Gordon James Ramsay (lahir 8 November 1966) ialah seorang cef, pengusaha restoran, dan personaliti televisyen dari United Kingdom. Beliau lahir di Scotland tetapi dibesarkan di Stratford-upon-Avon, England. Restorannya telah menerima 16 anugerah bintang Michelin. Restorannya yang terkemuka, Restaurant Gordon Ramsay di Chelsea, London, memiliki 3 bintang Michelin sejak tahun 2001. Pertama kali muncul di televisyen pada akhir tahun 1990-an, Ramsay menjadi sangat terkenal sehingga berjaya mempengaruhi ramai penonton untuk menjadi lebih berani dalam cara memasak mereka.

Sebagai seorang selebriti televisyen, Ramsay terkenal dengan sikapnya yang cepat meradang, tegas dan sering melemparkan kata-kata yang agak celupar. Ramsay terkenal dalam menyampaikan beberapa rancangan televisyen seperti Hell's Kitchen, The F Word, dan Kitchen Nightmares, MasterChef dan MasterChef Junior. Pada tahun 2015, Forbes melaporkan pendapatannya sebagai $60 juta, dan menamakannya selebriti ke-21 terkaya di dunia.

Kehidupan awal sunting

Ramsay dilahirkan pada 8 November 1966 di Johnstone, Renfrewshire namun dibesarkan di Stratford-upon-Avon, Warwickshire sejak berumur lima tahun. Ramsay merupakan anak kedua dalam empat adik-beradik. Beliau mempunyai seorang kakak, Diane; seorang adik, Ronnie yang pernah dipenjara sewaktu remaja kerana memiliki dadah heroin, dan adik perempuan, Yvonne. Ayah Ramsay, James Gordon Senior yang meninggal dunia pada tahun 1997 pernah menjadi pengurus kolam renang, jurukimpal, dan pekedai manakala ibunya, Helen, merupakan seorang jururawat.

Ramsay pernah menggambarkan zaman mudanya sebagai sesuatu yang mengecewakan dan keluarganya sering kali berpindah disebabkan beberapa kegagalan ayahnya yang juga ketagih alkohol. Pada 1976, mereka akhirnya menetap di Stratford-upon-Avon dan dibesarkan di kawasan bandar di Bishopton. Dalam autobiografinya, Humble Pie, beliau mengatakan kehidupan awalnya ditandai dengan penganiayaan dan pengabaian ayahnya yang juga seorang kaki perempuan. Pada usia 16 tahun, Ramsay meninggalkan keluarganya untuk menetap di Banbury, Oxfordshire.

Kerjaya bola sepak sunting

Ramsay meminati sukan bola sepak dan pernah dipilih untuk bermain dalam pasukan bawah-14 tahun semasa berusia 12 tahun. Beliau dipilih untuk bermain dalam pasukan Warwickshire. Kerjaya bola sepaknya ditandai dengan kecederaan, menyebabkannya untuk berkata: "Mungkin aku tidak ditakdirkan untuk bermain bola sepak." Pada pertengahan tahun 1984, Ramsay pernah menyertai uji bakat dengan pasukan Rangers, kelab yang disokonginya sewaktu kecil lagi. Malangnya, Ramsay cedera parah di lututnya dan meretakkan tulang rawannya semasa suatu latihan.

Kerjaya memasak sunting

Akibat kecederaan pada lututnya, Ramsay cuba berkecimpung dalam bidang memasak. Pada usia 19 tahun, beliau mendaftarkan di North Oxfordshire Technical College dengan tajaan Kelab Rotary untuk menuntut dalam bidang pengurusan hotel. 

Pada awal tahun 1980-an, Ramsay bekerja sebagai commis chef di Wroxton House Hotel dan kemudian dilantik untuk mengurus dapur dan ruang makan untuk 60 orang di Wickham Arms. Namun, hubungan seksualnya dengan isteri pemilik restoran itu memaksanya untuk meninggalkan pekerjaan itu. Ramsay kemudian berpindah ke London dan bekerja dalam beberapa restoran sebelum bekerja di bawah cef terkenal Marco Pierre White di restoran Harveys.

Setelah bekerja di Harveys selama dua tahun, Ramsay berasa jemu dengan sikap panas baran Cef White dan memutuskan untuk memajukan kerjayanya dengan belajar memasak masakan Perancis. White tidak menggalakkan Ramsay untuk bekerja di Paris tetapi menyuruhnya untuk bekerja dengan Cef Albert Roux di restoran Le Gavroche di Mayfair. Setelah bekerja di Le Gavroche selama setahun, Albert Roux menjemput Ramsay untuk bekerja dengannya di Hotel Diva, sebuah kawasan peranginan luncur salji di French Alps sebagai pembantunya.  Dari sana, Ramsay berpindah ke Paris untuk bekerja dengan Guy Savoy dan Joël Robuchon, kedua-duanya cef berbintang Michelin. Dalam rancangan Master Chef musim ke-3, Ramsay menyatakan bahawa Savoy ialah mentornya. Ramsay meneruskan latihannya  di Perancis selama tiga tahun, sebelum berhenti kerana berasa tertekan. Ramsay kemudian bekerja sebagai cef peribadi di atas kapal layar, Idlewild, di Bermuda.

Ketua cef sunting

Setelah kembali ke London pada tahun 1993, Ramsay ditawari jawatan ketua cef (di bawah Cef Pierre Koffmann) di restoran La Tante Claire di Chelsea, sebuah restoran Michelin tiga bintang. Tidak lama kemudian, Marco Pierre White menawarkan jawatan ketua cef kepadanya di restoran Rossmore. Restoran itu yang kemudiannya menukarkan namanya kepada Aubergine berjaya meraih bintang Michelinnya yang pertama empat belas bulan kemudian. Walaupun restoran itu berjaya, pertikaian antara Ramsay dan pemilik restoran telah menyebabkannya untuk meninggalkan restoran tersebut. Pada tahun 1998, Ramsay membuka restorannya sendiri di Chelsea yang dipanggil, Restaurant Gordon Ramsay dengan bantuan ayah mertuanya, Chris Hutcheson. Restoran itu mendapat bintang Michelin yang ketiga pada tahun 2001.

Perniagaan Ramsay menjadi semakin maju dan beliau mula membuka beberapa restoran yang baharu seperti  Petrus, Amaryllis di Glasgow (yang kemudian terpaksa ditutup) dan kemudiannya restoran Gordon Ramsay di Claridge. Ramsay mengupah kawannya, Jean-Philippe Susilovic, yang bekerja di restoran Petrus dan juga pernah muncul dalam rancangan televisyen Ramsay, Hell's Kitchen, untuk bekerja bersamanya. Hal ini diikuti oleh pembukaan restoran-restoran di luar United Kingdom seperti restoran Verre di Dubai, dan restoran Gordon Ramsay dan restoran Cerise by Gordon Ramsay di Tokyo pada tahun 2005.  

Pada tahun 2007, Ramsay membuka restoran pertamanya di Ireland, Gordon Ramsay at Powerscourt di Hotel Ritz-Carlton. Restoran ini ditutup pada tahun 2013. Pada Mei 2008 beliau membuka restoran pertamanya di Amerika Syarikat di Los Angeles.

Bibliografi sunting

 
Ramsay menandatangani salinan Gordon Ramsay's Healthy Apetite di Toronto Eaton Centre, Februari 2009

Sejak 1996, Ramsay telah menulis 22 buah buku. Ramsay juga menulis untuk ruangan makanan dan minuman di majalah The Times' edisi hari Sabtu.

--- issued in US as Roasting in Hell's Kitchen (2006), ISBN 978-0061191985
Siri Master Chefs
Kad memasak

Rujukan sunting