Gua Telinga merupakan sebuah gua yang terletak di Taman Negara. Ia merupakan sebuah gua batu kapur dan terletak kira-kira 2.6km (1.6 batu) dari Kuala Tahan, Pahang, Malaysia.[1] Gua Telinga terletak di kedudukan terpencil dan hanya boleh dicapai dengan menggunakan jalan denai ini amat sesuai bagi mereka yang gemarkan cabaran dan pengembaraan lasak.

Gua Telinga boleh dicapai melalui jalan darat ataupun melalui sungai. Untuk melalui jalan darat, ia mengambil masa sekitar sejam setengah berjalan kaki untuk sampai ke gua itu. Pelancong juga boleh menaiki bot sehingga ke jeti berdekatan, diikuti dengan setengah jam berjalan kaki sehingga samapai ke pintu gua.

Di dalam gua tersebut terdapat tali panduan bagi para pengunjung melalui laluan sejauh 80 meter (87 ela) yang melalui beberapa kamar. terdapat juga anak sungai yang mengalir dalam gua tersebut. Gua Telinga juga memiliki beberapa bahagian yang agak sempit dan meneroka gua ini boleh memakan masa selama beberapa jam, merangkat melalui laluan sempit, dan melangkah merentasi lantai gua yang licin.

Gua batu kapur ini melindungi pelbagai hidupan liar seperti Kelawar Ladam Bulat Malaya, katak belang hitam, kodok gergasi, labah-labah cemati, riang-riang gua, lipas, gonggok, dan ular gua racer snake[2] yang memakan kelawar. Ular racer dan labah-labah cemati tidak berbisa.

Selain itu para pelawat dapat melihat dengan sendiri, lukisan di dinding gua yang membuktikan kehadiran penempatan manusia awal di situ. Pelawat dinasihatkan agar tidak menyentuh, menconteng atau merosakkan apa-apa sebagai warisan generasi akan datang.

Penerokaan dan keselamatan sunting

Para pelawat disarankan agar memakai pakaian dan kasut yang sesuai untuk meneroka gua Telinga ini. Ini adalah kerana mereka perlu berjalan kaki untuk sampai ke sana, dan keadaan lantai gua yang basah dan licin. Lampu suluh atau lampu kepala juga perlu di bawa kerana gua Telinga ini tidak dilengkapi dengan lampu dan amat gelap.

Sungguhpun terdapat tali panduan, peneroka gua Telinga juga dinasihatkan agar jangan meneroka secara bersendirian untuk mengelak kejadian yang tidak diingini. Selain itu pengunjung perlu memberitahu orang lain sebelum memulakan perjalanan ke gua tersebut.

Perjalanan sunting

Dalam perjalanan ke gua Telinga ini, para pelawat akan melalui perjalanan merentasi hutan hujan khatulistiwa yang menyeronokkan. Hutan hujan dara ini, yang kaya dengan pelbagai kehidupan liar menawarkan pengalaman yang memukau. Kesemua flora dan fauna ini saling wujud selama jutaan tahun dan memiliki sistem ekologi yang rumit dan saling menyokong semasa sendiri. Tumbuhan memerlukan haiwan untuk pendebungaan dan penyebaran benih, sementara haiwan memerlukan tumbuhan sebagai tempat tinggal, berlindung dan sebagai sumber makanan.

Hutan hujan ini adalah tebal dengan pokok pelbagai ketinggian dan saiz, dan para pelawat dinasihatkan agar tidak melencong dari lorong yang telah ditetapkan dan berhati-hati dengan lintah. Bagaimanapun, para pengunjung yang tabah akan mengalami pengalaman yang unik dan dapat mendengar pelbagai bunyi kicauan burung, patukan burung belatuk, sahutan monyet, panggilan siamang, dan dengusan babi hutan, selain dari bunyi latar hutan yang terdiri daripada beribu-ribu riang-riang dan cengkerit.

Mereka yang bernasib baik dan memiliki penglihatan yang tajam mungkin akan dapat melihat kelibat monyet, tupai terbang, ular menjalar, dan pelbagai haiwan kecil dan besar yang terdapat di situ. Rama-rama dengan sayap bewarna-warni seperti pelangi, labah-labah dengan sarang suteranya yang indah, gonggok dan halipan kesemuanya menawarkan perjalanan ke gua Telinga yang sukar dilupakan. [3]

Selain gua Telinga, gua lain yang boleh dilawati adalah Gua Telinga, Gua Kepayang Kecil, Kepayang Besar, Gua Luas, Gua Landak, Gua Tumpat, Gua Siput, Gua Cemara, and Gua Peningat.

Rujukan sunting

  1. ^ "Gua Telinga". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-08-31. Dicapai pada 2013-08-22.
  2. ^ "Cave Dwelling Snake". Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-01-25. Dicapai pada 2013-08-22.
  3. ^ (Inggeris) CAVE FAUNA.

Pautan luar sunting