara), Śāstradīpikā oleh Pārthasarathi (900 M), Nyāyamālāvistara oleh Mādhava Vidyāraṇya (1350 M) dan Arthasaṅgraha oleh Laugākṣi Bhāskara (kurun ke-17 M).
Teori Ilmu
suntingMīmāmsā Darśana telah membina suatu kaedah epistemologi (ilmu tahu) untuk membuktikan keagungan Veda. Sistem-sistem falsafah lain, terutamanya Vedānta Darśana juga menerima kaedah epistemologi ini.
Tiga syarat-syarat perlu dipenuhi untuk menerima sesuatu ilmu sebagai benar, iaitu:
- Ia perlu memberikan sesuatu informasi baru yang tidak pernah diketahui.
- Ia tidak harus disangkal oleh ilmu lain.
- Tidak ada kecacatan dalam syarat-syarat yang menghasilkan ilmu itu.
Mīmāmsā Darśana menerima dua jenis sumber ilmu pengetahuan: pratyaksa (terus) dan paroksa (perantara).
Pratyaksa
suntingIni ialah ilmu yang diperolehi secara terus atau serta-merta dan ia mempunyai dua tahap. Sebaik sahaja organ-deria berhubung dengan objek-deria, ia akan menyedari kewujudannya secara am. Ini dikenali sebagai nirvikalpaka-pratyaksa. Dalam tahap seterusnya, semua butiran terperinci akan dikenalpasti berdasarkan kepada pengalaman lepas. Ini dikenali sebagai savikalpa-pratyaksa.
Paroksa
suntingIlmu yang diperolehi secara perantara dibahagikan kepada lima jenis:
- Anumana - Ilmu yang diperolehi secara inferensi (taakul) atau tidak terus dikenali sebagai anumana. Contohnya, apabila melihat asap dari sebuah bukit, kita boleh menyimpulkan bahawa terdapat kebakaran di atas bukit itu (meskipun kita tidak melihat kebakaran itu). Ini kerana, daripada pengalaman lepas, kita tahu asap sentiasa berkaitan dengan api.
- Upamana - Ini bermaksud perbandingan dan ia juga suatu sumber ilmu. Apabila melihat itik, seseorang teringat akan angsa yang pernah dilihatnya. Dia mengetahui bahawa angsa yang diingatinya sama seperti itik yang dilihatnya. Ilmu begini diperolehi secara upamana atau perbandingan.
- Sabda - Sumber ilmu terusnya ialah sabda atau keterangan/saksi lisan. Mīmāmsā Darśana amat menekankan keterangan lisan kerana ia perlu menegakkan otoriti mutlak Veda. Kata-kata seseorang yang boleh dipercayai dianggap sebagai benar. Ini dikenali sebagai Āptavākya. Terdapat dua jenis keterangan lisan: Pauruseya (manusia, sama seperti Āptavākya) dan Apauruseya (bukan manusia, atau Veda). Veda bukan suatu ciptaan manusia. Veda merupakan otoriti agung kerana ia adalah Kitab Rukun Tuhan. Veda memberikan ilmu yang benar tentang sesuatu kebenaran yang tidak dilihat dan tidak dikenali. Matlamat utamanya ialah untuk memperkembangkan ritual korban. Veda adalah abadi. Veda bukan sebuah buku atau mantera-mantera yang diturunkan secara lisan. Veda ialah ajaran abadi yang diturunkan melalui golongan Rishi dalam setiap zaman.
- Arthapatti - Ini ialah anggapan (postulasi) yang perlu mengenai sesuatu fakta yang tidak dikenali. Anggapan ini penting untuk penjelasan yang memuaskan tentang sesuatu anamoli. Misalnya, jika seseorang yang tidak makan pada waktu siang menjadi gemuk, maka anggapan yang munasabah ialah dia makan secara curi-curi pada waktu malam! Ilmu yang diperolehi secara arthapatti adalah berbeza kerana ianya tidak boleh diperolehi dengan kaedah lain.
- Anupalabdhi - Keadaan ketiadaan sesuatu perkara (bukan kognitif) juga ialah suatu sumber ilmu kerana ia menerima terus ketiadaan sesuatu objek. Katakan sebuah pasu tidak berada di atas meja di mana ia berada dahulu. Fakta bahawa pasu itu tidak dapat dilihat sekarang membuktikan ketiadaan pasu itu.
Dunia
suntingMīmāmsā Darśana menerima kewujudan dunia sebagai benar. Menurut falsafah ini, dunia dengan semua benda-benda hidup termasuk pelbagai indriya atau organ-deria adalah benar. Roh menetap buat sementara waktu dalam sesuatu badan untuk menikmati hasil karmanya, baik atau buruk. Dunia penuh dengan pelbagai objek yang memberikan suka dan duka.
Roh
suntingJumlah roh adalah tidak terkira. Roh adalah abadi tetapi ia mengalami kitaran kehidupan-kematian disebabkan karma (tindakan yang baik atau buruk) yang dilakukan semasa roh menghuni sesuatu badan di dunia. Roh tidak mempunyai kesedaran. Disebabkan pendedahan kepada fikiran, organ-organ deria dan objek-objek deria, roh mendapat kesedaran. Ini dibuktikan dengan ketiadaan kesedaran semasa tidur nyenyak.
Apabila seseorang melakukan upacara korban seperti Jyotistoma menurut Veda, kesan potensinya akan wujud dalam rupa yang halus dalam rohnya dan ia akan memberikan hasil selepas kematiannya. Kuasa potensi ini dikenali sebagai 'apurva'.
Oleh kerana seluruh Veda mengarahkan manusia untuk melakukan karma (ritual menurut Veda), setiap manusia wajib melaksanakan tugasnya. Sesuatu ritual wajib dilakukan kerana ia adalah rukun Veda dan bukannya atas pilihan seseorang untuk melakukannya atau melakukannya dengan cara yang lain. Tugas-tugas ini dibahagikan kepada dua kumpulan secara am: Nitya atau tugas harian yang wajib dan Naimitikka atau tugas sekali-sekala yang wajib. Pelaksanaan tugas-tugas ini akan membantu meningkatkan moral seseorang, dan menyucikan dirinya.
Moksa atau kebebasan
suntingKebaikan tertinggi (nissreyasa) untuk seseorang ialah untuk mendapat moksa atau kebebasan, iaitu penamatan kitaran samsara sepenuhnya. Apabila roh mencapai moksa, ia dibebaskan sepenuhnya daripada semua suka dan duka meskipun ia tidak mempunyai kesedaran atau kebahagiaan abadi!
Bagaimanakah hendak mencapai moksa? Mīmāmsā Darśana menjawab soalan ini dengan amat ringkas. Dengan menghindari kamyakarma (karma yang didorong oleh keinginan), seseorang boleh bebas daripada kelahiran semula. Dosa yang dilakukan tanpa sengaja boleh ditebusi dengan melakukan pelbagai prayascitta (ritual penebusan dosa). Pelaksanaan Nitya dan Naimittika karma akan membawa cittasuddhi atau kesucian fikiran dan kegagalan melakukannya pula terjumlah kepada pratyavayadosa (kesilapan kegagalan) yang boleh menghalang seseorang mencapai moksa. Prarabdhakarma (karma yang menyebabkan kelahiran semasa) dihapuskan dengan pengalaman dalam kelahiran semasa. Jadi, apabila badan mati, tidak ada faktor baki yang boleh menyebabkan seseorang lahir semula. Maka, secara otomatik seseorang mencapai moksa.
Isvara atau Tuhan
suntingSatu lagi soalan yang dibincangkan dan kemudiannya ditolak ialah sama ada Tuhan wujud atau tidak. Ciptaan tidak memerlukan Pencipta kerana semua bahan yang menjadikan dunia ini sentiasa wujud secara abadi, dan oleh kerana adrsta (karma roh-roh individu) mendorong bahan-bahan ini dalam proses ciptaan. Oleh itu, menurut falsafah ini Tuhan tidak perlu wujud!
Kesimpulan
suntingMemang pelik bahawa suatu sistem yang mengagung-agungkan Veda tetapi telah mengabaikan Tuhan! Bukan sahaja Tuhan, tetapi pelbagai dewa-dewi seperti Indra, Mitra dan Varuna yang disebut dalam upacara korban Veda juga dilayan sama seperti suatu watak khayalan dalam sebuah drama.
Memang tidak salah untuk mengatakan bahawa dengan terlalu menekankan upacara ritual, falsafah ini telah menggali kuburnya sendiri dengan mengabaikan Pencipta-Nya.
Namun, dengan mempelajari teori ilmunya dan juga kaedah-kaedah interpretasi ayat-ayat suci Veda, seseorang dapat memahami sistem Vedanta dengan lebih baik. Maka, tidak hairanlah sistem falsafah Pūrva Mīmāmsā Darśana ini masih lagi relevan bagi pembelajaran Veda dan Vedanta.
Vedānta Darśana
sunting(Artikel utama : Falsafah Vedanta)
Falsafah Vedānta ialah mengenai Upaniṣhad yang merupakan bahagian penghujung (anta=penghujung) Veda dan Upaniṣhad mengandungi intipati Veda (anta=intipati). Sistem ini berasaskan kepada tiga karya hebat: Upaniṣad, Brahmasūtra, dan Bhagavadgītā.