GST (Malaysia)

GST sepertimana dilaksanakan di Malaysia dari tahun 2015 sehingga tahun 2018
Logo Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), dengan slogan "Membangun dan Maju Bersama".

Cukai Barang dan Perkhidmatan (Bahasa Inggeris: Goods and Services Tax, lebih dikenali dengan akronim GST) merupakan cukai nilai tambah yang telah dimansuhkan di Malaysia. Setiap pihak (kecuali pengguna akhir) dalam rantaian bekalan layak menuntut semula kredit cukai input.

GST berkuatkuasa mulai 1 April 2015 melibatkan pembekalan berkadar standard sebanyak 6%, pembekalan berkadar sifar, pembekalan dikecualikan cukai, dan pelepasan daripada pengenaan dan pembayaran cukai. Penguatkuasaan cukai GST bertujuan untuk mentransformasikan sistem percukaian negara dan merangsang ekonomi negara yang semakin membangun untuk mencapai status negara maju.

Keputusan jemaah menteri pimpinan Najib Razak yang dibuat secara konsensus dan bersepakat mahu melihat rang undang-undang ini dibaca dan dipersetujukan di Parlimen mengundang reaksi berbelah bahagi daripada pelbagai pihak terutamanya ahli parlimen pembangkang.[1][2][3] Cukai GST dilihat tidak digemari ramai dan memberi kesan ketara kepada keputusan PRU14. Kerajaan Malaysia kemudiannya menurunkan kadar GST kepada 0% pada 1 Jun 2018.[4] Kerajaan Malaysia membentangkan rang undang-undang untuk memansuhkan GST untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 31 Julai 2018.[5] GST kemudiannya diganti dengan pengembalian semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) mulai 1 September 2018.

Latar belakangSunting

GST dijadualkan untuk dilaksanakan oleh kerajaan semasa suku ketiga tahun 2011,[6] tetapi pelaksanaannya ditangguhkan sehingga 1 April 2015.[7][8] Tujuan pelaksanaan cukai ini adalah untuk menggantikan Cukai Jualan (berkadar 10%) dan Cukai Perkhidmatan (berkadar 6%) yang telah dikuatkuasakan di negara ini selama beberapa dekad. Kerajaan meneroka kaedah meningkatkan hasil untuk menampung defisit belanjawan dan mengurangkan kebergantungan kepada hasil daripada Petronas, syarikat minyak nasional Malaysia.

Rang Undang-undang Barang dan Perkhidmatan 2009 dibentangkan untuk bacaan pertama di Dewan Rakyat pada 16 Disember 2009.[9] Rang undang-undang itu ditarik balik selepas berdepan kritikan demi kritikan.[10][11][12] Kerajaan bertindak balas dengan menegaskan cukai ke atas hasil minyak adalah tidak mampan untuk masa depan. Ketua Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional, Muhammad Sha’ani Abdullah berkata, "Kerajaan seharusnya berusaha meningkatan kesedaran mengenai GST. Orang awam tidak wajar dipersalahkan kerana kurangnya pemahaman mereka dan kekhuatiran mereka. Sha'ani berkata bahawa GST akan memperbaiki perakaunan, mengurangkan penipuan cukai, dan memudahcara penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Pemimpin Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Ma’amor Osman berkata bahawa GST membantu menamatkan amalan perniagaan yang tidak jujur, tetapi mengungkapkan kekhuatiran mengenai bagaimana cukai ini dikenakan ke atas produk dan perkhidmatan perubatan. Sebuah kumpulan yang memimpin kempen menentang GST, Protes (menentang GST kerana kekhuatirannya akan kesan terhadap golongan berpendapatan rendah), membatalkan protes yang dirancang tetapi menyatakan mereka akan terus resah gelisah menentang rang undang-undang itu.[13]

Semasa pembentangan Belanjawan 2015, Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan, Najib Razak mengumumkan cukai GST berkadar standard sebanyak 6% akan berkuatkuasa mulai 1 April 2015. Cukai ini akan menggantikan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan.[14][15][16][17] Pelaksanaan cukai GST akan menjadi sebahagian daripada program reformasi cukai Kerajaan untuk mempertingkatkan kemampuan, keberkesanan dan ketelusan pentadbiran dan pengurusan cukai. Cukai GST telah dilaksanakan pada 1 April 2015.[18]

Menurut Timbalan Menteri Kewangan II, Chua Tee Yong, pelaksanaan GST di Malaysia mulai 1 April 2015 bukanlah dalam bentuk "full blown". Senarai barang yang diberikan status berkadar sifar seperti yang diperuntukkan dalam Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Kadar Sifar) 2014 adalah begitu banyak. Ini adalah bertujuan untuk mengurangkan bebanan kepada pihak pengguna. Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan yang diwujudkan adalah berbentuk teknikal dan berasaskan kepada takrifan undang-undang rukun penjenisan Kastam.[19]

Menurut Ketua Pengarah Kastam, Khazali Ahmad, pelaksanaan GST amat penting dan dapat merangsang ekonomi negara yang mapan supaya lebih berdaya saing di peringkat lokal dan global melalui mekanisma pungutan cukai yang lebih sistematik dan standard. Pelaksanaan GST adalah satu transformasi sistem percukaian dan menjadi titik tolak untuk negara Malaysia mencapai status negara maju serta mendokong Wawasan 2020.

Bacaan kali pertama Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 di Dewan Rakyat telah dibentangkan pada 31 Mac 2014.[20] Rang undang-undang ini telah dibahaskan sejak 3 April 2014 dan diluluskan selepas proses undian belah bahagi sebanyak 2 kali dengan jumlah 118 undi bersetuju berbanding 81 undi tidak bersetuju untuk undian kali pertama[21] manakala undian kali kedua mencatatkan 119 undi bersetuju berbanding 81 undi tidak bersetuju.[22][23]

Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 kemudiannya dibaca buat kali pertama di Dewan Negara pada 21 April 2014.[24] Rang undang-undang ini dibaca buat kali kedua dan ketiga dan dipersetujukan di Dewan Negara pada 5 Mei 2014.[25]

Pada bulan Jun 2015, harga minyak mentah dunia jatuh merudum, sehinggakan beberapa negara dan industri minyak mempertimbangkannya sebagai suatu krisis.[26] Hasil kutipan cukai GST yang baru dilaksanakan ternyata menampung belanjawan persekutuan daripada mengalami defisit berikutan merosotnya hasil cukai minyak, sekaligus menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam kemelesetan ekonomi.[27] Pada Istiadat Pembukaan Penggal Keempat Parlimen Ketiga Belas bertarikh 7 Mac 2016, Yang di-Pertuan Agong mengucapkan tahniah kepada pihak kerajaan yang melaksanakan GST.[28]

Pada bulan Mei 2018, kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Mahathir Mohamad membuat keputusan untuk mengembalikan semula Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan. Kadar piawai GST disemak semula kepada 0% bermula 1 Jun 2018, sementara menunggu pemansuhan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan di Parlimen.[29]

Senarai Pembekalan Dikecualikan GSTSunting

Rujukan:[30][31]

  • Tanah yang digunakan bagi tujuan:
    • Bangunan keagamaan
    • Kediaman (tidak termasuk hotel, rumah penginapan, rumah tumpangan atau establismen yang serupa bagi pengembara)
    • Pertanian (tidak termasuk tanah yang digunakan bagi aktiviti memburu dan memancing)
    • Taman permainan
    • Tanah perkuburan
    • Tempat letak kereta
  • Logam-logam berharga seperti emas, perak, platinum
    • dalam bentuk bar, jongkong, atau wafer;
    • mempunyai ketulenan sekurang-kurangnya 99.5%; dan
    • memiliki ciri-ciri pelaburan
  • Syiling emas / syiling perak / syiling platinum (tidak termasuk proof coin, syiling numismatik, syiling pengumpul)
  • Kemudahan kewangan
    • Insurans nyawa
    • Kemudahan ansuran kredit
    • Operasi akaun bank (akaun semasa, akaun deposit simpanan, akaun pelaburan)
    • Pasaran pertukaran asing
  • Perkhidmatan pendidikan dan perkhidmatan berkaitan pendidikan
    • Kantin di prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah (kerajaan, bantuan kerajaan, dan swasta)
    • Latihan kemahiran
    • Pendidikan tinggi (awam dan swasta)
    • Prasekolah (swasta)
    • Sekolah swasta / Sekolah persendirian / Sekolah antarabangsa (rendah dan menengah)
    • Taman asuhan kanak-kanak (swasta)
  • Perkhidmatan jagaan kesihatan
    • Perkhidmatan jagaan kesihatan disediakan oleh mana-mana kemudahan jagaan kesihatan swasta berdaftar atau berlesen.
  • Perkhidmatan pengangkutan awam
    • Bas berlesen (tidak termasuk bas sewa)
    • Kapal atau vessel dilesenkan sebagai kapal penumpang (tidak termasuk bagi tujuan rekreasi atau keseronokan)
    • Pengangkutan rel berlesen
    • Teksi berlesen (tidak termasuk kereta sewa dan pandu)
  • Lebuh raya bertol
    • Pemberian apa-apa hak untuk menggunakan lebuh raya bertol di jalan awam.
  • Perkhidmatan pengebumian, perkuburan, dan pembakaran mayat
    • Apa-apa pembekalan perkhidmatan dalam suatu pakej berhubung dengan upacara dan penghormatan, pelupusan mayat, atau upacara peringatan.
  • Diesel
  • Petrol RON95

Senarai Pembekalan Berkadar SifarSunting

Rujukan: [32][33]

  • Binatang ternakan hidup meliputi babi, kambing, kerbau, lembu, seladang, selembu
  • Daging binatang ternakan segar dan sejuk beku termasuk bahagian dalaman
  • Ayam dan itik hidup
  • Daging ayam dan itik segar dan sejuk beku termasuk bahagian dalaman
  • Telur ayam dan itik termasuk segar dan masin
  • Semua jenis ikan hidup, segar, didinginkan (chilled), dan sejuk beku (kecuali ikan perhiasan)
  • Hidupan air lain yang hidup, segar, didinginkan (chilled), dan sejuk beku seperti krustasea (ketam, udang, udang kara), moluska (kepah, siput, sotong, tiram), dan lain-lain (gamat, obor-obor)
  • Ikan kering dan ikan masin termasuk ikan bilis (kecuali ikan salai)
  • Sayur-sayuran segar, sejuk beku, didinginkan (chilled) dan jeruk seperti tomato, terung, bawang, kobis, lobak, timun, kekacang, asparagus, cendawan, labu, keladi, ubi kayu, ubi keledek, ubi kentang,
  • Buah-buahan segar tempatan atau diimport
  • Rempah ratus seperti asam jawa, asam keping, cili kering, lada hitam, kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pala, halia
  • Kelapa termasuk kelapa parut
  • Padi dan beras termasuk beras pulut, beras basmathi, beras perang
  • Tepung gandum, tepung attar, tepung beras, tepung sagu, tepung ubi kayu, tepung pulut
  • Kacang dal
  • Gula pasir termasuk kasar dan halus
  • Garam termasuk kasar dan halus
  • Minyak masak kelapa sawit, minyak kelapa, minyak kacang tanah
  • Cencaluk, budu, belacan
  • Serbuk kopi, serbuk teh, serbuk koko
  • Bihun, laksa, mi kuning, kuetiau
  • Roti putih dan roti mil penuh
  • Susu bayi berumur antara 0 hingga 36 bulan
  • Semua jenis bahan bacaan dan surat khabar (surat khabar cetak mahupun surat khabar elektronik) termasuk buku kerja pelajar, novel, ensiklopedia, buku cerita, buku resepi, buku rujukan dalam semua bidang, buku teks, buku berkaitan agama, kitab-kitab agama, kamus, kecuali majalah serta buku yang bukanlah bahan bacaan seperti diari, buku tulis, buku log, buku simpan kira-kira (jurnal, lejar)
  • 4,215 ubat-ubatan dalam Senarai Ubat Penting Kebangsaan Kementerian Kesihatan[34]
  • Barang dan perkhidmatan yang dibekalkan dari Malaysia ke Kawasan Ditetapkan (Designated Area) seperti Labuan, Langkawi, Tioman
  • Bekalan air dirawat bagi 35 m3 pertama untuk kegunaan domestik
  • Bekalan elektrik bagi 300 kWh pertama untuk kegunaan domestik
  • Bekalan bahan mentah dan komponen di bawah Skim Pengilang Tol Diluluskan
  • Semua barang dan perkhidmatan yang dieksport sama ada melalui darat, pelabuhan, dan lapangan terbang
  • Perkhidmatan yang dilaksanakan di luar Malaysia
  • Perkhidmatan yang dibekalkan secara langsung yang berkaitan dengan tanah atau apa-apa pembaikan yang terletak di luar Malaysia
  • Perkhidmatan yang dibekalkan secara langsung berkaitan dengan barang yang dieksport
  • Perkhidmatan yang dibekalkan secara langsung berkaitan dengan barang yang dimilki oleh orang di luar Malaysia
  • Perkhidmatan pembaikan yang dijalankan di kawasan Zon Perdagangan Bebas
  • Barang yang dibekal dari Kawasan Utama Kastam ke kawasan yang ditentukan termasuk ke Zon Perdagangan Bebas yang terletak di luar pelabuhan dan lapangan terbang
  • Barang yang dibeli oleh peniaga asing tetapi dibekal di dalam negara di bawah Skim Pengilang Tol Diluluskan
  • Semua barang untuk tujuan kedai kapal (ship store)
  • Semua jenis barang bagi tujuan alat ganti atau peralatan yang digunakan dalam pelayaran dan penerbangan
  • Pengangkutan penumpang dengan menggunakan kapal atau kapal terbang (ke luar negara atau ke dalam negara negara termasuk peringkat domestik)
  • Pengangkutan barang dengan menggunakan kapal atau kapal terbang (ke luar atau ke dalam negara termasuk peringkat domestik)
  • Perkhidmatan sampingan (ancillary services) (termasuk punggah masuk, punggah keluar, insurans, dan penghantaran barang (freight forwarding))
  • Perkhidmatan yang disediakan di pelabuhan dan lapangan terbang seperti pemaliman (pilotage), penundaan (towage), klasifikasi pengukuran (surveying classification), pembaikan dan penyelenggaraan kapal, perundingan kapal (shipbroking) dan perkhidmatan pengurusan
  • Perkhidmatan telekomunikasi dan perayauan (roaming) yang disediakan oleh pembekal perkhidmatan di Malaysia kepada kawasan di luar Malaysia
  • Perkhidmatan dan kemudahan yang dibekalkan oleh kelab, persatuan, kesatuan, persatuan professional kepada ahli mereka
  • Perkhidmatan yang disediakan oleh ejen Skim Bayar Balik Pelancong GST (GST Tourist Scheme Refund)

RujukanSunting

  1. ^ "Finance minister: No second reading of GST Bill for now". Malaysian Insider. 14 Mac 2010. Diarkib daripada yang asal pada 16 Mac 2010. Dicapai pada 15 Mac 2010. Parameter |deadurl= yang tidak diketahui diendahkan (bantuan)
  2. ^ "Pakatan flays government over GST delay". Malaysian Insider. 15 Mac 2010. Diarkib daripada yang asal pada 17 Mac 2010. Dicapai pada 15 Mac 2010. Parameter |deadurl= yang tidak diketahui diendahkan (bantuan)
  3. ^ "Government defends GST delay, scoffs at PR's victory claims". Malaysian Insider. 15 Mac 2010. Diarkib daripada yang asal pada 22 Mac 2010. Dicapai pada 15 Mac 2010. Parameter |deadurl= yang tidak diketahui diendahkan (bantuan)
  4. ^ "Malaysia to remove GST for consumers on Jun 1". Channel NewsAsia. Mediacorp. 16 Mei 2018. Dicapai pada 26 Jun 2018.
  5. ^ "Bill to repeal GST tabled in Parliament for first reading". The Star.
  6. ^ "Govt may impose GST at 4%: Husni". SinChew. 26 November 2009. Dicapai pada 26 Februari 2010.
  7. ^ "GST Implementation Is To Place Malaysia At Par With Developed Countries, Says Ahmad Husni". Bernama. 19 Februari 2010. Diarkib daripada yang asal pada 23 September 2015. Dicapai pada 26 Februari 2010.
  8. ^ "GST May Bring Down Other Forms Of Taxation, Says MIER". Bernama. 11 Februari 2010. Diarkib daripada yang asal pada 23 September 2015. Dicapai pada 26 Februari 2010.
  9. ^ "Parliament: GST Bill tabled for first reading (Update)". TheStar Online. 16 Disember 2009. Diarkib daripada yang asal pada 21 Jun 2011. Dicapai pada 26 Februari 2010. Parameter |deadurl= yang tidak diketahui diendahkan (bantuan)
  10. ^ "Finance minister: No second reading of GST Bill for now". Malaysian Insider. 14 Mac 2010. Diarkib daripada yang asal pada 16 Mac 2010. Dicapai pada 15 Mac 2010.
  11. ^ "Pakatan flays government over GST delay". Malaysian Insider. 15 Mac 2010. Diarkib daripada yang asal pada 17 Mac 2010. Dicapai pada 15 Mac 2010.
  12. ^ "Government defends GST delay, scoffs at PR's victory claims". Malaysian Insider. 15 Mac 2010. Diarkib daripada yang asal pada 22 Mac 2010. Dicapai pada 15 Mac 2010.
  13. ^ Creating awareness on GST is needed, says NGOs, by Azreen Hani. Diarkibkan 1 Mei 2010 di Wayback Machine The Malay Mail, 15 Mac 2010
  14. ^ "Pakatan MPs give budget thumbs down, say it's nothing new | Free Malaysia Today". freemalaysiatoday.com. Dicapai pada 11 Januari 2015.
  15. ^ "DPM: GST will boost the economy | Free Malaysia Today". freemalaysiatoday.com. Dicapai pada 11 Januari 2015.
  16. ^ "Malaysia to introduce GST at 6% from April 2015 - SE Asia - The Straits Times". straitstimes.com. Dicapai pada 11 January 2015.
  17. ^ "Essential items, services to be exempted from Malaysia's GST - SE Asia - The Straits Times". straitstimes.com. Dicapai pada 11 Januari 2015.
  18. ^ "Why Malaysia needs GST", Malaysia, 30 September 2014.
  19. ^ Senarai Barang Bercukai dan Tidak Bercukai
  20. ^ 31 March 2014
  21. ^ 3 April 2014
  22. ^ 7 April 2014
  23. ^ Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (2014) diluluskan di Dewan Rakyat.
  24. ^ 21 April 2014
  25. ^ 5 May 2014
  26. ^ Bowler, Tim (19 Januari 2015). "Falling oil prices: Who are the winners and losers?". BBC News Online. Diarkib daripada yang asal pada 14 February 2018. Dicapai pada 11 November 2017.
  27. ^ "PM: GST saved the economy". The Star Online. Star Media Group. 27 Oktober 2015. Dicapai pada 11 November 2017.
  28. ^ "Agong congratulates Najib on job well done". Malay Mail. 7 Mac 2016. Dicapai pada 11 November 2017.
  29. ^ "Malaysia to introduce sales and service tax after effectively scrapping GST". The Hindu. 17 Mei 2018. Dicapai pada 26 Jun 2018.
  30. ^ Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014, Warta Kerajaan Persekutuan
  31. ^ Perintah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014, Warta Kerajaan Persekutuan
  32. ^ Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) 2014, Warta Kerajaan Persekutuan
  33. ^ Senarai Barang Bercukai dan Tidak Bercukai
  34. ^ Senarai Ubat Penting Kebangsaan Kementerian Kesihatan yang Diluluskan oleh Menteri Kewangan di Bawah Butiran 2, Jadual Pertama, Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) 2014

Pautan luarSunting