Histeria (filem)

Filem 2008 oleh James Lee
(Dilencongkan dari Filem Histeria)

Histeria ialah sebuah filem seram ngeri Malaysia 2008 arahan sulung James Lee yang turut berkhidmat sebagai penulis skrip.[1][2] Dibintangi oleh Liyana Jasmay, Scha Al-Yahya, Yana Samsudin dan lain-lain serta turut dibantu oleh Adi Putra, Vanidah Imran, Adlin Aman Ramlie, dan M. Rajoli, filem ini berkisarkan gejala histeria dan jembalang busut yang berlaku di salah sebuah sekolah terpencil. Ia ditayangkan pada 18 Disember 2008 oleh Tayangan Unggul dan menerima ulasan positif.[3] Pada tahun 2022, hampir 14 tahun selepas filem ini ditayangkan, ia telah diadaptasi ke drama bersiri premium bertajuk sama sebanyak 8 episod yang disiarkan di Astro Citra bermula 6 Jun.[4]

Histeria
Poster keluaran tayangan
PengarahJames Lee
PenulisJames Lee
Dihasilkan olehGayatri Su-Lin Pillai (eksekutif)
Dibintangi
SinematografiHelmi Yusof
Disunting olehAkashdeep Singh
Muzik olehNurzaidi Abdul Hassan
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehAstro Shaw
Tarikh tayangan
  • 18 Disember 2008 (2008-12-18) (Malaysia)
Masa tayangan
91 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu
BajetRM 1.4 juta
Pecah panggungRM 2.5 juta

Sinopsis sunting

Enam orang pelajar nakal (Alissa, Tini, Marina, Murni, Junita, dan Kerek) yang menamakan kumpulan mereka sebagai The Pink Ladies, berpura-pura terkena histeria, sehingga terpaksa dipanggil bomoh untuk memulihkan mereka. Namun tindakan mereka itu mengundang masalah lain apabila mereka berenam dikenakan denda, membersihkan kawasan sekolah selama seminggu ketika cuti semester. Mereka ditempatkan di satu dorm yang kelihatan menyeramkan. Terdapat seorang pelajar baru bernama Zeta menyertai mereka. Kejadian demi kejadian yang misteri dan menakutkan dialami oleh mereka semua. Ia bermula selepas Junita mengambil “sesuatu” yang bukan miliknya. Junita telah mengekori tukang kebun sekolah menanam sesuatu di bawah sebatang pokok.

Tanpa dapat menghidu bahaya yang bakal menimpa mereka semua, Junita kemudiannya menggali tanah tersebut lalu mengambil barang yang terdiri daripada sehelai kain kuning, tulang, rambut, dan sirih. Keadaan bertambah celaru dan mengerikan apabila seorang demi seorang daripada mereka dibunuh kejam oleh satu lembaga yang berkeliaran di kawasan sekolah tersebut. Ada yang mati dirobek, ada pula digantung, dikelar leher dan sebagainya. Yang terselamat hanyalah Murni. Murni ditahan bagi membantu siasatan. Namun tiada cukup bukti bagi mengaitkan Murni dalam pembunuhan tersebut. Pakar psikiatri pula mengandaikan Murni pengidap Paranoid Schizophrenic, sejenis penyakit mental.

Pelakon sunting

Penerbitan sunting

Histeria diarahkan oleh James Lee yang sebelum ini telah mengarahkan beberapa filem pendek dan filem bebas.[5][6] Beliau mengakui, sebelum mengarahkan Histeria, tiada peluang untuknya berbuat demikian, namun tetap menyimpan keinginan besar mengarahkan filem bukan dalam genre seni untuk pasaran lebih meluas.[7]

Dalam temubual bersama Cinema Online, Lee mendedahkan, idea untuk mengarahkan Histeria diilhamkan oleh minatnya terhadap naskhah thriller Hollywood 80-an, terutamanya Hostel dan Saw. Lee berkata: "Saya seronok menonton filem sebegitu dan telah terfikir untuk menghasilkannya. Filem ini pastinya mengandungi banyak darah dan keganasan, di samping unsur-unsur kerohanian, yang paling menggembirakan saya. Walaupun saya bimbang sebelum ini kemungkinan penapisan mungkin telah meranapkan impian saya untuk melihat Histeria menerima keluaran tayangan, saya kini lega dengan slot yang diberikan".[8]

Histeria merupakan satu-satunya filem lakonan Yana Samsudin di bawah terbitan Tayangan Unggul yang mana ketika itu, Yana masih di bawah kontrak dengan Metrowealth. Ia juga merupakan filem pertama Talya, pelakon kelahiran Sabah selepas 3 tahun mencipta nama dalam bidang lakonan. Penggambaran telah dijalankan pada Ogos 2007 di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Kajang di Kajang, Selangor. Kos pembikinan menelan belanja sebanyak RM 1.4 juta.[9]

Tema sunting

Syahida Kamarudin dari Cinema Online, mengklasifikasikan Histeria dalam kategori yang sama dengan karya seram Hollywood tahun 80-an seperti Evil Dead dan Friday the 13th. Filem-filem ini terdiri daripada unsur-unsur seram tetapi pada masa yang sama mengambil pendekatan yang lebih mudah. Selain menggunakan sentuhan Asia melalui 'hantu raya', James juga menggunakan pencahayaan yang sangat sedikit untuk mencantikkan suasana jalan ceritanya.[10]

Keluaran dan sambutan sunting

Histeria dikeluarkan di 50 pawagam seluruh negara pada 18 Disember 2008.[11][12][13] Ia berjaya memperoleh kutipan pecah panggung sebanyak RM1.4 juta dalam tempoh 4 hari tayangan.[14][15] Kutipan meningkat sebanyak RM2.5 juta dalam tempoh 10 hari tayangan.[16]

Filem ini menerima pelbagai ulasan positif daripada pengkritik filem. Zaidi Mohamad dari Berita Harian menghuraikan filem ini sebagai "fahaman dan pendekatan berbeza daripada James Lee sebagai pengarah filem angkatan baru".[17] Farihad Shalla Mahmud, juga dari akhbar sama menyatakan kepujiannya terhadap filem ini, namun berpendapat terdapat banyak "adegan mengerikan" dalam Histeria. Beliau menulis: "Tidak keterlaluan andai dikatakan Histeria adalah filem seram Melayu terbaik yang pernah dihasilkan setakat ini. Jika selama ini kita hanya mendengar perkataan Histeria dan hanya mengetahuinya menerusi media massa, mungkin filem ini mampu menghuraikan maksud sebenar fenomena misteri itu".[18] Menulis untuk Berita Minggu, Suzan Ahmad mengulas bahawa filem ini mempunyai "naratif yang agak mudah difahami selain gaya pengarahan beridentiti".[15]

Kontroversi sunting

Histeria menjadi subjek kontroversi susulan salah satu adegan dalam filem ini yang memaparkan dua watak utama, Alissa dan Zeta yang bercium. Salah seorang pelakon utama Histeria, Scha Al-Yahya dalam satu temubual eksklusif bersama Harian Metro berkata bahawa babak ciuman hanyalah paparan teknik kamera dan bukan yang sebenar.[19] Filem ini telah diuar-uarkan sebagai ciuman pertama oleh dua pelakon wanita Malaysia.[20]

Anugerah sunting

Tahun Anugerah Kategori Penerima/Karya tercalon Keputusan
2009 Festival Filem Malaysia ke-22
Sinematografi Terbaik Helmi Yusof Tercalon
Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Scha Al-Yahya Tercalon
Penataan Bunyi Terbaik Addaudio Ex Tercalon
Pengarah Harapan Terbaik James Lee Menang
Pelakon Harapan Wanita Yuhana Yahya Tercalon
Poster Terbaik Histeria Menang
Anugerah Khas Juri (sesebuah filem yang mempunyai olahan kemas dengan elemen suspens) Menang

Kesinambungan sunting

Pada tahun 2022, hampir 14 tahun selepas Histeria ditayangkan, filem ini telah diadaptasi sebagai sebuah siri drama premium yang diterbitkan sebanyak 8 episod. Siri ini mengisahkan sekumpulan pelajar di Sekolah Sri Fatimah dihantui dengan misteri kematian pelajar sekolah itu sejak 10 tahun lalu. Dibintangi oleh Mia Sara Shauki, Sharifah Aryana, Amelia Christie dan Serra Kamal, Histeria The Series turut mengekalkan watak Murni lakonan Liyana Jasmay yang masih 'hidup' sejak misteri yang berlaku sedekad lalu. Siri ini diterbitkan di bawah jenama Astro Originals dan memulakan tayangan perdana di Astro Citra bermula 6 Jun setiap Isnin jam 9 malam.[4][21][22]

Rujukan sunting

  1. ^ Normah Becok (20 November 2008). "Berbaloi tonton Histeria". Berita Harian. Dicapai pada 6 Jun 2021.
  2. ^ Farihad Shalla Mahmud (9 Disember 2008). "Misteri histeria dibongkar di pawagam". Berita Harian. Dicapai pada 6 Jun 2022.
  3. ^ Histeria kisah seram enam pelajar nakal Diarkibkan 2018-05-16 di Wayback Machine Utusan Malaysia (12 September 2007). Dicapai pada 16 Mei 2018.
  4. ^ a b Azwa Rahman (1 Jun 2022). "Filem Seram Popular 2008, Histeria Kembali Dengan Histeria The Series, Menyiasat Kisah Kematian Pelajar Sekolah". Astro Gempak. Dicapai pada 7 Jun 2022.
  5. ^ Zainuri Misfar (28 Ogos 2007). "James Lee buat filem arus perdana". Berita Harian. Dicapai pada 6 Jun 2022.
  6. ^ Faridul Anwar Farinordin (18 Oktober 2007). "It's screams for James" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 6 Jun 2022.
  7. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (5 Oktober 2007). "James Lee yakin tarikan Histeria". Berita Harian. Dicapai pada 6 Jun 2022.
  8. ^ Wahiduzzaman (7 Oktober 2008). ""Histeria" slated for 18 Dec 08 release" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 7 Jun 2018.
  9. ^ Rudy Imran Shamsudin (6 November 2007). "Histeria mampu sentap jantung". Harian Metro. Dicapai pada 6 Jun 2022.
  10. ^ Syahida Kamarudin (23 Disember 2008). "HISTERIA frenzy" (dalam bahasa Inggeris). Cinema Online. Dicapai pada 7 Jun 2018.
  11. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (10 November 2008). "Filem hebat Tayangan Unggul tutup tirai 2008". Berita Harian. Dicapai pada 6 Jun 2022.
  12. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (29 November 2008). "4 filem isi slot Disember". Berita Harian. Dicapai pada 6 Jun 2022.
  13. ^ Shakilawati Abd Rahman (14 Disember 2008). "Tepat pada masanya". Metro Ahad. Dicapai pada 7 Jun 2022.
  14. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (27 Disember 2008). "Jeritan Histeria hasilkan RM1.1 juta". Berita Harian. Dicapai pada 7 Jun 2022.
  15. ^ a b Suzan Ahmad (28 Disember 2008). "Histeria cecah kutipan RM1.4 juta". Berita Minggu. Dicapai pada 7 Jun 2022.
  16. ^ Serimah Mohd Sallehuddin (2 Januari 2009). "RM2.5 juta selepas 10 hari tayangan". Berita Harian. Dicapai pada 7 Jun 2022.
  17. ^ Zaidi Mohamad (18 Disember 2008). "Pelaris filem seram". Berita Harian. Dicapai pada 7 Jun 2022.
  18. ^ Farihad Shalla Mahmud (20 Disember 2008). "Tidak senang duduk". Berita Harian. Dicapai pada 7 Jun 2022.
  19. ^ Rudy Imran Shamsudin (23 Disember 2008). "Babak cium bukan sebenar". Harian Metro. Dicapai pada 7 Jun 2022.
  20. ^ Meor Shariman (18 Disember 2008). "Lesbian kiss sets tongues wagging" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 7 Jun 2022.
  21. ^ Syafiq Halim (2 Jun 2022). "Astro Originals Tampil Kesinambungan Filem Box Office 2008, (HISTERIA) Yang Lebih Berani, 'Gore' & Mengujakan". Siakap Keli. Dicapai pada 7 Jun 2022.
  22. ^ Syafil Syazwan Jefri (4 Jun 2022). "Kembali 'hantui' penonton". Harian Metro. Dicapai pada 7 Jun 2022.

Pautan luar sunting