Fatimah binti Maimun

Fatimah binti Maimun bin Hibatullah ialah seorang perempuan beragama Islam yang wafat pada hari Jumaat, 7 Rejab 475 Hijrah (2 Disember 1082 M).[1][2][3][4] Batu nisannya ditulis dalam bahasa Arab dengan huruf kaligrafi bergaya Kufi, serta merupakan nisan kubur Islam tertua yang ditemukan di Nusantara.[1][2][3] Makam tersebut terletak di desa Leran, Kecamatan Manyar, sekitar 5 km arah utara kota Gresik, Jawa Timur.[5]

Makam Fatimah binti Maimun, di desa Leran, Manyar, Gresik. Cungkup makam berupa gedung tembok petak yang diperbuat daripada batu kapur putih.

Temuan batu nisan tersebut merupakan salah satu data arkeologi yang berkenaan dengan keberadaan masyarakat Islam pertama di kawasan pantai utara Jawa Timur.[6] Gaya Kufi tersebut menunjukkan antara pendatang di kawasan pantai tersebut, terdapat orang-orang yang berasal dari Timur Tengah dan bahawa mereka juga merupakan pedagang, oleh kerana nisan kubur dengan gaya Kufi serupa juga ditemukan di Phanrang, Champa selatan.[6] Hubungan perdagangan Champa-Jawa Timur tersebut ialah sebahagian jalur perdagangan masyarakat Islam pantai pada abad ke-11 yang merentangi baahgian selatan China, India, dan Timur Tengah.[6]

Legenda sunting

Sumber tertulis tertua yang menulis legenda mengenai seorang puteri dari Leran ialah Sajarah Banten, yang ditulis pada tahun 1662 atau 1663.[7] Disebutkan bahawa pada masa pengislaman Jawa, seseorang yang bernama Putri Suwari dari Leran ditunangkan dengan raja terakhir dari Majapahit.[7]

Jean Pierre Moquette juga menceritakan legenda tempatan yang dicatatnya ketika beliau mengunjungi Leran, bahawa makam tersebut ialah kubur seorang puteri raja bernama Putri Dewi Suwari, yang memainkan peranan penting dalam awal sejarah Islam di pulau Jawa. Puteri tersebut dikaitkan dengan Maulana Malik Ibrahim (wafat 822 H/1419 M), seorang wali terkenal yang makamnya terdapat di kota Gresik, barangkali sebagai isteri atau muridnya. Legenda tersebut tidak dapat diterima kerana terdapat jarak 400 tahun antara kedua-dua tokoh tersebut.[1][2]

Teks nisan sunting

Inskripsi nisan terdiri daripada tujuh baris. Berikut ialah bacaan J.P. Moquette yang diterjemahkan oleh Muh. Yamin, dll.:[8]

  • Atas nama Tuhan Allah Yang Maha Penyayang dan Maha Pemurah
  • Tiap-tiap makhluk yang hidup di atas bumi itu adalah bersifat fana
  • Tetapi wajah Tuhan-mu yang bersemarak dan gemilang itu tetap kekal adanya
  • Inilah kuburan wanita yang menjadi kurban syahid bernama Fatimah binti Maimun
  • Putera Hibatu'llah yang berpulang pada hari Jumiyad ketika tujuh
  • Sudah berlewat bulan Rajab dan pada tahun 495[9]
  • Yang menjadi kemurahan Tuhan Allah Yang Maha Tinggi
  • Bersama pula Rasulnya Mulia

Baris 1 merupakan basmalah sedangkan baris 2-3 merupakan petikan Surah Ar-Rahman ayat 25-26, yang umum dalam epitaf umat Muslim, terutama di Mesir.[10]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c Paul Ravaisse, L'inscription coufique de Léran à Java, TBG, 65, 1925, hlm. 668-703.
  2. ^ a b c J.P. Moquette, De oudste Moehammedaansche inscripte op Java (op de grafsteen te Leran), dalam Verhandelingen van het Eerste Congres voorde Taal-, Land- en Volkenkunde van Java gehouden te Solo, 25-26 December 1919, Weltevreden, 1919 (1921), hlm 291-399.
  3. ^ a b Epigrafi dan Sejarah Nusantara: Pilihan Karangan Louis-Charles Damais, Jakarta, École Française d'Extrême-Orient, 1995, hlm. 298.
  4. ^ M. Habib Mustopo, Kebudayaan Islam di Jawa Timur: kajian beberapa unsur budaya masa peralihan, Jendela, 2001.
  5. ^ Makam Fatimah Binti Maimun, www.eastjava.com, Copyrights © 1998-2012. Dicapai pada 19 Mei 2012.
  6. ^ a b c Uka Tjandrasasmita, Arkeologi Islam Nusantara, Kepustakaan Populer Gramedia (KPG), Jakarta, 2010, ISBN 978-979-9102-12-6, hlm. 75-76.
  7. ^ a b Hoesein Djajadiningrat, Critische beschouwing van de Sadjarah Banten. Bijdrage ter kenstelling van de Javaansche Geschiedschrijving, Haarlem, 1913; terjemahan Indonesia, Tinjauan Kritis tentang Sejarah Banten, Jakarta, 1983, hlm. 21, 274-278.
  8. ^ Muhammad Yamin, Tatanegara Majapahit, Jajasan Prapantja, Djakarta: 1962. Ejaan disesuaikan dengan Ejaan Rumi Baharu.
  9. ^ Moquette membaca 495; sedangkan pembacaan oleh Ravaisse adalah 475, demikian pula sesuai pendapat Tjandrasasmita, Damais, Lombard, dll.
  10. ^ Claude Guillot & Ludvik Kalus, Inskripsi Islam tertua di Indonesia, Kepustakaan Populer Gramedia (KPG), Jakarta, 2008, ISBN 10: 979-910103-4, hlm. 21.