Gloria Macapagal-Arroyo

Maria Gloria Macaraeg Macapagal-Arroyo (lahir 5 April 1947) ialah ahli politik dan ahli akademik Filipina yang berkhidmat sebagai Presiden Filipina ke-14 dari 2001 hingga 2010. Beliau ialah anak perempuan kepada bekas presiden Diosdado Macapagal, dan merupakan presiden wanita kedua di negara ini, selepas Corazon Aquino.

Gloria Macapagal-Arroyo
Arroyo pada 2006
Dalam jawatan
20 Januari 2001 – 30 Jun 2010
Naib PresidenTeofisto Guingona (2001–2004)
Noli de Castro (2004–2010)
Didahului olehJoseph Estrada
Digantikan olehBenigno Aquino III
Dalam jawatan
30 Jun 1998 – 20 Januari 2001
PresidenJoseph Estrada
Didahului olehJoseph Estrada
Digantikan olehTeofisto Guingona
Maklumat peribadi
Lahir
Maria Gloria Macaraeg Macapagal

(1947-04-05) 5 April 1947 (umur 77)
San Juan, Rizal, Filipina
Parti politikLakas-Demokrat Kristian Muslim
PDP-Laban
PasanganJose Miguel Arroyo
TandatanganTandatangan

Sebelum menjadi presiden, Arroyo ialah naib presiden Filipina yang pertama. Pada tahun 2001, beliau menerima tawaran jawatan presiden oleh Revolusi EDSA yang menggulingkan Joseph Estrada di tengah-tengah tuduhan rasuah yang meluas. Arroyo dipilih untuk tempoh enam tahun pada 2004 ketika beliau menewaskan pelakon, mendiang Fernando Poe Jr..

Pada tahun 2005, Arroyo dipilih sebagai wanita ke-4 yang paling berkuasa di dunia oleh majalah Forbes.

Kehidupan awal

sunting

Dilahirkan sebagai Gloria Macaraeg Macapagal kepada Diosdado Macapagal, seorang ahli politik, dan Evangelina Macaraeg Macapagal, Arroyo menghabiskan tahun-tahun awalnya di Lubao, Pampanga, bersama-sama dengan dua orang saudara kandung yang lebih tua daripada perkahwinan ayahnya yang pertama. [1] Ketika berumur empat tahun, beliau berasa cemburu terhadap adik lelakinya yang baru dilahirkan dan memilih untuk tinggal dengan nenek sebelah ibunya di Bandaraya Iligan. [2] Beliau tinggal di sana selama tiga tahun, dan kemudian membahagikan masanya antara Mindanao dan Manila sehingga umur 11 tahun. [2]

Pada tahun 1961, ketika Arroyo hanya berusia 14 tahun, bapanya telah dipilih sebagai Presiden Filipina, dan Arroyo berpindah dengan keluarganya ke Istana Malacanang di Manila. Beliau memperoleh pendidikan rendah dan menengahnya di Assumption Convent, dan mencapai keputusan yang terbaik pada tahun 1964. Arroyo kemudian belajar di Pusat Pengajian Perkhidmatan Luar Negeri di Universiti Georgetown, Washington, D.C., selama dua tahun dan merupakan ahli Senarai Dekan yang tekal; Senarai Dekan ialah senarai tahunan untuk pelajar yang terbaik. Bekas Presiden Bill Clinton ialah salah seorang rakan sekelasnya.[3] Arroyo kemudian memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Ekonomi daripada Kolej Assumption, dan mencapai magna cum laude yang merupakan anugerah untuk pelajar yang amat baik pada 1968.

Pada tahun 1968, Arroyo berkahwin dengan Jose Miguel Arroyo, seorang peguam dan usahawan dari Binalbagan, Negros Occidental yang beliau telah bertemu ketika masih remaja lagi. [1] Mereka dikurniakan dengan tiga orang anak, Juan Miguel (lahir 1969), Evangelina Lourdes (1971), dan Diosdado Ignacio Jose Maria (1974).

Arroyo kemudian menyertai kursus ijazah Sarjana dalam Ekonomi di Universiti Ateneo de Manila (1978) dan ijazah Kedoktoran dalam Ekonomi di Universiti Filipina (1985).[4] Antara tahun 1977 dan 1987, beliau memegang jawatan pensyarah di pelbagai institusi pendidikan, khususnya Universiti Filipina dan Universiti Ateneo De Manila. Beliau juga menjadi Pengerusi Pusat Pengajian Ekmonomi di Kolej Assumption.

Pada tahun 1987, Arroyo dijemput oleh Presiden Corazon Aquino untuk menyertai pentadbirannya sebagai Penolong Setiausaha dalam Kementerian Perdagangan dan Industri. Dua tahun kemudian, beliau dinaik pangkat menjadi Setiausaha Rendah. Dalam jawatan serentaknya sebagai Pengarah Eksekutif bagi Lembaga Eksport Pakaian dan Tekstil, Arroyo menyelia pertumbuhan industri pakaian yang pesat pada dekad 1980-an.

Senator

sunting

Walaupun ayahnya pernah berkhidmat sebagai Presiden Filipina, Arroyo tidak menyertai bidang politik sehingga tahun 1992, iaitu 27 tahun selepas ayahnya meninggalkan jawatannya. Beliau dipilih sebagai ahli Senat Filipina pada tahun 1992, dan dipilih sekali lagi pada tahun 1995. Dalam pemilihan kedua ini, beliau memperoleh hampir 16 juta undi, satu pencapaian yang tertinggi oleh mana-mana satu ahli politik untuk mana-mana satu jawatan dalam sejarah pilihan raya Filipina.[1]

Sebagai penggubal undang-undang semasa beliau menyandang jawatan senator, Arroyo mengutarakan melebihi 400 rang undang-undang dan mengarang atau menyokong 55 buah undang-undang yang berkaitan dengan ekonomi. Antara undang-undang ini termasuk Undang-undang Anti Ancaman Seks, Undang-undang Hak Orang Asli, dan Undang-undang Perkembangan Eksport.[1]

Jawatan Naib Presiden

sunting
 
Revolusi EDSA II yang menyebabkan Gloria Macapagal-Arroyo segera menjadi Presiden digambarkan dalam wang kertas 200-peso ini.

Pada tahun 1998, Arroyo menimbang untuk menyertai pertandingan presiden tetapi diyakinkan oleh Presiden Fidel V. Ramos untuk menyertai Parti LAKAS, iaitu parti pemerintahannya, sebagai calon pasangan untuk Jose De Venecia, Speaker Dewan, yang mempertandingkan jawatan Presiden. De Venecia dan Arroyo berkempen di seluruh negara dengan sokongan Ramos dan jentera LAKAS yang amat berkuasa.

Arroyo memenangi jawatan naib presiden dengan hampir 13 juta undi, iaitu melebihi dua kali ganda jumlah undi yang diperoleh oleh pesaingnya yang terdekat, Senator Edgardo Angara. Bagaimanapun, De Venecia ditewaskan oleh Joseph Estrada, penjawat naib presiden terkini.

Arroyo memulakan penggal Naib Presidennya pada 30 Jun 1998. Tidak lama selepas itu, beliau dilantik oleh Estrada sebagai Setiausaha Kementerian Kebajikan dan Perkembangan Sosial dalam Kabinet. Dalam peranan ini, tugas utamanya adalah untuk menyelia rancangan-rancangan sosial kerajaan untuk orang-orang miskin.

Arroyo meletakkan jawatannya dalam Kabinet pada Oktober 2000, dan menjauhkan diri daripada Presiden Estrada yang telah dituduh kerana rasuah oleh seorang bekas penyokong politiknya. Arroyo menyertai masyarakat sivil, dan bersama-sama dengan ramai orang Filipina, mendesak Presiden Estrada meletakkan jawatan. Pihak tentera dan polis negara yang telah awal-awal lagi menarik kesetiaan mereka kepada Estrada kini memindahkannya kepada Arroyo.

Pada 20 Januari 2001, selepas beberapa hari huru-hara politik dan bantahan-bantahan jalan, Mahkamah Tinggi Filipina mengisytiharkan pengosongan jawatan presiden. Pada hari yang sama, Arroyo mengangkat sumpah sebagai Presiden Filipina ke-14 di hadapan Hilario Davide Jr, Hakim Besar Mahkamah Agung.

Penggulingan Estrada kemudian digelarkan EDSA II, selepas Revolusi EDSA 1986 yang meruntuhkan kerajaan Ferdinand Marcos. EDSA merujuk kepada Lebuh Epifanio de los Santos, sebatang lebuh raya di metropolitan Manila yang merupakan tapak utama untuk tunjuk-tunjuk perasaan.

Estrada kemudian mencabar kewajaran pengisytiharan Mahkamah Tinggi, akan tetapi Mahkamah Agung mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap pewarisan Arroyo. Walaupun Estrada dan pengikut-pengikutnya tidak pernah mengakui Arroyo sebagai presiden yang sah, Arroyo masih dapat menggunakan kuasa serta hak-hak istimewa kepresidenan.

Jawatan Presiden

sunting

Pewarisan pada tahun 2001

sunting

Pewarisan Arroyo kepada jawatan presiden pada Januari 2001 menyatukan penentangan politik terhadap Presiden Joseph Estrada yang baru digulingkan atas tuduhan-tuduhan rasuah. Meskipun terdapat sokongan rakyat serta pengakuan mandat Arroyo oleh Mahkamah Agung, Estrada dan ahli-ahli parti pembangkang yang lain masih mempersoalkan kesahan Arroyo sebagai presiden. Beribu-ribu pembantah menujui ke istana presiden pada 1 Mei 2001 dan mendesak bahawa Estrada yang telah ditangkap atas tuduhan rampasan dibebaskan dan jawatannya dikembalikan.

 
Arroyo bertemu Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Jepun Junichiro Koizumi di Tokyo, 21 Mei 2002

Pembantah-pembantah enggan ditenangkan dan keganasan menyusul. Arroyo bertindak dengan penangkapan pembantah-pembantah dan pemimpin-pemimpin politik yang utama. Akhirnya, Arroyo berjaya menghentikan bantahan-bantahan dan bertahan cabaran serius pertama terhadap kerajaannya dalam satu siri cabaran yang berlangsung selama bertahun-tahun. Sokongan terhadap Estrada dan pembangkang-pembangkang Arroyo kemudian merosot selepas kemenangan calon-calon bersekutunya dalam pilihan raya separuh penggal yang diadakan kemudian pada bulan yang sama. Dibebaskan daripada ancaman pembangkang-pembangkang yang kini telah dilemahkan, dan dengan jaminan sokongan daripada kedua-dua dewan Kongres, pentadbiran Arroyo yang baru bermula menghadapi cabarannya yang terbesar, iaitu pembaharuan ekonomi yang susah payah dan kerajaan yang korup.

Sepanjang tempoh kepresidenannya, Arroyo menggariskan visinya untuk negara Filipina sebagai "membina sebuah republik yang kukuh". Agendanya terdiri daripada pembinaan sebuah birokrasi yang kukuh, penurunan kadar jenayah, meningkatkan pemungutan cukai, memperbaik pertumbuhan ekonomi, serta memperhebat usaha untuk menentang terorisme.

Persaraan sebagai Presiden

sunting

Penggal Arroyo sebagai Presiden Filipina berakhir pada 30 Jun, 2010. Arroyo digantikan oleh Benigno Aquino III, anak sulung mendiang Presiden Corazon Aquino.

Selepas bersara beliau menderita sakit leher dan berhadapan beberapa tuduhan rasuah.

Tuduhan rasuah

sunting

Pendakwa Raya Kerajaan Filipina memfailkan caj pendakwaan terhadap Arroyo dan sembilan bekas pegawai lain atas tuduhan penyalahgunaan 365 juta Peso (AS$8.7 juta) dalam dana loteri negeri.Mahkamah mengeluarkan perintah bagi menghalang Arroyo meninggalkan Filipina.

Pada 25 Julai 2012, Mahkamah Filipina membenarkan Arroyo diikat jamin atas tuduhan mensabotaj Pilihan raya Filipina . Bagaimanapun, beliau tidak akan dibebaskan serta-merta kerana masih menghadapi kes rasuah lain yang belum selesai. Mahkamah Bandaraya Pasay, Felda Domingo menjelaskan Arroyo dibenarkan diikat jamin pada 1 juta Peso (AS$23,250). Presiden Filipina Benigno Aquino III, menyatakan bahawa Arroyo masih berdepan dengan satu lagi tuduhan rasuah yang tidak boleh diikat jamin selepas difailkan di Mahkamah anti rasuah Sandiganbayan. [5]

Galeri

sunting

Lihat juga

sunting

Rujukan

sunting
  1. ^ a b c d Buku Tahunan Antarabangsa Biografi Terkini 2002
  2. ^ a b "TIME Pacific | Kemuliaan, Gloria! | 29 Januari | NO. 4". Diarkibkan daripada yang asal pada 2001-06-05. Dicapai pada 2001-06-05.
  3. ^ Forbes.com: Gloria Arroyo, Wanita Yang Paling Berkuasa
  4. ^ Laman web Jawatan Presiden: Biografi
  5. ^ Arroyo dibenarkan diikat jamin, tetapi masih ditahan[pautan mati kekal]

Pautan luar

sunting
 
Wikisource
Didahului oleh
Joseph Estrada
Naib Presiden Filipina
19982001
Diikuti oleh:
Teofisto Guingona
Didahului oleh
Joseph Estrada
Presiden Filipina
20012010
Diikuti oleh:
Benigno S. Aquino III
Didahului oleh
Angelo T. Reyes
Setiausaha Pertahanan Negara Filipina
1 September 20032 Oktober 2003
Diikuti oleh:
Eduardo R. Ermita
Naib Presiden Filipina
 

Osmeña | Quirino | Lopez | Garcia | Macapagal | Pelaez | Lopez | Tolentino | Laurel | Estrada | Arroyo | Guingona | De Castro | Binay | Robredo | Duterte