Feist (baka anjing)

jenis anjing
(Dilencongkan dari Feist (anjing))

Feist[a] ialah anjing pemburu kecil yang diturunkan daripada terier yang dibawa ke Amerika Syarikat oleh pelombong British dan pendatang lain. Terier ini barang kali menyertakan silangan antara terier rubah licin, terier Manchester, dengan terier putih Inggeris yang kini pupus. Anjing ini digunakan sebagai pemburu tikus dan perjudian tentang kehebatannya dalam pembunuhan tikus ialah hobi kegemaran pemiliknya. Sesetengah anjing ini telah disilangkan dengan grehaun, whippet, atau grehaun Itali (untuk kelajuan), dan beagle atau hound lain (untuk keupayaan perburuan)—lalu memperluas keluarga untuk menyertakan lebih pelbagai tujuan daripada pemburu tikus asli, atau terier tikus.

Feist
Atomic Flash, seekor contoh feist
Nama lainTreeing feist, terier treeing, terier pemburu tikus, terier tikus
Negara asalAmerika Syarikat
Anjing (Canis lupus familiaris)

Perihal sunting

Feists ialah anjing bersaiz kecil hingga sederhana yang setinggi 10–18 inci (25–46 cm) dan berukuran seberat 15–30 paun (6.8–14 kg), iaitu anjing berlapis bulu pendek dengan tungkai panjang. Telinga terletak tinggi-tinggi pada kepala dan berbentuk butang, tegak, atau tergantung pendek-pendek. Ekornya mungkin semula jadi, kontot, atau terpotong. Memandangkan feist dibiakbakakan untuk berburu, bukan sebagai anjing pertunjukan, hanya ada sedikit atau tiada ketekalan yang terlihat pada penampilan (jenis baka) dan ia mungkin merupakan anjing baka tulen, anjing baka silang, atau anjing baka kacuk. Ia lebih dicam melalui cara perburuan dan saiznya berbanding dengan penampilannya.

Anjing individu dapat berburu dalam lebih daripada satu cara, tetapi pada umumnya, feist bekerja di atas tanah untuk mengejar mangsa kecil, terutamanya tupai. Ini berbeza dengan terier atau dachshund, iaitu anjing bumi yang memasuki tanah untuk membunuh atau mengusir mangsa, biasanya tikus, arnab, rubah, atau bejar ke luar dari sarang. Kebanyakan feist mempunyai dorongan ekstrem untuk mengejar arnab, bersama-sama dengan tupai dan rodensia lain.

Apabila berburu, feist, tidak seperti hound, kebanyakannya adalah senyap di jejak sehingga mengejar tupai ke atas pokok (treeing). Ia mencari tupai dengan menggunakan mata, telinga, dan hidung, kemudian mengejar tupai ke atas pokok dan menyalak lantang-lantang dan mengelilingi pokok itu, dengan cara yang sama seperti anjing pemburu rakun melakukan treeing terhadap rakun. Apabila tupai telah dikejar ke atas pokok, ia mengejar tupai itu sehingga tupai itu hilang dari pandangannya. Semasa pengejaran, ia mengharungi anak sungai, melompati balak, dan memecut melintasi jalan untuk mendapatkan mangsanya. Penggunaan cawak pada anjing ini dengan kehadiran tupai dinasihatkan. Walaupun ia mengejar dengan berang, feist jarang menangkap tupai; ia biasanya mengharapkan pemiliknya untuk menembak tupai.

Pelbagai keragaman bernama dalam jenis feist telah dikembangkan, termasuk mountain feist, yang merangkumi Baldwin feist, Buckley feist, DenMark feist, Galla Creek feist, Kemmer feist, Lost Creek feist, sport-bred feist, dan Thornburg feist. Treeing feist pula termasuk Atomic feist, Barger feist, Boggs Creek feist, original cajun squirrel dog, Charlie feist, Fleming Creek squirrel dog, Hickory Grounds feist, Horse Creek feist, Hurley Comb's-bred Feist, mountain cur, Mullins feist, Redwood feist, Riverun feist, shaderidge, dan terier tikus.

 
Contoh seekor feist
 
Gray's Prairie Daisy – seekor contoh seekor mountain feist baka Grey

Etimologi sunting

Perkataan "feist" diperihalkan dalam Webster's Third New International Dictionary sebagai perkataan yang berpunca daripada perkataan usang "fysting", yang memaksudkan "memecahkan angin, dalam ungkapan seperti fysting dog atau fysting hound". Feist ditakrifkan sebagai "1. terutamanya dialek: anjing kecil dengan keleluhuran tidak pasti..."

Perkataan feisty – "bertenaga, galak, dsb. jika kecil" – diterbitkan daripada maksud tentang anjing, yang kecil dan bertenaga.

Sejarah sunting

Feist bukan jenis anjing baharu. Keterangan bertulis tentang anjing ini berusia berabad-abad, dengan beberapa variasi ejaan yang terlihat. George Washington merujuknya dalam diari beliau pada tahun 1770 apabila memerihalkan seekor anjing sebagai "cur kuning kecil mirip foist".[1] Abraham Lincoln pula menulis tentang anjing "fice" dalam puisi beliau, "The Bear Hunt" ("Pemburuan Beruang"). William Faulkner menyebut "fice dog" dalam The Sound and the Fury, tetapi menggunakan ejaan "fyce" dalam kisah-kisah "Was" dan "The Bear" daripada koleksi Go Down, Moses: "anjing fyce berani dibunuh oleh seekor beruang" (terjemahan). Dalam novel tahun 1938, The Yearling, pengarang Marjorie Kinnan Rawlings menggunakan ejaan "feice" untuk merujuk anjing ini. Claude Shumate, yang menulis tentang feist untuk majalah Full Cry, percaya bahawa feist diturunkan daripada anjing Orang Asli Amerika, yang bercampur dengan terier kecil dari Britain, dan dibela seawal abad ke-17 (Full Cry, Disember 1987). Baka ini dipopularkan oleh Presiden Teddy Roosevelt, yang kerap berburu dengan seekor feist bernama Skip, kepunyaan anak lelaki beliau Archie, dan seekor terier Manchester bernama Jack, kepunyaan anak lelaki beliau Kermit.

Baka serupa sunting

Anjing serupa meruapkan terier rubah licin dan terier rubah dawai, yang pada asalnya dikembangkan untuk menggarah rubah ke luar untuk pemburu di England (tetapi kini dibela terutamanya untuk penunjukan pengakuran dan sebagai anjing peliharaan), dan terier Jack Russell, yang digunakan untuk pemburuan tikus. Terier rubah dan feist kerap kebanyakannya berwarna putih supaya dapat dilihat oleh pemburu. Banyak varian lain bagi jenis ini wujud, seperti terier Russell, terier Parson Russell Terrier, dan terier tikus, dengan banyak baka anjing baka tulen yang dikembangkan secara tempatan. Jenis terier rubah asli didokumenkan di England pada abad ke-18.

Mountain feist dan terier Jack Russell sunting

Oleh sebab keserupan dari segi penampilan, mountain feist kadang-kadang disalah anggap sebagai terier Jack Russell, terutamanya di tempat perlindungan dan kurungan anjing. Walau bagaimanapun, ciri fizikal tertentu memisahkan kedua-duanya, dan dapat dikenal pasti dengan mudah oleh mata terlatih. Lapis bulu feist pada umumnya adalah lebih lembut dan licin daripada lapis bulu terier Jack Russell yang berlapis bulu kasar. Tungkainya adalah lebih panjang dan ekor mountain feist biasanya lebih pendek daripada ekor terier Jack Russell.

Walaupun terdapat sesetengah keserupaan fizikal, walau bagaimanapun, tingkah laku dan perangai mountain feist dan terier Jack Russell kerap agak berbeza. Kebanyakan feist merupakan anjing agak senyap dan tidak mempunyai kecenderungan untuk menyalak secara berlebihan seperti yang ditunjukkan oleh sesetengah terier Jack Russell dan anjing pemburu lain. Terier Jack Russell juga cenderung untuk menjadi lebih kuat bertarung. Akhirnya, semasa aktif, kebanyakan mountain feist pada umumnya tidak mempamerkan tenaga kegila-gilaan terier Jack Russell.

Sesetengah susur galur mountain feist memang dikecilkan melalui pembiakbakaan daripada terier Jack Russell, kemungkinan besar penyilangan dengan anjing treeing, seperti treeing Walker hound. Trait-trait terier Jack Russell kerap kekal terlihat walaupun terdapat pembiakbakaan silang ini. Keturunan ini biasanya kebanyakannya berwarna putih dengan perang atau hitam di sekeliling kepala dan leher, dengan telinga tegak atau butang tinggi. Anjing ini biasanya berburu dalam kawasan di Pergunungan Appalachia dan Pergunungan Ozark. Ia menggunakan mata dan telinga dengan amat baik.

Feist dan terier tikus sunting

Penyilangan anjing feist telah berlaku kerana ia dibiakbakakan terutamanya untuk prestasi sebagai anjing pemburu. Walaupun terdapat kekeliruan besar, mountain feist atau treeing feist merupakan baka unik tersendiri. Terier tikus pula dianggap sebagai baka spesifik dalam jenis feist. Oleh sebab perkataan "feist" merujuk jenis anjing umum sebagaimana "hound" dan "terier" merujuk kepada sekumpulan baka, terier tikus masih kerap dipanggil "feist". Terier yang dibawa ke Amerika Syarikat pada tahun 1890-an dari England disilangkan dengan anjing feist yang sudah ada di sana, sebagai tambahan kepada sesetengah baka mainan (terier rubah mainan, terier Manchester, dan anjing Chihuahua), lalu menghasilkan anjing lebih kecil jenis feist dengan penampilan lebih seragam.[2][3][4]

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: فاءيس, Sebutan bahasa Melayu: [fai̯s]

Rujukan sunting

  1. ^ "Founders Online: Remarks & Occurans. in Mar. [1770]". founders.archives.gov (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2 April 2024.
  2. ^ "Mountain Feist Official UKC Breed Standard". United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2 April 2024.
  3. ^ "NKC Breed standards for the Feist". National Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). National Kennel Club. Dicapai pada 2 April 2024.
  4. ^ "Rat Terrier". United Kennel Club (dalam bahasa Inggeris). United Kennel Club.

Bacaan lanjut sunting

  • Davis, Donald; Stotkit, Jeffrey (1992). "Feist or Fiction? The Squirrel Dog of the Southern Mountains". The Journal of Popular Culture (dalam bahasa Inggeris). 26: 193–201.
  • Gray, Marcus B. (November–Disember 2007). "Introduction to the Treeing Feist: a squirrel dog breed history". Countryside & Small Stock Journal (dalam bahasa Inggeris): 48.
  • The Sound and the Fury (sebagai "fice dog") dan karya-karya lain William Faulkner

Pautan luar sunting