Grifon Nivernais

baka anjing dari Perancis

Grifon Nivernais[a] ialah satu baka anjing daripada jenis anjing pemburu bau yang berasal dari Perancis. Ia merupakan anjing pemburu serba guna yang digunakan sama ada dalam kawanan atau secara individu terhadap buruan kecil dan besar. Baka modennya merupakan binaan semula bagi jenis anjing purba dari kawasan Nivernais.

Grifon Nivernais
Griffon Nivernais
Negara asalPerancis
Anjing (Canis lupus familiaris)

Penampilan sunting

Grifon Nivernais ialah anjing bersaiz sederhana, setinggi 55–60 cm (22–24 in) pada paras kelasa, dengan lapis bulu kasar (berumbai) tersendiri, telinga layu panjang, dan ekor panjang yang terangkat dan sedikit melengkung. Tubuhnya lebih panjang daripada kebanyakan anjing pemburu Perancis, dan terbina lebih untuk ketahanan berbanding untuk kelajuan. Sebagai baka binaan semula, piawaian baka ini lebih teliti dalam hal kadaran tubuh, struktur, dan lapis bulu berbanding dengan kebiasaan untuk anjing pekerja.

Warna bulunya pada umumnya berpenampilan beruban, antara gris clair dengan gris sanglier, iaitu antara kelabu muda dengan kelabu babi hutan. Bulunya agouti, dengan warna lebih gelap di dasar berbanding dengan hujung pada setiap helai bulu. Bulu putih bertaburan di serata lapis bulu. Warnanya perang kekuning-kuningan dengan lapisan atas sangat singkat berwarna hitam (poil de lièvre, bulu kelinci), sabel dengan lapisan atas berwarna hitam (gris loup, kelabu serigala), dan perang kekuning-kuningan dengan lapisan atas berwarna biru (gris bleu, kelabu kebiru-biruan). Mungkin terdapat tompok putih kecil pada dada.[1][2]

Sejarah sunting

Grifon Nivernais merupakan baka yang dibela oleh para bangsawan Perancis yang lenyap selepas Revolusi Perancis. Baka ini dibina semula mulai tahun 1925, oleh sebilangan pemburu di Morvan, dengan bermodelkan jenis-jenis purba yang tiba di Eropah dengan para salibi dan jenis yang dipanggil "canes segusii" atau anjing pemburu Celt oleh para penulis anjing awal. Anjing-anjing asli digunakan untuk memburu serigala dan babi hutan pada abad keempat belas, dan anjing-anjing ini lebih besar daripada baka moden. Pembinaan semula baka ini dilakukan berdasarkan grifon besar Vendée.[3] Baka-baka lain yang digunakan ialah anjing pemburu berang-berang dan anjing pemburu rubah. Baka ini wujud dalam bilangan kecil selama bertahun-tahun, namun kini sedang melalui pemulihan.[2][1]

Kesihatan dan perangai sunting

Tiada masalah kesihatan luar biasa atau dakwaan kesihatan luar biasa yang telah didokumenkan untuk baka ini. Pembawaan unggul baka ini yang diperihalkan dalam piawaian baka ialah keberanian dan juga kenekadan serta kemandirian.[2][1] Perangai individu mungkin berbeza-beza.

Lihat juga sunting

Catatan sunting

  1. ^ Jawi: ݢريفون نيۏيرني; Perancis: griffon nivernais

Rujukan sunting

  1. ^ a b c "Standard FCI N° 17 GRIFFON NIVERNAIS" [Piawaian FCI No. 17 Grifon Nivernais] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Perancis). 2 April 2004. Dicapai pada 19 Disember 2023.
  2. ^ a b c "FCI-Standard N° 17 GRIFFON NIVERNAIS" [Piawaian FCI No. 17 Grifon Nivernais] (pdf). Persekutuan Kinologi Antarabangsa (dalam bahasa Inggeris). Diterjemahkan oleh John Miller dan Raymond Triquet. 2 April 2004. Dicapai pada 19 Disember 2023.CS1 maint: others (link)
  3. ^ Clark, Anne Rogers; Andrew H. Brace (1995). The International Encyclopedia of Dogs (dalam bahasa Inggeris). Howell Book House. m/s. 253. ISBN 0-87605-624-9.

Pautan luar sunting