Datuk Goh Eng Boon atau lebih dikenali sebagai Andre Goh merupakan salah seorang penyanyi lagu irama tradisional dan joget bukan Melayu yang cukup terkenal dan popular di Malaysia.

Andre Goh merupakan dari keturunan Baba Melaka dan keluarganya mengamalkan adat dan budaya orang Melayu. Ini turut menjadikan Andre begitu fasih berbahasa Melayu. Andre Goh dilahirkan di Kampung Sialang, Tangkak, Johor.

Bapanya, Goh Tiam Leong juga mahir mendendangkan lagu dondang sayang. Malah, ibunya, Wee Teck Neo pula mahir berpantun. Rumah mereka sering menjadi tempat perhimpunan orang kampung untuk belajar menyanyi lagu langgam, dondang sayang atau asli.

Andre Goh merupakan anak keenam daripada 15 beradik. Beliau mula berjinak dalam lapangan seni sejak sekolah rendah lagi dengan lagu dendangan Cliff Richard, Elvis Presley dan The Shadows.

Dia mula menyertai bidang seni secara lebih serius ketika berkhidmat dengan Jabatan Telekom Malaysia di Brickfields, di atas dorongan rakan sebiliknya Michael Leong yang bekerja di Jabatan Penerangan. Andre menyertai Bakat TV pada 1972, dan mendapat perhatian ramai, sungguhpun gagal muncul sebagai juara. Selepas pertandingan, dia ditawarkan bagi mengendali program TV berjudul Andre sebanyak 20 episod yang disiarkan setiap Ahad.

Album sunting

Selain program TV, Andre turut merakam album (bentuk EP) pertama pada 1973 berjudul Halimun Malam. Album lain termasuk Harapan Kecewa, Samudera Sunyi, Fatwa Pujangga, Impian (1976) dan Nostalgia Aidil Fitri Bersama Artis Lagenda (1998).

Lagu-lagu sunting

  • Bunga Desa
  • Baju Hitam
  • Harapan Kecewa
  • Hentikan Doamu
  • Malam Membawa Kenangan
  • Mas Merah
  • Sabariah
  • Sejak Kita Berpisah

Pencapaian sunting

Andre masih aktif dalam bidang seni sehingga kini pernah menerima anugerah Ahli Mangku Negara (1982) daripada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KekkWa) pada 2006.