Jangan Tinggal Daku

(Dilencongkan dari Filem Jangan Tinggal Daku)

Jangan Tinggal Daku merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1971. Filem Jangan Tinggal Daku diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna. [1]

Jangan Tinggal Daku
PengarahP. Ramlee
PenulisP. Ramlee
Lakon layarP. Ramlee
DibintangiP. Ramlee
Noor Azizah
Ismail Mahmud
Norsiati Omar
Sony Abdullah
Idris Hashim
S. Zamilah
SinematografiSiew Chan Wah
Disunting olehJohari Ibrahim
Muzik olehAhmad Nawab
Syarikat
penerbitan
Diedarkan olehShaw Organisation
Tarikh tayangan
1971
Masa tayangan
103 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu

Trivia sunting

Kebanyakkan lokasi filem Jangan Tinggal Daku ini di rumah Allahyarham Tan Sri P. Ramlee iaitu di Jalan Dedap, Setapak (dimana Rumah itu sudah menjadi Pustaka Peringatan P. Ramlee dan menjadi hak milik Arkib Negara).

Sinopsis sunting

Mengisahkan persahabatan di antara Tahir dan Tahirah sejak dari kecil. Tahir merupakan anak kepada pembantu rumah, Mariam (R. Suriani Jaafar) manakala Tahirah adalah satu-satunya anak perempuan kepada Datuk Mahmud (P. Ramlee). Mahmud yang bergelar Datuk diarahkan untuk berkhidmat di kota Kuala Lumpur. Ketika itulah, Tahir dan Tahirah berpisah. Tahirah tinggal bersama keluarganya di kota manakala Tahir mengikut ibunya pulang ke kampung halaman. Sebelum berpisah, mereka saling bertukar cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan. Tahir memberikan sebentuk cincin dan Tahirah menyerahkan seutas kalong miliknya. Tahun silih berganti, mereka menginjak ke alam dewasa.

Tahir (Ismail Mahmud) bekerja kampung selain membantu ibunya mengusahakan warung pusakanya. Suatu hari, kampungnya dilanda ribut, rumahnya telah musnah manakala ibunya terkorban dek kerana bencana tersebut. Manakala, Tahirah (Noor Azizah) berjaya menghabiskan pengajiannya sebagai seorang peguam. Mahmud pula berasa hairan kerana surat terkini yang dihantar kepada Mariam dan Tahir tiba-tiba dikembalikan semula kepadanya. Tidak sama nasibnya seperti Tahirah, Tahir yang kini sebatang kara mengambil keputusan untuk membawa diri keluar dari kampung halaman. Akibat keletihan berjalan kaki seharian, dia berehat sebentar di dalam sebuah bangsal di dalam hutan memandangkan hari pun sudah larut malam. Tiba-tiba, dia dikejutkan oleh sekumpulan orang samseng. Mereka menyangkakan yang Tahir adalah mata-mata pihak polis. Akibatnya, dia telah dipukul namun begitu dek kerana kehebatannya dalam seni persilatan, semua penjenayah tersebut telah ditawan oleh Tahir. Tahir ingin membawa mereka semua ke balai polis, selepas dipujuk oleh oleh ahli kumpulan tersebut dan sanggup mengiktirafnya sebagai ketua kumpulan yang baharu, Tahir mula lupa akan sumpah janji dengan Datuk Mahmud beberapa tahun yang lalu, dia telah memungkiri akan janjinya suatu masa dahulu yang menegaskan agar kehebatan ilmu silatnya tidak disalah gunakan kerana kelak bakal merosakkan hidupnya.

Bermulalah kehidupan sisi gelap Tahir bersama kumpulan jenayahnya. Tahir menubuhkan sebuah syarikat awam bagi tujuan mengaburi kegiatan jenayah terancangnya dari dihidu oleh pihak polis. Mereka kerap melakukan siri rompakan bersenjata di sekitar Selangor. Tahir dan kuncu-kuncunya akan melakukan rompakan ke atas orang-orang kaya yang tidak berhati perut terhadap rakyat marhaen sahaja. Setiap siri rompakannya yang berjaya, kumpulan tersebut akan meninggalkan sekeping nota yang bertulis Keluang Hitam menandakan kumpulan tersebut sedang bergiat aktif setiap hari. Pihak polis akhirnya menggandakan usaha bagi memberkas kumpulan Keluang Hitam dari mengganas dari masa ke masa. Selain merompak, kumpulan tersebut juga bertindak untuk membunuh mangsa-mangsanya yang tidak menurut arahan. Kumpulan Keluang Hitam sangat licik kerana kerap kali berjaya meloloskan diri dari kawalan pihak polis.

Kegiatan kumpulan tersebut telah diambil pengetahuan oleh Mahmud selepas sering kali membaca di dalam siaran akhbar. Mahmud juga berasa hairan, kerana setiap mangsanya adalah dari kalangan orang yang zalim, korupsi dan kuku besi. Tahirah pula menganggap kegiatan Keluang Hitam adalah sama seperti kisah dongeng dari barat iaitu Robin Hood. Bak seperti kata pepatah, Sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Detik kejatuhan kumpulan Keluang Hitam bermula selepas Tahir menjalin hubungan diplomatik dengan ketua kumpulan Kod Angsana (Ibrahim Sabtu). Tahir juga telah menukar namanya kepada Kelana. Kelana sering kali disebut sebagai ketua penjenayah paling hebat dan licik di Selangor. Tujuan asal Kod Angsana berjumpa dengan Kelana adalah untuk menyelesaikan pertelingkahan dan pergeseran antara kumpulannya dengan kumpulan-kumpulan kongsi gelap yang lain di sekitar kota Kuala Lumpur. Kelana akhirnya berjaya membantu Kod Angsana dan dia kini dilantik sebagai ketua kumpulan yang baharu di Kuala Lumpur. Sementara Kelana sedang berastirahat, kuncu-kuncunya yang baharu telah melakukan rompakan di rumah Datuk Mahmud (seorang hakim bersara). Beliau dicederakan sehingga pengsan manakala Datin Mahani (Norsiati Omar) telah ditikam dengan sebilah pisau. Beberapa jam kemudian, Tahirah dan Inspektor Roslee (Sonny Abdullah) yang baharu selesai menonton wayang segera membantu Mahmud dan isterinya.

Semua hasil rompakan diserahkan kepada Kelana. Setelah diperiksanya satu persatu, alangkah terkejutnya bahawa sebentuk cincin milik Tahirah ada bersamanya. Kelana begitu marah dengan tindakan anak buahnya yang merompak rumah Datuk Mahmud tanpa membuat usul periksa terlebih dahulu. Kelana mengambil keputusan untuk memulangkan semula hasil rompakan tersebut kepada Datuk Mahmud kerana dia tidak mahu melukakan hati beliau yang telah membesarkan suatu ketika dahulu. Kerana tidak berpuas hati dengan tindakannya, seorang anak buahnya telah dibunuh oleh Kelana. Setibanya di perkarangan rumah Mahmud, pihak polis telah mengepung mereka berdua. Kod Angsana telah membelot dan melaporkan kepada pihak polis yang Kelana adalah dalang rompakan tersebut. Kerana berang dengan tindakan kotor dari anak buahnya, dua orang lagi kuncunya berjaya dibunuh. Akibat tindakan agresifnya, Inspektor Roslee melepaskan satu das tembakan terus mengenai kaki Kelana. Dengan itu, Kelana berjaya diberkas akhirnya. Pada ketika itulah, Tahir melihat wajah Tahirah buat pertama kalinya selepas berpisah bertahun lamanya. Manakala, Datin Mahani pula disahkan telah meninggal dunia di hospital.

Selepas 11 hari perbicaraannya, Kelana didapati bersalah di atas kesalahan rompakan dan pembunuhan lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman gantung sampai mati keatas dirinya. Sebelum hukuman mati dilaksanakan, seutas kalong miliknya akan diserahkan kepada Pendakwa raya kes tersebut iaitu Tahirah binti Datuk Mahmud. Pegawai penjara yang bertugas ketika itu, Encik Jamal terus berjumpa dengan Datuk Mahmud untuk menyampaikan amanah Tahir kepada Tahirah. Kebetulan pada masa itu, Tahirah sedang bercuti di Singapura selama dua minggu. Pada ketika itulah, Datuk Mahmud baru tersedar bahawa banduan tersebut adalah Tahir. Kelana adalah Tahir!. Datuk Mahmud begitu kecewa dengan tindakan Tahir. Tahir sekali lagi memberitahu yang dia tidak membunuh Datin Mahani tetapi niatnya hanya untuk memulangkan semula hasil rompakan tersebut. Tapi apakan daya nasi telah menjadi bubur pembelaan keatas dirinya tidak dapat diubah sama sekali. Tahir juga telah menyesali semua tindakannya selama ini, seperti terlajak perahu boleh berundur, terlajak perbuatan inilah padahnya. Mahmud berusaha untuk memanggil pulang Tahirah segera ke Kuala Lumpur untuk menyempurnakan hasrat Tahir kepada Tahirah. Detik kematian Tahir semakin hampir, Tahirah masih gagal juga dihubungi. Tahir pula masih menanti kehadiran Tahirah untuk bertemunya buat kali terakhir dan meminta maaf terhadap kesilapannya. Akhirnya, Tahirah berjaya dihubungi oleh ayahnya, beliau sempat memberitahu bahawa Kelana adalah Tahir, abang kepada Tahirah sewaktu kecil dahulu. Tahirah dengan segera pulang ke Kuala Lumpur. Perjalanan yang terlalu jauh dan mengambil masa yang lama untuk sampai ke Kuala Lumpur menyebabkan Tahirah tidak sempat bertemu dengan abangnya, Tahir buat kali yang terakhir. Tahir akhirnya dihukum gantung sampai mati pada waktu subuh tepat jam pukul 5 pagi pada usia 23 tahun. Pada masa itulah, Mahmud menyerahkan kalong dan menceritakan satu rahsia kepada Tahir sambil disaksikan oleh Inspektor Roslee. Mahmud memberitahu Tahir bukan sekadar seorang sahabat kepada Tahirah tetapi dia adalah abang kandungnya sendiri.

Hanya tiga orang sahaja yang tahu akan rahsia ini iaitu Mahmud, Mahani dan Mariam. Kisahnya bermula semasa Mahmud menjabat jawatan sebagai Penolong Pegawai Daerah (ADO). Dia pernah bersahabat dengan seorang ahli perniagaan yang bernama Kassim (Ahmad B). Kassim mempunyai seorang isteri, Mariam yang ketika itu sedang hamil dan dia juga ada seorang lagi anak lelaki yang bernama Tahir yang pada ketika itu berumur 4 tahun. Suatu hari, Mahmud dan Kassim telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya, sebelum Kassim menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia sempat berpesan kepada Mahmud agar peliharalah Mariam dan anak-anaknya andainya dia telah meninggal dunia. Jika Mariam melahirkan anak tersebut, ambillah anak itu sebagai anaknya sendiri. Disebabkan Datin Mahani seorang yang mandul, maka anak kedua Mariam itu telah dipelihara oleh mereka seperti anaknya sendiri. Dan dinamakan anak tersebut sebagai Tahirah. Namun begitu, Tahirah masih berasa curiga akan Kelana dan menyangka kalong ini telah dicuri dari Tahir. Hal ini dinafikan sekeras-kerasnya oleh Mahmud dan Tahirah ingin memeriksa tubuh Tahir kerana ingin mengenalpasti tanda lahir yang ada pada sebelah rusuk kirinya yang pernah dilihatnya suatu ketika dahulu. Mereka bertiga bergegas pergi ke penjara untuk bertemu dengan Kelana. Tetapi sayangnya, Encik Jamal memberitahu yang Kelana telah meninggal dunia setengah jam yang lalu. Beliau memberi keizinan kepada Tahirah untuk memeriksa mayat Kelana di dalam bilik mayat. Ketika itulah, Tahirah sungguh sedih selepas melihat tanda lahir tersebut. Kelana adalah Tahir!. Tahir adalah abang kandungnya yang sah.

Pelakon sunting

  • P. Ramlee sebagai Datuk Mahmud
  • Noor Azizah sebagai Tahirah
  • Ismail Mahmud sebagai Tahir
  • Norsiati Omar sebagai Datin Mahani
  • S. Suriani Jaafar sebagai Mariam
  • Idris Hashim sebagai Encik Jamal
  • Sonny Abdullah sebagai Inspektor Roslee
  • R. Jaafar sebagai Pembaca Berita (kameo)
  • S. Zamilah sebagai Milah
  • Ibrahim Sabtu sebagai Kod Angsana
  • Osman Botak sebagai ahli kumpulan Keluang Hitam
  • Dinda Sumantri sebagai ahli kumpulan Keluang Hitam
  • Karim Siraj sebagai ahli kumpulan Keluang Hitam
  • Mustaffa Sutan sebagai ahli kumpulan Keluang Hitam
  • Kamal Herman sebagai ahli kumpulan Kod Angsana
  • Ismail Bond sebagai ahli kumpulan Kod Angsana
  • Wan Haron sebagai ahli kumpulan Kod Angsana
  • Peter Hashim sebagai ahli kumpulan Kod Angsana
  • Ahmad B sebagai Kassim

Lagu sunting

Rujukan sunting

Pautan luar sunting