Diagon Alley

(Dilencongkan dari Flourish dan Blotts)

Dalam novel karangan J. K. Rowling iaitu Harry Potter dan filem adaptasinya, Diagon Alley adalah sebatang jalan di London, sama seperti laluan kedai. Ia boleh dimasuki dan diketahui oleh kalangan ahli sihir dan terlindung dari Muggle. Walau bagaimanapun, Muggle boleh memasukinya jika ingin mengiringi anak mereka yang bersekolah sihir. Ia menjadi hab atau pusat ekonomi bagi masyarakat sihir Britain. Ia juga merupakan rumah bagi Ollivander (pembuat tongkat sakti sejak 382 SM dan kelihatan juga seperti pembekal utama negara), begitu juga bank Gringotts yang diuruskan oleh Goblin dan Kedai Jubah Puan Malkin. Kedai lain di sana termasuklah kedai buku Flourish & Blotts, Emporium Burung Hantu Eeylops, Pembekal Quidditch Berkualiti dan Kedai Minuman Leaky Cauldron.

Diagon Alley

Salah satu jalan masuk ialah melalui Kedai Minuman Leaky Cauldron yang juga merupakan sebuah rumah penginapan. Kedai minuman ini yang terselindung daripada para Muggle (bukan ahli sihir)terletak di satu kawasan di Charing Cross Road, London (Charing Cross Road terkenal dengan pusat penjualan buku baru dan terpakai, yang mungkin berkaitan untuk menerangkan mengapa JK Rowling yang menyukai buku untuk menggunakannya agar dapat memasuki "dunia rekaannya"). Untuk sampai ke Diagon Alley, seseorang itu mesti ke satu dinding tembok yang terletak di bahagian luar belakang Leaky Cauldron dan mengetuk sebiji bata yang boleh dijumpai dengan mengira tiga batu ke atas dan dua melintang sebanyak tiga kali. Disebabkan kawasan yang agak sibuk, kawasan ini biasanya dimasuki oleh ahli sihir dengan menggunakan Sihir Muncul Tiba-Tiba ataupun dengan menggunakan Rangkaian Floo.

Dalam filem pertama, Diagon Alley kelihatan berhampiran dengan Pasar Leadenhall di bandar London.

Namanya dikatakan ajukan "diagonally" (jalan melintang pepenjuru); bukti yang dapat dilihat dalam filem Harry Potter and the Chamber of Secrets. DVD filem tersebut termasuklah video pandu arah di Diagon Alley, yang menunjukkan rupa set filem asal.

Terdapat juga kawasan membeli-belah selain Diagon Alley seperti Knockturn Alley yang terkenal dengan kedai yang teruk - kedai seperti Borgin dan Burkes yang menjual objek Jahat yang berkaitan dengan Ilmu Hitam barang yang tersumpah; begitu juga pekan Hogsmeade.

Emporium Burung Hantu Eeylops sunting

Emporioum Burung Hantu Eeylops menjual pelbagai jenis dan spesies burung hantu dan termasuklah keperluan untuk menjaganya. Di dalam kedai ini digambarkan sebagai gelap, dan penuh dengan bunyi suara burung hantu yang menciut rendah atau nyaring dan juga puluhan anak mata yang bersinar memerhati. Di sini, terdapat pelbagai jenis burung hantu yang dijual termasuklah daripada jenis burung hantu yang kuning kecoklatan, mengeriut, bangsal, coklat dan salji. Di sinilah Hagrid telah membeli Hedwig sebagai hadiah hari jadi untuk Harry.[HP1]

Flourish dan Blotts sunting

Kedai Buku Flourish & Blotts merupakan sebuah kedai rekaan di dalam siri Harry Potter di mana ia menjual pelbagai jenis buku untuk kegunaan pelajar di Hogwarts ataupun kegunaan persendirian. Kedai ini digambarkan mempunyai rak-rak buku yang bertimbun dengan buku hingga ke siling dengan buku-buku setebal batu-bata yang bersalut kulit, buku bersaiz poskad dan berkulit sutera, buku-buku yang dipenuhi dengan simbol-simbol aneh dan beberapa buah buku yang langsung tiada apa-apa di dalamnya. Buku-buku di sini dikatakan sangat menarik perhatian hinggakan dikatakan Dudley Dursley (sepupu Harry) yang tidak suka membaca buku juga akan tertarik untuk membaca buku-buku di sini. Di bahagian belakang kedai ini terdapat satu ruang yang dikhaskan untuk buku-buku subjek Peramalan[HP3] seperti buku Meramal Apa Yang Tidak Dapat Diramal:Melindungi Diri Daripada Kejutan dan buku Bebola Kristal yang Pecah:Apabila Nasib Baik Bertukar Malang. Terdapat juga satu pameran kecil dengan buku bertajuk Alamat Kematian:Apa Yang Harus Dilakukan Apabila Anda Sedar Bahaya Mendatang.

Kedai Buku Flourish dan Blotts

Biasanya terdapat pameran buku bersaiz batu turap yang bertulisan timbul emas yang dipamerkan di bahagian pameran, tetapi di dalam Harry Potter dengan Banduan Azkaban, bahagian pameran itu telah diletakkan dengan sangkar berisi Buku Raksasa Raksasa/Buku Besar Tentang Raksasa. Buku tersebut itu terlalu ganas hingga terpaksa dikurungkan kerana jika dilepaskan ia akan bertindak mengoyakkan buku-buku lain. Pengurus di situ terpaksa menggunakan sarung tangan yang tebal dan mencucuk buku-buku tersebut dengan sebatang tongkat untuk memisahkan buku-buku itu yang sering menggigit satu-sama lain. Pengurus itu berkata itu antara kejadian paling teruk kerana sebelum ini mereka pernah membeli Buku Ketidaklihatan yang Tidak Kelihatan dengan kos yang sangat tinggi dan sehingga kini mereka masih belum berjaya menemuinya.[HP3]

Di dalam Harry Potter dan Bilik Rahsia, seorang penulis bertaraf selebriti, Gilderoy Lockhart pernah mengadakan sesi menandatangani buku autobiografinya, Keajaibanku di sini. Sesi ini telah menarik minat ramai peminatnya (kebanyakannya wanita pertengahan umur) untuk beratur untuk mendapatkan tandatangan Gilderoy. Di kedai inilah juga Lucius Malfoy telah memasukkan Diari Tom Riddle (Voldemort) ke dalam bekas milik Ginny yang berisi dengan buku-buku lama subjek Transfigurasinya. Ini adalah cubaan Lucius Malfoy untuk menyingkirkan Profesor Dumbledore, Rubeus Hagrid selain cuba untuk mensabotaj Arthur Weasley.

Gringotts sunting

Gringotts adalah satu-satunya bank ahli sihir yang diketahui dan wujud di dalam dunia rekaan J. K. Rowling di mana ia dikendalikan oleh Goblin. Bangunan itu dikatakan berwarna putih yang menjulang tinggi antara kedai-kedai lain yang berada di Diagon Aley dan terdapat laluan berbatu putih ke arah pintu bangunannya. Para pelanggan akan melalui sebuah pintu gangsa yang berkilat yang berdirinya pula seekor goblin yang memakai uniform merah menyala dan keemasan. Di bahagian yang lebih dalam terdapat pula pintu perak yang terukir perkataan:

Masuklah, wahai orang yang tidak dikenali,
tetapi berhati-hati,
Bagi yang tamak, balasan dosa menanti,
Bagi yang mengambil barang yang bukan hak sendiri,
Akan membayar dengan harga yang mahal sekali,
Jika apa yang kamu cari,
Harta yang bukan milik sendiri,
Kamu diperingatkan wahai pencuri,
Lebih daripada itu, akan kamu temui.

Bank Gringotts

Di sebalik pintu perak itu pula terdapat sebuah dewan berbatu marmar yang sangat besar dan terdapat kira-kira 100 ekor goblin yang duduk di bangku-bangku yang tinggi di belakang sebuah kaunter yang panjang, terdapat banyak pula pintu keluar dari dewan itu, namun, jumlah goblin yang menunjukkan jalan masuk dan keluar adalah lebih ramai. Di bahagian yang lebih dalam, terdapat pintu-pintu kebal yang tersimpannya harta para ahli sihir dan dilindungi dengan perlindungan yang ketat dan kompleks. Di bahagian peti-peti simpanan pula terdapat laluan berbatu yang sempit yang diterangi oleh obor-obor yang menyala. Laluan peti-peti simpanan itu menurun dengan curam dan terdapat sebuah landasan kecil di lantainya. Kawasan di situ boleh dilalui dengan pedati khas yang tidak mempunyai pemandu yang akan melalui jalan yang bengkang-bengkok dan berbelit-belit. Di dalam Gringotts juga terdapat sebuah tasik bawah tanah tempat stalaktit dan stalagmit yang besar muncul dari siling dan lantai gua. Gringotts juga menawarkan perkhidmatan penukaran wang dunia ahli sihir dengan wang Muggle.[HP2]

Semasa Harry Potter pertama kali melawat bank ini, beliau telah diberitahu oleh Hagrid yang seseorang itu boleh menjadi gila jika individu tersebut cuba untuk merompak bank ini.[HP1] Goblin adalah sejenis makhluk yang tamak dan amat berhati-hati dalam usaha mereka untuk melindungi segala bentuk wang dan harta-harta bernilai, yang membuatkan mereka golongan yang amat sesuai untuk dipertanggungjawabkan menjaga harta-harta tersebut. Tambahan lagi, mengikut kata Hagrid, Gringotts adalah tempat yang paling selamat untuk menyimpan sesuatu selain daripada Hogwarts. Selain daripada itu di dalam Gringotts juga ada naga yang mengawal bilik kebal yang teramat penting di dalamnya.[HP7]

Terdapat beberapa cara untuk membuka bilik-bilik kebal. Kebanyakan bilik kebal seperti milik Harry menggunakan kunci keemasan untuk membukanya. Bagi bilik kebal yang berkeselamatan tinggi, pintu-pintunya disihir supaya hanya goblin tertentu sahaja yang boleh membukanya. Contohnya, pintu bilik kebal nombor 713 yang menyimpan Batu Hikmat perlu dibuka oleh goblin yang diiktiraf dan apabila goblin tersebut membuka pintu tersebut, pintu tersebut akan mencair dan mendedahkan isi dalamannya. Jika ada orang lain cuba untuk membukanya, beliau akan disedut masuk dan terperangkap dan untuk memburukkan lagi keadaaan,bilik-bilik tersebut hanya akan diperiksa sekali setiap 10 tahun.

Pandangan dalaman Gringotts

Kejadian pecah masuk bilik kebal nombor 713 pada hari Hagrid mengosongkan bilik tersebut mengejutkan komuniti ahli sihir kerana sebelum ini belum pernah ada kes yang sedemikian pernah terjadi dan penjenayah tersebut tidak berjaya ditangkap (sebenarnya penjenayah itu ialah Profesor Quirell).[HP1] Di dalam Harry Potter dengan Azimat Maut, Harry Potter, Ron Weasley dan Hermione Granger, dibantu oleh Griphook yang meminta upahnya sebagai pedang Godric Gryffindor, telah memecah masuk ke dalam bilik kebal milik Bellatrix Lestrange yang diletakkan piala Helga Hufflepuff yang merupakan sebuah Horcrux. Walau bagaimanapun, mereka terkejut dengan jumlah harta yang dimiliki oleh Bellatrix. Tambahan pula, setiap objek di situ telah disihir dengan Sumpahan Gemino dan Sihir Flagrante yang akan menyebabkan objek-objek di situ menjadi berganda setiap kali disentuh, dan bukan itu sahaja, objek tersebut akan menjadi panas dan menyebabkan orang yang menyentuhnya akan menyebabkan tangannya untuk melepuh. Ketiga-tiga mereka melepaskan diri dengan membebaskan naga yang separuh buta selepas Griphook mengkhianati mereka dengan cara memanjat ke atas naga tersebut.

Gringotts bukan sahaja mengambil pekerja dari golongan goblin seperti Griphook, Gornuk dan Ragnok, mereka juga mengambil pekerja daripada golongan ahli sihir seperti Bill Weasley yang menguruskan sistem mengambil semula artifak-artifak purba dari piramid-piramid di Mesir sebelum berpindah balik ke England. Fleur Delacour juga pernah bekerja sambilan di sana selepas Kejohanan Ahli Sihir Trio, untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris beliau.

Kedai Aiskrim Florean Fortesque sunting

Kedai Aiskrim Florean Fortesque merupakan sebuah kedai makanan rekaan yang telah ditubuhkan oleh Florean Fortesque yang menjual pelbagai aiskrim dan pencuci mulut yang boleh dinikmati di meja yang terletak di luar kedai.[HP3] Harry telah menghabiskan masa lapang musim panasnya di sini semasa beliau di bawah jagaan Kementerian Sihir dalam Banduan Azkaban. Encik Fortesque sering membantu Harry dalam usaha untuk menyiapkan kerja sekolah Sejarah Kuasa Ajaib dengan sering memberi Harry maklumat berguna terutamanya dalam kes pembakaran ahli sihir pada zaman pertengahan dan sering memberi Harry aiskrim percuma setiap setengah jam. Di dalam Putera Berdarah Kacukan, kedai ini kosong dan pemiliknya telah hilang.

Kedai Barangan Quidditch Bermutu sunting

Kedai Barangan Qudditch Bermutu atau dikenali sebagai Pembekal Qudditch Berkualiti atau Kedai Bekalan Qudditch Berkualiti merupakan sebuah kedai yang menjual pelbagai jenis penyapu terbang dan peralatan yang berkaitan dengan Quidditch. Pameran kedai ini sering menarik minat ahli sihir muda untuk melangut di hadapan cermin yang mempamerkan pelbagai jenis penyapu terbang yang terbaru dan terhebat sepert penyapu terbang Nimbus Dua Ribu dan Firebolt. Harry telah meluangkan masa musim panasnya semasa tahun ketiga beliau dengan memerhati penyapu Firebolt yang terpamer di ruang pameran. Harganya tidak diketahui kerana harga penyapu terbang tersebut boleh dirunding.[HP3]

Kedai Barangan Sihir Weasley sunting

Kedai Barangan Sihir Weasley merupakan sebuah kedai rekaan di dalam siri Harry Potter oleh J. K. Rowling yang telah diasaskan secara kecil-kecilan semenjak di peringkat sekolah lagi oleh Fred dan George Weasley sekitar tahun 1994. Kedai ini mula beroperasi di kedai nombor 93 di Diagon Alley pada musim panas 1995. Kedai ini menjual pelbagai barangan jenaka dan lelucon dan pelbagai barangan berguna termasuklah bahan-bahan yang digunakan dalam subjek Pertahanan Terhadap Ilmu Hitam.

Fred dan George telah menggunakan nama "Barangan Sihir Weasley" dalam Harry Potter dalam Piala Api untuk tempahan melalui surat. Untuk menjalankan sebuah perniagaan kedai barangan jenaka sentiasa menjadi impian mereka dan akhirnya impian ini tercapai apabila Harry telah menyerahkan wang kemenangan Kejohanan Ahli Sihir Trio kepada mereka iaitu sebanyak 1000 Galleon. Selepas berhenti daripada Hogwarts [HP5], kedua-dua kembar ini telah membuka kedai di Diagon Alley yang akhirnya mendapat sambutan yang amat mengalakkan.

Semasa pembukaan kedai ini, terdapat sebuah poster gergasi berwarna ungu dengan huruf kekuningan yang berkilaun yang tertulis:

Mengapa Risau akan Kamu-Tahu-Siapa?
Anda SEPATUTNYA Risau akan
U-NO-POO
Rasa Sembelit yang Mencengkam Seluruh Negara!

Kedai mereka ini dikatakan agak menyerlah berbanding kedai-kedai lain di sekelilingnya kerana jendela mereka dikatakan seperti muncul seperti suatu pameran bunga api dan membuatkan sesetengah orang yang lalu-lalang berhenti terpaku. Jendela di sebelah kiri penuh berkilauan dengan pelbagai barangan yang berpusing-pusing, meletup-letup, memancar-mancar, melantun-lantun, dan berdesing-desing, dan dikatakan dengan hanya memandangnya sahaja sudah cukup untuk membuatkan mata seseorang itu untuk berair. Di dalam kedai tersebut pula sesak dengan pengunjung. Kedai itu pula terdapat timbunan kotak Makanan Ringan/Snek Mengelat yang meninggi hingga ke siling. Kelihatan juga tong-tong yang dipenuhi dengan tongkat-tongkat sakti palsu, selain kotak-kotak pena bulu pelepah yang dilengkapi Pengisian Dakwat Sendiri, Menyemak Ejaan, dan pelbagai jenis Jawapan Pintar. Terdapat huga permainan berupa orang kayu kenit melangkah perlahan-lahan menuruni tangga ke sebuah tempat pemancungan yang nampak hidup, yang kedua-duanya tertenggek di atas sebuah kotak yang tertulis: Tukang Gantung Boleh Guna Semula - Sihirkan Ia atau Ia Akan Berhayun! dan juga terdapat Sihir Berkhayal Yang Dipatenkan.[HP6]

Kotak Snek Mengelat/Kotak Makanan Ringan Mengelat

Berhampiran jendela kelihatan barisan barangan berwarna merah jambu terang yang dikerumuni kebanyakan gadis-gadis. Barangan tersebut diberi nama barangan Ahli Sihir Hebat yang terdapat pelbagai jenis ubat pengasih, "Penghilang Jerawat Sepuluh Saat Dijamin", dan Paf Pigmi (Puffskein versi miniatur). Kedai ini juga turut menjual barang-barang silap mata Muggle selain terdapat satu bahagian kedai ini yang agak gelap yang menjual "barang yang lebih serius" seperti Topi Pelindung, Mantel Pelindung dan Sarung Tangan Pelindung selain barang-barang seperti Serbuk Kegelapan Serta-Merta / Serbuk Gelap Serta-Merta Peruvian / Serbuk Gelap Segera Peruvian yang diimport dari Peru dan Umpan Peledak.

Kedai ini masih diteruskan walaupun setelah kematian Fred oleh George yang turut dibantu oleh adik lelaki mereka, Ronald Weasley.

Kedai Jubah Puan Malkin untuk Semua Majlis sunting

Kedai Jubah Puan Malkin untuk Semua Majlis atau Kedai Jubah Untuk Semua Majlis Puan Malkin merupakan sebuah kedai rekaan di dalam siri Harry Potter yang menjual dan membuat jubah untuk kegunaan pelajar terutamanya pelajar Hogwarts. Kedai ini terletak bersebelahan dengan Kedai Buku Flourish dan Blotts. Puan Malkin merupakan seorang perempuan sihir yang berbadan gemuk dan sering tersenyum yang mebuat jubah yang ditempah khas oleh pelanggan. Di kedai inilah Harry pertama kali berjumpa dengan Draco Malfoy. Pada pertama kali perjumpaan mereka, Harry berasa agak janggal untuk berbicara dengan Draco kerana sikapnya yang tidak menyenangkan. Namun, pada perjumpaan kedua, iaitu semasa kedua-dua mereka di tahun keenam di Hogwarts,[HP6] ia menjadi lebih kurang menyenangkan dan hampir mencetuskan perang tanding sebelum Draco dibawa keluar oleh ibunya, Narcissa Malfoy yang benci akan Hermione kerana Hermione merupakan seorang Muggle. Di kedai inilah juga Harry mendakwa bahawa Draco telah menjadi seorang Death Eater kerana Draco dengan pantas menarik tangan kirinya apabila Puan Malkin menyelak jubah di sebelah tangan kirinya untuk mengukur lengan kirinya; kerana tangan kiri Draco telah ditanda dengan Tanda Kuasa Jahat.

Kedai Kawah sunting

Kedai kawah (tiada nama rasmi yang diketahui) ini menjual pelbagai kawah yang pelbagai saiz, bentuk, dan bahan diperbuat. Antaranya ialah kawah yang diperbuat daripada Kuprum, Loyang, Piuter, Perak dan juga kawah yang boleh dilipat, serta boleh mengacau sendiri. Hogwarts mewajibkan para pelajarnya menggunakan kawah piuter saiz 2. Kedudukan kedai ini amat hampir dengan pintu keluar Leaky Cauldron.

Kedai Koleksi Binatang Ajaib sunting

Kedai Koleksi Binatang Ajaib merupakan sebuah kedai rekaan di dalam siri Harry Potter yang menjual haiwan-haiwan ajaib selain daripada menawarkan perkhidmatan khidmat nasihat tentang cara penjagaan haiwan dan kesihatannya. Kedai ini digambarkan sebagai sempit kerana tidak banyak ruang di kedai itu kerana setiap inci temboknya terlindung oleh sangkar-sangkar. Kedai itu juga dikatakan berbau busuk dan bising dengan bunyi haiwan. Kedai ini turut menjual banyak haiwan aneh termasuklah katak gergasi ungu yang besar, kura-kura raksasa dengan cangkerang ynag bertatahkan permata, siput jingga yang beracun, arnab putih yang boleh menjadi topi, pelbagai jenis kucing yang mempunyai warna-warna yang berlainan, tikus-tikus hitam yang bermain dengan ekor mereka sendiri dan pelbagai haiwan lagi. Di sinilah Ron telah membeli Tonik Tikus untuk Scabbers dan juga Hermione yang telah membeli Crookshanks. Crookshanks dikatakan telah lama berada di dalam kedai itu kerana sering membuat bising dan tidak ada pelanggan yang ingin membelinya sebelum Hermione membelinya.

Kedai Ubat sunting

Kedai ubat (tiada nama rasmi yang diketahui) ini menjual pelbagai posyen dan bahan-bahan untuk membuat posyen. Kedai ini digambarkan sebagai menarik sungguhpun baunya yang amat tidak menyenangkan; bau campuran telur busuk dengan kubis busuk. Hal ini termasuklah dengan sejumlah tong-tong yang berisi bahan berlendir yang berbaris di atas lantai kedai ini, balang-balang herba, akar-akar kayu kering, dan susunan serbuk berwarna terang di dinding. Di kedai ini juga terdapat berbungkus-bungkus pena bulu pelepah dan sejumlah taring-taring dan kuku-kuku cakar yang bergantungan di siling.

Antara barang-barang yang dijual ialah tanduk unikorn perak (21 Galleon setiap satu), mata kumbang hitam yang berkilauan (5 knut satu skup) dan hati naga (17 Sickle untuk satu auns -yang dikatakan mahal mengikut kata seorang pengguna).

Gambaran kedai Leaky Cauldron.

Leaky Cauldron sunting

Leaky Cauldron merupakan sebuah kedai minuman dan rumah tumpangan rekaan dalam siri Harry Potter yang menawarkan perkhidmatan seperti menyediakan minuman dan makanan dan juga bilik untuk disewa. Ia terletak di jalan Muggle, Charing Cross Road. Ia telah diasaskan oleh Daisy Dodderidge (14671555) sekitar 1500 untuk menyediakan satu gerbang hubungan antara Diagon Alley dan dunia manusia biasa. Sebelum Hannah Abbott mengambil-alih kedai ini, ia telah diuruskan oleh seorang lelaki tua yang botak, berkerepot, tidak bergigi, bongkok dan kelihatan seperti gula-gula getah walnut yang bernama Tom.

Di bahagian lantai utama, kedai ini mempunyai sebuah bahagian yang dikhaskan untuk minuman, beberapa ruang tamu khas dan juga sebuah meja makan yang besar untuk para tetamu menikmati hidangan. Di bahagian tingkat atas, terdapat beberpa buah bilik yang disediakan untuk disewa: Harry pernah menetap di Bilik 11,[HP3] yang mempunyai sebuah cermin yang boleh berkata-kata dan juga sebuah jendela yang membenarkan beliau untuk menikmati pemandangan Charing Cross Road. Orang ramai sering menetap di rumah tumpangan ini sama ada sebelum atau selepas menjalankan aktiviti membeli-belah di Diagon Alley; hal ini kerana, belum pernah disebutkan lagi sama ada terdapat rumah tumpangan atau hotel lain yang berada di Diagon Alley.

Kedai ini menjadi satu perhubungan antara Diagon Alley dan dunia manusia biasa. Hal ini kerana di bahagian luar pintu belakang kedai ini terdapat sebuah dinding yang ada bata-bata yang apabila diketuk akan membuka jalan ke Diaon Alley. Bata-bata tersebut boleh dijumpai dengan mengetuk tiga kali terhadap bata yang boleh dijumpai dengan mengira tiga bata menegak dan dua bata melintang.

J. K. Rowling telah mendedahkan bahawa Hannah Abbott telah menjadi tuan tanah kedai ini dan tinggal di bahagian atas kedai ini bersama-sama suaminya, Neville Longbottom.[1]

Ollivander sunting

Papan Tanda Kedai Tongkat Sakti Ollivader

Kedai Ollivander merupakan sebuah kedai rekaan di dalam buku Harry Potter nukilan J. K. Rowling yang menjual pelbagai jenis tongkat sakti. Di bahagian luar kedai ini terdapat sebuah papan tanda tertulis bertulisan emas : Ollivander:Pembuat Tongkat Sakti Terbaik sejak 382 S.M.. Kedai ini digambarkan sebagai sempit dan buruk. Bahagian pamerannya yang mempunyai cermin yang berdebu pula terdapat sebuah kusyen kelabu yang pudar yang di atasnya terdapat sebuah tongkat sakti. Di dalamnya agak kecil dan kosong dan hanya terdapat sebuah kerusi yang agak lapuk yang digunakan oleh para pelanggan untuk menunggu walau bagaiamanapun kerusi itu telah patah kerana Hagrid telah duduk di atasnya. Di dalam kedai tersebut terdapat beribu-ribu kotak pipih yang tersusun tinggi dengan kemas hingga ke siling.

Encik Ollivander, seorang pekedai yang bermata pucat dan berambut putih membuat dan menjual pelbagai jenis tongkat sakti bagi para pelajar baru atau mereka yang telah patah tongkat mereka. Beliau mempunyai ingatan yang sangat baik kerana beliau boleh mengingati setiap ciri tongkat sakti pelanggannya walaupun sudah bertahun. Untuk memastikan setiap pelanggan mendapat tongkat sakti yang terbaik, beliau menggukur beberapa bahagian badan tertentu pelanggannya. Seperti Harry, beliau telah mengukur jarak lubang hidung Harry sebagai ukuran selain memeriksa tindak-balas pelbagai tongkat sakti dengan pelanggannya yang dikenali sebagai proses "tongkat sakti yang memilih tuannya".

Di dalam Harry Potter dengan Batu Hikmat, Harry telah mencuba sejumlah tongkat sakti sebelum mendapat tongkat sakti yang sesuai dengan personalitinya iaitu sebatang tongkat sakti sepanjang 11 inci yang berteraskan pelepah burung Phoenix. Encik Ollivander menggunakan bahan-bahan seperti pelepah burung phoenix, salur darah jantung naga dan bulu unikorn sebagai teras tongkat sakti buatan beliau. Oleh itu Harry, Ron (bulu unikorn dan diperbuat daripada kayu Willow sepanjang 14 inci) dan Hermione (salur darah jantung yang diperbuat dari kayu Vine sepanjang 14 inci) menggabungkan kesemua teras yang ada dibuat oleh En Ollivander.[2]

Pandangan dalaman Kedai Tongkat Sakti Ollivander

Tongkat sakti Harry dan Lord Voldemort mempunyai teras yang sama: iaitu teras dari bulu pelepah burung phoenix yang sama iaitu burung sakti peliharaan Albus Dumbledore iaitu Fawkes. Encik Ollivander hanya menerima dua pelepah burung tersebut yang akan digunakan untuk membuat tongkat sakti di kedainya dan beliau telah diminta oleh Dumbledore untuk mememaklumkan kepadanya andai kata tongkat sakti yang mempunyai teras burung tersebut telah terjual. Kesan sihir dari persaudaraan teras ini membolehkan tongkat sakti Harry memaksa tongkat sakti milik Voldemort untuk memuntahkan balik segala kesan sihir yang baru digunakan oleh Voldemort yang dikenali sebagai Priori Incantatem/Incantatem Terdahulu.

Kedai ini telah ditutup pada 31 Julai 1996 apabila Encik Ollivander hilang dari kedainya apabila beliau telah diculik oleh Lord Voldemort dalam cubaan Voldemort untuk merungkai rahsia tentang hubungan tongkat sakti Voldemort dengan tongkat sakti Harry.[HP6] Pelanggan terakhirnya ialah Neville Longbottom yang telah membeli tongkat sakti yang diperbuat daripada kayu ceri dan berteraskan bulu Unikorn. Walau bagaimanapun, Encik Ollivander bejaya melepaskan diri dalam Harry Potter dengan Azimat Maut dan mungkin selepas kejatuhan Voldemort, beliau telah membuka kedainya semula.

Pejabat Daily Prophet sunting

Pejabat ini merupakan ibu pejabat bagi akhbar harian dunia sihir, Daily Prophet (termasuklah Evening Prophet dan Sunday Prophet). Hal ini adalah kerana sebarang surat-menyurat dengan akhbar ini hendaklah dihantarkan melalui burung hantu ke alamat The Daily Prophet, Diagon Alley, London .

Pejabat ini dapat dilihat dalam filem Harry Potter and the Sorcerer's Stone semasa Harry dan Hagrid berada di Diagon Alley untuk membeli-belah.

Lain-Lain sunting

Selain daripada kedai-kedai yang disenaraikan di atas, terdapat juga kedai-kedai lain yang kurang diberi pendedahan seperti Kedai Jenaka Sihir Gambol dan Japes dan Kedai Baju Twillfit dan Tafting (mungkin sebuah kedai baju untuk golongan atasan). Semasa zaman kemucak Voldemort,[HP6] terdapat banyak gerai-gerai kecil dibuka yang menjual pelbagai jenis tangkal dan azimat yang dikatakan berkesan terhadap Inferi, Dementor dan Serigala Jadian. Walau bagaimanapun, kegunaan dan kemanjurannya diragui dan pengusaha gerai-gerai ini sering ditahan oleh pegawai-pegawai Kementerian Sihir yang bertanggungjawab seperti Arthur Weasley.

Rujukan sunting

  1. ^ J. K. Rowling at Carnegie Hall Reveals Dumbledore is Gay; Neville Marries Hannah Abbott, and Much More, dicapai pada 2007-10-20
  2. ^ "J.K.Rowling Official Site". Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-04-25. Dicapai pada 2008-04-02.


Siri Harry Potter rekaan J. K. Rowling

The Sorcerer's/Philosopher's Stone buku filem
The Chamber of Secrets buku filem
The Prisoner of Azkaban buku filem
The Goblet of Fire buku filem
Order of the Phoenix buku filem  
The Half-Blood Prince buku filem  
The Deathly Hallows buku filem pertama dan kedua  

WatakTempatSihirSubjek - Objek - Makhluk - Buku