Kedominanan genetik

(Dilencongkan daripada Gen resesif)

Dalam bidang genetik, kedominanan membincangkan perhubungan antara berbagai-bagai bentuk (alel) dalam sesuatu gen dalam kedudukan fizikal yang tertentu (lokus) dalam kromosom. Tumbuhan dan haiwan biasanya ada dua set kromosom, setiap set diwarisi dari setiap induk, dan dihuraikan sebagai diploid. Oleh itu, hidupan ini ada dua alel dalam setiap lokus gen. Jika dua alel dalam gen yang sam itu adalah seiras, maka pembawa individunya adalah homozigot. Sebaliknya, jika dua alel itu adalah berlainan pula, maka individunya adalah heterozigot. Pembentukan genetik sesebuah organisme, sama ada pada lokus tinggal atau seluruh gennya, diberi istilah genotip. Genotip sesuatu organisme secara langsung atau tidak langsung mempengaruhi ciri-ciri molekul, fizikal, tabii dan lain-lain, baik secara individu mahupun keseluruhan dipanggli fenotip. Pada lokus gen heterozigot, kedua-dua alel saling berinteraksi secara dominan atau resesif untuk menghasilkan fenotip itu.

Pada asasnya, kesan fenotip satu alel "melitupi" alel yang lain sepenuhnya dalam proses gabungan heterozigot, iaitu fenotip yang dihasilkan oleh kedua-dua alel dalam gabungan heterozigot adalah seiras dengan yang dihasilkan oleh satu daripada dua genotip homozigotnya. Alel pelitup itu adalah dominan kepada alel yang dilitupinya, iaitu resesif kepada alel dominan.[1]

Konsep kedominanan ini julung kalinya diterangkan oleh “bapa genetik”, iaitu Gregor Mendel, yang menyedari prinsip di sebalik usahanya dengan pokok kacang pis Pisum sativum. Ambillah bentuk sebiji benih pis yang boleh dimakan sebagai contoh cirinya. Kacang pis terdapat dalam dua fenotip berbeza, iaitu “bulat” dan “berkerut.” Fenotip bentuknya dipengaruhi oleh satu gen tunggal yang terdapat dalam dua bentuk alel, iaitu A dan B. Pokok kacang pis yang homozigot AA berbenih bulat, manakala yang homozigot BB pula berbenih berkerut. Pokok yang heterozigot AB pula berbenih bulat yang tiada bezanya dari benih AA. Oleh itu, alel A ‘mendominasi’ alel B untuk menghasilkan fenotip bulat. Dalam erti kata lain, alel A dikatakan dominan kepada alel B, manakala alel B adalah resesif kepada alel A. Prinsip kedominan ini dikenali sebagai Hukum Pertama Mendel.

Konsep terpenting mengenai kedominanan ini adalah bahawa heterozigotnya adalah seiras dengan salah satu daripada dua homozigot dari segi fenotipnya, maka menunjukkan alel yang mana adalah ‘dominan’. Penting sekali harus difahami bahawa kedominanan ini merupakan perhubungan genotip antara alel, seperti yang dimanifestasi dalam fenotip; tiada kena-mengenanya dengan sifat fenotip itu sendiri, misalnya, sama ada dianggap sebagai perbandingan ‘normal atau abnormal,’ ‘biasa atau luar biasa,’ ‘sihat atau cacat’, ‘kuat atau lemah’, atau ‘lebih atau kurang’. Juga pentingnya harus kita membezakan lokus gen ‘bulat’, alel ‘bulat’ pada lokus itu, dan fenotip ‘bulat’ yang dihasilkannya. Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa sama ada ‘gen bulat mendominasi gen berkerut,’ atau ‘kacang pis bulat mendominasi kacang pis berkerut.’

Rujukan

sunting
  1. ^ RC King et al. 2006 A Dictionary of Genetics, 7th ed, p. 129: 'dominance [refers] to alleles that fully manifest their phenotype when present in the heterozygous ... state.'

Pautan luar

sunting