Si Buta
Filem Si Buta merupakan sebuah filem Melayu yang diterbitkan di Malaysia pada tahun 1975. Filem Si Buta diterbitkan dalam bentuk filem hitam putih tanpa warna. Filem ini merupakan filem kedua terakhir di dalam sinematografi hitam dan putih. Sebelum Studio Merdeka menaik taraf penerbitannya kepada filem berwarna warni.
Si Buta | |
---|---|
Pengarah | Omar Rojik |
Penulis | Omar Rojik |
Lakon layar | Omar Rojik |
Dibintangi | Hussein Abu Hassan Dali Siliwangi Elias Augustine Mariati Idris Hashim Tony Azman |
Sinematografi | Hitam Putih |
Syarikat penerbitan | |
Diedarkan oleh | Shaw Organisation |
Tarikh tayangan | 1975 |
Masa tayangan | 105 Minit |
Negara | Malaysia |
Bahasa | Melayu |
Pengarah
suntingFilem ini diarahkan oleh Seniman Omar Rojik terbitan Merdeka Film Productions pada tahun 1975.
Ringkasan
suntingFilem ini mengisahkan Jaksa (Hussein Abu Hassan) seorang yang buta penglihatan sejak azali. Bertubuh sasa dan masih menuntut ilmu dalam seni mempertahankan diri iaitu ilmu persilatan. Jaksa sangat mahir dan cekap lalu dianugerahkan sebagai pendekar oleh gurunya walaupun mempunyai persaingan dengan murid-muridnya yang lain yang lebih sempurna berbanding Jaksa.
Mahaguru Bentara (Dali Siliawangi) mempunyai masalah dengan Datuk Temenggong yang menyebabkan dia dihukum buang daerah dan tinggal didalam hutan bersama kuncu-kuncunya. Bentara telah membuat rancangan dengan salah seorang anak muridnya untuk pergi ke sebuah kampung di bawah naungan Datuk Temenggong untuk memeras ugut dan melakukan penindasan. Dengan mempergunakan kehebatan Jaksa, segala dendamnya terhadap Datuk Temenggong dapat dilaksanakan. Bentara sanggup membantu Jaksa untuk memulihkan penglihatannya. Jaksa begitu teruja sekali dan di dalam masa yang sama, beberapa orang kampung telah menjadi tawanan Bentara melalui orang suruhannya, Alang (Ibrahim Sabtu) kerana enggan membayar wang perlindungan.
Suatu hari, Jaksa telah bergaduh dengan orang kampung kerana timbul salah faham. Mujurlah Bentara mampu menenangkan Jaksa. Jaksa meluahkan kekecewaannya walaupun dia jaguh di dalam silat tetapi matanya buta, tiada ertinya. Bentara menyuruh Jaksa pergi ke sebuah gua untuk mengubati matanya yang buta. Jaksa menurutinya. Setibanya di dalam gua, rupa-rupanya gua tersebut merupakan gua persembunyian Bentara dan kuncu-kuncunya. Jaksa disuruh berehat.
Sementara itu, Alang telah berjumpa dengan Datuk Temenggong (Idris Hashim) dan meminta menyerahkan seorang gadis bernama Baiduri kepada Bentara untuk diperisterikan. Pada mulanya, Datuk Temenggong tidak bersetuju, tetapi akhirnya dia bersetuju kerana dia telah merancang sesuatu untuk perkara ini dapat diselesaikan. Tetapi, Jaksa dan kuncu-kuncu Bentara telah berjaya membunuh beberapa orang kampung yang ditugaskan sebagai pengiring Baiduri dan menculik Baiduri (Mariati). Teruna telah diarahkan oleh Datuk Temenggong untuk mencari Baiduri.
Baiduri telah disembunyikan di dalam gua. Di dalam masa yang sama, Bentara telah memilih salah seorang daripada tawanannya untuk diambil kedua-dua biji anak matanya. Dan jasadnya dibuang ke dalam gaung. Dengan kepakaran ilmu ghaibnya, Bentara telah berjaya menukarkan mata Jaksa dengan mata yang sihat. Mata asal Jaksa telah dibuang. Selesai semuanya, Jaksa mampu melihat buat pertama kalinya. Dia sangat teruja dengan keindahan alam tersebut.
Tiba-tiba, sewaktu Jaksa ingin membasuh muka dan meminum air di gigi sungai, dia terdengar suara lelaki merintih kesakitan. Jaksa menyapa lelaki tersebut, dan dia memberitahu seorang guru telah mencungkil kedua-dua biji matanya dan badannya dibuang di tempat ini. Jaksa pula kebingungan, barangkali matanya datang dari mata lelaki buta ini. Jaksa telah bergegas pergi ke gua semula untuk bertemu dengan Bentara, tetapi dia telah terpandang akan wajah Baiduri di dalam gua kerana gadis ini pernah berada dalam mimpinya tempoh hari. Jaksa ingin menyelamatkan Baiduri. Maka, berlakulah pergelutan di antara Jaksa dan rakan-rakannya. Ramai rakan-rakannya terkorban di tangan Jaksa. Jaksa berjaya menyelamatkan Baiduri, Baiduri telah diserahkan kepada Teruna. Pada mulanya, Teruna ingin membunuh Jaksa, tetapi setelah Baiduri memberitahu segalanya, Teruna bagi pihak Datuk Temenggong telah menjemput Jaksa ke rumah Datuk Temenggong di kampung Teruna sebagai tanda terima kasih. Jaksa menurutkan sahaja.
Jaksa diberikan penghormatan oleh Datuk Temenggong, Jaksa inginkan kediaman kerana dia akan berumah tangga kelak. Datuk Temenggong turutkan sahaja. Tetapi, Jaksa telah meluahkan isi hatinya kepada Datuk Temenggong dan hadirin yang ada di dalam rumah itu, bahawa dia ingin berkahwin dengan Baiduri sedangkan Baiduri sudah berkahwin dengan Teruna. Jaksa tidak berpuas hati dengan Teruna kerana dia tidak menjaga isterinya sebaik mungkin sehingga Baiduri diculik. Teruna kebingungan dan bertemu dengan Jaksa untuk menjelaskan hal yang dibuat oleh Jaksa adalah suatu yang salah dan tidak beradab. Teruna dan Datuk Temenggong mulai berasa curiga dengan Jaksa tetapi apakan daya Jaksa seorang yang hebat dan perkasa, tidak seorang pun berani menentangnya. Jaksa pula, masih mengganggu Baiduri. Baiduri tidak menyukai perangai Jaksa. Hal ini telah menyebabkan Teruna mulai cemburu. Baiduri pula berasa serba salah. Pada malam harinya, disebabkan mereka tidur berlainan bilik, Jaksa telah berjaya menyelinap masuk ke dalam bilik tidur Baiduri. Di sangkakan jasad tersebut milik Teruna, lalu dibunuhnya. Baiduri merintih kesakitan, Teruna bergegas masuk ke dalam bilik, alangkah terkejutnya apabila dia mendapati Baiduri telah mati dibunuh.
Keesokkan harinya, Jaksa telah menyerah diri dan menyesali perbuatannya semalam. Datuk Temenggong telah menyuruh Teruna untuk menghukum bunuh Jaksa. Tetapi Teruna tidak sampai hati lalu membiarkan Jaksa melarikan diri ke dalam hutan. Setibanya di dalam hutan, Jaksa telah dikepung oleh rakan-rakannya dan Bentara. Jaksa ingin mengembalikan semula matanya kepada Bentara, tetapi Bentara tidak mahukan. Bentara mahukan Jaksa dibunuh oleh kuncu-kuncunya. Jaksa akhirnya berjaya dilemahkan, dan Bentara membutakan semula penglihatan Jaksa. Walaupun penglihatan Jaksa telah dibutakan kembali tetapi dia masih mampu bertarung dengan Bentara. Akhirnya dengan senjata yang dianugerahkan dari Bentara. Jaksa telah berjaya menikam tubuh Bentara sehingga dia terkorban. Jaksa yang buta akhirnya melarikan diri dan mendiami di dalam gua seorang diri.
Pelakon
sunting- Hussein Abu Hassan sebagai Jaksa
- Dali Siliwangi sebagai Teruna
- Elias Augustine sebagai Mahaguru Bentara
- Mariati sebagai Baiduri
- Idris Hashim sebagai Datuk Temenggong
- Tony Azman sebagai Anak Murid Mahaguru Bentara
- M.Shahdan sebagai Anak Murid Mahaguru Bentara
- Sharif Babu sebagai Datuk Berempat
- Ibrahim Sabtu sebagai Alang
Lagu
suntingTiada lagu runut bunyi di dalam filem ini