Hasyuda Abadi

penulis Malaysia

Hasyuda Abadi adalah nama pena bagi Haji Sukor bin Haji Usin seorang sasterawan Malaysia. Dilahirkan pada 1 September 1960 di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah, Malaysia. Ayahnya berketurunan suku Murut, berasal dari daerah Tenom, Sabah. Ibu Hasyuda Abadi berketurunan suku Jawa, berasal dari daerah Beaufort. Lima orang adik Hasyuda terdiri daripada seorang lelaki dan empat perempuan.  

Hasyuda Abadi
Kelahiran
Haji Sukor bin Haji Husin

(1960-09-01) 1 September 1960 (umur 63)
Nama lainHasyuda Abadi
PekerjaanSasterawan
Tahun aktif1979–2015
PasanganYazidah Yau Abdullah
Sahara Jais
Anak-anak5

Kehidupan Peribadi sunting

Hasyuda mendirikan rumah tangga dengan Puan Yazidah Yau Abdullah (1963-2010) dan telah dikurniakan dengan 2 orang puteri iaitu Syahzierah dan Syahfierah dan seorang putera yang bernama Muhammad Yazin. Kemudian berkahwin semula setelah Puan Yazidah kembali ke rahmatullah, dengan penyair Sahara Jais pada 2010 yang melahirkan Syahierah Insyirah (2011) dan Sumayyah Zhufairah (2013). Pada masa ini, Hasyuda pernah memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS) selama 20 tahun, menjadi ahli seumur hidup Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan ahli seumur hidup Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Hasyuda juga merupakan Timbalan Pengerusi Masjid al-Mujahiddin Kg Gudon Manggatal, aktivis kemasyarakatan melalui Baitul Muqaddam dan aktivis Parti Warisan Sabah.

Kehidupan Awal sunting

Hasyuda Abadi menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Lumadan, Beaufort pada 1967-1972 kemudian meneruskan pendidikannya di Sekolah Menengah St John Beaufort sehingga  Tingkatan Lima aliran Sains pada 1973-1978 .

Latar awal kehidupan kecilnya, Hasyuda Abadi didedahkan dengan aktiviti seni pentas seperti bangsawan, sandiwara, persembahan kugiran dan tarian di tempat kelahirannya. Penggiat seni ketika itu terdiri daripada para guru dan pekerja ladang getah. Setiap hujung bulan diadakan persembahan seni dan pelbagai aktiviti yang diminati masyarakat ladang ketika itu. Lumadan Estate (kini Ladang Lumadan, getah diganti dengan penanaman kelapa sawit) memang amat terkenal dengan aktiviti seni dan kebudayaan. Di ladang ini terdapat sebuah panggung kayu; di situlah Hasyuda  Abadi beraksi buat pertama kali membaca sajak ketika dalam darjah tiga (berusia sembilan tahun). Hasyuda Abadi pernah bercita-cita menjadi seorang guru tetapi tidak pernah bercita-cita menjadi penulis. Namun bakatnya tiba-tiba menjelma ketika berhijrah ke Kota Kinabalu pada tahun 1979 apabila mendapat tawaran kerja di Jabatan Penyiaran Malaysia. Di jabatan ini Hasyuda hanya bertahan selama 6 tahun sebelum berpindah ke Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah. Pada tahun 2015, Hasyuda Abadi bersara secara pilihan.

Hasyuda Abadi cenderung kepada penulisan puisi dalam masa yang sama juga menghasilkan karya-karya lain seperti cerpen, esei sastera, esei kritikan dan drama. Karya pertama Hasyuda merupakan sebuah karya protes bertajuk ‘Mengapa oh Mengapa’ tersiar di Sabah Times pada 13 Disember 1980.

Pada peringkat awal, bentuk tulisan Hasyuda begitu dipengaruhi karya-karya Datuk Hajah Zaiton Ajamain, kerana beliaulah guru Hasyuda Abadi di peringkat awal ketika mengikuti kegiatan-kegiatan kesenian Kumpulan Anak Seni pada 1979. Selepas itu melalui kewibawannya prolifik dalam pengkaryaam sering menyertai bengkel penulisan dan aktiviti persuratan, beliau berjaya membina dunia persuratan mengikut acuan dan bentuknya sendiri.

Hasyuda kini telah bersara dari Kerajaan setelah berkhidmat selama 36 tahun. Mengurus Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA) dan Rumah Ngaji Baitul Muqaddam.

Pencapaian sunting

Karya-karya Hasyuda Abadi banyak tersiar di media massa di Sabah seperti Harian Ekspress, Sabah Times, Borneo Mail, Berita Sabah dan Utusan Borneo kemudian di media nasional seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah-majalah terbitan DBP. Hasyuda amat prolifik mulai tahun 1981 apabila hampir setiap minggu karyanya tersiar di media massa di Sabah.

Pada 1985, sebuah karyanya bertajuk Salam Buat Kekasih yang tersiar di Harian Ekspres pada 17 November 1985 telah terpilih menerima Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985. Kemenangan puisi Hasyuda Abadi ini merupakan kesinambungan penulis-penulis terdahulu seperti Datuk Haji Jamdin Buyung, Tuan Haji Hasyim Jeffri dan S. Mala dengan tempoh yang sangat langka.

Pada tahun 1987, beliau mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah di bawah asuhan penyair Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Pada tahun 1997, Hasyuda Abadi bernasib baik kerana terpilih menyertai Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta. Program anjuran Mastera ini dibimbing oleh Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail.

Hasil daripada Program Penulis Anak Angkat telah melahirkan buku puisi sejarahnya berjudul Balada Paduka Mat Salleh. Buku ini telah diterbitkan oleh DBP pada tahun 1989. Buku puisi panjang ini berlatar belakangkan sejarah perjuangan seorang pahlawan Negeri Sabah menentang Inggeris pada 1896-1900. Buku ini dianggap satu-satunya buku puisi sejarah yang dihasilkan penulis Sabah dan Malaysia ketika itu.

Kegiatan persuratan yang rancak di Negeri Sabah sepanjang 4 dekad telah menajamkan mata pena Hasyuda Abadi. Beliau begitu giat melahirkan puisi-puisi tanpa merasa jemu. Hasyuda sering memenangi Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah dan DBP Cawangan Sabah bermula tahun 1988. Kegiatan ini berlangsung setiap tahun bersempena dengan Malam Pengucapan Puisi Berunsur Islam di Negeri Sabah.

Hasyuda menjadi penerima Hadiah Sastera Sabah pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007, 2008, 2012, 2014 2016, 2018 dan 2020 bagi genre puisi dan cerpen. Selepas Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985, Hasyuda Abadi meraih Hadiah Sastera  Sastera Perdana Malaysia pada 2008 dan 2019. Hasyuda merupakan pemenang Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011 anjuran DBP Cawangan Sabah melalui kumpulan puisinya berjudul 'Perlimbahan Cinta'. Hasyuda juga turut memenangi Hadiah Menulis Cerpen (Juara) dan Puisi (Naib Juara) berunsur Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri sempena Karnival Kesenian Islam 2011.

Skrip drama pentas Hasyuda berjudul “Takungan Bayu” telah memenangi hadiah kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah pada tahun 1995. Pencapaian Hasyuda dalam bidang penulisan yang lain ialah Hadiah Penyajak Terbaik Berita Sabah (1997), Hadiah Tinta Sastera (1999 dan 2004) dan Hadiah Karya Sulung (2002)

Puisi Hasyuda Abadi pernah dibacakan semasa majlis perbarisan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Kota Kinabalu. Di samping aktif sebagai penulis, Hasyuda Abadi juga sering diundang menjadi pembimbing bengkel-bengkel penulisan baik daripada DBP Cawangan Sabah, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sabah dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (Ngo) di Sabah. Beliau juga pernah terlibat sebagai Ketua fasilitator dan fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) Khidmat Negara di Sabah. Hasyuda Abadi juga merupakan pemula untuk progam SUNTIK yang diusahakan oleh beberapa orang penulis dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah.

Dalam aktiviti antarabangsa Hasyuda pernah menyertai KL Poetry Reading 2000 di Kuala Lumpur, Korean-Asean Poet and Literature Festival di Riau, Indonesia (2011), Baca Puisi Dunia Numera di Kuala Lumpur (2014), Temu Sastra Indonesia-Malaysia (2015), Perhimpunan Budayawan Sastrawan Negara Serumpun di Jogjakarta (2016) dan banyak lagi program persuratan yang lain,

Hasyuda Abadi juga turut menyumbang dalam penulisan esei kritikan. Pada sisi ini, beliau pernah menjadi kolumnis di Utusan Borneo Sabah yang disiarkan pada setiap hari Ahad. Ruang pojok beliau ‘Sesekali Menoleh ke Belakang’ memaparkan pemikiran, ulasan dan apresiasi dunia kesusasteraan semasa.

Hasyuda Abadi merupakan ahli Ikatan Penulis Sabah sejak 1992, menjadi ahli sepanjang hayat Persatuan Penulis Nasional (PENA), ahli sepanjang hayat Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan merupakan Pengarah Urusan Institut Penilaian Sastera (INPES). Pada masa ini Hasyuda sedang mengikuti pengajian di Universiti Terbuka Malaysia (UNITEM), Negeri Sabah dalam pengkhususan Pengajian Melayu dengan Kepujian. Kini beliau mengurus Akademi RupHA (Rumah Puisi Hasyuda Abadi), Pustaka Iqbal Nazim dan Rumah Ngaji Baitul Muqaddam. Beliau memimpin Ikatan Penulis Sabah (IPS) selama 2 dekad sebelum menjadi Ketua Majlis Penasihat IPS.

Atas keprolifikan dan ketekalan Hasyuda Abadi dalam dunia penulisan, beliau telah dianugerahkan Tokoh Penyair Islam Sabah 2008. Anugerah ini telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Ahmad Shah Abdullah. Sebelum itu Hasyuda Abadi menerima Hadiah Tinta Sastera (Kategori Puisi) tahun 1999 dan 2004 sebagai penulis paling prolifik di Sabah pada tahun-tahun penilaian.

Hasyuda Abadi ialah penerima darjah kebesaran Negeri Sabah 'Bintang Kinabalu' (B.K.) pada tahun 2006 , daripada kerajaan Persekutuan Malaysia 'Pingat Pangkuan Negara (P.P.N)' oleh DYMM SPB Yang Di-Pertuan Agong pada tahun 2008 dan juga daripada TYT Yang diPertua Negeri Sabah dengan Bintang Setia Kinabalu (BSK) pada tahun 2013.

Karya sunting

Hasyuda telah menghasilkan lebih 1,000 buah puisi di pelbagai media, 45 buah cerpen, 300 buah esei sastera dan 15 buah skrip drama pentas/radio. Puisi-puisi Hasyuda dimuatkan dalam kumpulan puisinya: ‘Balada Paduka Mat Salleh’ (DBP, 1989), ‘Akar Cahaya’ (IPS, 1997), ‘Datang Kembali’ (IPS, 1997), 'Menginai Badai' (DBP, 2004), 'Sirna Sirna' (DBP, 2006) dan 'Kembali di Lahad Rahsia' (Iris, 2008), 'Suara yang Terbuka' (ITBM, 2014) dan ‘Kelahiran Sekuntum Cermin’ (Iris, 2018). Cerpen-cerpen Hasyuda dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' (Inpes, 2004). Sebuah buku himpunan pantun karya Hasyuda Abadi juga diusahakannya dalam 'Usul Mengenal Asal' (IPS, 2014). Puisi-puisi Hasyuda Abadi juga turut diterbitkan secara bersama dengan para penulis lain melalui 65 buah antologi puisi, antologi cerpen (3 buah), antologi skrip drama pentas (1 buah) dan antologi esei sastera (3 buah).

Tanggapan Para Penggiat Sastera terhadap Hasyuda sunting

T. Alias Taib pernah memberi sebuah tanggapan kepada Hasyuda dalam Dewan Sastera, April 2000 yang berbunyi:

“Hasyuda Abadi, tampaknya, berusaha memberikan kita ungkapan asli dan imaginatif”.

Manakala, Dharmawijaya pula berkata dalam Dewan Sastera pada Mei 2003 dengan berbunyi:

“Karya Hasyuda Abadi memperlihatkan ketelitiannya dalam pendayagunaan bahasa”.

Dato Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) pula pernah memberikan kata-kata penghormatannya kepada Hasyuda dengan mengatakan:

“Keahliannya (Hasyuda Abadi) ialah dalam epik dan sejarah, namun suaranya juga mulai mendekam pada yang Islami. Sejak kapan dia berubah? Agaknya selepas dia faham makna cinta sejati. Api cintalah yang bernyala di mata Umar Al-Farid dan Iqbal, tapi cinta dan cinta saja tidak bererti andainya tidak dicantas duri dan ranjau yang menutup kebenaran. Apakah bezanya temaram (pancaran) bulan dilangit dan bayangan bulan di danau (tasik)? Saya pernah mengasuhnya dulu, mungkin kini dia sudah melalui denainya sendiri…….” Rujukan - http://groups.yahoo.com/group/Zikir_group/message/760.

...dunia kepenyairan Hasyuda Abadi sebenarnya masih lagi berkembang. Penyair ini terus rajin berkarya. Penyair yang baik dan rajin sepertinya tidak selalu lahir di dunia ini. Dia hanya muncul sekali dalam satu generasi. Itulah kelebihan Hasyuda Abadi dan kita masih lagi belajar memahami dirinya, mengenali sistem tanda yang dilahirkannya. Namun yang pasti, setiap karyua puisi yang dilahirkan oleh penyair ini adalah satu langkah lagi ke arah pengukuhan peribadi dan jati dirinya. Rujukan - Jasni Matlani dalam Pengantar Kumpulan Puisi Kembali di Lahad Rahsia.

Datuk Jasni Matlani melihat Hasyuda Abadi dalam telaahannya sebaga:

"Salah seorang penulis yang amat konsisten dalam bidang kepenyairan di Sabah ialah Hasyuda Abadi. Penulis ini mencipta rekod dalam sejarah sastera Sabah sebagai penulis yang amat menyerlah dalam genre puisi selama 40 tahun secara berterusan. Kata Socrates, setiap orang mempunyai matahari dalam hatinya, dan Hasyuda Abadi mengetahui beliau memiliki matahari yang baik untuk semua orang, bukan matahari yang boleh menyebabkan manusia di sekelilingnya terbunuh. Hasyuda Abadi mengisi keperluan manusia terhadap matahari dengan caranya sendiri, melalui puisi-puisinya yang bervariasi, dengan permainan kata-kata yang indah dan mesejnya yang menggugah hati nurani manusia dan membijaksanakan. Walau apa pun alasannya, karya puisi penyair ini meskipun kritis, tetapi selalu membawa manusia keluar daripada jaring kegelapan dan berhijrah ke dunia baharu yang bermandikan cahaya. Apabila memikirkan hal ini, matahari yang ada di dalam diri penyair ini sesungguhnya menerangi orang lain dengan begitu indah dan mengagumkan."

Prof. Madya (ts) Dr Ramzah Dambul, Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaysia Sabah, ketika membaca karya-karya Hasyuda Abadi:

"Berbeza dengan beberapa penyair Sabah, Malaysia yang pernah kita mesrai karyanya, Hasyuda Abadi memilih jalur fikir yang agak tersendiri. Ketika ramai penyair lain gemar berbicara tentang konflik dalaman diri (sama ada melibatkan gelora cinta, idealisme, kerohanian atau pencarian nur jiwa) – penyair ini keluar dari kongkongan begitu. Beliau lebih cenderung memberi kritik sosial. Yang ditujukan kepada pelbagai ceruk komuniti dan entiti-entiti manusiawi yang terolah di persekitaran."

Narudin seorang komentar sastera di Indonesia menyatakan:

"Di Indonesia, secara komparatif, puisi-puisi Hasyuda Abadi mengingatkan pada puisi-puisi demonstrasi Taufiq Ismail dan puisi-puisi pamflet W.S. Rendra. Namun, letak perbedaannya, Hasyuda Abadi tengah terus mendobrak tradisi puisi Melayu di Malaysia dengan bentuk puisi prosais-nya ini. Dengan demikian, Hasyuda Abadi saya sebut sebagai salah satu penyair kontemporer Sabah, Malaysia."

Rujukan sunting