Haku (, ditulis dalam jōyō kanji, bermaksud "putih") ialah satu watak fiksyen dalam siri anime dan manga Naruto. Dalam alih bahasa Malaysia, nama Haku ditukar kepada Shiro dalam episod 15, menyebabkan timbulnya tanda tanya sama ada ini adalah nama keluarganya. Walau bagaimanapun Haku tidak mempunyai nama keluarga.

Latar BelakangSunting

Kehidupan awalSunting

Haku dilahirkan dalam kampung yang sentiasa dilitupi salji di Tanah Air. Sebelum dia dilahirkan, peperangan telah melanda negara tersebut dan disebabkan kebanyakan ninja yang mempunyai kekkei genkai digunakan sebagai senjata untuk membunuh, banyak orang berasa takut akan kehadiran mereka. Ibu Haku adalah salah seorang daripada mereka yang mewarisi kekkei genkai tersebut dan cuba menyembunyikan perkara ini. Dia kemudiannya berkahwin dan melahirkan Haku. Walaupun mereka anak-beranak dapat hidup secara aman buat beberapa ketika, Haku menyedari bahawa dia juga mewarisi kekkei genkai ibunya. Malangnya, dia dijumpai oleh ayahnya ketika sedang memanipulasi air untuk menghiburkan diri. Ayah Haku kemudiannya bekerjasama dengan beberapa orang penduduk untuk membunuh isterinya. Mereka juga berhasrat untuk menamatkan riwayat Haku tetapi tidak sempat berbuat demikian; Haku dengan tidak sengaja telah memenuhi rumah tersebut dengan lembing-lembing ais sekaligus membunuh semua orang di sekitarnya.

Selepas kejadian itu, Haku berkelana di Tanah Air sebagai pengemis sehinggalah dia dijumpai oleh Momochi Zabuza yang mengambilnya sebagai anak murid dan pengikut. Haku pula bersedia untuk menjadi senjata terhebat bagi Zabuza. Sejak hari itu, Haku sentiasa berusaha untuk melindungi Zabuza daripada sebarang ancaman; Haku pernah mematahkan pergelangan tangan Gato semasa Gato ingin merentap tubuh Zabuza. Apabila Haku ditewaskan oleh Naruto, dia meminta Naruto untuk membunuhnya memandangkan dia tidak lagi berguna kepada tuannya serta tidak mempunyai tujuan untuk terus hidup.

PersonalitiSunting

Haku sebenarnya agak telus dan lurus, tidak seperti Zabuza. Personalitinya seolah-olah tidak dipengaruhi langsung oleh kezaliman dan kekejaman Zabuza. Haku sendiri juga pernah mengaku bahawa dia tidak dapat memahami falsafah shinobi yang mewajibkan pembunuhan. Malah, Haku sentiasa cuba mengelakkan diri daripada membunuh setiap kali dia bertarung.

KebolehanSunting

Kekkei genkai Haku dikenali sebagai 'Hyoton' yang membolehkannya menggunakan kedua-dua chakra berelemen air dan angin secara serentak untuk menghasilkan ais. Tambahan pula, Haku merupakan satu-satunya watak dalam siri Naruto yang boleh menggunakan satu tangan sahaja dalam melakukan ninjutsu. Dia juga bersikap analitik; Haku dapat memahami konsep penggunaan Sharingan walaupun menyaksikannya buat kali pertama dan boleh merancang untuk mengatasi Sharingan.

Haku mempunyai pengetahuan yang luas tentang anatomi manusia dan berupaya membunuh seseorang dengan sepatah jarum sahaja. Hatake Kakashi menyatakan bahawa semua ahli ANBU diajar untuk memahami setiap fungsi bahagian badan manusia. Maka, terdapat kebarangkalian sama ada Haku sendiri merupaka bekas ahli ANBU atau pun dia mempelajari kemahiran tersebut daripada Zabuza.

Babak Negara OmbakSunting

Selepas kekalahan Zabuza kepada Kakashi, Haku yang menyamar sebagai ninja pemburu dari Kirigakure (Kampung Kabus) menikam leher Zabuza dengan dua patah jarum. Tindakan ini memberi gambaran bahawa Haku telah membunuh Zabuza dan berpeluang melarikan tubuhnya tanpa diserang oleh Pasukan 7. Tetapi, tindakan ini kemudiannya disyaki oleh Kakashi yang mempercayai bahawa Zabuza belum mati dan ninja pemburu yang muncul secara tiba-tiba ialah sekutu Zabuza.

Pendapat Kakashi dibuktikan benar apabila Zabuza dan Haku muncul semula seminggu selepas 'pembunuhan' Zabuza. Haku berdepan dengan Uchiha Sasuke yang berupaya mengelak 'Sensatsu Suishō, 千殺水翔' (Ribuan Jarum Air Maut). Haku berasa terkejut setelah melihat ketangkasan Sasuke mengelak setiap jarum yang ditujukan kepadanya lalu menggunakan 'Makyō Hyō Shō, 魔鏡氷晶' (Cermin Kristal Syaitan). Dengan ini, Haku dapat bergerak dengan cepat melalui cermin-cerminnya. Peluang juga terbuka seluas-luasnya untuk menyerang pihak lawan.

Dengan cepat, Haku dapat menewaskan Sasuke dan kemudiannya Naruto. Apabila serangan Haku seolah-olah telah membunuh Sasuke (sebenarnya, Sasuke hanya koma dan masih hidup), Naruto berasa marah dan menyebabkannya menggunakan chakra Kyubi. Sebagai akibatnya, Naruto dapat bergerak lebih cepat daripada Haku dan berjaya menangkap dan seterusnya mengalahkannya dengan satu tumbukan. Apabila Naruto hendak membunuh Haku, topengnya terbelah dua dan mendedahkan wajah seorang budak lelaki.

Naruto mengecam wajahnya sebagai budak lelaki yang ditemui di hutan sebelum ini menyebabkan dia tidak sampai hati untuk meneruskan serangannya. Tetapi, Haku meminta Naruto untuk menamatkan riwayatnya memandangkan dia tidak lagi mempunyai sebab untuk terus wujud. Selepas menceritakan kisah zaman kanak-kanaknya kepada Naruto, Naruto bersetuju untuk membunuhnya dengan harapan Haku akan menemui kebahagiaan di dunia yang lain. Tetapi, sebelum Naruto sempat berbuat demikian, Haku merasakan Zabuza ditimpa bahaya dan memohon maaf kerana terpaksa memlakukan sesuatu dahulu.

Apabila Kakashi cuba membunuh Zabuza dengan Chidori, Haku meletakkan dirinya di antara mereka. Kakashi tidak sempat menghentikan serangannya dan Chidori tersebut menembusi jantung Haku. Sebelum mati, Haku memegang tangan Kakashi supaya Zabuza dapat menyerang balas. Tetapi, Zabuza nampaknya tidak kisah akan kematiannya malah sanggup menikam Kakashi menerusi badan Haku. Apabila Naruto memberitahu perasaan dan pandangan Haku terhadap tuannya, Zabuza menitiskan air mata dan mengakui perasaan sebenarnya terhadap Haku. Selepas membunuh Gato, Zabuza rebah. Dia kemudiannya meminta Kakashi untuk meletakkannya di sebelah Haku; Zabuza mahu menemani Haku sebagaimana Haku sentiasa berada di sampingnya. Zabuza meluahkan hasratnya untuk ke tempat yang akan dituju oleh Haku selepas ini sebelum menghembuskan nafas terakhir. Kakashi percaya bahawa mereka berdua akan bersua semula di tempat tersebut.


Sumber-sumberSunting

  • Buku Data Rasmi Pertama (秘伝・臨の書キャラクターオフィシャルデータBOOK, Buku Watak Rasmi)
  • Buku Data Rasmi Kedua (秘伝・闘の書キャラクターオフィシャルデータBOOK, Hiden: Tō no Sho Character Buku Watak Rasmi)
  • Buku Data Mini Hero Jump ke-2 (秘伝・翔の書オフィシャルキャラクターデータBOOK mini, Hiden: Shō no Sho Buku data mini rasmi)
  • Buku panduan anime dan manga Naruto (秘伝・翔の書オフィシャルキャラクターデータBOOK mini, Hiden: Shō no Sho Buku data mini rasmi)
  • Diambil secara terus daripada babak manga dan episod anime Naruto.