Hafsah Harun

ahli politik Malaysia

Dato' Sri Hajah Hafsah Harun (1940-kini) ialah seorang tokoh politik veteran dari Sarawak, Malaysia.

Hafsah Harun
Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri
Dalam jawatan
1 Januari 2019 – 31 Disember 2019
MenteriWan Azizah Wan Ismail
Anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak
untuk Petra Jaya
Dalam jawatan
1979–1987
Anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak
untuk Semariang
Dalam jawatan
1976–1979
Butiran peribadi
Lahir1940
Parti politik Parti Keadilan Rakyat (2003-kini)
Persatuan Rakyat Malaysia Sarawak (1987-1991)
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (1976-1987)
IbuLily Ebervein Abdullah
BapaHarun bin Haris

Latar belakang sunting

Beliau lahir pada tahun 1940, dan merupakan anak perempuan kepada pasangan Lily Ebervein Abdullah dan Harun bin Haris. Hafsah menerima pendidikan awal di Sekolah Rakyat, Kuching dan melanjutkan pelajaran di Sekolah St. Marys dari tahun 1948 hingga tahun 1957. Setelah menamatkan pelajarannya, Hafsah bertugas sebagai guru di Sekolah Rendah Persendirian Satok dan kemudian dilantik menjadi pengetua sekolah tersebut. Beliau giat dalam persatuan dan pergerakan wanita termasuklah pernah menjadi Pengerusi bagi Sarawak Federation of Women's Institute (SFWI) yang merupakan pertubuhan wanita terbesar di Sarawak yang ditubuhkan sejak tahun 1962[1]. Suami beliau ialah Haji Abang Muas bin Temenggong Datuk Safuani

Politik sunting

Beliau merupakan wanita kedua dari Sarawak yang menjadi pemimpin politik pascapembentukan Malaysia, selepas Datuk Ajibah Abol[2]. Beliau mula aktif dalam politik dengan menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang ketika itu bersama dalam gabungan Barisan Nasional. Beliau merupakan pengerusi kedua Pergerakan Wanita PBB (1975-1987). Setelah hampir 11 tahun bersama PBB, beliau bertindak keluar parti pada 1987 selepas berlaku konflik politik di negeri tersebut. Beliau aktif dalam sebuah parti pembangkang di Sarawak iaitu Parti Rakyat Malaysia Sarawak (PERMAS) pada 1987 dan jawatan terakhirnya sebelum parti tersebut dibubarkan ialah Naib Presiden. Pada tahun 2003, beliau menjadi antara pengasas bersama Parti Keadilan Rakyat[3] sebagai Naib Presiden (Sarawak) selain pernah menjadi Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak. Kini beliau merupakan Penasihat PKR Sarawak[4][5].

Pilihan raya sunting

Nama beliau mula dikenali apabila menjadi calon BN-PBB dalam Pilihan raya kecil DUN Semariang 1976 yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ajibah Abol. Dalam pilihan raya berkenaan, beliau menang dan menjadi ADUN Semariang sehingga 1978. Kemudian beliau menjadi calon BN-PBB dalam Pilihan raya negeri Sarawak 1979 dan menang sebagai ADUN Petra Jaya untuk penggal pertama (1979-1983). Beliau sekali lagi menjadi ADUN Petra Jaya untuk penggal kedua (1983-1987) selepas menang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 1983 sebagai calon BN-PBB menentang Mohd Fauzi Bolhassan (Bebas) dan Eden Abdullah (BERSATU). Hafsah menang dengan undian 6,107manakala Mohd Fauzi menerima 1,265 undi dan Eden mendapat 544 undi. Beliau turut bertanding dalam Pilihan raya negeri Sarawak 1987 dan Pilihan raya negeri Sarawak 1990 atas tiket PERMAS di DUN Petra Jaya, tetapi tewas kepada Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi (BN-PBB) di kedua-dua pertandingan. Pada pilihan raya negeri Sarawak 1987, Hafsah mendapat 2,696 undi berbanding 6,006 undi yang diperolehi oleh Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi.

Kerajaan sunting

Semasa bersama Barisan Nasional Sarawak, beliau telah dilantik menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak pada 1981 hingga 1985, Menteri Pembangunan Sosial pada 1985 hingga 1987. Beliau juga pernah menjadi Menteri Muda pada penggal 1976-1981.

Semasa Pakatan Harapan memerintah Malaysia, beliau telah dilantik untuk jawatan bukan eksekutif sebagai Penasihat Khas (Hal Ehwal Sarawak) di Pejabat Timbalan Perdana Menteri selama setahun (1 Januari 2019 hingga 31 Disember 2019)[6][7]

Anugerah & pengiktirafan sunting

  •   Sarawak
    • Darjah Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S.) - Dato' Sri - 1986
  •   Malaysia
    •   Johan Mangku Negara (J.M.N.) - 1981

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Kunjungan Ziarah Pimpinan Terhadap Datuk Hajjah Hafsah Hj Harun Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak
  2. ^ Susan Blackburn, Helen Ting. Women in Southeast Asian Nationalist Movements. ISBN 978-9971-69-674-0 NUS Press, 31 Jul 2013. m/s.192
  3. ^ Parti gabungan Keadilan, PRM dilancar Yayasan Kepimpinan Perdana
  4. ^ Syahidatul Akmal Dunya PKR Sarawak umum Majlis pimpinan Negeri Sinar Harian
  5. ^ Tajem Dilantik Penasihat PKR Sarawak mStar
  6. ^ Hamzah Ali Hafsah Harun dilantik Penasihat Khas Hal Ehwal S’wak di Pejabat TPM SarawakVoice
  7. ^ Hafsah appointed special advisor in DPM’s office BorneoPost