Hukuman mati

hukuman secara pembunuhan melalui undang-undang
(Dilencongkan dari Hukuman gantung sampai mati)

Hukuman mati ialah hukuman yang diputuskan oleh pihak mahkamah membabitkan pesalah dibunuh sebagai balasan jenayahnya, sama ada secara pancung, tembak, gantung, suntikan maut dan sebagainya.

Hukuman gantung ialah sejenis hukuman mati.

Hukuman mati mempunyai sejarah yang lama dalam masyarakat manusia, dan pernah berlaku di hampir semua masyarakat. Biasanya, hukuman mati itu dilaksanakan demi menegakkan keadilan dalam masyarakat. Tetapi dari segi ketenteraan, hukuman mati ialah satu cara untuk mengawal disiplin tentera. Contohnya, askar yang enggan bertempur atau lari daripada tugasan boleh dihukum mati. Tindakan ini adalah supaya tiada askar yang enggan bertempur kerana takut. Selain itu, hukuman mati juga merupakan satu cara untuk mengadakan kawalan sosial. Di negara yang autokratik, mereka yang mempunyai kelainan pendapat dengan kerajaan barangkali akan dihukum mati. Contohnya di negara komunis, seseorang itu akan dibunuh sekiranya ia dianggap "anti-revolusi" ataupun pemikirannya itu "berbahaya kepada masyarakat".

Cara melaksanakan hukuman mati sebenarnya mengalami banyak perubahan. Pada masa sekarang hukuman mati biasanya dilaksanakan dengan kesakitan yang minimum. Cara yang melibatkan perdarahan dan mengambil masa yang lama biasanya tidak digunakan. Ini adalah kerana hukuman mati bermaksud menamatkan nyawa seorang penjenayah dan tidak bermaksud menyeksanya.

Walaupun banyak negara menggunakan hukuman mati sebagai hukuman untuk jenayah berat, terdapat beberapa negara yang tidak mengamalkan hukuman mati. Contoh negara yang tidak mengamalkan hukuman mati ialah negara-negara dalam Kesatuan Eropah. Mereka menganggap hukuman mati ialah tindakan yang melanggar hak kemanusiaan.

Jenayah sasaran hukuman mati sunting

 
Negara-negara yang mengamalkan hukuman mati. Negara yang berwarna biru tidak lagi menggunakan hukuman mati.

Di negara yang bertamadun, hukuman mati ialah satu pendekatan untuk menghapuskan jenayah. Biasanya hukuman ini hanya dikenakan kepada penjenayah berat sahaja. Contoh bagi jenayah yang membawa kepada hukuman mati adalah seperti berikut:

  • Membunuh
    Kebanyakan negara akan mengenakan hukuman mati kepada mereka yang membunuh secara sengaja. Hukuman ini berdasarkan prinsip pembalasan: "hutang harta dibayar harta; hutang darah dibayar darah".
  • Penyeludupan dadah
    Di negara Asia seperti Malaysia, Singapura, dan juga China, sesiapa yang melakukan penyeludupan dadah boleh dikenakan hukuman mati. Hukuman ini berdasarkan kenyataan dadah memberi kesan yang amat buruk kepada masyarakat.
  • Jual beli manusia
    Di negara China, jual beli manusia ialah satu jenayah yang membawa kepada hukuman mati.
  • Jenayah seks/rogol
    Di negara Islam, penjenayah seks boleh dikenakan hukuman mati. Keadaan yang sama juga berlaku di Vietnam yang mengenakan hukuman mati terhadap pesalah yang merogol kanak-kanak.
  • Jenayah-jenayah lain
    Menderhaka, menculik, penyalahgunaan senjata api, malah rasuah adalah antara kesalahan yang dikenakan hukuman mati di beberapa negara.

Pendebatan mengenai hukuman mati sunting

 
Cesare Beccaria, Dei delitti e delle pene

Pada peringkat antarabangsa, hukuman mati bukanlah sesuatu yang diterima semua. Ada yang menyokong dan ada yang membantah, masing-masing dengan alasan etika dan juga alasan kemasyarakatan.

Dalil nyah ontologi sunting

Kedua-dua pihak penyokong dan penentang menuntut kepada dalil nyah ontologi untuk menahan pendapat masing-masing. Bagi pihak penentang, hukuman mati ialah satu bentuk pembunuhan juga. Sebagai satu bentuk pembunuhan, ia tidak lari daripada sifat kekejaman. Tambahan pula, hidup dan manusia merupakan hak Tuhan, dengan alasan itu manusia tidak harus mengambil nyawa manusia kerana ia bukan hak manusia.

Bagi mereka yang menyokong hukuman mati, hukuman mati adalah adil untuk dikenakan kepada mereka yang melanggar hak kehidupan orang lain, yakni pembunuh. Atas prinsip pembalasan, mereka yang membunuh harus dibunuh.

Maka kesimpulannya, dari segi analisis hierarki nilai, mereka yang menyokong hukuman mati, sebenarnya telah meletakkan nilai keadilan di atas nilai "sayang kepada nyawa". Maka bagi mereka yang menentang hukuman mati, mereka meletakkan nilai "sayang kepada nyawa" di atas nilai keadilan.

Dalil ekonomi sunting

Dalil ekonomi tidaklah boleh dianggap dalil yang utama dalam mendebatkan isu ini. Ekonomi di sini juga tidak merujuk kepada konsep kewangan tetapi kepada "peruntukan" dalam erti kata yang luas.

Bagi pihak yang menyokong hukuman mati, dikatakan hukuman mati adalah lebih jimat berbanding dengan hukuman seumur hidup. Kenyataan ini adalah senang diterima kerana hukuman seumur hidup melibatkan kos penyaraan si pesalah untuk satu jangka masa yang panjang. Manakala bagi hukuman mati pula, ia tidak melibatkan kos ini. Dikatakan bahawa lebih baik kos menyara hidup banduan seumur hidup ini dialihkan untuk kegunaan perkara yang lebih berfaedah seperti memajukan kebajikan rakyat.

Tetapi bagi pihak yang menentang hukuman mati, dikatakan hukuman mati sebenarnya menelan kos yang lebih banyak. Penentangan ini adalah kerana hukuman mati sentiasa melibatkan proses kehakiman yang teliti dan mengambil masa yang panjang. Maka kos yang ditelannya lebih banyak.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak masih belum dapat mengeluarkan statistik untuk membuktikan kesahihan hipotesis masing-masing.

Lihat juga sunting

Pautan luar sunting