Gadis Jolobu The Movie

Gadis Jolobu The Movie ialah sebuah filem komedi romantik Malaysia 2022 arahan CL Hor dengan skrip oleh Hor dan Bobo Ikmal terbitan bersama Tremendous Entertainment dan Zebra Studio. Dibintangi oleh Hattan, Joey Daud, Khir Rahman dan Ahirine Ahirudin, filem ini ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 4 Ogos 2022.[1][2][3]

Gadis Jolobu The Movie
PengarahCL Hor
Lakon layar
  • CL Hor
  • Bobo Ikmal
Dihasilkan oleh
  • Sara Nattaya Azmi
  • CL Hor
  • Jared Lim (eksekutif)
Dibintangi
SinematografiDanny Voon
Muzik oleh
  • Hattan
  • Adam E
Syarikat
penerbitan
  • Tremendoud Entertainment
  • Zebra Studio
Diedarkan olehGSC Movies
Tarikh tayangan
  • 4 Ogos 2022 (2022-08-04) (Malaysia)
Masa tayangan
90 minit
NegaraMalaysia
BahasaMelayu

Sinopsis sunting

Mengisahkan tentang 3 bujang terlajak yang sangat rapat sejak kecil, dalam usaha untuk mencari jodoh masing-masing di kampung halaman mereka. Sumpahan "Lambat Sunat, Lambatlah Kahwin" sering bermain difikiran membuatkan mereka berusaha untuk mencari jodoh mereka walaupun menghadapi pelbagai dugaan.

Pelakon sunting

Penerbitan sunting

Gadis Jolobu The Movie ialah karya pertama yang dihasilkan menerusi projek mega 12 filem dalam tempoh 24 bulan dan merupakan antara karya berteraskan dialek Malaysia yang memberi tumpuan kepada budaya dan tradisi Minangkabau dari Negeri Sembilan.[4][5] Filem ini ialah projek mega yang dimeterai antara syarikat hiburan Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio.[1]

Pengasas dan Pengarah Zebra Studio, Saraleana Nattaya Azmi, berkata idea untuk menghasilkan filem ini tercetus apabila beliau bertemu dengan Hattan pada 2019 berikutan kejayaan lagu duet Hattan bersama W.A.R.I.S, "Gadis Jolobu" yang meraih tontonan tinggi hampir 10 juta di YouTube.[1][6] Beliau berkata:

"Idea menghasilkan filem diberikan Hattan, tiga tahun lalu selepas melihat sambutan terhadap lagu "Gadis Jolobu". Bagaimanapun, belum sempat memulakan perancangan pos produksi, dunia diserang pandemik COVID-19. Hanya kini kerja pos produksi dapat dimulakan."

CL Hor, yang sebelum ini berpengalaman menghasilkan filem di China, Hong Kong dan Korea Selatan, dipilih sebagai pengarah. Hor turut berkhidmat sebagai penulis skrip bersama Bobo Ikmal. Menurut Hor, filem ini mengetengahkan budaya Malaysia dan ia merupakan "filem budaya yang sangat berwarna-warni dengan sinematografi etnik persekitaran kampung, ditambah pula elemen komedi yang mempamerkan sebahagian daripada Malaysia kepada mata dunia,".[1]

Hattan, Joey Daud dan Khir Rahman melakonkan watak utama, bersama pendatang baharu yang juga anak perempuan pengamal media, Ahirudin Attan, Ahirine Ahirudin.[1] Hattan berkata, beliau banyak menolak tawaran lakonan selepas membintangi filem Rock Bro! pada 2016 kerana ia memenatkan, namun menurutnya, filem yang mengetengahkan dialek Negeri Sembilan ini amat dinantikannya.[7][8][9] Beliau menyifatkan filem ini ialah naskhah yang mengangkat budaya Negeri Sembilan dan berkata: "Sebab ini ialah naskhah [yang] mengangkat budaya Negeri Sembilan. Sebelum ini, ramai menghasilkan filem dalam dialek negeri lain, tak ramai pilih dalam dialek Negeri Sembilan. Jadi, saya fikir siapa lagi mahu perjuangkan dialek Negeri Sembilan jika bukan saya sendiri. Jadi, saya terpanggil untuk menerima tawaran filem ini,".[6]

Ahirine yang berpengalaman sebagai wartawan dan pengacara, diberi kepercayaan membawa watak heroin buat kali pertama, selain berpeluang bekerjasama dengan Hattan, Khir dan Joey.[10] Ahirine dipilih menerusi proses uji bakat. Menurut Saraleana, Ahirine bukan sahaja memiliki kecantikan asli, malah, sanggup belajar dialek Negeri Sembilan walaupun dibesarkan di bandar.[8] Penggambaran dijalankan di Kampung Lonek, Negeri Sembilan, pada Mac 2022 dan mengambil masa selama 14 hari untuk disiapkan.[1]

Keluaran sunting

Pemasaran sunting

Tremendous Entertainment dan Zebra Studio merancang untuk memasarkan Gadis Jolobu The Movie ke peringkat global. Menurut Hor, pihaknya mempunyai pengedar dari Indonesia dan Thailand yang berminat untuk bekerjasama. Filem ini diedarkan oleh Golden Screen Cinemas (GSC).[1]

Tayangan sunting

Gadis Jolobu The Movie ditayangkan pada 4 Ogos 2022 di pawagam seluruh Malaysia. Ia juga ditayangkan di platform media OTT, GetPLAY.[11]

Sambutan sunting

Ulasan kritis sunting

Filem ini menerima pelbagai ulasan daripada pengkritik filem. Portal Femag Online menulis bahawa Gadis Jolobu The Movie "sangat sesuai untuk mereka yang inginkan hiburan ringan dan suasana santai di pawagam".[12] Syafil Syazwan Jefri dari Harian Metro pula berpendapat bahawa jalan cerita filem ini "sangat longgar dan tidak jelas arah tujunya".[13]

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f g Fatin Farhana Ariffin (2 Mac 2022). "Gadis Jolobu The Movie karya projek mega". Berita Harian. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  2. ^ Anna Mohamed (2 Ogos 2022). "Gadis Jolobu The Movie bukti Malaysia kaya dengan adat & budaya". Utusan TV. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  3. ^ Fatin Farhana Ariffin (2 Ogos 2022). "Gadis Jolobu ketengah keunikan adat, budaya". Berita Harian. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  4. ^ Najiy Jefri (2 Mac 2022). "Angkat filem dialek 'Nogori'". Harian Metro. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  5. ^ Amri Hassan (2 Mac 2022). "Gadis Jolobu The Movie Angkat Tradisi Minangkabau & Dialek Negeri Sembilan, Akan Dipasarkan Di Indonesia & Thailand!". Astro Gempak. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  6. ^ a b Fatin Farhana Ariffin (1 Mac 2022). "Cetus idea filem Gadis Jolobu selepas lagu meledak". Berita Harian. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  7. ^ "Gadis Jolobu The Movie perlihat sisi komedi Hattan, tapi kekal lantang di media sosial". mStar Online. 16 Julai 2022. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  8. ^ a b Helmi Anuar (2 Ogos 2022). "Gadis Jolobu The Movie Angkat Hattan Sebagai Hero, Pamer Dialek 'Nogori'". Getaran. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  9. ^ Najiy Jefri (1 Mac 2022). "Hattan berlakon demi dialek Negeri Sembilan". Harian Metro. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  10. ^ Fatin Farhana Ariffin (8 April 2022). "Ahirine impi banyak filem aksi, lasak". Berita Harian. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  11. ^ Khadijah Ibrahim (4 Ogos 2022). "Gadis Jolobu The Movie temui penonton hari ini". Bebas News. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  12. ^ "REVIEW: GADIS JOLOBU THE MOVIE - FILEM KOMEDI ROMANTIK DENGAN SENTUHAN BUDAYA NEGERI SEMBILAN". Femag Online. 3 Ogos 2022. Dicapai pada 6 Ogos 2022.
  13. ^ Syafil Syazwan Jefri (5 Ogos 2022). "Jerangkung 'lawan' Gadis Jolobu". Harian Metro. Dicapai pada 6 Ogos 2022.

Pautan luar sunting