Hinduisme

Salah satu agama utama di dunia

Etimologi

sunting

Orang Aryan menyebut agama mereka sebagai Arya Dharma - agama orang Aryan. Mereka langsung tidak mengenal perkataan 'Hindu'. Perkataan Dharma dalam konteks ini bermaksud agama atau tugas-tugas agama. Orang Aryan juga memanggil agama mereka sebagai Manava Dharma yang bermaksud 'Agama untuk Manusia' iaitu agama ini bukan sahaja untuk orang Aryan tetapi untuk seluruh umat manusia. Satu lagi nama untuk agama ini ialah Sanatana Dharma - Agama yang Abadi, yakni agama mereka berasaskan kepada kebenaran abadi. Secara tidak langsung, agama Arya atau agama Hindu membawa maksud yang sama.

Salah sebuah negara yang berdekatan dengan India purba ialah Persia. Sungai Indus (Sindhu dalam bahasa Sanskrit) menjadi sempadan antara Persia dan Aryavarta (nama India purba). Orang Persia menyebut huruf 'S' sebagai 'H', maka Sindhu menjadi Hindhu. Demikian, agama penduduk India menjadi agama Hindu.

Perkataan Hindu 'Dharma' mempunyai maksud yang mendalam dan lebih luas berbanding perkataan 'agama'. Dharma berasal dari akar bahasa Sanskrit 'dhri' (untuk berpegang). Maka, Dharma bermaksud apa yang dipegang oleh sesuatu kehidupan. Semua benda dalam alam semesta ini mempunyai Dharmanya sendiri kerana kewujudan semua perkara atau benda bergantung kepada sesuatu yang lain. Terhadap apakah kewujudan sesuatu benda bergantung? Sifat semulajadi sesuatu benda menentukan kewujudan benda itu iaitu tanpanya benda itu tidak boleh wujud. Misalnya, kuasa pembakaran adalah dharma api; sifat tidak boleh bergerak adalah dharma benda bukan hidup. Manusia juga mempunyai sifat semulajadinya, yang membezakan manusia dengan semua benda hidup lain. Sifat semulajadi itulah yang menjadi Dharma manusia dan ini dikenali sebagai mānava Dharma.

Pengasas

sunting
 
Kuil Hindu Sri Mariamman, Singapura.

Salah satu ciri unik agama Hindu ialah tidak ada manusia yang mengakui diri sebagai pengasasnya[1]. Ini mungkin berbunyi pelik kerana golongan resi yang menemui kebenaran abadi berfikir bahawa kebenaran yang mereka temui telah sedia wujud. Sama seperti hukum graviti yang telah wujud sebelum Newton menemuinya, Kebenaran telah sedia wujud. Seperti Newton menemui hukum graviti, golongan resi menemui Hukum Alam dan Tuhan. Pada hakikatnya, setiap manusia perlu mencari Tuhan dalam dirinya, maka agama Hindu tidak memerlukan pengasas. Swami Vivekananda menerangkan ini dalam Ucapan-Ucapan Chicago seperti ini:

"Orang Hindu telah menerima agama mereka melalui wahyu Veda. Mereka menyatakan bahawa Veda tidak mempunyai permulaan dan penghabisan. Bahawa sebuah kitab tidak mempunyai permulaan dan penghabisan, mungkin kedengaran pelik. Namun, Veda bukan sebuah kitab. Veda ialah kumpulan khazanah hukum rohani yang ditemui oleh pelbagai orang pada masa berlainan. Hukum graviti telah wujud sebelum manusia menemuinya, dan ia akan terus wujud meskipun semua orang melupakannya. Hukum dunia kerohanian juga sama seperti ini. Perhubungan moral, etika dan rohani antara jiwa dengan jiwa, antara roh individu dan Roh Agung (Tuhan) telah wujud sebelum penemuannya dan ia akan kekal walaupun kita melupakannya..."[2]

Golongan resi juga menyedari bahawa Kebenaran Abadi berasal daripada Tuhan, iaitu Sumber yang mencipta segala-galanya. Oleh kerana Kebenaran Abadi atau Veda berasal daripada Tuhan, ia bersifat apauruseya - bukan buatan manusia.

Tanpa seorang pengasas, agama Hindu mempunyai satu kelebihan berbanding agama-agama lain. Sekiranya ia mempunyai seorang pengasas yang spesifik, sudah pasti ianya sukar untuk agama Hindu melalui suatu evolusi yang telah dialaminya sejak beribu-ribu tahun. Pelbagai wali dan Avatara atau Jelmaan Tuhan telah datang pada zaman-zaman berlainan, memainkan peranan masing-masing, dan memperkayakan agama Hindu dengan ajaran mereka. Mereka menjadikan agama ini relevan untuk zaman dan manusia yang berlainan dengan memberikan interpretasi baru kepada teks-teks agama purba. Dengan pengalaman mereka sendiri, mereka juga telah mengesahkan kebenaran dalam kitab-kitab suci.[3]

Selain itu, berbanding agama-agama lain yang mempunyai pengasas, agama Hindu tidak disekat dengan dogma atau hukum-hukum kuno yang tidak lagi relevan untuk sesuatu zaman. Agama Hindu dapat menyesuaikan dirinya dengan pelbagai tempat, dan zaman kerana daripada zaman ke zaman, golongan wali dan Jelmaan Tuhan yang datang untuk tujuan mengembalikan, memperbaharui dan menghidupkan semula Dharma.

Aliran-Aliran Falsafah Hindu

sunting

(Artikel Utama: Falsafah India dan Falsafah Vedanta)

Meskipun agama Hindu tidak ada pengasas, terdapat beberapa orang tokoh utama yang memainkan peranan dalam evolusi dan perkembangan agama Hindu. Ramai dalam kalangan mereka memainkan beberapa peranan berlainan pada masa yang sama iaitu, sebagai seorang wali, ahli mistik, ahli falsafah dan pelopor pembaharuan agama. Enam sistem falsafah Hindu (juga dikenali falsafah India) atau Saddarsana telah diperkembangkan oleh enam orang wali Hindu pada zaman-zaman berlainan. Sistem-sistem ini dikenali sebagai falsafah 'agama' kerana asas sistem ini ialah Veda. Enam sistem falsafah Hindu ini ialah:

Dalam zaman moden misalnya, Adi Sankara, Madhvacharya, Ramanujacharya, Sri Krishna Caitanya, Sri Ramakrishna dan Swami Vivekananda memainkan peranan penting dalam pembaharuan dan perkembangan agama Hindu.

Rukun-Rukun Asas Hinduisme

sunting
  • Setiap agama mempunyai rukun-rukun asasnya yang tersendiri. Agama Hindu penuh dengan kepelbagaian. Suatu mazhab mungkin mengutarakan sesuatu yang amat bertentangan dengan mazhab yang lain. Misalnya, satu mazhab menyatakan bahawa dunia adalah ilusi. Mazhab yang lain pula menyatakan bahawa kewujudan dunia adalah benar. Suatu mazhab berpendapat bahawa Roh adalah sesuatu yang kecil dan halus; dan satu mazhab yang lain menyatakan bahawa Roh amat besar dan merangkumi segala-galanya. Demikian, kepelbagaian dan percanggahan wujud dalam hampir semua aspek agama Hindu. Ini menjadikan tugas memahami agama Hindu sesuatu yang sukar atau hampir mustahil.
  • Namun, kita tidak perlu berputus asa. Dalam semua percanggahan dan kekaburan ini, wujud beberapa ciri-ciri umum yang menyatukan semuanya di bawah sebuah bumbung. Ciri-ciri umum ini adalah rukun-rukun asas agama Hindu.

Kewibawaan Veda atau Sruti

sunting
  • Setiap mazhab dalam agama Hindu menerima bahawa Veda merupakan khazanah rukun kerohanian yang abadi. Rukun-rukun kerohanian ini menyentuh tentang Tuhan, roh dan alam semesta. Rukun-rukun ini adalah abadi, tidak berubah dan tidak boleh diubah. Sama ada manusia menerimanya, atau melupakannya, rukun-rukun ini akan tetap wujud. Para resi telah menemui rukun-rukun kerohanian ini dan mengajarnya kepada manusia sejagat.
  • Semua pendapat, pandangan dan ajaran agama Hindu adalah berasaskan kepada rukun-rukun dalam Veda. Namun, agama Hindu bukan statik atau rigid. Selagi rukun-rukun asas dipatuhi, manusia bebas mengubah cara hidupnya mengikut kehendak zaman dan persekitarannya. Bagi tujuan ini, agama Hindu memberikan Smriti. Dari zaman ke zaman, Smriti telah diubah oleh golongan wali mengikut keperluan dan kehendak masa dan tempat. Demikian, tetap dan teguh dalam hal-hal fundamental dan sedia berubah dan menyesuaikan diri dalam hal-hal sampingan adalah rahsia agama Hindu masih bertahan selama ini.

Sifat ketuhanan setiap mahkluk

sunting
  • Ketuhanan manusia adalah salah satu unsur utama agama Hindu. Ketuhanan ialah sifat semulajadi roh manusia. Setiap manusia berpotensi menjadi alim dan menyerlahkan ketuhanan ini dalam setiap tindakannya. Manusia tidak akan laknat dan melarat dalam neraka selama-lamanya untuk sebarang dosa. Dosa itu hanyalah kesilapan yang dilakukan dalam keadaan jahil. Ini merupakan satu ciri utama agama Hindu yang amat berbeza dengan agama-agama Semitik (Yahudi, Kristian, dan Islam) yang menekankan idea dosa dan neraka yang abadi.
  • Memang manusia akan mendapat hukuman untuk dosanya di dunia ini atau dalam kelahiran lain. Namun, dia  akan menjadi matang dengan menderita dan dia akan mara ke arah Tuhan dari kelahiran demi kelahiran. Demikian, akhirnya  manusia mencapai Tuhan. Setiap manusia akan mencapai keadaan ini. Maka, setiap pendosa masih mempunyai harapan untuk menjadi seorang yang mulia. Oleh itu, masyarakat harus melihat mereka dengan penuh simpati dan membantu mereka keluar daripada kejahilan dan dosa. Sebenarnya, selagi manusia tidak menyedari kesatuannya dengan Tuhan dan mengaitkan dirinya dengan badan dan dunia material, dia hidup seperti binatang. Namun, agama Hindu tidak menakutkannya dengan neraka yang abadi. Sebaliknya, agama Hindu membantu manusia secara perlahan-perlahan untuk melepaskan sifat kehaiwanan dan mencapai kemuliaan.

Kewujudan Tuhan dalam segala-galanya

sunting
  • Tuhan dalam agama Hindu bukan seorang raja yang bersemayam di tahktanya di atas langit. Tuhan berada dalam segala-galanya, yang hidup mahupun yang bukan hidup. Di sebalik semua kepelbagaian dalam alam, Tuhan wujud sebagai benang dalam kalungan mutiara. Dia menjadi asas segala-galanya. Dia menjadi Antaryami atau surat hati dalam setiap jiwa. Maka, Hinduisme menyatakan bahawa kesamaan dalam kepelbagaian adalah satu rukun asas alam.    

Kepelbagaian nama dan rupa

sunting
  • Agama Hindu seringkali dianggap sebagai agama yang beraliran politeisme kerana memuja banyak Dewa, namun tidaklah sepenuhnya demikian. Dalam agama Hindu, Dewa bukanlah Tuhan tersendiri. Menurut umat Hindu, Tuhan itu Maha Esa tiada duanya. Dalam salah satu ajaran falsafah Hindu, Advaita Vedanta menegaskan bahawa hanya ada satu kekuatan dan menjadi sumber dari segala yang ada (Brahman), yang memanifestasikan diri-Nya kepada manusia dalam pelbagai bentukTuhan ialah satu dan tiada yang dua. Namun, Tuhan yang mencipta dunia yang penuh variasi, juga mengambil pelbagai bentuk dan rupa. Ini bukan bermaksud terdapat ramai tuhan-tuhan Hindu. Tuhan hanya satu. Cuma nama dan rupa-Nya yang berbeza-beza. Manusia bebas memilih nama dan rupa yang disukainya untuk menyembah Tuhan. Agama Hindu tidak mendesak semua orang untuk menerima dan menyembah hanya satu rupa sahaja. Ini adalah satu ciri unik agama Hindu. Matlamat hidup ialah untuk mencapai Tuhan. Tidak kira jalan mana yang diambil, asalkan seseorang sampai ke destinasinya dalam kadar segera.

Samsāra, Kelahiran Semula dan Doktrin Karma

sunting
  • Perkataan 'samsāra' adalah amat penting dalam kamus Hinduisme. ‘Samsāra’ berasal daripada perkataan Sanskrit ‘sri’ bermaksud melalui dan ‘sam’ bermaksud dengan bersungguh-sungguh. Menurut agama Hindu (Bhagavad Gita VIII.16), manusia perlu melalui beberapa kelahiran di bumi dan di alam lain. Kelahiran semula roh (samsriti) ialah maksud sebenar perkataan samsāra.    
  • Seluruh pendirian Hinduisme, bergantung kepada idea samsāra ini. Perkataan ini juga merangkumi seluruh perspektif kehidupan seorang Hindu. Mengapa melakukan upacara kematian Sraddha untuk saudara-mara yang telah meninggal dunia? Kerana orang Hindu percaya bahawa mereka masih hidup dalam alam lain atau di bumi ini dalam badan yang lain. Kenapa seorang wanita Hindu mengambil ikrar brahmacharya selepas kematian suaminya? Kerana dia berharap untuk bertemu semula dengan suaminya selepas kematiannya sekiranya dia menjalani kehidupan yang suci. Orang Hindu melakukan pelbagai kebajikan dan aktiviti amal kerana mereka percaya pahala yang terkumpul akan memberikan mereka nikmat selepas kematian. Mereka mengelakkan perbuatan yang keji atau dosa kerana mereka akan laknat selepas mati. Demikian, banyak kepercayaan dan upacara amal orang Hindu dipengaruhi oleh idea samsāra.   
  • Manusia tidak akan lenyap selepas kematian. Sebelum hidup ini, manusia telah melalui pelbagai bentuk kehidupan lain. Dalam Bhagavad Gita IV.5, Bhagavan Sri Krishna berkata kepada Arjuna, 'Wahai Arjuna, kita telah melalui beberapa kelahiran sebelum ini. Cuma saya masih mengingatinya, tetapi kamu tidak.’ Sri Krishna juga meneruskan lagi, ‘Sesungguhnya kelahiran diikuti dengan kematian, dan kematian diekori dengan kelahiran.’ (Bhagavad Gita II.27) Kelahiran berulang kali tidak dapat dielakkan selagi roh menyedari Ketuhanannya. Seseorang lahir dengan badan baru dan tinggal beberapa lama sehingga badan menjadi uzur dan akhirnya mati. Namun, roh tidak berubah. Apabila badan yang dihuninya tidak boleh digunakan lagi, roh keluar dari badan itu. Selepas beberapa lama di alam lain untuk menikmati pahala atau dosanya, roh akan lahir semula dalam badan baru. Oleh itu, alam lain itu dikenali sebagai bhogabhumi (bumi pengalaman). Bumi kita di mana roh lahir untuk mencari kesempurnaan dinamakan karmabhumi (bumi tindakan). Selagi roh mencapai kesempurnaan, kelahiran semula tidak boleh dielakkan. Selama itu, roh dikatakan berada dalam pengabdian (baddha). Keperluan untuk melalui pelbagai dunia (samsara) adalah suatu pengabdian.  
  • Kenapa seseorang harus lahir berulang kali? Kitab-kitab suci agama Hindu telah menjawab ini dengan amat jelas. Ketuhanan dalam manusia hanya akan terserlah apabila mindanya menjadi suci sepenuhnya. Namun, ini akan memakan masa yang agak lama. Badan tidak boleh bertahan lama. Jadi, kerja menyucikan minda tidak boleh dihabiskan dalam satu jangka hidup. Oleh itu, kita perlu melalui beberapa kelahiran untuk menyucikan minda kita.
  • Dunia ini penuh dengan pelbagai perkara yang memberikan suka dan duka. Manusia ingin menikmati sesuatu atau menghindari sesuatu. Fikiran manusia penuh dengan pelbagai keinginan (kama). Bagi memenuhi keinginannya, manusia perlu berusaha dalam hidupnya. Namun, keinginan tidak berakhir. Sebaliknya, keinginan makin lama makin bertambah. Apabila satu keinginan dipuaskan, timbul keinginan lain! Maka, manusia menghabiskan hidupnya untuk memuaskan keinginannya yang  tidak terputus.
  • Apa sahaja yang dilakukan untuk memuaskan keinginan, akan pasti membawa kesannya, sama ada suka atau duka. Setiap tindakan (karma) akan membawa hasilnya (karmaphala), sama ada cepat atau lambat. Tindakan yang baik (shubha karma) akan menghasilkan kebahagiaan. Tindakan yang jahat (ashubha karma) akan menghasilkan kesengsaraan. Manusia sentiasa mempunyai kedua-dua keinginan baik dan jahat. Ini mendorong mereka melakukan tindakan yang baik dan jahat, dan mengumpul kebahagiaan dan kesengsaraan sebagai hasilnya.
  • Dalam sesuatu kelahiran, manusia menghabiskan hanya sebahagian hasil karma lamanya. Bahagian ini dikenali sebagai prarabdha. Baki yang perlu dialami dalam kelahiran akan datang dikenali sebagai samchita. Hasil daripada tindakan kini akan terkumpul sebagai kriyamana. Maka, manusia melalui kelahiran demi kelahiran untuk menikmati hasil tindakannya sendiri.
  • Seseorang lahir tanpa penglihatan. Kekurangannya mungkin disebabkan sesuatu faktor fizikal. Namun, penderitaan yang dialaminya akibat kurang penglihatan adalah disebabkan sesuatu tindakannya dalam kelahiran lamanya. Seringkali, manusia menyumpah nasih buruknya sekiranya dia gagal selepas berusaha penuh. Adakalanya, tanpa sebarang usaha, manusia memperolehi sesuatu dan memuji tuahnya. Nasib baik dan buruk ialah sebenarnya hasil tindakan lama (karma phala) seseorang. Maka, agama Hindu mengatakan bahawa sebenarnya tidak ada nasib baik atau nasib buruk. Betapa manusia mencuba, dia tidak boleh mengelakkan hasil baik buruk tindakannya. Kemungkinan ini menakutkan seseorang, tetapi doktrin karma adalah kunci kepada masa depan manusia. Manusia dapat mengawal masa depannya dengan melakukan tindakan yang akan memastikan kebahagiannya. Setiap manusia ialah pereka masa depannya. Sekiranya seseorang mengelakkan perbuatan-perbuatan keji yang dilarang oleh kitab-kitab suci, dan melakukan kerja-kerja baik, masa depan yang baik menantinya.
  • Demikian, atas dorongan keinginan (kama), manusia melakukan sesuatu karma. Setiap karma menghasilkan suka atau duka sebagai hasilnya. Bagi menikmati hasil karma, iaitu suka atau duka, manusia perlu melalui kelahiran demi kelahiran. Dengan cara ini, manusia berguling dalam suatu roda kelahiran dan kematian yang tiada henti. Inilah dinamakan samsara.

Mukti (Kebebasan)

sunting
  • Apakah caranya seseorang dapat melepaskan dirinya daripada kitaran samsara? Dunia penuh dengan pelbagai nikmat. Namun, semua nikmat ini tidak memberikan manusia kepuasan. Manusia sentiasa mendahagakan sesuatu. Dia mahu lebih banyak kekayaan, lebih banyak kuasa, lebih banyak ilmu dan lebih banyak kegembiraan. Keinginan sentiasa meningkat tanpa berhenti. Namun, bersama-sama segala nikmat dan kegembiraan, penderitaan, perpisahan, penyakit, kegagalan, dan akhirnya kematian turut mengekori manusia.
  • Adakah sebarang cara untuk melepaskan diri daripada semua ini? Hinduisme menunjukkan jalannya. Ya, manusia boleh membebaskan dirinya daripada segala penderitaan dengan menyedari Tuhan dan sifat ketuhanannya.
  • Kebebasan daripada samsara disebut sebagai Mukti. Orang yang bebas atau mukta purusha sedar bahawa Tuhanlah diri sebenarnya. Dengan menyedari identiti sebenarnya, dia menjadi tenang. Dia tidak lagi terpedaya dengan sebarang nikmat duniawi. Dia bebas daripada segala penderitaan dan ketakutan.  
  • Menurut Hinduisme, setiap makhluk sama ada sedar atau tidak, ingin mencapai Mukti. Apabila seseorang berusaha untuk mengecapi kegembiraan atau ilmu, atau apabila seseorang cuba untuk menyelamatkan diri daripada maut, sebenarnya dia sedang berusaha untuk menyedari Ketuhanannya sendiri. Bukankah kegembiraan, ilmu dan keabadian ialah ciri-ciri semulajadi roh atau Atman? Namun, usaha untuk mencari kegembiraan, ilmu dan keabadian dalam dunia fana tidak akan memberikan manusia kepuasan berterusan. Kegembiraan, ilmu dan keabadian yang sebenarnya wujud dalam diri manusia sendiri. Dengan menyedari ketuhanannya, manusia mencapai samudera Satchidananda iaitu Kewujudan-Ilmu-Kebahagiaan Abadi.  
  • Oleh itu, agama Hindu mendesak manusia untuk berusaha bersungguh-sungguh sejak kecil lagi untuk mencapai Mukti. Bukannya mudah untuk melepaskan diri daripada belenggu duniawi dan berusaha untuk Mukti! Jalannya jauh lagi penuh dugaan. Seseorang mungkin perlu mengambil beberapa kelahiran sebelum mencapai destinasinya (Bhagavad Gita VI.45). Oleh itu, agama Hindu menunjukkan langkah demi langkah untuk mencapai matlamat ini. Inilah sebenarnya yang disebut sebagai agama atau Dharma yang praktikal.  
  • Bagi mencapai Mukti agama Hindu menunjukkan dua jalan yang dikenali sebagai Pravritti Marga dan Nivritti Marga.

Pravritti Marga

sunting
  • Kebanyakan orang tidak boleh melepaskan nikmat duniawi dalam sekelip mata. Sebaliknya, kebanyakan orang akan terperanjat dengan idea pelepasan. Manusia biasa, seperti kanak-kanak, ingin untuk menikmati dunia ini. Bagi orang-orang begini, agama Hindu menyarankan suatu jalan yang dikenali sebagai Pravritti Marga (Jalan Keinginan). Jalan ini membenarkan manusia biasa merasakan nikmat duniawi dan juga nikmat di alam lain seperti syurga. Seseorang yang mengikuti Pravritti Marga akan dapat mengurangkan penderitaan dan menambah kebahagiaan di dunia dan di syurga. Malah melalui proses ini juga mereka dapat menyucikan sedikit minda mereka secara perlahan-lahan. Sebenarnya, Pravritti Marga ialah suatu disiplin awal. Pravritti Marga terkandung dalam bahagian Karma Kanda dalam Veda. Purva Mimamsa Darsana menjelaskan jalan ini dengan lebih terperinci.

Nivritti Marga

sunting
  • Terdapat segelintir manusia yang telah bosan dengan dunia ini. Mereka tidak berminat untuk mencari sebarang keseronokan atau nikmat duniawi. Mereka sedar bahawa dunia ini adalah fana dan bahawa nikmat duniawi tidak memberikan kepuasan selama-lamanya. Bagi golongan ini, agama Hindu menyarankan Nivritti Marga (Jalan Pelepasan). Golongan ini layak untuk melepaskan semua nikmat duniawi dan berusaha untuk mencapai Tuhan. Bahagian Jnana Kanda dalam Veda memberikan kaedah-kaedah Nivritti Marga ini. Maka, Hinduisme membimbing manusia untuk mencapai Mukti melalui dua jalan ini. Dengan mengikuti Pravritti Marga, seseorang akan akhirnya sampai ke Nivritti Marga. Perjalanan hidup akan tamat apabila semua belenggu duniawi diputuskan dan Ketuhanan terserlah. Demikian, manusia bebas daripada samsara dan mencapai Mukti.

Kitab-kitab Suci

sunting

(Artikel utama : Veda)

Veda atau Śruti

sunting

Veda ialah ayat-ayat suci yang didedahkan kepada golongan Rishi. Ayat-ayat suci ini dipercayai telah sedia wujud dan didengar oleh golongan Rishi. Oleh itu, Veda dikenali sebagai Ṥruti (bermaksud sesuatu yang 'didengar') Veda ialah apauruṣeya bermaksud bukan ciptaan manusia. Perkataan Sanskrit Veda bermaksud ilmu. Golongan resi enggan untuk menulis ayat-ayat suci ini kerana kesalihannya. Mereka menghafal ayat-ayat ini dan mengajarnya secara lisan kepada pengikut-pengikut mereka. Demikian, daripada generasi ke generasi, Veda diturunkan secara lisan.

Dengan mengamalkan Brahmacharya, golongan resi mendapat daya ingatan yang kuat. Brahmacharya ialah pengumpulan tenaga dengan mengawal nafsu syawat. Menurut Pātanjala Yogasūtra, Sādhanapāda, Ayat 38, “Brahmacharyapratishthāyam vīryalābhah” (Tenaga diperolehi dengan amalan Brahmacharya).  Menurut golongan Rishi, seseorang yang mengawal nafsu syawatnya dan tidak membazirkan tenaga dengan aktiviti seksual akan mempunyai daya ingatan yang tinggi. Selain itu, amalan Brahmacharya juga memanjangkan usia dan memberikan dhāranā sakti – kebolehan untuk memahami intipati kitab-kitab suci. Dengan kekuatan Brahmacharya, para resi menghafal ayat-ayat suci Veda dan menurunkannya kepada pengikut mereka. Oleh itu, Ayat-Ayat Veda ini dikenali sebagai Sruti, yang secara literal bermaksud pendengaran.[4]

Orang pertama yang mula-mula mengumpul dan menyusun ayat-ayat suci Veda ialah Krishna Dvaipayana (juga dikenali sebagai Veda Vyasa). Baginda menyusun ayat-ayat suci ini kepada empat Veda – Rig Veda, Sāma Veda, Yajur Veda, dan Atharva Veda. Menurut Vishnu Purana, Vyasa dibantu oleh empat orang pengikutnya dalam mengumpul Veda. Paila membantunya untuk mengumpul Rig Veda; Vaisampāyana mengumpul Yajur Veda, Jaimini mengumpul Sama Veda dan Sumantu mengumpul Atharva Veda.[5]

Rig Veda, bahagian yang paling purba, ditulis dalam bahasa Sanskrit kuno.

Bagi mengenang jasa Krishna Dvaipāyana Vyāsa, baginda diberikan gelaran Veda Vyasa. Baginda masih disanjung dan ulang tahun kelahirannya disambut oleh orang Hindu sebagai hari Guru Pūrnimā.

Ajaran utama Veda ialah bahawa semua dan setiap jiwa adalah tuhan – Sarvam Kalvidam Brahma (“Sesungguhnya, segala-galanya ialah Tuhan”) . Terdapat empat ayat-ayat utama Veda yang dikenali sebagai Mahāvākyas atau ‘Maha Ayat-ayat’ iaitu:

  • Aham Brahmasmi – Aku ialah Brahman (Tuhan)
  • Tat Tvam Asi – Kamulah Itu (Brahman)
  • Ayam Atma Brahma – Jiwa dalam badan ialah Brahman
  • Prajnanam Brahma – Ilmu yang Agung ialah Brahman

Setiap Veda mempunyai empat bahagian:

  • Samhita - bahagian ini mengandungi ayat-ayat suci mantera.
  • Brahmana- bahagian ini mengandungi maksud dan kegunaan ayat-ayat suci mantera.
  • Aranyaka - meditasi simbolik mengenai ritual dalam Veda untuk diamalkan oleh para pertapa
  • Upanishad - Bahagian falsafah dan metafizik. Antara 108 Upanishad yang wujud, yang berikut ialah yang paling popular: Isha, Kena, Katha, Mundaka, Mandukya, Aitareya, Taittiriya, Chhandogya, Prasna, Svetashvatara, dan Brihadaranyaka.

Smṛiti

sunting

Semua kitab-kitab suci Hindu, kecuali Darsana dan Tantra, boleh dikelaskan kepada dua kategori: Veda atau Sruti dan Smriti. Ayat-ayat suci Veda adalah otoriti yang mutlak.  Smriti pula ialah otoriti sekunder. Semua sastera agama seperti dharmasūtras, Purana, Itihāsa (epik), Tantra and Āgama jatuh di bawah kategori Smriti. Semua kitab-kitab sekunder ini mendapat otoritinya daripada Veda. Oleh itu, selagi sumber sekunder ini tidak bercanggah dengan Veda, ia diterima sebagai otoriti yang sah.

Smriti juga mempunyai maksud teknikal. Ia bermaksud buku undang-undang atau manual rukun kehidupan untuk orang Hindu. Antara buku undang-undang purba ini, buku Manu adalah yang paling popular. Yajnavalkya, Baudhayana, Apastambha, Vashishtha dan Gautama ialah para penggubal undang-undang zaman purba. Raghunandana ialah penggubal undang-undang Hindu moden.

Purāṇa

sunting

Maksud-maksud mendalam kitab-kitab suci adalah agar sukar difahami. Tanpa dharana shakti yang diperolehi dengan amalan Brahmacharya, manusia biasa tidak boleh memahami maksud tersembunyi Veda atau Upanishad. Oleh itu, golongan resi menghasilkan sejenis sastera khas yang dikenali sebagai Purāṇa. Matlamat utama Purāṇa ialah untuk memberikan ajaran Veda dalam gaya yang popular, menarik dan mudah difahami oleh manusia biasa. Purāṇa wujud dalam bentuk cerita dan perumpamaan. Terdapat lapan belas Purāṇa, antara yang popular ialah Vishnu Purāṇa, Bhagavata Purāṇa, Skanda Purāṇa, Vayu Purāṇa, Padma Purāṇa, Markandeya Purāṇa dan Agni Purāṇa. Sebahagian Markandeya Purāṇa amat popular dalam kalangan masyarakat Hindu sebagai Devi Mahatmyam atau Chandi.

Secara amnya, perkataan 'Purāṇa' diperolehi dengan dua cara: purāa bhavam ('naratif zaman silam') dan purā api navam ('sesuatu yang masih baru dalam zaman silam'). Maka, purana boleh bermaksud sesuatu kisah zaman silam, tetapi masih relevan pada semua zaman.

Ciri-ciri umum Purāṇa
sunting

Sebuah Purāṇa dikatakan mengandungi lima ciri-ciri yang menjelaskan: sarga (ciptaan), pratisarga (ciptaan pertengahan), vamśa (dinasti dewa-dewa dan raja-raja), manvantara (empat belas Manu dan zaman-zaman mereka), vamśānucarita (genealogi raja-raja dinasti solar dan lunar). Kadang-kadang beberapa ciri lain ditambah seperti rakṣā (fungsi perlindungan alam semesta oleh Tuhan), saṁsthā (pralaya atau pemusnahan alam semesta), hetu (sebab ciptaan , iaitu jiwa dan karma), vṛtti (penyaraan kehidupan), apāśraya (perlindungan atau Brahman). Kecuali Vishnu Purāṇa, ke semua ciri-ciri ini tidak dibincangkan oleh Purāṇa-Purāṇa lain.

Selain lima ciri-ciri umum ini, terdapat beberapa perkara lain yang dibincangkan seperti śrāddha (upacara kematian), kewajiban setiap varṇa and āśrama, tīrtha (tempat-tempat suci), dan penyembahan imej-imej Tuhan. Beberapa buah Purāṇa juga memainkan peranan dalam penyebaran mazhab-mazhab tertentu misalnya, Śaivisme atau Vaiṣṇavisme. Informasi-informasi dalam pelbagai bidang sekular seperti Ayurveda, arkitektual, perancangan bandar, ilmu ramalan, juga dimuatkan dalam sesuatu Purāṇa.

Itihasa atau Epik - Ramayana dan Mahabharata

sunting

Ramayana dikarang oleh Valmiki dan Mahabharata pula ialah karya Vyasa. Kedua-dua epik ini juga dikenali sebagai Itihasa dan ia mengandungi falsafah dan ajaran agama disamping sejarah purba. Bhagavad Gita, kitab suci utama Hindu terkandung dalam Mahabharata. Kedua-dua epik ini juga mempunyai watak-watak utama yang mulia yang dianggap sebagai idola bagi orang Hindu.

Menurut definisi yang diberikan dalam bahasa Sanskrit, sebuah itihasa mesti mengandungi topik-topik yang merangkumi empat puruṣārtha iaitu dharma, artha, kāma dan mokṣa. Secara amnya, topik-topik ini dibincangkan melalui cerita-cerita yang berlaku pada zaman silam.

Perkataan 'itihasa' dan 'puraṇa' telah digunakan dalam sastera Veda (vide Atharva Veda 15.6.4; Satapatha Brahmana 13.4.3.12; Brhadaranyaka Upanishad 2.4.10).

Bhagavad Gīta

sunting

[Artikel Utama: Bhagavad Gita]

Kitab suci utama agama Hindu iaitu Bhagavad Gīta ialah sebahagian epik Mahābhārata. Ia mengandungi dialog-dialog antara Sri Krishna, Jelmaan Tuhan dan putera Arjuna. Bagi menjawab soalan-soalan dan keraguan Arjuna, Sri Krishna memberi ajaran rohani yang hebat. Ajaran ini merupakan khazanah agama Hindu. Bhagavad Gīta mengandungi kebanyakan ajaran utama Upanishad. Maka, Bhagavad Gita juga disanjung tinggi seperti Upanishad.

Āgama dan Nigama

sunting

Di samping ajaran dan falsafah Veda, agama Hindu juga mempunyai satu set ajaran yang sejajar, dikenali sebagai Tantra. Dalam disiplin Tantra, Tuhan dilihat sebagai kedua-dua principal Lelaki dan prinsipal Perempuan atau Shiva dan Shakti. Sastera Tantra juga menggariskan segala aspek penyembahan Shakti atau tenaga Tuhan dalam rupa Ibu Yang Suci. Kebanyakan sastera Tantra berada dalam bentuk dialog di antara Dewa Siva dan Dewi Parvati (Shakti), di mana dalam beberapa Shiva menjadi guru dan Parvati pelajarnya dan dalam sastera lain Parvati menjadi guru dan Shiva pula pelajarnya. Sastera Tantra yang diajar oleh Shiva dikenali sebagai Āgama dan sastera yang diajar oleh Shakti dikenali sebagai Nigama. Terdapat enam puluh empat sastera Tantra yang popular, antaranya ialah: Mahānirvāna, Kulārnava, Kulasāra, Prapanchasāra, Tantrarāja, Rudra Yāmala, Brahma Yāmala, Vishnu Yāmala dan Todala Tantra.

Sastera yang unik dan amat teknikal ini juga mengandungi garis panduan untuk pembinaan kuil dan pembuatan arca Hindu termasuk semua upacara ritual berkaitan dengannya.

Pancharātra Samhitā dan Shaiva Āgama

sunting

Seperti Tantra, wujud dua jenis sastera lain yang dinamakan Pancharātra Samhita golongan Vaishnava dan Shaiva Āgama. Seperti Tantra, sastera-sastera ini juga mengutarakan amalan dan doktrin agama yang sesuai untuk zaman Kali. Walaupun kedua-dua sastera ini tidak bergantung kepada otoriti Veda, ia masih tidak bercanggah dengan ajaran Veda. Satu lagi ciri khas sastera ini ialah semua orang tanpa menggira kasta dan jantina boleh mempelajarinya selepas upacara Diksha.

Pancharātra Samhita mempunyai dua ratus lima belas kitab berasingan. Namun, antara kitab yang popular ialah: Ishwara, Paushkara, Parama, Sāttwata, Brihad-Brahma dan Jnanāmritasāra Samhita. Ishwara Samhita telah dirujuk oleh Yamunacharya sementara Paushkara, Parama dan Sāttwata Samhita dirujuk oleh Ramanujacharya. Jnanāmritasāra Samhita telah diterbitkan dengan nama Nārada Pancharātra.[6]

Terdapat senarai dua puluh lapan Shaiva Āgama dan setiap satu mempunyai beberapa Upāgama.

Konsep Tuhan

sunting

Sejak awal lagi, Hinduisme telah mengalami banyak evolusi berterusan. Pada zaman awal tamadun mereka, orang Hindu dipercayai telah menyembah bumi, air, api, langit, angkasa, angin, matahari, kilat dan alam sekitar sebagai tuhan. Ayat-ayat suci Veda selain menyembah elemen-elemen alam sebagai tuhan, setiap tuhan ini juga dirujuk sebagai Tuhan Yang Agung, Tuhan Pencipta Alam. Menurut ahli Indologi Jerman Max Muller, nenek-moyang awal orang Hindu bukan beragama politistik, tetapi henotistik.

Secara beransur-ansur, masyarakat Indo-Aryan menemui asas yang sama disebalik pelbagai tuhan-tuhan ini.[7] Nasadiya Sutra, atau "Ayat-ayat Suci Ciptaan" dalam Rig Veda memberikan gambaran yang cantik mengenai suatu unsur yang purba dan amat abstrak dengan kata nama ITU, dari mana dunia wujud. Unsur ini ialah Kesedaran Tulen atau Roh. Dalam bahasa Sanskrit Veda, Itu dipanggil sebagai Brahman.

Ayat suci Rig Veda yang berbunyi "Ekam Sad vipra bahudha vadanti"[8] - yang bermaksud "Hanya ada satu kebenaran tetapi para orang bijaksana menyebut-Nya dengan banyak nama," bukan sahaja menekankan konsep Tuhan Yang Maha Esa, tetapi ayat suci ini juga menjadi asas kepada sifat terbuka dan toleransi umat Hindu.

Nirguna Brahman

sunting

Siapakah yang wujud sebelum ciptaan? Jawapan yang bernas ialah hanya Tuhan yang wujud ketika itu. Sebelum ciptaan, apakah rupa Tuhan? Hinduisme menjawab bahawa Tuhan berada dalam keadaan transendental sebelum ciptaan. Perkataan "transendental" bermaksud kewujudan Tuhan berada di luar masa, ruang dan sebab-penyebab dunia kita. Menurut agama Hindu apabila Tuhan mencipta alam ini, Dia juga mencipta masa dan ruang bersama-samanya. Maka, kewujudan Tuhan sebelum ciptaan mestilah menjangkaui masa dan ruang.[9]

Bagi menjelaskan idea ini, kita boleh menggunakan analogi ini. Katakan seseorang sedang tidur dan dia bermimpi. Dalam dunia mimpinya, dia berada dalam masa dan ruang mimpi. Kedua-duanya telah dihasilkan oleh mindanya ketika dia bermimpi. Ketika itu, dia tidak berada dalam dunia nyata. Dalam dunia mimpi, dia telah menjangkaui masa dan ruang dunia nyatanya. Begitu juga, Tuhan sebelum ciptaan menjangkaui masa dan ruang dunia yang diciptanya.[10]

Menurut agama Hindu, Tuhan yang berada dalam keadaaan transendental dipanggil sebagai Nirguna Brahman, Roh Agung, Tuhan Tanpa Peribadi dan Tanpa Sifat. Nirguna Brahman tidak mempunyai peribadi atau personaliti. Keperibadian mempunyai batasan. Tanpa suatu personaliti, Nirguna Brahman juga tidak mempunyai jantina. Maka, dalam bahasa Sanskrit, Nirguna Brahman dirujuk sebagai 'TAT', bermaksud ITU. Ini menunjukkan bahawa Nirguna Brahman bukan lelaki mahupun perempuan.[11]

Oleh kerana Nirguna Brahman menjangkaui ruang, ianya adalah Infinit. Menjangkaui masa, ianya adalah Abadi. Tanpa dipengaruhi oleh sebab-penyebab, Nirguna Brahman adalah Tetap dan Tidak Berubah. Sifat atau kualiti adalah satu faktor yang mewujudkan perbezaan. Contohnya, kuasa pembakaran adalah sifat api. Sifat ini membezakan api dengan air yang tidak mempunyai sifat itu. Nirguna Brahman adalah Satu, Tidak Terbahagi dan Infinit. Maka, Nirguna Brahman tidak boleh mempunyai sebarang sifat yang menyebabkan perbezaan di dalam-Nya.[12]

Nirguna Brahman sering digambarkan dengan perkataaan 'Sat-Chit-Ananda' iaitu Kebenaran Mutlak, Kesedaran Mutlak dan Kebahagiaan Mutlak. Namun semua perkataan ini, tidak dapat menjelaskan Nirguna Brahman yang berada di luar dunia yang terhad. Nirguna Brahman tidak boleh dijelaskan. Menurut Sankaracharya, ayat-ayat Veda seperti 'Sat-Chit-Ananda' hanya merupakan petunjuk tentang sifat Nirguna Brahman. Ayat-ayat ini bukan penjelasan tentang Nirguna Brahman. Sri Ramakrishna, seorang mistik moden menjelaskan bahawa segala-galanya telah dicemari oleh lidah manusia kecuali Nirguna Brahman kerana tiada sesiapa pun yang dapat menerangkan apakah Itu.[13]

Ishvara

sunting

Kebanyakan orang tidak boleh berfikir tentang Nirguna Brahman. Manusia hanya dapat membayangkan sesuatu dengan ciri-ciri manusia. Contohnya, manusia berfikir bahawa Tuhan Maha Pengampun dan Maha Pengasih kerana ini adalah ciri-ciri yang mulia dalam seseorang manusia. Jadi, apabila manusia berfikir tentang Nirguna Brahman, secara tidak sengaja, dia memberikan ciri-ciri kemanusiaan kepada-Nya. Ini menjadikan Nirguna Brahman menjadi Saguna Brahman (Tuhan Peribadi). Pada hakikatnya, Nirguna Brahman tidak berubah.[14]

Misalnya, katakan seseorang melihat langit biru dengan memakai kaca mata merah atau hijau. Dengan kaca mata merah, langit kelihatan merah. Dengan kaca mata hijau, langit kelihatan hijau. Namun, sebenarnya langit tetap biru dan tidak berubah. Begitu juga, manusia melihat Nirguna Brahman dengan kaca matanya sendiri. Namun, sama seperti langit yang kekal sama, keperibadian tidak mengubah Nirguna Brahman.[15]

Saguna Brahman (Tuhan Peribadi) dalam agama Hindu dinamakan sebagai Ishvara. Manusia melihat Ishvara sebagai Pencipta Alam. Ishvara ialah Maha Berkuasa, Maha Mutlak dan Maha Merangkumi. Dengan kehendak-Nya, Dia mencipta dunia dengan menggunakan kuasa Maya-Nya. Meskipun Dia Tak Berupa, Dia mengambil pelbagai rupa dengan kesaktian Maya-Nya. Dengan Maya-Nya, Dia mencipta dunia dengan kebaikan dan kejahatan. Meskipun dunia wujud dalam-Nya, Dia menjangakui baik dan buruk. Seperti ular tidak diracuni oleh bisa dalam mulutnya, Tuhan tidak terjejas dengan baik dan buruk.

Ishvara mempunyai tiga aspek utama iaitu sebagai Pencipta, Pelindung dan Pemusnah. Maka, Ishvara dengan tiga aspek utama ini menerima nama Brahma (Pencipta), Vishnu (Pelindung) dan Shiva (Pemusnah). Ishvara tidak ada jantina. Namun, orang Hindu bebas memikirkan tentang Ishvara sebagai Ibu atau Bapa. Ini adalah satu lagi ciri unik agama Hindu. Setiap individu bebas memikirkan tentang Tuhan mengikut kehendak hatinya dan menjalinkan hubungan tertentu dengan Tuhan. Tuhan boleh menjadi Ibu, Bapa, Kawan, Kekasih atau Anak seseorang manusia. Menurut Sri Ramakrishna, apabila seseorang menjalinkan hubungan yang akrab dengan Tuhan, dengan mudah dan segera, dia akan mencapai kesedaran-Tuhan.

Menurut aliran Vishishtādvaita (satu aliran falsafah Vedānta), Ishvara mempunyai enam kualiti-kualiti agung: Jnana (Ilmu yang tidak terbatas), Bala (kekuatan yang tidak terhad), Aishwarya (penguasaan segala-galanya), Shakti (kuasa ciptaan), Virya (tenaga yang tidak terhad), dan Tejas (keserian).

Hiraṇyagarbha

sunting

Hiraṇyagarbha ialah dewa yang terulung. Dia ialah mahkluk pertama yang dicipta oleh Tuhan (Isvara). Keadaan benih ciptaan, sebelum ciptaan bermula, dibandingkan dengan sebiji telur emas ('hiraṇyagarbha'). Telur emas ini disimpan di dalam perut Hiraṇyagarbha. Kemudiannya, atas kehendak Ishvara, Hiraṇyagarbha mencipta dunia daripada benih ciptaan yang disimpannya.

Menurut Advaita Vedanta, Dia ialah aspek kedua Brahman yang dikaitan dengan ajñāna selepas Īśvara. Dia merangkumi semua jasad-jasad halus (sūkṣmaśarīra) dalam ciptaan seperti benang dalam kalungan manik-manik. Maka, Dia juga dinamakan sebagai Sūtrātman. Dia juga dikenali sebagai 'prāna'. Meskipun, Hiraṇyagarbha dicipta oleh Tuhan, dia juga mempunyai kesaktian sama seperti Tuhan. Dia ialah Akal Kosmik. Dengan kehendak Isvara, Hiraṇyagarbha mencipta dunia. Hiraṇyagarbha merupakan penjelmaan pertama Isvara. Semua dewa-dewi wujud dalam Hiraṇyagarbha kerana Hiraṇyagarbha adalah infinit dan merangkumi seluruh dunia. Ini bermaksud bahawa dengan menyembah dewa-dewi, kita menyembah Hiraṇyagarbha. Kadang-kadang, Purana menyamakan Hiraṇyagarbha dengan Isvara dan memanggilnya sebagai Brahma, Pencipta.

Hiraṇyagarbha mempunyai tiga kesaktian iaitu kehendak, ilmu dan tindakan, yang dinamakan icchā śakti, jñāna śakti, dan kriyā śakti.

Rupa-rupa Tuhan

sunting

Selain tiga aspek utama, iaitu sebagai pencipta, pelindung dan pemusnah, Isvara mempunyai pelbagai aspek dan kesaktian lain. Aspek-aspek ini juga menjelma sebagai pelbagai rupa Tuhan. Misalnya, apabila seorang Hindu memikirkan Isvara sebagai pemberi ilmu dan pengetahuan, aspek Isvara itu menjelma sebagai Sarasvati. Begitu juga, Laksmi ialah penjelmaan Isvara sebagai pemberi harta kekayaan. Menurut Swami Vivekananda: "Rupa-rupa tuhan ini bukanlah simbol semata-mata. Golongan Bhakta telah melihat rupa-rupa ini."

Semua rupa-rupa Tuhan ialah penjelmaan pelbagai aspek-Nya dan bukannya bermaksud terdapat banyak tuhan-tuhan. Ini sesuatu yang sering disalahfahami mengenai agama Hindu. Malah, Sankaracharya sendiri memperkenalkan penyembahan Shakti, aspek feminin Tuhan di semua biaranya. Sri Ramakrishna pada mulanya menyembah Kali dan akhirnya menyedari Brahman. Menurut Sri Ramakrishna juga bhakti kepada Tuhan Peribadi akhirnya akan membawa ilmu tentang Brahman.[16]

Antara rupa-rupa Tuhan yang popular pada masa kini adalah: Siwa, Wisnu, Gana, Subramania, Durga, Kali, Saraswati dan Laksmi.

Avatara

sunting

(Artikel utama: Avatara)

Konsep 'Avatara' atau Jelmaan Tuhan merupakan salah satu kepercayaan penting dalam agama Hindu. Teori Avatara telah julung kali diperkenalkan dalam Bhagavad Gita. "Bila-bila kebaikan atau Dharma merosot dan kejahatan atau adharma bermaharajalela, Aku menjelma. Demi mengembalikan kebaikan, menghapuskan kejahatan, Aku menjelma dalam setiap zaman (Yuga)."[17] Itulah yang dijanjikan oleh Tuhan dalam Jelmaan-Nya sebagai Sri Krishna.

Tuhan memahami kelemahan manusia. Maka, demi berbuat baik kepada dunia, Tuhan menjelma di bumi. Vedanta mengakui bahawa walaupun Tuhan Maha Berkuasa dan Maha Mutlak, Dia menjelma sebagai dunia. Maka, tiada apa-apa yang pelik dalam doktrin Avatara bahawa Tuhan boleh mengambil sesuatu rupa yang unik dan pada masa yang sama, sedar akan Ketuhanan-Nya. Satu lagi keistimewaan doktrin ini ialah bahawa Tuhan menjelma atas kehendak sesuatu zaman dan tempat. Tidak ada sebarang sekatan tentang bilangan atau tempat Jelmaan wujud. Satu-satunya faktor penentuan ialah kemerosotan dharma (kebaikan) dan peningkatan adharma (kejahatan).

Antara Avatara yang popular adalah: Vamana, Parasurama, Sri Ramachandra, dan Sri Krishna.

Dewa-Dewi

sunting

Beberapa orang yang layak dan banyak melakukan kebaikan dan kebajikan di bumi juga dinaikkan pangat selepas kematian mereka. Mereka mendapat badan yang diperbuat daripada cahaya. Perkataan Sanskrit div bermaksud “untuk bersinar”. Oleh itu, mahkluk-mahkluk ini dikenali sebagai Dewa (lelaki) dan Dewi (perempuan).  

Kecuali Hiraṇyagarbha, dewa-dewi lain tidak bebas. Mereka telah mendapat kedudukan sebagai dewa-dewi disebabkan pahala baik mereka di bumi. Sebaik sahaja, kesan pahala baik mereka habis, mereka terpaksa lahir semula sebagai manusia.

Menurut Hinduisme, terdapat dewa-dewi yang mengawal pelbagai benda-benda hidup dan bukan hidup di alam semesta ini. Misalnya, Indra ialah dewa yang menguasai anggota tangan semua mahkluk. Virat ialah dewa yang menguasai semua badan fizikal dalam alam semesta ini. Malah, seluruh alam semesta ini dianggap sebagai badan fizikal Virat.

Amalan Agama

sunting

Ritual

sunting

Dari mula hingga akhir, ritual Hindu adalah bertujuan untuk menyucikan hati dan pemikiran manusia. Nampaknya, ritual-ritual ini tidak ada tujuan lain.

Sejak zaman Atharva Veda dan kemudiannya dalam Tantra, memang wujud beberapa upacara sihir. Upacara-upacara amal ini adalah untuk memusnahkan musuh seseorang, untuk mencapai sesuatu benda, untuk menyembuhkan sesuatu penyakit atau untuk mengelakkan nasib buruk. Selagi kitab-kitab suci membenarkan sesuatu perkara, upacara-upacara ritual ini yang diamalkan oleh pengikut-pengikut Pravritti Marga tidak membahayakan. Mungkin seorang musuh sosial perlu dihapuskan demi ketenteraman awam. Dalam keadaan begini, kerohanian orang yang mengamalkan ilmu sihir tidak akan terjejas. Namun, orang-orang yang lemah dan tidak suci, kemungkinan akan menyalahgunakan ilmu ini. Mereka mungkin akan menggunakan ilmu sihir untuk memuaskan nafsu yang keji dan kepentingan diri sendiri. Dalam keadaan begini, kemungkinan kerohanian akan terjejas.

Selain daripada ini, semua ritual lain adalah baik untuk kerohanian. Ritual-ritual ini menyucikan hati dan minda seseorang, dan ini adalah satu langkah penting dalam mencapai kesedaran Tuhan.

Punca utama semua ketidaksucian adalah kejahilan tentang sifat ketuhanan kita. Apa-apa sahaja yang dapat mengurangkan kejahilan ini akan menyucikan jiwa kita. Meditasi ke atas Tuhan dan ketuhanan jiwa itu akan menghapuskan kejahilan. Penggunaan imej (pratima) dan simbol (pratika) untuk menggambarkan Tuhan dapat membantu meditasi. Ketika bersembahyang menggunakan imej atau simbol, seseorang pasti berfikir tentang Tuhan. Pemikiran tentang Tuhan merupakan kaedah yang efektif untuk menyucikan minda. Ini dapat dilakukan dengan mudah dengan merasakan kewujudan Tuhan dalam imej dan simbol.

Proses menghidupkan imej (prana-pratishtha) dengan jelas menunjukkan bagaimana ritual dapat membantu asimilasi idea ketuhanan jiwa secara beransur-ansur. Pemuja harus berfikir bahawa Tuhan muncul dalam sesuatu rupa bercahaya dari jiwanya sendiri dan menduduki hatinya. Kemudian dari hati, Tuhan keluar dengan nafasnya dan duduk di atas sekuntum bunga. Seterusnya dari bunga, Tuhan menduduki imej atau simbol-Nya. Demikian, imej itu dikatakan ‘hidup’. Golongan intelektual mungkin memandang ini sebagai sesuatu perbuatan kebudak-budakan. Namun, kaedah ini amat efektif seperti mana tadika untuk mendidik kanak-kanak. Kebanyakan golongan intelektual juga perlu melalui tadika ini kerana perkembangan kerohanian mereka masih berada pada tahap rendah. Dengan mengulangi proses ini berkali-kali, seseorang akan menyedari sifat ketuhanannya sendiri.   

Dalam zaman moden, bhakti atau cinta kepada Tuhan dan kepercayaan lebih diberikan keutamaan. Benih bhakti telah ditanam di dalam upacara-upacara ritual sejak zaman Veda lagi. Kemudiannya idea ini diperkembangkan dalam zaman Agamas dan Purana.   

Penyembahan berhala

sunting

Masyarakat barat sering memandang masyarakat Hindu sebagai penyembah patung-patung. Ini sebenarnya tidak benar sama sekali. Masyarakat Hindu menyembah Tuhan dalam bentuk tertentu seperti imej berhala. Imej-imej seperti patung dan gambar ialah hanya pelbagai simbol-simbol keagungan dan kesaktian Tuhan. Dengan menggunakan simbol-simbol yang konkrit, orang Hindu cuba untuk berhubung dengan Tuhan atau Ishvara yang sukar difahami. Sama seperti sebuah foto seseorang ialah cuma gambaran orang itu dan bukannya orang itu sebenarnya, begitu juga dengan berhala Tuhan. Berhala hanya membantu seseorang Hindu untuk mengingati tentang kesaktian Tuhan. Berhala menjadi perantara Tuhan dan pemuja-Nya. Semasa bersembahyang, jika seseorang dapat mengingati Tuhan dan merasakan kehadiran-Nya dalam dirinya sendiri, sembahyangnya berakhir. Selepas itu, berhala tidak diperlukan lagi. Inilah sebabnya, orang Hindu sering meninggalkan berhala selepas bersembahyang dan melarutkannya dalam kolam atau sungai.

Nirguna Brahman (Realiti Mutlak) tidak mempunyai rupa. Sekiranya begitu, mengapakah agama Hindu menyediakan pelbagai bentuk penyembahan ritual? Persoalan ini telah dibangkitkan di Vishnu Dharmottara Purana oleh Vajra begini:

“Tuhan Maha Agung telah dihuraikan sebagai tiada rupa, tiada bau atau emosi, dan tanpa bunyi atau rasa sentuhan. Jadi macam manakah imej-imej ini boleh diperbuat?”

Markandeya menjawab: “Prakrti dan Vikrti wujud menerusi variasi dalam rupa Paramatman (Tuhan). Prakrti adalah rupa Tuhan yang tidak boleh dilihat. Seluruh alam semesta ini adalah Vikrti iaitu rupa Tuhan yang dapat dilihat. Penyembahan dan meditasi ke atas Tuhan Maha Esa dapat dilakukan hanya apabila Tuhan mempunyai rupa.Sebaik-baiknya, Tuhan disembah tanpa sebarang rupa.[18]

Ikonografi atau Seni Membuat Ikon

sunting

Seni ikonografi dalam Hinduisme dikenali sebagai 'Mūrtiśilpa Śastra'. Seni ini telah wujud sejak zaman Veda. Dalam Rig Veda (8.29), misalnya, deskripsi terperinci diberikan mengenai setiap anggota tubuh, dan senjata-senjata dewa-dewi dan Tvaṣṭā disebut sebagai Devaśilpi (pembuat patung dewa). Kāṭhaka Samhita (1.9.5) menyebut tentang resi Devala yang menjadi tukang membuat berhala.

Selain berhala dewa-dewi, ikon-ikon dan simbol-simbol lain seperti Sivalinga, Sri Chakra, pelbagai Yantra, dan Kumbha juga digunakan untuk pemujaan.

Hasil-hasil Penulisan

sunting

Terdapat pelbagai karya yang dihasilkan mengenai 'Mūrtiśilpa Śastra', seperti:

  • Bodhāyana Gṛhyasūtras
  • Bṛhatsamhitā
  • Mānasāra
  • Kāraṇāgama
  • Mayamata
  • Śilparatna
  • Śilpasangraha
  • Śilpasāra
  • Śukranītisāra
  • Suprabhedāgama
  • Vaikhānasāgama
  • Viṣhṇudharmottara Purāṇa

Bahan-bahan untuk Membuat Arca

sunting

Pelbagai jenis bahan digunakan untuk membentuk berhala, seperti tanah liat, batu, kayu, logam dan aloi. Kebiasaannya, bahan-bahan yang murah digunakan untuk berhala sementara yang akan dilarutkan dalam air. Sebaliknya, bagi berhala-berhala di kuil, bahan-bahan yang lebih mahal dan tahan lama digunakan.

Arca yang dibina secara tetap di kuil dipanggil sebagai 'Acala' atau 'Dhruvabera' dan ia diperbuat daripada batu seperti granit dan batu marmar. Arca yang sering dibawa keluar iaitu 'Utsava Mūrti' atau imej yang dipuja di rumah pula diperbuat daripada logam, batu permata, kayu dan tanah liat. Arca logam yang diperbuat daripada perak, emas, atau pañcaloha (lima jenis logam) adalah amat popular. Arca yang diperbuat daripada kayu digunakan hanya di dua buah kuil iaitu di kuil Jagannatha di Puri, Orissa dan di kuil Trivikrama di Tirukkoilur, Tamil Nadu.

Imej-imej Dhruvabera

sunting

Imej-imej tetap di kuil dinamakan sebagai 'Acala' atau 'Dhruvabera'. Terdapat tiga jenis imej Acala ini iaitu: sthānaka (kedudukan berdiri), āsīna (kedudukan duduk) dan śayāna (kedudukan berbaring). Kebanyakan arca-arca yang disembah di kuil biasanya berada dalam kategori Sthānaka atau berdiri. Banyak imej-imej Dewi, Ganapati dan Narasimha biasanya berada dalam kedudukan duduk. Hanya arca-arca Maha Vishnu, seperti Padmanabha dan Ranganatha berada dalam keadaan berbaring.

Menurut suatu klasifikasi lain, terdapat dua jenis 'Dhruvabera iaitu ugra (ganas) dan śānta (tenang). Beberapa aspek Dewi seperti Kali, Narasimha, Parasurama, dan Gajaha (Siva) berada dalam aspek ugra. Kuil-kuil dengan arca yang ganas biasanya dibina di luar bandar atau kampung. Semua imej lain yang tidak termasuk dalam kategori ugra boleh disifatkan sebagai śānta.

Upacara korban

sunting

Pelbagai upacara korban yang melibatkan persembahan kepada dewi-dewi telah diberikan dalam semua empat Veda. Namun, dengan peredaran masa, tradisi ini hilang kepentingannya disebabkan gerakan-gerakan pembaharuan oleh para pertapa zaman Upanishad, Jainisme dan Buddhisme. Sebaliknya, suatu bentuk upacara korban haiwan yang baru mula menular ke dalam masyarakat Hindu apabila budaya orang asli diserap masuk. Kebiasaannya, hanya Dewi Durga atau Kali yang dipersembahkan dengan daging secara ritual. Kerbau, kambing, kambing biri-biri, dan ayam jantan biasanya dikorbankan secara ritual. Menurut kepercayaan, haiwan yang dikorbankan akan memasuki syurga.

Dalam beberapa bentuk penyembahan, khususnya yang dipengaruhi oleh Tantra, upacara korban kadang-kala dibenarkan. Kebanyakan orang, bergantung kepada ayat-ayat suci, "Jangan lakukan keganasan terhadap sebarang kehidupan," (Na himsyāt sarvabhūtāni)[19] meragui bagaimana agama Hindu membenarkan upacara korban. Menurut agama Hindu, semua hidupan, bukan sahaja haiwan, adalah suci. Oleh itu, keganasan dicemuh oleh Hinduisme. Malah, semua makanan juga dianggap tidak suci kerana secara langsung atau tidak langsung ia melibatkan keganasan. Misalnya, nasi dan gandum juga ialah benda-benda yang bernyawa. Begitu juga, semua jenis makanan, sama ada tumbuh-tumbuhan atau binatang. Perbuatan memakan juga satu bentuk keganasan terhadap hidupan lain. Malah, madu dicuri dengan memusnahkan sarang lebah. Atas sebab ini, orang Hindu dikehendaki mempersembahkan apa-apa sahaja kepada Tuhan sebelum memakannya. Perbuatan persembahan ini, sama ada secara mental atau ritual, akan menyucikan makanan itu.

Menurut Hinduisme, apa-apa makanan yang dipersembahkan kepada Tuhan dengan iman dan cinta akan dirahmati oleh Tuhan. Makanan itu menjadi suci. Seorang Hindu dikehendaki untuk makan hanya makanan yang dipersembahkan kepada Tuhan demi kepentingan fizikal dan rohaninya.

Dalam zaman purba, kebanyakan masyarakat Indo-Aryan memakan daging dengan beberapa syarat tertentu.[20] Hanya binatang-binatang tertentu boleh dimakan selepas dipersembahkan kepada Tuhan, Daging yang tidak dipersembahkan kepada Tuhan (dikenali sebagai vrithā mānsa) dianggap tidak sesuai untuk dimakan. Dengan cara ini, penyembelihan binatang untuk tujuan pemakanan dikawal. Tambahan pula, upacara korban binatang yang dilakukan di hadapan Tuhan dianggap secara simbolik sebagai memusnahkan sifat kehaiwanan dalam manusia dan membantu perkembangan manusia ke suatu tahap yang mulia.

Namun, harus ditekankan di sini bahawa meskipun agama Hindu membenarkan upacara korban binatang, perbuatan ini tidak digalakkan. Malah, kitab-kitab Tantra juga membenarkan upacara korban secara simbolik dengan menggunakan buah labu, labu air atau buah-buahan lain sebagai ganti.

Pada hari ini, masyarakat Hindu jarang melakukan upacara korban binatang. Kebanyakan masyarakat Hindu mengamalkan pemakanan vegetarian. Segelintir orang Hindu yang masih memakan daging pula membelinya dari pasar.

Lawatan Suci (Yatra)

sunting

Tīrthayātrā atau lawatan ke tempat-tempat suci memainkan peranan penting dalam kehidupan seorang Hindu walaupun ia tidak diwajibkan. Tempat-tempat suci dapat meningkatkan tahap kesucian dan kerohanian seseorang. Benua India penuh dengan tempat-tempat suci, dari Amarnath di utara India hingga Rameswaram di selatan, dan dari Somnath di barat hingga Puri di Timur. Malah boleh dikatakan bahawa agama Hindu mempunyai lebih banyak tempat-tempat suci berbanding semua agama lain. Tempat-tempat ini amat purba dan berkaitan dengan orang-orang alim dalam zaman purba. Selain itu terdapat tempat-tempat lain yang berkaitan dengan orang-orang alim dan pemimpin-pemimpin agama daripada pelbagai zaman. Sering kali, tempat-tempat suci ini terletak di kawasan yang penuh dengan keindahan semulajadi seperti gunung-ganang, lembah-lembah, tepi-tepi sungai, pulau-pulau, hutan belantara, pantai-pantai dan seumpamanya yang amat sesuai untuk renungan dan ketenangan.

Menurut, Matsya Purana (184.66-67), lawatan suci boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja tanpa batasan kasta, darjat atau keadaan. Namun, terdapat beberapa hukum yang perlu dipatuhi oleh seseorang yang ingin menjalankan lawatan suci. Misalnya, seorang brahmachari yang tinggal di rumah gurunya perlu mendapatkan kebenaran guru terlebih dahulu. Seseorang yang telah berkahwin wajib melakukan lawatan suci bersama-sama pasangannya, dan sekiranya gagal, dia tidak akan mendapat hasil pahala melakukan lawatan suci.

Kitab-kitab Suci

sunting

Subjek lawatan suci telah dibincangkan dalam pelbagai kitab suci. Terdapat lebih 400,000 ayat-ayat dalam Mahabharata dan purana-purana lain mengenai lawatan suci. Selain itu, terdapat beberapa buah buku lain yang menyentuh tentang subjek ini seperti:

  • Krtya Kalpataru oleh Lakshmidhara (kurun ke-12 Masihi)
  • Caturvargacintamani oleh Hemadri (kurun ke-13 Masihi)
  • Tirthacintamani oleh Vachaspati (kurun ke-15 Masihi)
  • Tirthasara oleh Dalapati (1490 Masihi)
  • Tristhalisetu oleh Narayanabhatta (1570 Masihi)

Selain ini terdapat juga beberapa karya khususnya tentang sesuatu tempat tertentu seperti Gaya dan Puri.

Tujuan Lawatan Suci

sunting

Perkataan 'Tīrtha' bermaksud 'Tīryate anena iti tīrthaṁ, saṁsārasāgarataraṇopāya-bhūtaṁ', 'sesuatu yang merentasi, sesuatu yang membantu merentasi samudera kehidupan semula' ialah Tīrtha. Maka, dengan menjalani lawatan suci, seseorang dapat merentasi samsara atau kitaran kelahiran semula dan mencapai kesempurnaan.

Menurut Vishnu Dharma Sukta (2.16, 17), lawatan suci ialah salah satu Samanyadharma (kewajiban umum untuk semua orang). Seseorang yang menjalani lawatan suci akan mendapat banyak pahala, dosanya akan dihapuskan dan hatinya menjadi suci.

Misalnya Rig Veda (10.75 khila) menyebut tentang kesucian pertemuan sungai Ganga dan Yamuna. Seseorang yang bermandi di pertemuan sungai-sungai ini akan mencapai syurga. Seseorang yang mati di sini akan mencapai keabadian.

Keindahan tempat-tempat suci juga amat merangsangkan meditasi dan renungan. Tempat-tempat ini juga kaya dengan sejarah dan memori orang-orang alim yang telah melawatnya. Oleh itu, aliran kerohanian ("spiritual current") amat padat di tempat-tempat suci ini.

Syarat-syarat

sunting

Terdapat beberapa syarat-syarat yang perlu diikuti sebelum melakukan lawatan suci. Kehidupan yang bermoral ialah syarat penting yang perlu diikuti dan tanpanya, lawatan suci tidak bermakna. Menurut Vayu Purana (77.125) seorang yang melanggari rukun-rukun agama dan Dharma yang menjalani lawatan suci dengan kepercayaan, menyesali perbuatan dosanya, dan bertekad untuk meninggalkan dosa dan kejahatan, akan mendapat faedah daripada lawatan suci.

Lawatan suci tidak wajib untuk seseorang yang menjalani kehidupan yang alim dan suci. Namun, dia akan dapat meningkatkan tahap kerohaniannya dengan melakukan lawatan suci. Amalan seperti jñāna (ilmu agama), kṣama (sifat memaafkan orang lain), dayā (belas kasihan), dan dama (kawalan diri sendiri) juga dipanggil sebagai 'Tīrtha' kerana semua perbuatan ini juga menyucikan hati dan minda seseorang. Selain itu, orang-orang alim juga dianggap sebagai Tīrtha kerana pergaulan dengan mereka akan menyucikan hati dan minda seseorang.

Prosedur untuk Diikuti

sunting

Purana dan Dharmasastra telah menggariskan beberapa langkah yang perlu diikuti ketika melakukan lawatan suci.

Pada hari sebelum lawatan, seseorang perlu berpuasa. Sebelum bertolak, seseorang perlu menyembah Dewa keluarganya, Ganapati, dan Navagraha, dan memberikan hadiah kepada orang-orang miskin, memakai pakaian jingga atau kuning, mengambil Sankalpa (tekad agama) seperti yang dinyatakan oleh kitab-kitab suci dan menjalani kehidupan yang sederhana ketika melaksanakan lawatan suci. Ketika lawatan suci, seseorang perlu menjalani kehidupan yang sederhana dan memakan sayur-sayuran yang sederhana. Selepas menyempurnakan lawatan suci dan kembali ke rumahnya, seseorang perlu mengulangi pemujaan di rumahnya, dan memberikan hadiah kepada orang-orang miskin sebagai tanda bersyukur.

Dalam zaman moden ini, seseorang boleh memulakan dan menamatkan lawatan sucinya dengan bersembahyang di rumahnya sendiri atau di kuil berdekatan dan mendapatkan restu orang tuanya.

Seseorang yang melakukan lawatan suci juga perlu mengambil tahu dan mengikuti prosedur-prosedur yang khusus untuk sesuatu tempat suci.

sunting

Tempat-tempat suci yang popular boleh dikelaskan seperti ini:

  • Bandar-bandar purba yang disebut dalam Purana seperti Varanasi (Kashi), Allahabad (Prayag), Haridwar, RishikeshMathura, Vrindavan, dan Ayodhya.
  • Char Dham (Empat Tempat Suci yang terkenal): Bandar PuriRameswaramDwarka,dan Badrinath (atau kadang-kadang Badrinath, Kedarnath, Gangotri, dan Yamunotri)
  • Kumbha Mela: perayaan Kumbha Mela ialah salah satu perayaan Hindu yang amat popular. Perayaan ini diadakan setiap dua belas tahun dan menarik jutaan penganut Hindu. Lokasi Kumbha Mela bersilih ganti antara PrayagHaridwar, Nashik, dan Ujjain.
  • Bandar-Bandar Kuil Besar: Puri iaitu bandar kuil Jagannath dan perayaan Ratha Yatra; Katra, kuil Vaishno Devi; Madurai, kuil Meenakshi Amman; Tirumala - Tirupati, kuil Tirumala Venkateswara; dan Sabarimala, kuil Swami Ayyappan.
  • Shakti Peetha: tempat suci yang berkaitan dengan Shakti Peethas, di mana Dewi Shakti disembah. Antara Shakti Peethas yang popular ialah Kalighat (di Kolkata) and Kamakhya.
  • Dvadasa Jyotirlinga Sthalas: Dua belas kuil Jyotirlinga.
  • Panchabhoota Sthalas: Dua belas kuil Sivalinga yang berkaitan dengan lima elemen.
  • Divyadesam: 108 tempat suci Vaishnava.
  • Sungai-sungai suci: Ganga, Yamuna, Saraswathi, Godavari, Narmada, Sindhu, dan Kaveri. Terdapat juga beberapa Sungai suci yang penting seperti Brahmaputra, Sarayu, Krishna, Pampa, dan Alaknanda.

Mantera-mantera

sunting

Santhi Mantra

sunting

Doa untuk ketenangan dan keamanan dikenali sebagai mantera Santhi. Biasanya, mantera-mantera ini dibacakan pada awal dan akhir upacara ritual atau perbincangan agama.

Mantera-mantera ini terkandung dalam beberapa Upanishad. Tujuan bacaan mantera ini ialah untuk menenangkan pembaca, pendengar dan persekitaran. Mantera-mantera ini mempunyai kesaktian untuk menghapuskan segala halangan dalam kerja atau aktiviti yang hendak dilakukan.

Mantera Shanti biasanya berakhir dengan tiga kali ucapan “Shanti” bermaksud “Ketenangan”. Tujuan mengucapnya tiga kali ialah untuk menenangkan dan menghapuskan segala halangan dalam tiga alam iaitu:

  • ·        Adhi-Bhautika iaitu persekitaran fizikal
  • ·        Adhi-Daivika iaitu alam makhluk halus dan
  • ·        Adhyaatmika iaitu badan dan minda seseorang

Menurut kitab-kitab suci Hindu, sumber halangan dan masalah wujud dari tiga perkara ini.

  • ·        Adhi-Bhautika iaitu persekitaran fizikal boleh membawa masalah atau halangan seperti binatang liar, orang jahat, bencana alam dsb.
  • ·        Adhi-Daivika iaitu alam makhluk halus seperti roh, hantu, dewa-dewi dsb.
  • ·        Adhyaatmika iaitu badan dan minda seseorang sendiri boleh menjadi penghalang contohnya dalam keadaan kesakitan, keuzuran, kemalasan, kurang perhatian dsb.

Tiga perkara-perkara ini dikenali sebagai ‘Tapa-Traya’ atau tiga kelas masalah. Dengan membacakan doa mantera Shanthi, halangan dan masalah daripada tiga perkara ini dapat diatasi.  

Hinduisme sebagai cara hidup

sunting

Matlamat Kehidupan

sunting

Agama Hindu mengenalpasti empat matlamat kehidupan manusia atau 'purushartham' iaitu:

  • Kama - memuaskan keinginan untuk keseronokan duniawi
  • Artha - mengumpul harta benda
  • Dharma - amalan agama
  • Moksha - mencapai kebebasan melalui kesedaran-Tuhan

Antara empat matlamat kehidupan ini, kama merupakan matlamat paling rendah kerana ianya wujud untuk manusia dan juga binatang. Artha adalah lebih baik daripada kama kerana ianya hanya wujud dalam kalangan manusia. Matlamat ketiga, iaitu Dharma ialah sebenarnya latihan dalam pengorbanan diri. Kama dan artha berasaskan kepada sifat ketamakan dan mementingkan diri sendiri. Dharma pula tidak mementingkan diri sendiri. Maka, Dharma lebih mulia daripada kama dan artha. Kehidupan seorang Hindu merangkumi pelaksanaan suatu siri tugasan agama atau Dharma yang ditetapkan oleh kitab-kitab suci. Malah, seorang Hindu juga perlu mengikuti Dharma untuk mencari nikmat duniawi dan kekayaan.

Moksha, yang bermaksud 'kebebasan' boleh dicapai hanya dengan kesedaran-Tuhan. Hinduisme percaya bahawa Tuhan merangkumi segala-galanya dan bahawa ketuhanan wujud dalam semua manusia. Ketuhanan wujud dalam semua orang, tetapi manifestasinya tidak sama. Matlamat amalan rohani ialah untuk menyerlahkan ketuhanan ini dalam kehidupan seseorang. Apabila ketuhanan ini terserlah dengan sepenuhnya dalam seseorang, maka orang itu dikatakan telah mencapai kesedaran-Tuhan dan dia juga dikatakan telah mencapai Moksha.

Ketuhanan ialah sifat sebenar diri manusia. Ia menjadi intipati atau akar asas kewujudan manusia. Seseorang boleh meninggalkan segala-galanya, tetapi bukan sesuatu yang menjadi asasnya sendiri. Ketuhanan ini akan terserlah pada suatu masa. Maka, semua orang akan mencapai Moksha ada suatu masa. Orang yang telah maju dalam kehidupan rohani mungkin akan mencapai Moksha dalam kehidupan ini atau semasa kematiannya. Orang lain pula mungkin memerlukan beberapa kelahiran untuk mencapai kebebasan. Dengan usaha yang ikhlas dan bersungguh-sungguh manusia boleh mencapai moksha dalam masa yang terdekat. Namun, tidak ada keraguan bahawa semua orang, sama ada mereka sedar atau tidak sedar, sedang menuju ke arah Moksha.

Menurut agama Hindu, tiga matlamat hidup iaitu kama artha dan Dharma hanya dapat memberikan kepuasan yang sementara. Namun,disebabkan manusia sentiasa mendahagkan sesuatu yang abadi, kama, artha dan Dharma tidak dapat memenuhi keinginan ini. Salah satu aspek utama Tuhan dalam agama Hindu ialah Ananda atau Nikmat Abadi. Semua usaha manusia untuk mendapatkan kama dan artha sebenarnya adalah satu usaha untuk mencapai Tuhan atau Nikmat Abadi. Selepas gagal memuaskan dirinya dengan nikmat duniawi, akhirnya, manusia akan sedar bahawa hanya Nikmat Abadi boleh memuaskannya. Akhirnya, dia mencari Nikmat Abadi itu. Apabila manusia melepaskan usaha untuk mencari keseronokan dengan memuaskan nafsunya dan mengumpul kekayaan, dan menumpukan tenaganya untuk mencari ketuhanan dalam dirinya sendiri, maka dia dikatakan sedang menjalani kehidupan rohani. Akhirnya, apabila dia mencapai sumber Nikmat Abadi dalam dirinya sendiri, segala keinginan duniawinya terhapus. Dia menyedari Tuhan, menyedari bahawa Tuhan meliputi segala-galanya dan bahawa Tuhan merupakan intipati segala-galanya. Dia menjadi bebas daripada perasaan takut, penderitaan dan kesengsaraan. Hatinya penuh dengan ketenangan dan kebahagiaan. Dia melihat dirinya sebagai roh yang abadi dan bebas daripada kelahiran dan kematian. Dia tidak lagi menganggapnya dirinya sebagai badan fizikal yang musnah dengan peredaran masa. Inilah yang dikatakan sebagai kebebasan atau Moksha. Inilah matlamat akhir kehidupan manusia. Berbanding kebahagiaan yang diperolehi dengan mencapai Moksha, semua keseronokan dan kebahagiaan lain kelihatan amat remeh. Kitab-kitab suci agama Hindu mengingatkan manusia berulang kali untuk mencapai matlamat akhir ini.

Empat Tahap Hidup

sunting

Dalam zaman silam, masyarakat Aryan membahagikan kehidupan individu kepada empat tahap iaitu Brahmacharya (tahap pelajar), Garhasthya (tahap berumah tangga), Vanaprasthya (tahap persaraan), dan Sannyasa (tahap rahib atau pertapa).

Brahmacharya

sunting
  • Ini ialah tahap pertama kehidupan seorang Hindu. Seorang budak lelaki berumur antara tujuh hingga sebelas tahun akan dihantar untuk tinggal di asrama seorang guru. Selama lebih kurang dua belas tahun, sehingga tamat persekolahannya, seorang budak dikehendaki menjalani kehidupan suci, brahmacharya sepenuhnya dan membina akhlaknya di samping mendapatkan pendidikan formal. Keutamaan diberikan kepada perkembangan keperibadian seseorang.
  • Tugas seorang guru bukan sahaja untuk mendidik pelajar-pelajarnya tetapi untuk menjadi teladan. Guru bukan sahaja memberikan pendidikan sekular tetapi membimbing dalam hal-hal kerohanian. Selain mempelajari Veda dan kitab-kitab suci, ilmu tatabahasa, puisi, etika, moral, matematil, dan ilmu astronomi diajar. Matlamat semua pendidikan ialah untuk mencapai kebebasan dengan menyedari Tuhan.
  • Perhubungan guru-pelajar dalam kehidupan seorang Hindu adalah amat unik. Seorang guru menganggap pelajarnya seperti anaknya sendiri dan mencurahkan kasih sayang dan perhatian yang sama. Pelajar (bahasa Sanskrit dikenali sebagai antevasin) juga menganggap rumah gurunya sebagai rumahnya sendiri dan membantu gurunya dengan kerja rumah. Guru tidak akan menerima yuran atau gaji daripada pelajarnya. Sebarang bayaran untuk pengajaran, sama ada ilmu sekular atau ilmu rohani adalah bertentangan dengan budaya Aryan. Guru, biasanya seorang lelaki yang berkeluarga, menjalani kehidupan yang sederhana, tanpa sebarang kemewahan. Keperluan hariannya yang sederhana diuruskan dengan pemberian hadiah daripada raja. Pelajar-pelajar tidak akan membebankan guru mereka. Setiap hari, mereka akan mengemis makanan dari rumah-rumah jiran. Pakaian mereka ialah kulit rusa atau kulit kayu yang diproses. Lembu-lembu yang dipelihara oleh guru mereka membekalkan bekalan susu harian.
  • Seorang pelajar yang menamatkan pelajarannya dipanggil sebagai ‘Snataka’ (bermaksud seorang ‘yang telah bermandi’). Perkataan ini menandakan bahawa seorang pelajar telah berjaya bermandi dalam sungai ilmu. Selepas menamatkan pendidikan mereka, pelajar akan memberikan hadiah kepada guru sebagai tanda penghargaan dan penghormatan. Kemudian pelajar pulang ke rumahnya, berkahwin dan memasuki tahap kedua kehidupan seorang Aryan.
  • Pada zaman Veda, kanak-kanak perempuan juga tinggal di rumah guru mereka dan mendapatkan pendidikan sama seperti budak lelaki. Apabila masyarakat menjadi lebih ketat, kanak-kanak perempuan dididik di rumah mereka sendiri. Tradisi mengemis makanan diamalkan di kawasan rumah mereka sendiri. Kanak-kanak perempuan dilarang memakai kulit rusa, kulit pokok atau menyimpan rambut yang kusut.
  • Namun, sekitar kurun ke-5 S.M. terdapat ramai wanita-wanita yang berpendidikan yang disanjung sebagai guru. Mereka menikmati taraf dan status yang sama seperti guru-guru lelaki. Antara sarjana-sarjana wanita yang terkenal pada zaman Veda ialah Gargi (anak Vachaknu) dan Pathyasvati yang diberikan gelaran ‘Vach’ (bermaksud ‘Dewi Ilmu’). Pada awal zaman Veda juga terdapat ramai Rishi-resi wanita seperti Vishvavara, Ghosha, dan Apala. Gadis-gadis dalam zaman Veda juga belajar bernyanyi, menari, memainkan instrument muzik, mewarna, melukis, menjahit, menulis puisi, mengikat kalung bunga, dan pelbagai seni lain.

Garhasthya

sunting
  • Tahap kedua ini bermula dengan perkahwinan. Selepas menyempurnakan pendidikannya, seorang lelaki, dengan kebenaran ibu bapanya, berkahwin dengan seorang gadis dari kastanya sendiri tetapi dari Gotra lain. Selepas berkahwin, dia perlu menjalani kehidupan berkeluarga menurut hukum-hukum agama.
  • Antara lain, seorang yang berumahtangga harus melakukan pemujaan harian bernama agnihotra (suatu upacara ritual yang menggunakan api sebagai simbol Tuhan), sering membaca Veda, mencari rezeki yang halal, membuat kebajikan kepada orang miskin, membesarkan anak, menghormati orang-orang tua dan menjaga ibubapanya.
  • Menurut Manu, seorang lelaki yang berumahtangga mempunyai kewajipan untuk menghormati, menghargai dan membahagiakan golongan wanita. “Di mana wanita hidup menderita, keluarga itu akan musnah; dan di mana wanita hidup bahagia, keluarga itu akan maju.” (Manu).
  • Isteri dipanggil sebagai ardhangini (secara literal bermaksud ‘separuh badan’). Suami isteri dianggap sebagai dua bahagian kepada satu perkahwinan yang ideal. Isteri juga dipanggil sebagai sahadharmini yang bermaksud “pekongsi dalam kehidupan rohani”. Suami isteri harus bekerjasama untuk mencapai perkembangan kerohanian. Seorang individu dalam masyarakat Aryan diingatkan tentang matlamat akhir hidup – iaitu kesedaran Tuhan – pada setiap tahap hidupnya.
  • Golongan lelaki dibenarkan untuk mengamalkan poligami. Seorang lelaki dibenarkan untuk berkahwin semula selepas kematian isterinya. Sebaliknya, seorang wanitadikehendaki menjalani kehidupan brahmacharya dan hidup seperti seorang rahib selepas kematian suaminya. Keadaan ini mungkin disebabkan kerana masyarakat pada masa itu dikuasai oleh golongan lelaki. Namun, pada awal zaman Veda, seorang gadis dara juga dibenarkan untuk berkahwin semula selepas kematian suami. Masyarakat Aryan juga tidak membenarkan perceraian kerana perkahwinan dianggap sebagai sesuatu yang suci dan harus berterusan selama-lamanya.

Vanaprasthya

sunting
  • Menurut Manu, apabila kulit seseorang berkedut dan rambutnya rabun, sudah tiba masanya untuk dia memasuki tahap ketiga kehidupan sebagai vanaprasthya. Dia dikehendaki untuk bersara dan bertolak ke hutan, sama ada diiringi oleh isterinya atau meninggalkan isterinya dalam jagaan anak lelakinya. Di hutan, dia dikehendaki untuk tinggal dalam sebuah pondok kecil, memakai kulit pokok, kulit haiwan, atau pakaian lama; mengaji Veda, dan menjalankan upacara ritual. Dia dikehendaki memakan hanya sayur-sayuran, buah-buahan dan akar-akar yang mentah atau dimasak. Dia menyimpan janggut panjang, tidak memotong rambut dan kukunya. Secara ringkas, dia dikehendaki hidup sederhana dan menjalani disiplin kerohanian. Tahap ketiga ini sesungguhnya ialah suatu persediaan untuk tahap keempat kehidupan Aryan sebagai seorang rahib atau pertapa.
  • Dengan peredaran masa, masyarakat Aryan telah meninggalkan tradisi vanaprasthya. Namun, apabila seseorang memasuki usia tua, keinginan untuk menjalani kehidupan tenang, jauh dari keluarga dan masyarakat, masih mendorong mereka untuk bersara. Masih ramai golongan wanita dan lelaki yang berusia mencari teduhan di tempat-tempat suci seperti Varanasi dan Puri. Mereka menjalani kehidupan yang sederhana dengan berdoa dan bersembahyang sehingga ke akhir hayat mereka.

Sannyasa

sunting
  • Tahap keempat ini ialah suatu peralihan semula jadi dari tahap vanaprasthya. Menurut Baudhayana, seorang penggubal undang-undang India purba, sesiapa sahaja daripada kategori-kategori berikut layak untuk memasuki tahap terakhir ini:
  1. Seorang pelajar yang baru menamatkan pendidikannya dan ingin melepaskan dunia
  2. Seorang yang tiada zuriat
  3. Seorang duda
  4. Seorang perantau
  5. Seorang pertapa
  6. Sesiapa yang berumur tujuh puluh tahun ke atas dan anak-anaknya telah berumah tangga
  • Seorang rahib sering membotakkan kepalanya, memotong kukunya, dan mengemis untuk makanannya. Dia tidur di bawah pokok, dalam kuil, atau rumah yang terbiar. Dia sentiasa merantau dari tempat ke tempat, dengan sebatang tongkat, sebuah mangkuk, dan kendi air. Dia tidak akan memakai pakaian putih seperti seorang yang berkeluarga. Dia tidak akan tinggal di sesuatu tempat lebih daripada tiga hari. Dia dikecualikan daripada melakukan upacara agnihotra dan lain-lain ritual wajib. Namun, seorang rahib dikehendaki untuk sentiasa mengaji Veda.
  • Seorang rahib menganggap seluruh dunia sebagai keluarganya. Maka, dia memutuskan segala perhubungan dengan keluarganya. Dia mengambil ikrar ketidakganasan, bercakap benar, tidak mencuri, mengawal nafsu dan bertoleransi. Dia mengikuti perintah guru rohaninya, tidak marah, tidak terburu-buru dalam tindakan dan pemikiran, mengamalkan kebersihan dan kesucian makanan. Dia dikehendaki untuk memikirkan dirinya sebagai Atman atau roh yang suci dan bukannya sebagai badan. Matlamat hidupnya ialah untuk menyedari Tuhan.
  • Golongan rahib Hindu moden masih mengikuti ideal purba kehidupan Sannyasa ini. Namun, institusi kerahiban yang teratur, mula-mula diperkenalkan oleh Gautama Buddha lebih kurang 2500 tahun dahulu.
  • Sri Sankaracharya, seorang wali dan ahli falsafah Hindu kurun ke-8 telah menubuhkan satu institusi kerahiban yang dikenali sebagai Daśanāmī-Sampradāya. Institusi ini bukan sesuatu yang sistematik dan ketat seperti biara-biara Buddha. Namun, Daśanāmī-Sampradāya telah memainkan peranan yang amat penting dalam Hinduisme. Mengikuti tradisi Hindu purba, institusi ini masih mengutamakan perkembangan rohani individu di samping pembelajaran dan pengajaran kitab-kitab suci.
  • Dalam zaman moden, Swami Vivekananda telah menubuhkan Ramakrishna Math dan Ramakrishna Mission. Rahib-rahib Ramakrishna menjalankan pelbagai kegiatan kemanusiaan dan kebajikan sosial di samping menjalani disiplin rohani. Meskipun pertubuhan ini suatu organisasi yang bebas, ia berasal daripada tradisi Puri, suatu cawangan Daśanāmī-Sampradāya yang ditubuhkan oleh Sri Sankaracharya.

Sistem Varna

sunting

Sistem Varna sering dikaitkan dengan kasta. Perkataan kasta tidak wujud dalam mana-mana kitab Hindu. Para mubaligh barat mengaitkan perkataan kasta dengan agama Hindu. Masyarakat Hindu dibahagikan kepada empat Varna - Brahmin, Kshatriya, Vaishya dan Shudra. Pada asalnya, sistem varna berdasarkan kepada sifat-sifat tahap minda atau ‘potensi pekerjaan’ individu seperti berikut:

Brahmin
sunting

Seseorang yang mempunyai sifat-sifat mulia seperti kebenaran, fikiran yang tenang, mengamalkan ketidakganasan, simpati, dan tidak mementingkan diri sendiri menjadi seorang Brahmin atau kasta sami. Oleh kerana sifat-sifat rohani dan moralnya yang tinggi, seorang Brahmin dianggap layak untuk menjadi seorang guru dan pembimbing masyarakat dalam hal-hal keagamaan dan kerohanian.

Kshatriya
sunting

Individu yang penuh dengan sifat-sifat dan semangat kepahlawanan pula dianggap layak untuk menjadi Kshatriya atau kasta tentera. Golongan diraja, bangsawan dan para pentadbir biasanya berasal daripada varna ini.

Vaishya
sunting

Orang-orang yang mempunyai kemahiran berniaga dan berdagang pula tergolong dalam kasta pedagang atau Vaishya.

Shudra
sunting

Orang-orang lain pula tergolong dalam varna Shudra. Kumpulan ini termasuk golongan petani, pekerja mahir dan buruh kasar. Sesetengah sejarahwan percaya bahawa pada asalnya, golongan Shudra berasal daripada luar kelompok Aryan, tetapi kemudiannya diserap masuk ke dalam masyarakat Aryan.

  • Sistem varna tidak diikuti oleh golongan rahib atau Sannyasin. Peraturan-peraturan masyarakat umumnya tidak mengikat golongan Sannyasin. Namun, semua golongan menghormati Sannyasin.
  • Sesiapa yang mengingkari dharma Hindu terutamanya peraturan mengenai pemakanan, perkahwinan dan sebagainya, biasanya dianggap sebagai orang yang dibuang varna atau dikenali avarna (parya atau dalit).Kumpulan avarna seperti parya atau dalit ini sama maksud dengan bukan Hindu. Menurut Manu, penggubal undang-undang Hindu yang terkenal, “Seseorang daripada tiga varna atasan iaitu Brahmin, Kshatriya dan Vaishya yang dengan sengaja memakan cendawan, daging lembu, bawang putih, ayam, bawang merah, atau bawang perai, akan dibuang kasta.”
  • Seseorang yang dibuang varna tidak akan mendapat status yang sama dengan orang-orang yang berkasta. Mereka diberikan status yang paling rendah dalam masyarakat Aryan. Namun, tiada sebarang bukti bahawa pada mulanya golongan ini ditindas. Hanya apabila sistem varna mengalami kemerosotan, golongan ini mula dipandang hina dan diberikan nama “orang yang tidak boleh disentuh”.

Kemerosotan Sistem Varna

sunting
  • Pada mulanya, semua varna diberikan kepentingan yang sama. Dengan peredaran masa, sistem kasta mula dicemari dengan kepentingan diri. Varna seseorang mula ditentukan secara keturunan dan bukan lagi mengikut kualiti atau kecenderungan individu. Ini dilakukan oleh golongan tertentu yang ingin mengekalkan kedudukan dan keutamaan mereka dalam strata sosial. Akibatnya, sistem varna merosot menjadi  sumpah masyarakat Hindu. Masyarakat mula dipisahkan dengan status ‘tinggi’ dan ‘rendah’. Golongan Shudra dan yang dibuang kasta mula ditindas dan dinafikan hak untuk membaca kitab suci Veda, dan semua pendidikan tinggi. Ketidaksamaan dalam masyarakat akhirnya mencetuskan kecemburuan, kebencian dan persengketaan antara varna. Perubahan ini banyak berlaku semasa pencerobohan orang Arab dan pemerintahan Mughal.

Kesan Kedatangan Kuasa-Kuasa Asing terhadap Sistem Varna

sunting

Dengan peredaran waktu, masyarakat Aryan mengalami banyak perubahan. Bermula dengan tahun 327 S.M., secara berulang kali, India dicerobohi oleh kuasa-kuasa asing termasuk Yunani, Hun, Arab, Turki, Afghan, Persia, Mongol, Portugis, Peranchis dan akhirnya Inggeris.

Bermula dari kurun ke-13, sebahagian besar benua India dijajah oleh pemerintah-pemerintah Muslim selama hampir 600 tahun. Pada akhir kurun ke-18, Inggeris mengambil alih kuasa dan menjajah seluruh benua India sehingga India mencapai kemerdekaan pada tahun 1947.

Penaklukan dan penjajahan berterusan ini telah meninggalkan kesan yang mendalam terhadap masyarakat Hindu. Akibatnya, masyakarat berubah, dan dengan ini sistem kasta turut berubah. Pada masa pemerintahan Muslim di India, sistem Varna telah terjejas sepenuhnya. Jumlah golongan Avarna yang terbuang yang hanya kurang daripada 1% melonjak mendadak kepada 14%. Golongan ini kebanyakan akibat daripada penjajahan Islam. Mereka terpaksa menukar agama demi melepaskan diri daripada penindasan lanjut Islam yang mengenakan Jizyah dan lain-lain. Golongan Ksatriya dan Vaisha telah terhapus semasa penjajahan Islam. Manakala segelintir golongan Brahmin kekal dengan membayar jizyah, manakala majoriti jatuh menjadi kumpulan Shudra akibat penindasan penjajah. Pada masa penjajahan Portugis perkataan Kasta dikaitkan dengan Varna demi menghina agama Hindu. Langkah ini dapat memberi ruang untuk pertukaran agama kepada Kristian. Pihak misionari menggunakan peluang daripada kumpulan Avarna ini untuk tujuan menyebarkan agama. Pada zaman penjajahan Inggeris, golongan Brahmin mendapat peluang untuk mendapat pendidikan Inggeris. Dengan meninggalkan pekerjaan tradisional mereka sebagai sami dan pengajar, ramai orang Brahmin menjadi doktor perubatan, jurutera, peniaga, penjawat awam, dan peguam. Malah, ada juga golongan Brahmin yang memasuki perkhidmatan pertahanan. Golongan kasta atasan lain seperti Kshatriya dan Vaishya turut merebut peluang untuk mendapat pendidkan Inggeris dan menikmati peluang yang sama. Namun, nasib masyarakat bawahan dan miskin kekal atau semakin bertambah buruk.

Dengan peredaran zaman, sistem varna telah hilang ciri-ciri asalnya. Sebaliknya, sistem kasta idea barat telah meresapi penduduk, menjadi satu anggapan salah tentang kedudukan kasta tinggi dan kasta rendah masih berleluasa. Ramai wali-wali Hindu mula mencemuh sistem kasta yang telah disalah tafsir dan dikait dengan agama Hindu dan enggan untuk mengikutinya. Sri Ramanuja, Sri Krishna Caitanya dan Sri Ramakrishna mengajar pengikut-pengikut mereka bahawa orang-orang yang beriman dan menyintai Tuhan tidak ada sebarang kasta.

Toleransi Umat Hindu

sunting

Agama ini mempunyai ciri khas sebagai salah satu agama yang paling bertoleransi. Salah satu ayat suci dalam kitab Rig Veda ialah "Ekam Sat Vipraaha Bahudhaa Vadanti" yang bermaksu "Hanya ada satu kebenaran tetapi orang-orang bijaksana menyebut-Nya dengan banyak nama."

Dalam pelbagai kitab suci Hindu, terdapat banyak ayat-ayat suci yang mencerminkan sifat toleransi dan keadilan Tuhan. Umat ​​Hindu menghormati kebenaran tanpa mengenang asal-usulnya dan menganggap bahawa semua agama bertujuan sama, iaitu mencapai Tuhan, namun dengan pelbagai sudut pandang dan cara pelaksanaan yang berbeza. Hal itu dinyatakan dalam kitab suci Hindu misalnya:

samo ‘haṁ sarva-bhūteṣu na me dveṣyo ‘sti na priyah | ye bhajanti tu māṁ bhaktyā mayi te teṣu cāpy aham

"Aku tidak pernah iri dan selalu bersikap adil terhadap semua makhluk. Bagi-Ku tidak ada yang paling Ku-benci dan tidak ada yang paling Ku-kasihi. Namun yang berbakti kepada-Ku, dia berada pada-Ku dan Aku bersamanya." - (Bhagavad Gita, IX:29)

Malah dengan mengkaji sejarah India purba juga beberapa fakta yang menakjubkan boleh didapati. Golongan pemerintah membantu perkembangan semua agama dan mazhab tanpa diskriminasi. Contohnya di negeri Karnataka, raja-raja Sātāvahana (tiga kurun awal Masihi) merupakan penganut-penganut Saiva, tetapi mereka membina banyak kuil-kuil Buddha (seperti kuil Tārā Bhagavati di Balligāme). Pemerintah-pemerintah Kadamba memuja Siva tetapi ibu negeri mereka, Banavāsi menjadi pusat agama Buddha. Kākutstha Varma (425-445 Masihi) memberikan tanah kepada rahib Jainisme bernama Sruta-kirti.

Makanan

sunting
  • Makanan atau 'Anna' dan 'Āhāra' dalam bahasa Sanskrit merupakan sebuah topik yang popular dalam kitab-kitab suci agama Hindu. Upanishad sering kali menggunakan perkataan 'Anna' untuk merujuk kepada makanan dan juga apa-apa sahaja yang dinikmati atau dialami. Secara umumnya, semua jirim juga dirujuk sebagai 'Anna'. Dalam proses ciptaan, 'Anna' ialah penjelmaan Atman yang paling rendah.
  • Makanan bukan sahaja memberi khasiat kepada badan tetapi juga untuk minda. Maka, kebersihan dan kesucian makanan diutamakan dalam semua kitab-kitab suci Hindu.
  • Menurut kitab-kitab suci Hindu, terdapat hubungan yang rapat antara badan dan minda. Sebenarnya minda ialah sebuah peti simpanan semua hasil karma seseorang. Karma yang menentukan badan dan masa depan seseoang dalam kelahiran semulanya. Apabila seseorang mati, cuma badannya yang musnah tetapi mindanya akan berpindah bersama-sama rohnya ke badan lain. Maka, minda memainkan peranan penting dalam menentukan badan yang seseorang perolehi dalam kelahiran semulanya. Dalam konteks ini juga, makanan memainkan peranannya. Kualiti makanan menentukan kualiti pemikiran dan minda seseorang.
  • Menurut Chāndogya Upanishad (7.26.2) kesucian makanan menentukan kesucian minda. Kesucian minda menghasilkan memori yang kuat untuk mengingati semua yang didengar dan dipelajari. Ini seterusnya membantu seseorang untuk mendapatkan ilmu untuk melepaskan dirinya daripada segala ikatan duniawi. Secara ringkas, makanan menguatkan badan dan minda.
  • Menurut Dharmasastra, perbuatan memakan juga ialah suatu amalan agama dan beberapa hukum pemakanan diberikan.
  • Menurut Manu, penggubal undang-undang Hindu yang terkenal, “Seseorang daripada tiga kasta atasan iaitu Brahmin, Kshatriya dan Vaishya yang dengan sengaja memakan cendawan, daging lembu, bawang putih, ayam, bawang merah, atau bawang perai, akan dibuang kasta.”
  • Oleh kerana makanan disanjung tinggi oleh Hinduisme, terdapat beberapa mantera untuk persembahan ritual makanan dan juga mantera untuk disebut sebelum makan.
  • Anna Sūkta ('Mantera untuk makanan') dalam Ṛgveda Samhitā (1.187.1-11) ialah sebuah mantera yang harus dibacakan untuk menyucikan makanan. Menurut resi Śaunaka (dalam Ṛgvidhāna 1-27), Anna Sūkta harus dibaca setiap hari sebelum makan. Bacaan mantera ini akan menyucikan makanan, menghapuskan sebarang kekotoran dalam makanan, dan memastikan makanan itu berkhasiat.
  • Annapūrṇā ialah dewi untuk makanan dan suatu aspek Śakti. Annapūrṇā mengawal makanan dan memberikan makanan kepada dunia. Biasanya, Annapūrṇā digambarkan sebagai dewi bertangan empat. Menurut tradisi, Annapūrṇā telah memberikan makanan kepada Śiva ketika Śiva sedang merayau sebagai seorang fakir. Dengan memuja dewi ini, seseorang tidak akan mengalami kebuluran, Kuil Annapūrṇā yang popular terletak di Kāsī (Varanasi atau Benaras moden di Uttar Pradesh). Perayaan Annapūrṇā biasanya diraikan dalam bulan Caitra (April), terutamanya di Bengal, India.
  • Makanan dikelaskan kepada tiga kumpulan: Sāttvika, rājasika dan tāmasika (Bhagavad Gita 17.7-10). Makanan sāttvika memberikan umur yang panjang, badan yang sihat dan kuat serta kegembiraan. Makanan rājasika menghasilkan nafsu yang membawa kepada penderitaan dan kesengsaraan. Makanan tāmasika pula menyebabkan kelesuan, kemalasan, dan mengantuk. Senarai panjang tiga kumpulan makanan ini juga diberikan oleh kitab-kitab suci. Selain itu, peraturan tentang kuantiti makanan, teman, masa dan tempat untuk makan juga ditetapkan.
  • Pemakanan yang sederhana digalakkan. Sebelum melakukan disiplin kerohanian, seseorang tidak harus makan. Gerhana bulan dan gerhana matahari dipercayai mempunyai kesan buruk terdapat makanan. Oleh itu, seseorang tidak harus makan ketika gerhana.
  • Seseorang juga tidak harus makan di kuil, tempat awam, dan kenderaan bergerak.
  • Makanan menjadi tercemar dalam tiga keadaan: jātidoṣa, nimittadoṣa dan āśrayadoṣa. Bawang putih dan kobis, misalnya ialah makanan yang tercemar secara spesis (jāti), dan oleh itu mesti dielakkan. Nimittadoṣa berlaku disebabkan kekotoran luar seperti habuk atau rambut. Ini boleh dielakkan dengan menjaga kebersihan dan sanitasi yang baik. Makanan yang disentuh, dimasak, atau dikendalikan oleh orang jahat atau kurang bermoral dikatakan tercemar dengan arus negatif dan jahat mereka. Kekotoran jenis ini dinamakan sebagai āśrayadoṣa. Makanan ini boleh disucikan dengan mempersembahkannya kepada Tuhan terlebih dahulu sebelum makan.
  • Menurut Bhagavad Gita, seseorang perlu mengambil makanan yang banyak airnya, berzat, selamat dimakan, dan menyenangkan demi kesihatan fizikal dan kepentingan rohaninya. Makanan yang terlampau pahit, terlalu masam, terlampau masin, terlalu panas, amat pedas, kering dan mendidih harus dielakkan. Makanan yang telah basi, tanpa rasa, busuk, dan tidak bersih harus dielakkan.
  • Kitab-kitab mazhab Vaishnava dan Shaiva menyarankan makanan sayur-sayuran yang sepenuhnya untuk pengikut-pengikutnya. Pengikut-pengikut mazhab Shakta pula dibenarkan oleh kitab-kitab suci untuk memakan daging, ikan, dan arak yang telah dipersembahkan kepada Dewi. Akibatnya, masyarakat Hindu mempunyai pandangan yang negatif - malah membenci - terhadap orang Hindu yang memakan daging. Golongan wali, sebaliknya, tidak mengalakkan pandangan negatif ini. Swami Vivekananda berkata, "Di India, agama telah masuk ke dalam periuk." Sri Ramakrishna Paramahamsa pula berkata, "Jika seseorang yang memakan daging khinzir berfikir berterusan tentang Tuhan, maka dia lebih mulia daripada seseorang yang memakan makanan vegetarian dan masih berfikir tentang benda-benda duniawi setiap masa."
  • Mira Bai, seorang wali wanita India yang hidup dalam kurun ke-16 berkata:
Kalau seseorang boleh melihat Tuhan dengan memakan buah-buahan dan akar-akar,

kenapa kelawar dan monyet belum pernah melihat-Nya?

Kalau seseorang boleh mengenali Tuhan dengan mandi dalam sungai suci,

kenapa ikan-ikan belum pernah mengenali-Nya?

Kalau seseorang boleh melihat Tuhan dengan melepaskan isterinya,

kenapa sida-sida belum pernah melihat-Nya?

Tanpa cinta kepada Tuhan, kata Meera,

Sesiapa pun tidak boleh melihat-Nya.

  • Maka, menurut wali-wali agama Hindu, pemakanan yang baik, meskipun membantu kehidupan rohani, itu bukanlah satu-satunya kriteria penting untuk memupuk cinta suci kepada Tuhan.

Daging

sunting
  • Sejak zaman Veda, kepentingan utama telah diberikan kepada pemakanan orang Indo-Aryan. Bukan semua makanan adalah baik untuk perkembangan fizikal dan rohani manusia. Manu, seorang penggubal undang-undang purba telah memberikan dengan terperinci tentang makanan yang dibenarkan dan diharamkan.[21] Nenek moyang orang Hindu pada zaman Hindu dibenarkan untuk memakan beberapa jenis daging. Namun, Manu menyarankan dan menggalakkan pemakanan vegetarian atas dasar tanpa kekerasan. Menurut Manu, "Tidak ada dosa dalam memakan daging... tetapi banyak kebaikannya jika mengelakkan daging."[22] Namun, semua makanan, termasuk daging, mesti dipersembahkan kepada Tuhan sebelum makan.
  • Satu persoalan yang sering wujud ialah sama ada masyarakat zaman Veda memakan daging lembu. Tiada bukti untuk mempercayai bahawa masyarakat zaman Veda memakan daging lembu. Lembu tenusu tidak pernah disembelih. Seekor lembu tenusu dikenali sebagai aghnyā, yang bermaksud "sesuatu yang tidak harus dibunuh." Mengikut Garuda Purana, menendang seekor lembu merupakan dosa besar, malahan boleh menyebabkan dosa sesorang akan lahir cacat dalam kelahiran seterusnya, apa lagi mereka yang memakannya. Lembu merupakan haiwan kesukaan Tuhan Shiva, maka menyembelih atau memakan atau menyiksa lembu merupakan dosa besar. Sekumpulan penulis yang anti Hindu, cuba membuktikan bahawa masyarakat Hindu Veda pernah memakan daging lembu, ini ialah percubaan untuk menjustifikasikan sistem pemakanan agama mereka. Contohnya, menurut penulis ini, 'Hanya lembu jantan, anak lembu dan lembu mandul yang disembelih untuk dagingnya'.[23]. Pada hakikatnya, memakan daging lembu merupakan kesalahan besar sehingga seseorang itu di buang daripada sistem varna jatuh menjadi avarna (parya).
  • Mengapa masyarakat Hindu kini tidak memakan daging lembu? Beberapa cendikiawan berpendapat bahawa ini mungkin disebabkan oleh pengaruh agama Jain. Masyarakat Hindu kebanyakannya tinggal di luar bandar. Di hampir setiap rumah orang Hindu terdapat sekurang-kurangnya seekor lembu tenusu. Lembu tenusu di India adalah amat jinak. Kanak-kanak membesar dengan meminum susu lembu dan memelihara lembu sebagai binatang peliharaan, sama seperti anjing atau kucing peliharaan dalam masyarakat lain. Selain pantang-larang memakan daging lembu, ini juga salah satu sebab mengapa orang Hindu tidak dapat berfikir untuk menyembelih lembu dan memakan dagingnya. Selain itu, orang Hindu juga sering mengelakkan daripada membunuh semua haiwan betina.
  • Adakah lembu seekor binatang suci? Segelintir orang barat berpendapat bahawa orang Hindu tidak memakan daging lembu kerana menganggapnya sebagai binatang suci. Menurut agama Hindu, Tuhan wujud dalam segala-galanya. Meskipun Tuhan wujud dalam segala-galanya, manifestasinya tidak sama dalam semua benda. Manifestasi Tuhan dalam seorang wali atau Jelmaan Tuhan adalah lebih kuat. Manifestasi Tuhan adalah kurang dalam manusia biasa, dan tidak ketara dalam binatang, tumbuh-tumbuhan dan hidupan lain. Manifestasi Tuhan paling kurang dalam benda-benda bukan hidup seperti batu-batan. Maka, Tuhan sesungguhnya wujud dalam lembu juga. Jika tidak, ini akan bertentangan dengan idea bahawa Tuhan ialah Maha Wujud. Jika Tuhan Maha Suci, maka segala-galanya juga suci.

Asal-usul

sunting
  • Pada zaman Veda, masyarakat Hindu menyembah Tuhan dengan melakukan yagna dengan menggunakan api ( Dewa Agni) sebagai symbol-Nya. Di kawasan terbuka, mereka membina pentas, menyalakan yagna api, dan melakukan persembahan dan korban ke dalam api. Mereka tidak memerlukan kuil untuk bersembahyang. Untuk keperluan duniawi, masyarakat Hindu membina kuil untuk memudahkan upacara ritual. Kuil-kuil di bina berdasarkan Peraturan Agama (Agamic Rules), Vastu Sastra dan Shilpa Sastra. Memudahkan seseorang untuk melihat 'Tuhan' secara rohaniah.
  • Pertikaian masih wujud antara sejarahwan tentang permulaan kuil dalam masyarakat Hindu. Kemungkinan besar, kuil-kuil awal dibina dengan tanah atau kayu. Oleh itu, tentu kuil-kuil ini tidak dapat bertahan lama. Kemudian, bahan-bahan yang tahan lasak seperti batu-batan digunakan untuk membina kuil. Menurut suatu pendapat, kemungkinan besar, pembinaan kuil bermula pada kurun pertama Masihi.
  • Kuil-kuil Hindu biasanya dibina di tempat-tempat yang indah seperti tebing sungai, bukit-bukau, tepi tasik atau berhampiran laut. Terdapat juga kuil-kuil gua yang dibina dengan mengorek bukit.
  • Pratimāyām tu sānnidhyam arcakasya tapobalāt (the intensity of spiritual power infused in the icon of the presiding deity also depend upon the strength of spiritual power attained by the priest).
  • Seperti Atman (roh) menghuni badan semua mahkluk, Tuhan bersemayam di kuil. Ini dinyatakan dalam Skanda Upanishad seperti berikut: Deho devālayaḥ prokto jīvo devaḥ sanātanaḥ.
  • Bagi orang Hindu, struktur kuil secara keseluruhannya menjadi suatu objek pujaan: Prāsādaṁ puruṣam matvā pūjayet mantravittamaḥ (Ini bermaksud Purusha atau Tuhan adalah Prasada (iaitu kuil) dan para pemuja menyembah imej Tuhan dalam kuil.
  • Bentuk fizikal Prasada (kuil) yang mempunyai Garbhagruham hendaklah dianggap sebagai badan Tuhan dan Vigraha (berhala) Tuhan dalam Garbhagruham hendaklah dianggap sebagai Jiva (roh): Garbhagṛham tu devasya śarīram iti smṛtaṁ pratimā jīva ucyate

Arkitektual Kuil

sunting
  • Kuil-kuil Hindu mempunyai ciri-ciri yang seragam seperti: (1) sebuah dom atau menara, (2) sebuah kamar dalam di mana arca Tuhan berada, (3) sebuah ruang untuk orang ramai duduk, (4) sebuah anjung depan, (5) sebuah kolam buatan, jika kuil itu tidak berada berdekatan sumber air seperti sungai atau tasik. Air yang bersih diperlukan untuk mencuci lantai kuil dan upacara ritual. Selain itu, golongan pemuja akan bermandi sebelum memasuki kuil.
  • Menara atau dom dipanggil sebagai shikhara atau puncak. Shikhara ialah simbol untuk gunung Meru, yang dipercayai sebagai puncak yang tertinggi dalam mitologi Hindu. Puncak yang tinggi ini mengingatkan manusia untuk mencapai puncak kerohanian yang tinggi. Gaya shikara ini biasanya berbeza antara India Utara dan India Selatan. Di India Selatan, gaya vimana digunakan untuk dom. Di India Utara pula, gaya nagara digunakan. Biasanya, kuil-kuil di India Selatan juga mempunyai sebuah pintu gerbang yang tinggi, berbentuk pagoda. Pintu gerbang ini dinamakan Gopuram.
  • Kamar dalaman kuil dikenali sebagai garbha-griha (secara literal bermaksud “kamar rahim”). Kamar ini kelihatan seperti sebuah gua. Hati manusia disamakan dengan sebuah gua, di mana Tuhan bersemayam. Kecuali sami kuil, orang lain tidak dibenarkan untuk memasuki garbha-griha. Di sesetengah kuil, orang-orang boleh mengelilingi garbha-griha untuk melakukan pradakshina.
  • Ruang untuk orang ramai duduk dikenali sebagai nata-mandir. Pada suatu ketika dahulu, golongan devadasi (hamba-hamba Tuhan) menari dan bernyanyi di nata-mandir untuk menghiburkan Tuhan. Orang ramai biasanya berdiri atau duduk di sini untuk menyaksikan upacara pemujaan yang berlaku dalam garbha-griha. Di setengah-setengah kuil, ruang nata-mandir biasanya sebuah bangunan yang berasingan daripada garbha-griha.  
  • Di anjung luar sesetengah kuil juga terdapat sebuah loceng besar. Orang ramai yang memasuki atau keluar kuil boleh membunyikan loceng ini sekali dua.

Peranan Kuil dalam Masyarakat Hindu

sunting

Lawatan ke kuil bukan sesuatu yang wajib untuk orang-orang Hindu. Biasanya, di setiap rumah orang Hindu terdapat sebuah kamar atau tempat sembahyang. Oleh itu, hanya semasa upacara perayaan agama, biasanya orang Hindu melawat kuil. Akibatnya, kuil-kuil tidak mempunyai sebarang kawalan terhadap penganut-penganut Hindu.

Kuil-kuil Hindu biasanya mengadakan kirtana (nyanyian lagu-lagu suci) atau ceramah agama untuk orang ramai.

Mengenai Agama Hindu

sunting

Hanya Sanatana Dharma, Agama yang Abadi yang didedahkan oleh para resi, akan kekal.

Agama yang Abadi, agama para resi, telah wujud dari zaman yang tidak mengenal sejarah dan akan kekal abadi. Pelbagai bentuk penyembahan wujud dalam Sanatana Dharma - penyembahan Tuhan yang Berupa dan juga penyembahan Tuhan Tak Berupa. Agama ini merangkumi segala jalan - jalan Ilmu, jalan Bhakti, dan sebagainya. Agama-agama lain, kultus-kultus moden, akan timbul untuk beberapa hari dan kemudian hilang.

Hanya agama Hindu ialah Sanatana Dharma. ... Agama Hindu telah sentiasa wujud dan akan wujud selama-lamanya.

(Terjemahan daripada The Gospel of Sri Ramakrishna)[24]

Ingat, kita tidak ada masalah dengan sebarang agama di dunia ini. Semua orang mempunyai Ishta masing-masing. Tetapi, apabila kita lihat seseorang datang dan berkata: "Inilah agama yang sebenar," dan cuba untuk memaksakan agamanya pada orang India, kami ingin memberitahunya ini: Kami mentertawakan orang itu. Meraka yang ingin memusnahkan saudara-saudara mereka atas sebab mereka mengikuti agama lain untuk mencapai Tuhan - memang tidak munasabah mereka bercakap tentang kasih sayang. Kasih sayang mereka tidak ada sebarang nilai. Bagaimana mereka boleh bercakap tentang kasih sayang jika mereka tidak dapat melihat orang lain mengikuti agama lain? Kalau ini dikatakan kasih sayang, apakah itu kebencian?

(Terjemahan daripada Complete Works of Swami Vivekananda, III.131-32)

Kamu telah menghadapi kejutan kurun demi kurun hanya kerana kamu menjaganya dengan berhati-hati, namun mengorbankan segala-galanya untuknya. Nenek moyangmu mengharungi segala-galanya dengan berani, termasuk maut, tetapi mempertahankan agama mereka.

Kuil demi kuil dirobohkan oleh penakluk asing. Tetapi, sebaik sahaja keadaan menjadi reda, puncak menara kuil dibina semula. Beberapa kuil-kuil purba di Selatan India dan kuil-kuil seperti Somanath di Gujarat, akan memberikan banyak pengetahuan, akan memberikan pandangan yang mendalam mengenai sejarah bangsa (India) lebih baik daripada semua buku yang ada. Lihatlah bagaimana kuil-kuil ini menunjukkan tanda-tanda ratusan serangan dan ratusan pemulihan semula, sentiasa dimusnahkan dan sentiasa timbul semula daripada robohan,  dengan nafas baru dan sentiasa kuat!

(Terjemahan daripada Complete Works of Swami Vivekananda, III.289)[25]

Dr. S. Radhakrishnan

sunting

India meletakan nilai-nilai kerohanian lebih tinggi daripada perkara-perkara lain. Orang Hindu menyedari bahawa bukan sahaja semua jalan menuju kepada Satu Yang Agung, tetapi juga bahawa setiap orang mesti memilih jalan yang bermula daripada tempat di mana dia sedang berada pada permulaan perjalanannya.

Hinduisme tidak terikat dengan satu kepercayaan atau sebuah buku, seorang wali atau seorang pengasas. Ia adalah pencarian berterusan untuk kebenaran berdasarkan kepada pengalaman yang dibaharui secara berterusan. Hinduisme adalah evolusi berterusan pemikiran manusia mengenai Tuhan.  

Dalam sejarah dunia, Hinduisme adalah satu-satunya agama yang menunjukkan kebebasan penuh dan kebebasan fikiran manusia, dalam keyakinan penuhnya terhadap kuasanya sendiri. Hinduisme adalah kebebasan, terutamanya kebebasan dalam memikirkan tentang Tuhan.[26]

Arthur Schopenhauer (1788-1860)

sunting

Di seluruh dunia, tiada pengajian... yang begitu berfaedah dan begitu menambah pengetahuan seperti  Upanishad. Ia telah menjadi penawar kehidupan saya, ia akan menjadi penawar kematian saya.

Ralph Waldo Emerson

sunting

Bhagavad Gita menjadikan hari saya yang mengagumkan. Ianya seolah-olah sebuah empayar telah bercakap kepada kita, tiada apa-apa yang remeh atau tidak penting, tetapi lantang, tenang, dan konsisten; suatu suara kepintaran lama pada suatu zaman dan iklim yang lain yang telah menjawab soalan-soalan yang sama yang kita persoalkan.[27]

Max Muller

sunting

Biar apa pun tarikh ayat-ayat suci Veda, sama ada 1500 S.M atau 15,000 S.M, ia mempunyai tempatnya yang unik dan berdiri sendiri dalam kalangan kesusasteraan dunia. Ia memberitahu kita sesuatu tentang perkembangan awal fikiran manusia yang tidak dapat ditemui di mana-mana pun.[28]

The Six Systems of Indian Philosophy (1899)

Hinduisme di Malaysia

sunting

Rencana utama: Hinduisme di Malaysia

Rujukan

sunting
  1. ^ Swami Tathagatananda, The Basic Ideas of Hinduism and How It Is Transmitted, (2009) The Vedanta Society of New York. ms.28
  2. ^ http://vivekanandabio.blogspot.com/
  3. ^ Swami Bhaskarananda, The Essentials of Hinduism, ms4-5
  4. ^ Swami Bhaskarananda, The Essentials of Hinduism, ms.11
  5. ^ Swami Bhaskarananda, The Essentials of Hinduism, ms.12
  6. ^ Swami Nirvedananda, Hinduism at a Glance, ms.32-33
  7. ^ Swami Bhaskarananda, The Essentials of Hinduism, ms.65
  8. ^ Rig Veda 1.164.46
  9. ^ Swami Bhaskarananda, The Essentials of Hinduism (Sri Ramakrishna Math, Chennai: 1994)p.66-67
  10. ^ Ibid
  11. ^ Ibid.ms.68
  12. ^ Ibid
  13. ^ Ibid
  14. ^ Ibid.ms.69
  15. ^ Ibid
  16. ^ Swami Nikhilananda, Hinduism: Its Meaning for the Liberation of the Spirit (Sri Ramakrishna Math, Chennai: 1968) ms.162
  17. ^ Bhagavad Gita, 4.7.8
  18. ^ The Vishnudharmottara (Part III) A. Treatise On Indian Painting And Image-Making By Stella Kramrisch
  19. ^ Mahabharata (Shantiparva) 269/5
  20. ^ The Laws of Manu, V/18,22-23
  21. ^ G.Bühler, trans., The Laws of Manu (The Oxford University Press, 1886) V/5-56
  22. ^ Ibid., V/56
  23. ^ Kunhan Raja, The Cultural Heritage of India, vol.1 (Calcutta, India: Belur Math), 39
  24. ^ https://raneenarendranath.blogspot.my/2018/01/apa-kata-mereka-mengenai-agama-hindu.html?spref=fb
  25. ^ ibid
  26. ^ ibid
  27. ^ ibid
  28. ^ ibid

Lihat juga

sunting
Sri Sankara Sri Ramakrishna Vishnu Ganesha Falsafah India
Madhvacharya Sri Krishna Caitanya Siva Muruga Sri Vaiṣnava
Ramanujacharya Swami Vivekananda Shakti Falsafah Vedanta Wanita Hindu

Pautan luar

sunting