Talentime

(Dilencongkan dari Filem Talentime)

Talentime ialah sebuah filem drama Malaysia 2009 arahan Yasmin Ahmad, dan merupakan yang terakhir dalam hayatnya, yang ditayangkan di pawagam Malaysia selama sebulan mulai 26 Mac 2009, dan ulang tayangnya disiarkan pada 13 hingga 19 Ogos sempena memperingati pemergian Yasmin pada 25 Julai.

Talentime
Poter Filem Talentime
PengarahYasmin Ahmad
PenulisYasmin Ahmad
Dihasilkan olehAhmad Puad Onah
DibintangiPamela Chong
Mahesh Jugal Kishor
Syafie Naswip
Jaclyn Victor
SinematografiLow Soon Keong
Syarikat
penerbitan
Grand Brilliance
Chilli Pepper Films
Diedarkan olehPrimeworks Studios
Negara Malaysia
BahasaMelayu
Inggeris
Kantonis
Mandarin
Hokkien
Tamil
Hindi
Isyarat
BajetRM 1.30 juta
Pecah panggungRM 0.42 juta

Seperti filem-filem arahan Yasmin yang lain, filem Talentime memaparkan kisah hubungan cinta tanpa mengira kaum, agama atau latar kebudayaan seumpamanya, di samping juga diselitkan tema pertandingan bakat di sekolah menengah. Filem ini dibintangi barisan pelbagai kaum iaitu Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor dan Syafie Naswip, di samping menyaksikan kemunculan sulung penyanyi Jaclyn Victor memegang watak penting di layar perak.

Sinopsis sunting

Sebuah pertandingan pencarian bakat mempertemukan dua hati - Melur (Pamela Chong), seorang gadis Melayu kacukan dengan seorang pelajar lelaki berbangsa India bernama Mahesh (Mahesh Jugal Kishor). Melur, dengan suaranya yang merdu, bernyanyi sambil bermain piano adalah salah seorang daripada tujuh finalis pertandingan Talentime sekolahnya, di bawah kelolaan Cikgu Adibah (Adibah Noor).

Begitu juga Hafiz (Mohammad Syafie Naswip), memikat dengan bakat nyanyian sambil bermain gitar, yang membahagikan masa antara persekolahan dan bersama ibu (Azean Irdawaty) yang dirawat di hospital kerana menghidap barah otak. Ia bermula selepas Mahesh, antara pelajar yang ditugaskan menjemput finalis ke sekolah bagi menjalani latihan, menghantar surat pemberitahuan lulus ujibakat ke rumah Melur. Rupanya yang kacak memikat hati gadis itu. Di awal perkenalan, malapetaka menimpa keluarga Mahesh apabila bapa saudaranya, Ganesh yang menjaga keluarga itu sejak ketiadaan ayah, mati ditikam di hari perkahwinannya.

Melur, menyangka sikap membisu Mahesh kerana sedih dengan tragedi itu, berang apabila terus tidak dipedulikan. Dia bagaimanapun kesal selepas diberitahu oleh Hafiz mengenai keadaan sebenar Mahesh. Itulah yang mengubah persepsi Melur terhadap Mahesh. Begitu juga Mahesh yang menyenangi kehadiran gadis itu yang sering mengungkapkan puisi indah. Mahesh, menyedari perhubungan itu akan ditentang, menyembunyikannya daripada pengetahuan ibunya yang masih berduka di atas kematian Ganesh. Namun, rahsia itu terbongkar dan Mahesh dipukul di depan Melur sendiri. Cuma sehari sebelum berlangsungnya pertandingan, apakah Melur cukup gagah untuk menyanyikan bait puitis lagunya ketika hatinya sedang sengsara mengingatkan Mahesh? Bagaimana dengan Mahesh yang bertemu cinta pertamanya? Di malam Talentime, segalanya terungkai.

Penerbitan sunting

 
Filem ini merupakan filem terakhir arahan Yasmin Ahmad sebelum beliau meninggal dunia.

Filem Talentime diusahakan oleh Chilli Pepper Films bersama Primeworks Studios, sebenarnya merupakan filem cetera kelima arahan Yasmin Ahmad selepas filem Sepet, Gubra, Mukhsin, dan Muallaf (yang dilaporkan tidak mungkin dipasarkan di Malaysia kerana Yasmin tidak setuju beberapa babak dipotong yang dikhuatiri menjejaskan jalan cerita).

Apabila ditanya tentang pandangan peribadinya terhadap filem ini, Yasmin berkata, "Memang saya begitu bertuah dan saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang cukup hebat untuk menghidupkan Talentime. Sudah lama saya mahu bekerja dengan Azean, Jit dan Sukania yang memang saya hormati dan kagumi dengan bakat mereka. Begitu juga dengan pelakon baru yang mempunyai karisma dan bakat yang cukup hebat membuatkan saya tabik dan percaya mereka adalah bakat pelapis di negara ini. Apabila mereka bersetuju untuk berlakon dalam filem Talentime, ia adalah satu penghormatan tertinggi buat diri saya. Maka dengan itu, tiada apa lagi yang mampu saya lafazkan."[1]

Beralih kepada barisan pelakon, Mahesh Jugal Kishor yang memegang watak Mahesh mengakui sukar membawa watak tersebut kerana menghadapi dugaan menguasai bahasa isyarat. Ulasnya, "Saya bergaul bersama orang cacat pendengaran untuk memahami dunia mereka. Daripada berhubung bersama mereka, saya terpesona kerana mereka lebih banyak mempunyai perasaan dan ekspresi. Segala ekspresi mereka adalah pada wajah mereka."[2]

Mohd Syafie Naswip yang memegang watak Hafiz, ketika ditanya mengenai hubungan kerjanya bersama Azean Irdawaty, berkata: "Pada hari pertama penggambaran, saya masih tidak yakin boleh menjayakan babak-babak bersama Kak Yan. Sukar untuk menangani kenyataan bahawa saya berkongsi babak bersama Azean Irdawaty, apalagi babak yang sukar dilakukan. Beliau mengajar saya agar mengambil langkah demi selangkah, lama-kelamaan berjaya jua."[3]

Memandangkan filem Talentime merupakan karya bercorak muzikal yang lagu-lagunya sudah disediakan oleh artis nyanyian, maka pelakon yang memainkan watak bernyanyi perlu menyegerakkan bibir mereka mengikut lagu-lagu berkenaan dari menyanyikannya sendiri. Yasmin dilaporkan kagum dengan kebolehan Syafie "menyanyikan" lagu I Go (vokal Aizat Amdan) dalam babak kemuncak pertandingan Talentime, menyatakan "para hadirin menitiskan air mata menonton persembahannya."[3]

Barisan pelakon sunting

Watak utama sunting

Melur (Pamela Chong)
Watak perempuan utama dari sebuah keluarga berada kacukan Melayu dan Inggeris yang berpemikiran terbuka. Dia berjaya memasuki peraduan Talentime melalui persembahan nyanyian beriringan piano. Melur mengeratkan hubungannya dengan Mahesh apabila Mahesh ditugaskan sebagai pengangkutnya sempena Talentime, lebih-lebih lagi sejak menyedari kecacatan Mahesh. Malangnya pada malam Talentime, dia gagal menjayakan persembahan kerana dilanda emosi.
Mahesh (Mahesh Jugal Kishor)
Watak lelaki utama berketurunan India yang cacat pendengaran lagi bisu, berasal dari keluarga yang kurang berada dan konservatif. Dia jatuh hati pada Melur semenjak dipilih menjadi pengangkutnya sempena pertandingan. Biarpun kurang upaya, sanak-saudaranya dapat memahaminya melalui perhubungan bahasa isyarat dan gerak-geri. Hubungannya bersama Melur dicabar semenjak Bhavani mendapati adiknya bermalam di rumah Melur.
Hafiz (Syafie Naswip)
Pelajar Melayu yang juga dari keluarga yang kurang berada. Sejak kehilangan bapa sebelum lahir, dia dibesarkan oleh ibu tunggal bernama Embun. Hafiz taat menziarahi ibunya yang menghabiskan sisa hidup di hospital. Dia melayakkan dirinya dengan menyanyikan sebuah lagu gubahan sendiri dengan iringan gitar akustik. Setelah Embun meninggal, dia menyanyikan lagu yang lain di Talentime sebagai penghormatan kepada ibunya.
Bhavani (Jaclyn Victor)
Kakak kepada Mahesh yang amat memahami adiknya, walaupun selalu berasa cemburu kerana Mahesh seolah-olah lebih dipentingkan oleh ibunya. Dia sedang menuntut di kolej.

Watak pembantu sunting

 
Amelia Henderson melakonkan watak pembantu sebagai Melati dalam filem ini.
 
Harith Iskander melakonkan watak bapa Melur dalam filem ini.
Cikgu Adibah (Adibah Noor)
Pengetua sekolah yang mengetuai penganjuran Talentime.
Cikgu Tan ()
Guru yang ditugaskan menyelia peperiksaan di awal ujian, juga menerima laporan Hafiz menipu, selepas itu menegur Kahoe kerana laporan itu.
Cikgu Anuar ()
Rakan sekerja Cikgu Tan yang bercakap bahasa pasar ala Cina bersamanya. Perwatakan lawaknya menonjol apabila berlatih untuk Talentime dalam pakaian perempuan, sehingga mengetahui kategori guru dibatalkan.
Kahoe (Howard Hon Ka Hoe)
Pelajar yang melaporkan Hafiz yang disyaki menipu dalam peperiksaan. Tetapi menjelang akhir filem, dia mengetepikan hal tersebut dan membantu Hafiz menjayakan persembahan.
Harith (Harith Iskander)
Bapa kepada Melur.
(Mislina Mustaffa)
Ibu kepada Melur.
Mawar (Elza Irdalyna Khairil Anwar)
Adik kepada Melur.
Melati (Amelia Henderson)
Adik bongsu Mawar.
Mei Ling (Tan Mei Ling)
Pembantu Rumah Keluarga Melur, Berketurunan Cina Dan Sudah Memeluk Islam, Tetapi Dia Tidak Disukai Oleh Datin Kalsom.
Datin Kalsom (Ida Nerina)
Kenalan ibu Mawar yang longgar persahabatannya, sehingga digelar Datin Kosong
(Sukania Venugopal)
Ibu kepada Bhavani dan Mahesh.
Embun (Azean Irdawaty)
Ibu kepada Hafiz yang menghabiskan hari-hari terakhir riwayatnya di hospital akibat barah otak. Dia meninggal dunia pada malam sebelum Talentime dilangsungkan.
Ismail (Jit Murad)
Pesakit misteri yang menemani Embun di hospital, dan dianggap sebagai "malaikat ajal" oleh Embun.

Sambutan sunting

Ulasan sunting

Filem Talentime meraih pujian dari para pengulas filem dalam media yang berkesempatan menontonnya. Ulasan dalam Utusan Malaysia dipetik, "Seperti filem-filemnya terdahulu, dalam filem Talentime, Yasmin terus memperlihatkan keyakinan terhadap satu bentuk keluarga dan hubungan masyarakat Malaysia. Dan secara halus pula dia mengkritik realiti dan permasalahan dalam hubungan tersebut."[4]

Nur Safina Othman untuk laman web Tupai.com.my berkata "Bagi pelakon baru Pamela Chong, Mahesh Jugal Kishor dan Jaclyn Victor, lakonan mereka nyata skali tidak mengecewakan walaupun Pamela kelihatan agak berusia dan tidak sesuai digandingkan bersama Mahesh. Percakapannya juga dilihat sedikit kaku dalam filem ini. … Saya merasakan jalan cerita kesemua filem Yasmin Ahmad mudah difahami oleh penonton kerana apa yang dipaparkan olehnya adalah realiti dan berkait rapat dengan kehidupan seharian kita. Walaupun Talentime dilihat sedikit berbeza daripada hasil karya Yasmin Ahmad yang lain, namun pendekatannya masih sama. Filem ini sangat beremosi dan sudah pasti mampu menyentuh jiwa sesiapa sahaja yang menontonnya."[5]

Hasil kutipan sunting

Walaupun begitu, sambutan orang ramai terhadap filem Talentime sewaktu ditayangkan sekitar bulan Mac dan April nampaknya kurang memberangsangkan[6], iaitu sekadar mengutip RM 420,000 dari 38 buah pawagam yang menayangkannya.[7] Ketika ditemubual mengenai kekecewaan ini, Ahmad Puad Onah selaku Pengurus Besar Filem dan Drama Primeworks Studios, berkata "Kami mengakui kutipan tiket untuk filem ini kurang memberangsangkan. Ia mungkin disebabkan beberapa faktor seperti filem ini bercorak urban yang kurang diminati kebanyakan penonton kaki wayang yang terdiri daripada orang Melayu. Ia membariskan pelakon kurang terkenal yang menjayakan filem itu seperti kita sedia maklum, mentaliti penonton kita mahu menonton aksi pelakon terkenal. Ini adalah risiko perniagaan biarpun membawa isu yang cukup dekat untuk masyarakat hari ini."[8]

Runut bunyi sunting

Sempena penayangan filem ini, keluarnya sebuah album runut bunyi edaran Universal Music, yang memuatkan 12 runut bunyi yang memainkan lagu-lagu dan skor muzik yang diperdengarkan dalam filem tersebut.

Senarai runut sunting

  1. "Just One Boy (Movie Mix)" (Aizat Amdan, 3:06)
  2. "Angel (Movie Mix)" (Atilia Haron, 3:17)
  3. "I Go (Movie Mix)" (Aizat Amdan, 3:57)
  4. "Ganesh's Theme (Movie Mix)" (gubahan Hardev Kaur, 0:41)
  5. "Itulah Dirimu (versi BM)" (Aizat Amdan, 3:12)
  6. "Angel (versi BM)" (Atilia Haron, 3:16)
  7. "Pergi (versi BM)" (Aizat Amdan, 3:58)
  8. "Break Up (Movie Mix)" (0:56)
  9. "Kasih Tak Kembali (Movie Mix)" (Atilia Haron, 1:39)
  10. "Just One Boy (Full Band Mix)" (Aizat Amdan, 3:11)
  11. "Going Home" (Hardev Kaur, 1:08)
  12. "I Go (versi asal)" (Pete Teo, 3:56)

Anugerah sunting

  • Festival Filem Malaysia ke-22 (2009)
    • Pengarah Filem Terbaik (Yasmin Ahmad)
    • Lakon Layar Terbaik (Yasmin Ahmad)
    • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Muhd Syafie Naswip)
    • Pelakon Harapan Wanita (Jaclyn Victor)
    • Anugerah Khas Juri ("membawa wawasan kemanusiaan dan keharmonian di dalam sesebuah filem")

Rujukan sunting

  1. ^ Shazryn Mohd. Faizal (25 Mac 2009). "Manifestasi Yasmin terhadap perpaduan". Utusan Malaysia. Dicapai pada 15 Ogos 2009.
  2. ^ Mumtaj Begum (23 Mac 2009). "Lucky break for Mahesh". The Star. Dicapai pada 15 Ogos 2009.
  3. ^ a b "More of Syafie". The Star. 23 Mac 2009. Dicapai pada 15 Ogos 2009.
  4. ^ "Antara realiti dan bayangan". Utusan Malaysia. 31 Mac 2009. Dicapai pada 15 Ogos 2009.
  5. ^ Nur Safina Othman. "Talentime". Tupai.com.my. Dicapai pada 15 Ogos 2009.
  6. ^ "Simpati untuk Talentime". Utusan Malaysia. 8 April 2009. Dicapai pada 15 Ogos 2009.
  7. ^ "TAYANGAN FILEM CEREKA TEMPATAN 2009". FINAS. Dicapai pada 15 Ogos 2009.
  8. ^ Wan Asrudi Wan Hasan (7 April 2009). "Talentime Gagal Tarik Penonton". Harian Metro. Dicapai pada 15 Ogos 2009.

Pautan luar sunting