Hikayat Raja-raja Pasai

(Dilencongkan dari Hikayat Raja Pasai)

Hikayat Raja-Raja Pasai atau Hikayat Raja Pasai karya karya sastera bahasa Melayu tulisan Jawi menceritakan kisah raja-raja di negara Islam pertama di Asia Tenggara kini yang bernama Pasai. Tidak dapat dipastikan tarikh awal hikayat ini ditulis kerana pada masa itu tradisi menceritakan semula cerita orang lain (seperti yang dilakukan pada cerita lisan) berlaku dan dianggap sebagai sesuatu yang wajar. Perhatikan bahagian awal petikan Hikayat Raja Pasai yang berikut ini:

Hikayat Raja-raja Pasai
Alkisah peri mengatakan cerita raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka adalah diceriterakan oleh orang yang empunya cerita ini, negeri yang di bawah angin ini, Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasulullah. Maka ada raja dua bersaudara seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja Muhammad. Adapun yang tua Raja Ahmad. Maka baginda kedua bersaudara itu hendak berbuat negeri di Samarlanga.

Artifak seperti makam Sultan Malik al Salih menunjukkan Pasai terletak di Kampung Geudong, Lhokseumawe, utara Aceh, pulau Sumatera, Indonesia.

Teks ini ditulis dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan tangan huruf jawi pada lembaran - lembaran berbentuk buku. Penyelidik menyatakan teks asal ditulis sekitar 1360 m kerana sezaman dengan buku tasauf Durru al Mazlum / Darul Mazlum karya Maulana Abu Ishak.

Genre sunting

Hikayat Raja-Raja Pasai tergolong dalam genre sastera sejarah juga disebut sekarang sebagai karya agong. Karya sastera sejarah biasanya menceritakan pembukaan negeri, corak organisasi pentadbiran , keadaan sosial budaya dan corak politiknya. Cerita ini termasuklah kewujudan sesebuah negeri, perkembangannya, zaman keemasan , zaman kekalahan dan keruntuhan.

Jadi Hikayat Raja-Raja Pasai bukanlah sebuah buku teks sejarah yang murni. Sebaliknya telah dibumbui dengan unsur-unsur sejarah. Unsur mitos dan legenda diterapkan dalam bahan sejarah yang memerlukan interpretasi yang mendalam untuk mengetahui objektif dan tujuan pengarang istana ini.

Pembukaan dan PengIslaman Pasai sunting

  • Pasai merupakan negeri pertama menerima agama Islam. Raja Ahmad dan Raja Muhammad hendak membuka negeri Samarlanga. Raja Muhamad mendapat Puteri Betung daripada perdu rebung buluh. Raja Ahmad bernegeri di Balik Rimba . Dia pergi memburu dan berjumpa dengan seorang tua di dalam sebuah surau . Daripada nasihat orang tua di surau itu, Raja Ahmad mendapat anak lelaki yang dibela oleh seekor gajah. Anak itu dinamakan Merah Gajah . Akhirnya Merah Gajah dikahwinkan dengan Puteri Betung.
  • Merah Gajah dan Puteri Betung mendapat anak lelaki iaitu Merah Silau dan Merah Hasun. Merah Gajah mencabut rambut emas Puteri Betung lalu keluar darah pelik berwarna putih. Puteri Betung akhirnya hilang. Raja Muhamad marah lalu membunuh Merah Gajah . Maka Raja Ahmad melanggar negeri Raja Muhamad dan peperangan terjadi. Kedua-dua raja adik beradik ini terbunuh dalam peperangan.
  • Merah Silau dan Merah Hasun tinggal di Biruan. Merah Silau menahan bubu dan mendapat cacing gelang-gelang yang bertukar menjadi emas dan perak. Merah Silau berkuasa menjinakkan kerbau liar di kawasan tersebut. Merah Hasun marah kerana menyangka abangnya makan cacing gelang-gelang dan bermain dengan kerbau, satu perbuatan yang memalukan maruah raja. Baginda menghalau Merah Silau dari tempatnya.
  • Merah Silau dengan pengikutnya berpindah ke Sungai Pasangan dan ke Hulu Kalang. Di sana dia bertemu dengan Megat Iskandar dan merestui dia tinggal di Buluh Telang. Malangnya Merah Silau suka sangat bersabung ayam.
  • Megat Sekandar dan Megat Kedah ialah kekanda kepada Sultan Malikul Nasir di Rimba Jerana. Megat Sekandar hendak mengangkat Merah Silau menjadi raja tetapi dibantah oleh Tun Harid Benung. Apabila Merah Silau menjadi raja, Sultan Malikul Nasir menyerangnya dan berlaku peperangan yang panjang. Akhirnya sultan Malikul Nasir melarikan diri ke Kumat. Tetapi di Kumat, Sultan Malikul Nasir diserang oleh Megat Sekandar dan Sultan Malikul Nasir tewas. Hulubalangnya bernama Tun Harid Benung lari ke negeri Barus tetapi ditangkap oleh Raja Barus. Merah Silau menjadi raja di Rimba Jerana.
  • Nabi Muhammad berwasiat kepada para sahabat supaya berdakwah di negeri Samudera setelah baginda wafat. Bawa sebuah kapal dan alat kelengkapan dan ambil seorang fakir di negeri Mengiri untuk mengislamkan seluruh negeri Samudera.
  • Semasa berburu di hutan, anjing Merah Silau yang bernama Si Pasai telah menyalak kuat dan berdakap 7 kali dengan pelanduk . Di atas sebuah bukit ada seekor semut sebesar kucing. Merah Silau makan semut tersebut dan tempat itu dijadikan negeri bernama Semudera.
  • Nabi Muhamad wafat. Syarif yang mentadbir Kota Mekah telah menunaikan wasiat Nabi Muhamad. Syeikh Ismail ditugaskan ke Semudera . Dia singgal di negeri Mengiri . Raja Mengiri bernama Sultan Muhamad seorang keturunan Saidina Abu Bakar . anaknya yang muda menyamar sebagai fakir menumpang kapal tersebut. Kapal itu belayar ke Semudera.
  • Merah Silau bermimpi bertemu dengan Nabi Muhamad . Nabi menumpang dagunya dan menutup mata dengan empat jam. Nabi mengajar mengucap dua kalimah syahadah. Nabi meludah ke dalam mulutnya. Nabi menamakannya Sultan Malikul Saleh , makan hanya binatang halal yang telah disembelih. Dalam masa 40 hari, akan datang sebuah kapal dari Mekah dan hendaklah menerima ajaran Islam yang dibawa. Apabila Merah Silau terjaga dari tidur , Merah Silau mendapati kemaluannya telah bersunat dan mulutnya lancar membaca al Quran 30 juz.
  • Sebuah kapal dari Mekah telah berlabuh di pelabuhan Samudera di Teluk Terli. Syeikh Ismail mengadap Sultan Malikul Saleh dan memintanya mengucap dua kalimah syahadah . Fakir memberi senaskah al Quran dan Sultan Malikul Saleh dapat membaca dengan lancar. Syeikh Ismnail berjaya mengislamkan seluruh rakyat Semudera. Syeikh Ismail menabal Sultan Malikul Saleh menjadi Raja Semudera Darul Salam. Menteri yang bernama Tun seri Kaya diberi nama Sayid Ghiatuddin dan Baba Kaya dengan nama baru Sayid Semayamuddin. Selepas habis tugasan, Syeikh Ismail kembali belayar ke Mekah . Sultan menghadiahkan fidyah ambar, kapur barus,gaharu, cendana, kemenyan, khelembak, cengkeh dan pala]] kira-kira 100 bahara. Fakil Mohamad tinggal di Samudera dengan mengajar agama Islam.
  • Satu kaum di Samudera enggan memeluk agama Islam . Mereka lari ke hulu Pasangan yang kini dikenali sebagai orang Gaya.
  • Sultan Malikul Saleh berkahwin dengan Puteri Ganggang, anak gundik Raja Perlak.
  • Sultan Malikul Saleh mendapat seorang anak lelaki dan dinamakan Sultan Malikul tahir . Negeri Pasai dibuka dan Sultan Malikul Tahir menjadi raja di sana.
  • Sultan Malikul Tahir mendapat dua putera iaitu Sultan Malikul Mahmud dan Sultan Malikul Mansur. Sultan Malikul Tahir mangkat. Sultan Malikul Saleh telah menyerahkan cucunya Sultan Malikul Mahmud untuk dijaga oleh Sayid Ali Ghiatuddin dan Sultan Malikul Mansur dijaga oleh Sayid Semyamuddin.
  • Sultan Malikul Saleh merajakan Sultan Malikul Mahmud di Pasai dan Sultan Malikul Mansur di Samudera Darul Salam. Sebelum Sultan Malikul Saleh mangkat, baginda telah berwasiat supaya kedua-dua Perdana Menteri dan kedua-dua cucunya menjalankan pemerintahan dengan adil dan saksama sebagaimana syariat Islam.
  • Kerajaan Pasai enggan membayar ufti kepada Raja Siam sebagaimana dipinta. Panglima perang Siam bernama Talak Sejang telah menyerang Pasai. Siam tewas dan Talak Sejang terbunuh. Sultan Malikul Mahmud mendapat dua putera dan dua puteri . Puteranya bernama Sultan Ahmad Perumudal Perumal.
  • Semasa Sultan Malikul Mahmud sedang berburu, Sultan Malikul Mansur datang ke Pasai dan mengambil seorang perempuan dari istana Pasai. Sultan Maikul Mahmud memarahi Perdana Menteri Sayid Semayamuddin kerana menyangka tidak menahan perbuatan sumbang adindanya itu. Perdana Menteri Pasai telah meninggal dunia dan diganti oleh Tun Perpatih Tulus Tukang Segara dan mereka merancang membunuh Sayid Semayamuddin.
  • Sultan Malikul Mahmud mengadakan majlis berkhatan anaknya Sultan Ahmad Perumudal Perumal dan menjemput Sultan Malikul Mansur dan Perdana Menteri Samudera Sayid Semayamuddin. Sebaliknya , Sultan Malikul Mansur ditangkap dan dibuang ke negeri Temiang. Sementara Sayid Semayamuddin dibunuh, kepalanya dibuang ke laut, badannya disula di Kuala Pasai. TetapiAnehnya kepala itu mengikut-ikut perahu Sultan Malikul Mansur.
  • Oleh itu , Sultan Malikul Mansur meminta tubuh Sayid Semayamuddin yang disula itu daripada Sultan Malikul Mahmud untuk dikebumikan di Padang Maya. Setelah insaf, Sultan Mlikul Mahmud menjemput Sultan Malikul Mansur ke Pasai semula. Tetapi dalam perjalanan ke Pasai, Sultan Malikul Mansut telah meninggal dunia di atas makam Sayid Semayamuddin. Sultan Malikul Mahmud semakin hiba dan jatuh sakit. Baginda berwasiat agar puteranya Sultan Ahmad Perumudal Perumal menjadi raja Pasai.

Pasai di bawah Sultan Ahmad Perumudal Perumal sunting

  • Sultan Ahmad Perumudal Perumal menjadi raja Pasai telah kematian Sultan Malikul Mahmud. Seorang jogi dari Benua Keling mengadap baginda dan menggelar Sultan Ahmad itu Perumudal Perumal dan gelaran itu kekal .
  • Sultan Ahmad mendapat 30 orang anak tetapi yang seibu sebapa 5 orang iaitu Tun Beraim Bapa, Tun Abdul Jalil, Tun Abdul Fadil, Tun Medan Peria dan Tun Takiah Dara. Sultan Ahmad mempunyai 4 orang menteri kanan iaitu Tulus Agung Tukang Sekara, Baba Mentuha, Sulaiman Dendang Air dan Tun Syah Ala Kota.
  • Sultan Ahmad Perumudal Perumal mempunyai nafsu terlampau kerana berahi akan anak daranya sendiri iaitu Tun Takiah Dara dan Tun Medan Peria. Bagi mengelakkan kejadian buruk berlaku, Tun Beraim Bapa membawa dua adik perempuannya itu ke Tukas untuk tinggal bersamanya. Ini menyebabkan Sultan Ahmad semakin marah dan mahu merealisasikan nafsu serakahnya.
  • Empat pendekar Keling datang beradu kekuatan ( gusti ) di Pasai dan berkelakuan samseng. Tun Beraim Bapa yang gagah perkasa , berlatih bersama guru -gurunya di Tukas. Gendang perang dari Tukas mengganggu tidur Sultan Ahmad Perumudal Perumal di Pasai. Baginda marah dan memberitahu Dara Zulaikha Tingkap tentang niatnya mahu membunuh Tun Beraim Bapa. Tun Beraim Bapa berjaya menewaskan pendekar Keling dan mereka pulang semula ke Benua Keling.
  • Tun Beraim Bapa telah bergurau sakan dengan Tun Fatimah Lempau semasa berada di istana ayahnya di Pasai hingga istana Pasai bergoncang . Sultan Ahmad Perumudal Perumal tersedar dari tidur dan mengatur strategi agar Tun Beraim Bspa dibunuh.
  • Sultan Ahmad menyuruh Tun Beraim Bapa menyelam di Sungai Pasai dan menyuruh hulubalang menetak sekiranya timbul. Tetapi Tun Beraim Bapa selama kerana timbul serantai jauhnya dari tempat itu.
  • Sultan Ahmad menyuruh Tun Beraim Bapa membuang batang yang melekat pada perahu Sultan Ahmad. Tun Beraim Bapa berjaya melepaskan perahu yang tersangkut dan tidak mati lemas.
  • Sultan Ahmad menyuruh Tun Beraim Bapa makan cucur peniaram (beracun) yang dibuat oleh orang Seri. Anjing da ayam yang makan cucur peniaram itu mati keracunan. Dua adiknya Tun Medan Peria dan Tun Takiah Dara yang juga mati keracunan kerana makan cucur peniaram. Mereka dikebumikan di Bukit Fudul Allah.
  • Tun Beraim Bapa yang tidak mahu derhaka , telah makan cucur peniaram yang beracun itu lalu jatuh sakit. Tun Beraim Bapa yang kepanasan telah menyelam di Lubuk Turai. Seekor ular lembu telah dapat ditangkap dan dimakan tetapi sakitnya tidak juga sembuh. Lalu Tun Beraim Bapa melontar lembing dan lembing itu tercacak di antara kubur dua adiknya. Tun Beraim Bapa akhirnya mati dan dikebumikan di mana lembing itu tercacak. Sultan Ahmad amat gembira dengan kematian anaknya itu.
  • Semasa Sultan Ahmad Perumudal Perumal tidak ada, Tun Abdul Jalil memerintah kerajaan Pasai.

Perluasan Kuasa Majapahit sunting

  • Tuan Puteri Gemerencang anak Ratu Majapahit telah menyuruh Tun perpatih melukis potret anak-anak raja , termasuk Tun Abdul Jalil. Melihat potret itu, tuan puteri rasa berahi amat dan mahu menemuinya. Ayahnya menghantar Tuan Puteri Gemerencang ke Pasai untuk menemui Tun Abdul Jalil. Tetapi Sultan Ahmad cemburu mendengar hal itu lalu membunuh Tun Abdul Jalil. Tuan Puteri Gemerencang mendapat malumat Sultan Ahmad telah membunuh Tun Beraim Bapa dan Tun Abdul Jalil. Dia meomohon pada allah agar karamkan ghurabnya di Jambu air supaya dia dapat bertemu dengan Tun Abdul Jalil. Doanya dimakmulkan Allah.
  • Ratu Majapahit marah tidak terkira apabila mendapat tahu puterinya Puteri Gemerencang mati lemas di Jambu Air, negara Pasai. Ratu Majapahit mengerah pendekar-pendekar menyerang Pasai dan Pasai pun kalah. Sultan ahmad Perumudal Perumal lari ke Menduga, 15 hari perjalanan di hujung Pasai. Dalam perjalanan balik ke Majapahit, askar Majapahit menawan Jambi dan Palembang serta membawa balik ramai tawanan perang dan para ulama.
  • Ratu Majapahit mengerah Perdana Menteri , Patih Gajah Mada menakluk semua negara jiran , tunduk dan membayar ufti ke Majapahit. Kerajaan Periaman enggan berbuat demikian Ratu Majapahit mahu berlaga kerbau dengan kerbau Periaman dengan pertaruhan ' Jika kerbau Majapahit kalah orang Jawa akan memakai kain cara perempuan. Sebaliknya jika kerbau Periaman kalah , kerajaan Periaman takluk di bawah Majapahit'.
  • Patih Suatang dan Patih Ketemenggungan menggunakan taktik lain bagi menewaskan Majapahit dalam laga kerbau itu. Mereka mempertaruhkan anak kerbau kecil yang lapar susu berhari-hari lamanya. Semasa hari laga kerbau, kerbau Periaman menghisap pelir kerbau Majapahit kerana ia lapar susu. Majapahit diisytiharkan kalah dan dijamu dengan air buluh rencong. Semasa pesta jamuan perpisahan itu, ramai askar Majapahit telah ditikam dengan buluh rencong .
  • Kerajaan Periaman ditukar nama menjadi Minangkabau yang bermaksud 'menang laga kerbau'.

Komentar / Catatan tambahan sunting

  • Zaman gemilang kerajaan Pasai semasa Tun Beraim Bapa menjadi pahlawan. Keruntuhan Pasai kerana faktor peribadi Sultan Ahmad Perumudal Perumal yang bernafsu serakah hingga sanggup menodai anaknya sendiri.
  • Kematian Tun Abdul Jalil membuat tunangnya Puteri Gemerencang membunuh diri di Jambu Air, Pasai. Ratu Majapahit menyerang dan menewaskan Pasai kerana menuntut bela. Jika Tun Beraim Bapa masih ada, tentu Pasai dapat dipertahankan. Kehebatan Tun Beraim Bapa disebut dalam ungkapan:
Wah anakku Beraim Bapa, jikalau ada ia, jika Jawa se Jawanya, jika Cina se Cinanya, jika Keling se Kelingnya , tiada mau melawan si Beraim Bapa.
  • Dalam Seminar Sejarah masuknya Islam ke Indonesia, pada 17-20 Mac 1963 A Hashmy mencatatkan ketetapan telah dibuat bahawa Islam masuk ke Indonesia oleh pedagang/ pendakwah dari Arab sekitar 7-8 masehi . Negara pertama memeluk Islam ialah Pasai / Pase / Aceh Utara kerana persamaan mazhab shafie.
  • Hikayat Raja-Raja Pasai terbahagi kepada 3 bahagian iaitu : Pembukaan dan Pengislaman Pasai, Pasai dibawah pemerintahan Sultan ahmad Perumudal perumal dan Peluasan Kekuasaan Majapahit.
  • Negeri Pasai / Samudera dan Perlak yang terletak di Sumatera Utara ( Acheh) digelar Serambi Mekah kerana orang yang hendak mengerjakan haji terlebih dahulu singgah di Acheh dan belajar di madrasah dan masjid di Acheh.
  • Sultan Malikul Salih memerintah Samudera-Pasai mulai 1267 . Nama lainya ialah Malik al Salih , Merah Silu , Merah Silau , Mara Silu, Muerah Silu .
  • Kerajaan Samudera Pasai dikenali juga sebagai Samudera, Pasai dan Samudera Darussalam atau Sumatera. Lokasi kerajaan ini ialah di sekitar Kampung Geudong, Lhokseumawe, Aceh.
  • Ahli Pelayaran Maghribi bernama Ibnu Batutah sempat mengunjungi Pasai pada 1346 masehi. Ketika di China, Ibnu Batuta mendapati kapal Pasai berlabuh di China untuk membayar ufti.
  • Inskripsi Cina mencatatkan kerajaan Pasai menghantar ufti ke China setiap tahun.
  • Sultan Pasai pernah mengirim utusan ke Quilon , benua kecil India ( Keling) pada 1282 kerana urusan diplomasi dan perdagangan.

R.O. Winstedt menjangka Hikayat Raja Pasai selesai ditulis pada abad ke-15, Amin Sweeney berpendapat abad ke-14, dan A.H. Hill mengatakan di antara tahun 1383 M hingga 1390 M manakala Hooykaas mendakwa bahawa Hikayat ini seawal-awalnya dikarang sekitar tahun 1350 M. Pada bahagian akhir Hikayat Raja Pasai yang diusahakan oleh R. Jones (1987) tercatat:

Tamat Hikayat Raja Pasai. Selamat sempurna yang membaca dia dan segala yang menengarkan dia, istimewa yang menyuratkan dia, dipeliharakan Allah subhanahu wataala apalah kiranya dari dunia datang ke akhirat, berkat syafaat Nabi Muhammad mustafa, sallallahu alaihi wasaalam.
Tamat hari Isnin, kepada hari
dua puluh sa, kepada bulan
Muharam, sanat za
Hijratul Nabi
1230
Sangking Kyai Suradimanggala, bupati sapu (pu) nagari Demak nagari Bagor, warsa 1742.

Tarikh yang tercatat pada bahagian akhir Hikayat Raja Pasai ini bukanlah bermakna penulisan pertama cerita tersebut, melainkan merupakan salinan daripada beberapa salinan cerita yang terdahulu. Penyalinan ini juga memperlihatkan bahawa ketika itu kesusasteraan Melayu tersebar luas di seluruh Nusantara.


Rujukan sunting


Senarai Kesusasteraan Melayu
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z