Grimmjow Jeagerjaques

Grimmjow Jeagerjaques ataupun Jaegerjaques[2] (Jepun: グリムジョー・ジャガージャック, Hepburn: Gurimujō Jagājakku) merupakan watak fiksyen dalam siri anime dan manga Bleach oleh Tite Kubo. Dia tergolong dalam golongan arrancar dikalangan tentera Aizen Sōsuke dan merupakan Espada ke-6.

Watak Bleach
Grimmjow Jeagerjaques
Peranan Espada ke-6 dalam tentera Aizen Sōsuke
Zanpakutō Pantera
Seiyū Junichi Suwabe
Pelakon suara latar David Vincent[1]

Watak dan perwatakan sunting

Grimmjow mempunyai rambut dan mata berwarna biru cair, di mana matanya mempunyai garisan-garisan biru/hijau di bawahnya yang serupa dengan ukiran pada kucing jenis Panthera, juga serupa dengan tanda merah di mata Madarame Ikkaku. Pakaian Grimmjow terdiri daripada hakama putih dan tali pinggang hitam; jaket putihnya digayakan dengan kolar terbalik. Warna di bahagian dalamnya ialah hitam, lengan bajunya digulungkan, dan Grimmjow memakainya secara terbuka, mendedahkan dadanya. Kesan topeng hollow Grimmjow terdiri daripada tulang rahang kanan, serta lubang hollownya digerakkan ke abdomennya.

Grimmjow sebagai seorang individu bersifat agak relaks dan kelihatan kurang sopan, namun rupa selekehnya ini menyembunyikan personalitinya yang terlampau ganas dan panas baran. Grimmjow mempunyai sikap biadap dan ganas, mendedahkan senyuman gilanya dalam pertarungan, serupa dengan Zaraki Kenpachi. Grimmjow tidak menghormati pihak yang berkuasa dan berkata-kata tanpa memikirkan kesannya, tidak mengambil kira jika pertuturannya bersesuaian ataupun tidak. Sikapnya ini seringkali menimbulkan konflik bersama-sama Tōsen Kaname, yang telah melihat dan menganggap Grimmjow serendah darjat Zaraki. Grimmjow juga mempunyai konflik bersama-sama Ulquiorra Schiffer, Espada ke-4, selalunya disebabkan sikap Ulquiorra yang seringkali mengganggu pertarungannya. Dia juga telah mula membenci Kurosaki Ichigo setelah mencederakannya sewaktu pertarungan kedua mereka, dan tidak sabar-sabar untuk membalas dendam. Sebagai tanda peringatan akan dendamnya, Grimmjow dengan sengaja menyimpan parut di dadanya daripada pertarungan mereka yang pertama.[3]

Grimmjow merupakan Espada berkedudukan nombor 6 dalam tentera arrancar Aizen Sōsuke, bermaksud dia merupakan Espada ke-6 berdasarkan kekuatan. Grimmjow merupakan watak yang pertama yang didedahkan sebagai seorang ahli Espada. Nombor 6 ditatukan di belakang badannya di sebelah kanan lubang hollow Grimmjow. Aizen secara peribadinya menandakan setiap ahli Espada, iaitu sepuluh arrancar miliknya yang terkuat, dengan tatu-tatu sebegitu untuk memperlihat kedudukan dan kebolehan mereka. Selepas Tōsen Kaname memotong tangan Grimmjow lalu membakarnya, Grimmjow diturunkan pangkatnya dan segera digantikan oleh Luppi. Selepas Inoue Orihime menyembuhkan tangannya, dia membunuh Luppi untuk mendapatkan kembali kedudukannya, menikammya dengan tangan yang baru dipulihkan Orihime, diikuti dengan tembakan cero untuk melesapkan kewujudan Luppi sekaligus.

Grimmjow mempunyai perwatakan yang cukup biadap dan tidak mempunyai sikap menghormati orang lain. Dia langsung tidak menggunakan sebarang kata-kata hormat dalam bahasa Jepun, tambahan pula dia merujuk kepada Orihime sebagai perempuan sahaja. Disebalik perwatakannya ini, Grimmjow mempunyai suatu "kod kehormatan" yang dipatuhinya, seperti yang ditunjukkannya semasa berlawan dengan Ichigo yang telah dicederakan dengan teruk, dan mengarahkan Orihime untuk menyembuhkannya supaya dia dapat bertarung secara adil. Dia juga pernah menyelamatkan Orihime daripada dua arrancar wanita yang sedang memukul gadis itu, walaupun dia sekadar membalas budi Orihime menyembuhkan tangannya sahaja.

Rekaan watak Grimmjow mempunyai persamaan yang ketara dengan Gamma Akutabi, salah satu watak dalam manga Tite Kubo yang lebih awal, Zombie Powder. Gamma mempunyai bahan prostetik di bahagian yang sama dengan peninggalan topeng hollow Grimmjow. Mereka berdua pernah kehilangan tangan, walaupun bukan lengan di sebelah yang sama. Dalam rupa lepasan Grimmjow, dia lebih menyerupai Gamma dengan rambutnya yang panjang dan tercacak. Mereka berdua juga pernah dilakar dalam posisi yang serupa untuk muka hadapan jilid manga.

Sejarah sunting

Sebelum Grimmjow berubah kepada golongan arrancar, dia merupakan menos dalam kelas adjuchas yang berupa seperti seekor harimau kumbang. Pada satu masa, dia bertemu dengan Shawlong Qufang, Edorad Leones, Ilfort Grantz dan Nakim semasa sedang menyerang D-Roy. Shawlong mencadangkan bahawa Grimmjow mengetuai kumpulan mereka dalam pencarian mereka untuk berkembang menjadi vastro lorde, menawarkan Grimmjow status sebagai "raja" mereka jika dia menerimanya. Apabila Shawlong menyedari bahawa evolusi mereka tidak dapat berkembang lagi, dia telah meminta Grimmjow "memakan" sebahagian daripada mereka. Akibatnya, kekuatan mereka dipindahkan kepada Grimmjow dan pada waktu yang sama telah membantutkan sebarang peluang mereka untuk berkembang lebih jauh lagi.

Sinopsis sunting

Grimmjow pertama kalinya diperkenalkan memarahi Ulquiorra Schiffer supaya jangan membunuh Kurosaki Ichigo, lalu, demi memperbetul "kesilapan" Ulquiorra, Grimmjow telah mengetuai lima arrancar lain ke Bandar Karakura dalam sebuah misi untuk membunuh sesiapa sahaja yang mempunyai tenaga semangat, mahupun sedikit sahaja. Meskipun kumpulannya dikalahkan, Grimmjow sendiri berjaya mengatasi Ichigo dalam pertarungan mereka dengan mudah, dengan kecederaan yang kecil akibat daripada serangan getsuga tenshō Ichigo yang tidak menentu arah. Tōsen Kaname telah mengganggu pertarungan mereka dan telah membawa Grimmjow kembali ke Las Noches untuk dihukum; di atas keengganan Aizen berbuat demikian, Kaname telah memotong lengan Grimmjow supaya dia diturunkan pangkat.

Dalam serangan seterusnya, di mana Aizen sendiri telah menghantar Grimmjow, dia telah mencari Ichigo untuk bertarung dengannya sekali lagi. Kuasa vizard Ichigo yang baru sahaja dikawalnya memberi kelebihan dari saat awat, namun kekurangan pengalaman Ichigo telah mengakibatkan kekalahannya. Hirako Shinji muncul untuk menyelamatkan Ichigo, dan telah membuktikan dirinya sebagai lawan yang setanding dengan Grimmjow. Grimmjow dipaksa untuk berundur oleh Ulquiorra sebelum pemenangnya dapat ditentukan.

Sekembalinya di Las Noches, lengan Grimmjow dipulihkan Inoue Orihime, yang juga telah mengembalikan tatu Espadanya. Grimmjow seterusnya mengambil nyawa Luppi untuk mendapatkan kembali pangkatnya dalam Espada. Selepas mendapat tahu bahawa Ichigo telah dikalahkan oleh Ulquiorra, Grimmjow telah mengarahkan Orihime untuk menyembuh kecederaan Ichigo supaya mereka boleh bertarung dengan adil. Pertarungan tersebut berakhir dengan kekalahan Grimmjow, diikuti dengan serangan Nnoitra terhadap Ichigo sejurus selepas itu. Nnoitra yang menjumpai Grimmjow dalam keadaan sebegitu, telah hampir membunuhnya, sehinggalah Ichigo datang melindungi lawannya itu.

Kuasa sunting

 
Bentuk lepasan zanpakutō Grimmjow.

Grimmjow merupakan Sexta Espada ataupun Espada keenam, menjadikannya arrancar nombor 6 terkuat di bawah arahan Aizen. Selain daripada kelebihan yang ditawarkan zanpakutōnya, Grimmjow tidak mempunyai sebarang kebolehan unik yang lain, tetapi hanya menggunakan kebolehan umum hollow sahaja, seperti tembakan cero, dalam sesebuah pertarungan. Sebagai seorang Espada, dia mampu menggunakan serangan yang eksklusif untuk ahli Espada, iaitu serangan gran rey cero, di mana sebuah tembakan cero yang jauh lebih berkuasa dapat dihasilkan.

Pantera sunting

Nama zanpakutō Grimmjow ialah Pantera (Jepun: 豹王, makna kasar: raja harimau bintang, namun dibaca dalam bahasa Sepanyol sebagai harimau kumbang).[4] Tsuba zanpakutōnya menyerupai huruf "S" bengkok, manakala sarung dan pemegangnya berwarna biru cair. Resurrección zanpakutō Grimmjow diaktifkan dengan arahan "kisar" (Jepun: 軋れ, Hepburn: kishire, merujuk kepada mengisar menggunakan gigi).[5]

Selepas "melepaskan" zanpakutōnya, grimmjow kelihatan lebih felin, mendapat beberapa ciri tambahan seperti gigi bergerigi dan berekor. Ekornya boleh digunakan sebagai cemeti.[6] Rambutnya menjadi panjang dan bermaya, dan ukiran matanya membesar, memanjang hingga ke hujung telinganya. Dia kehilangan topengnya dan digantikan dengan sejenis makhota di atas dahinya. Pakaiannya berubah menjadi sut putih yang dilorek dengan garis-garis, serupa dengan bentuk asal hollownya.

Selain daripada tahap kelajuan dan kekuatannya yang menakjubkan, bentuk lepasan Grimmjow menambah lagi kepantasan pergerakannya dan memberinya kawalan yang setanding. Dalam bentuk ini, dia juga boleh mengaum dengan kuat untuk mencipta gelombang-gelombang di udara. Dia juga mampu menembak beberapa "anak panah" daripada sikunya dengan kekuatan yang mencukupi untuk menghancurkan bangunan-bangunan besar. Tambahan pula, Grimmjow mampu mencipta serangan bertenaga daripada kukunya yang bergelar desgarrón (bahasa Sepanyol untuk "koyak") daripada hujung jarinya.

Kemunculan dalam media-media lain sunting

Grimmjow merupakan watak dalam beberapa permainan video berlawan, dan akan mempunyai album wataknya sendiri, iaitu sebahagian daripada Bleach Beat Collection 3rd Session. Dua lagu vokal yang dimasukkan adalah BrEaK dan Sex feelings.

Nota dan rujukan sunting

  1. ^ (Inggeris) http://www.atsuicon.com/Guestlist-VA-DavidV.html
  2. ^ Bleach Beat Collection Third Session 2 memberikan ejaan Bahasa Inggeris rasmi yang pertama, namun sering menukar nama akhirnya.
  3. ^ Manga Bleach; bab 279, halaman 18 & 19.
  4. ^ Manga Bleach; bab 281, halaman 6.
  5. ^ Manga Bleach; bab 236, halaman 13.
  6. ^ Manga Bleach; bab 282, halaman 13.