Gesamtkunstwerk di dalam bahasa Jerman yang bermaksud "keseluruhan kerja seni" atau "kerjaseni yang lengkap" adalah ungkapan yang kerap digunakan untuk seni opera dan juga seni muzik teater. Ungkapan ini merujuk kepada hasil fikiran penggubah opera Jerman, Richard Wagner untuk persembahan opera, penggubahan muzik, teater dan seni visual.

Pada pendapat Wagner, pada zaman tragedi Yunani Purba, kesemua elemen itu telah dimampatkan tetapi pada suata masa kemudiannya mula dilupa dan diabaikan. Wagner membuat kenyataan itu kerana beliau merasakan teater opera pada zaman beliau mementingkan bunyi muzik yang dimainkan secara padu dan penuh tetapi tidak mempunyai kualiti pada dramanya.

Ungkapan "Gesamtkunstwerk" yang juga boleh dimaksudkan sebagai "Campuran Seni" kebiasaannya (terutama orang Jerman) digunakan untuk memberi penjelasan kepada intergrasi seni dalam pelbagai bentuk.

Ungkapan ini juga digunakan di dalam seni bina arkitek untuk merujuk kepada sebuah bangunan di mana setiap satu bahagian di dalamnya direka bentuk untuk membentuk satu objek.

Wagner meletakkan elemen "perasaan dan suasana" (mood setting) sebagai amat penting. Beliau menekankan suasana teater yang samar-samar, kesan suara, suara latar belakang dan susunan tempat duduk. Pada pendapat beliau, sekiranya kesemua elemen–elemen ini berada di posisi yang betul, para penonton bukan sahaja akan memberi fokus yang penuh kepada drama di atas pentas tetapi akan merasa seolah-olah berada di dunia khayalan drama.

Konsep Wagner adalah seperti sesuatu yang amat penting dan digunakan untuk pementasan opera di zamannya tetapi kebanyakan opera moden masakini sudah tidak lagi mengikuti konsep itu sepenuhnya.