Sultan Hussain Shah

(Dilencongkan dari Hussein Shah)

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Hussain Muazzam Shah ibni Almarhum Sultan Mahmud III Shah Alam[1] (1776 – 5 September 1835)[2] ialah Sultan Johor ke-18.[3] Sultan Hussain Shah dilantik sebagai sultan pada 6 Februari 1819.

Sultan Hussain Shah
Sultan Johor ke-XVIII
Pemerintahan 1819 – 1835
Pendahulu Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah
Pengganti Sultan Ali Iskandar Shah
Anakanda
Sultan Ali Iskandar Shah
ibni Almarhum Sultan Hussain Shah
@ Tengku Long
Nama penuh
Sultan Hussain Shah @ Tengku Long
ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah III
Ayahanda Sultan Mahmud Shah III
Bonda Cik Makuh binti Daeng Maturang
Keputeraan 1776
Kepulauan Riau (kini dalam  Indonesia)
Kemangkatan 5 September 1835
Tengkera
Dimakamkan Masjid Tengkera,  Melaka
Agama Sunni Islam
Sultan Hussain Shah
Sultan Singapura Moden Pertama
Pemerintahan 1819 – 1823
Pengganti Sultan Ali Iskandar Shah
Cap mohor Sultan Hussain Shah pada tahun 1819 yang tertera "Al-Wathiq billah al-Sultan Hussain Shah ibni Sultan Mahmud Shah al-Marhum sanat 1234"

Sebelum Sultan Hussain Shah dilantik sebagai Sultan Johor, Stamford Raffles telah tiba di Singapura dan membuat perhubungan dengan Temenggung Abdul Rahman untuk mendapat kebenaran membina penempatan dan meletakkan satu kompeni askarnya di Singapura dengan menandatangani Perjanjian 30 Januari 1819.

Dalam kajian kes ini, Raffles yang mengetahui mengenai krisis perebutan takhta Kesultanan Johor pada ketika itu telah mengambil peluang untuk melantik Tengku Hussain @ Tengku Long menjadi Sultan Johor bagi mengukuhkan kedudukan Inggeris di Singapura.

Perebutan takhta sunting

Latar belakang sunting

Sultan Johor-Riau, Sultan Mahmud Shah III mangkat pada 1812 setelah memerintah selama lebih 50 tahun, tanpa melantik pewaris takhta. Baginda meninggalkan dua orang putera berlainan bonda, kedua-duanya berketurunan Bugis. Sebagai putera yang sulung, Tengku Hussain pada adat kebiasannya akan menggantikan Sultan Mahmud Shah III berbanding adinda tirinya, Tengku Abdul Rahman yang lebih muda.[4] Walau bagaimanapun, Tengku Hussain sedang berada di Pahang semasa ayahandanya mangkat.

Tengku Abdul Rahman dengan sokongan orang Bugis yang diketuai oleh Yang Dipertuan Muda Raja Jaafar telah dilantik menjadi Sultan Johor sebelum Tengku Hussain sempat kembali. Sebagai balasan sokongan yang diberikan oleh Raja Jaafar, beliau telah dilantik sebagai raja muda dan diberi kuasa pentadbiran penuh.[5] Tengku Hussain yang tinggal di Pahang dan menunggu angin monsun tiba tidak mengetahui pelantikan adindanya sebagai Sultan kerana isi surat yang ditulis oleh Raja Jaafar kepada Tengku Hussain untuk memaklumkan kemangkatan Sultan Mahmud tidak menerangkan pelantikan Tengku Abdul Rahman sebagai Sultan. Surat jawapan telah dihantar dari Pahang ke Lingga memaklumkan pelantikan Tengku Hussain sebagai Sultan oleh Bendahara Tun Ali di Pahang. Akhirnya Tengku Hussain belayar balik ke Lingga apabila tibanya angin monsun, lalu telah disambut oleh Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah yang telah menawarkan untuk menyerahkan takhta kepada Tengku Hussain. Walau bagaimanapun, baginda Tengku Hussain dengan cepat menarik balik tawaran tersebut kerana diancam oleh Raja Jaafar.[6]

Kesahihan pemerintahan Sultan Abdul Rahman dipersoalkan kerana alat kebesaran diraja berada di dalam tangan Raja Hamidah, parmaisuri terkanan Sultan Mahmud Shah III yang telah menyatakan pilihannya bahawa Tengku Hussain layak untuk menaiki takhta. Tambahan pula, Tengku Hussain mendapat sokongan Temenggung dan para pembesar Melayu. Hal ini menyebabkan soal peralihan kuasa bertambah rumit.[7]

Kesan pelantikan Sultan Hussain sunting

British telah berjaya mengetepikan pengaruh politik Belanda dengan pelantikan Sultan Hussain sebagai Sultan Johor dan Singapura. Pelantikan ini membolehkan British mengukuhkan pengaruhnya di Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu. Walau bagaimanapun, kesahihan pelantikan Sultan Hussain sebagai Sultan Johor dan Singapura tidak diiktiraf oleh Raja-raja Melayu dan jawatan Baginda hanya sekadar nama. Sebaliknya, kedudukan Temenggung Abdul Rahman menjadi bertambah kukuh akibat perjanjian yang ditandatangani dengan British membolehkan beliau memutuskan pengaruh Raja Jaafar ke atas beliau.[8]

Belanda pula mengambil langkah berani untuk merampas alat kebesaran diraja daripada Raja Hamidah apabila mendengar khabar angin Sultan Hussain meminta bantuan British untuk merampas alat tersebut.[9] Pada November 1822, Sultan Abdul Rahman telah dimahkotakan sebagai Sultan Lingga oleh Belanda dengan penuh alat kebesaran diraja.[10]

Sultan Abdul Rahman, yang lebih mengabdikan diri kepada agama Islam, menghadkan pengaruh politiknya di Lingga, di mana keluarga baginda tinggal di bawah pentadbiran[11] Raja Jaafar yang memerintah di bawah pengaruh Belanda.[12] Walau bagaimanapun, timbul pula persoalan kekaburan kesahihan kepimpinan tempatan, seperti status Johor dan Pahang, yang merupakan hak milik de jure Sultan Abdul Rahman dan penggantinya kerana Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 tidak membolehkan beliau berkuasa di Johor dan Pahang.[13] Memandangkan hal ini, Temenggung dan Bendahara mula menjadi lebih berkuasa. Tambahan pula, peningkatan pengaruh British di Semenanjung Tanah Melayu dan perubahan politik semasa perlahan-lahan mengurangkan pertelingkahan tersebut. (Pada tahun 1857, Sultan Lingga, Sultan Mahmud IV, yang merupakan ketua de jure Kesultanan Johor, Pahang dan Lingga, telah menuntut haknya sebagai pemerintah negeri-negeri tersebut dan menyebabkan perang saudara di Pahang.[14])

Manakala bagi sebelah Sultan Hussain pula, baginda tidak meneruskan sebarang tuntutan secara aktif terhadap hak kedaulatannya ke atas Johor walaupun Temenggong Abdul Rahman telah meninggal dunia pada tahun 1825, dan pewaris keduanya, Temenggong Daeng Ibrahim pula masih terlalu mentah dan remaja ketika itu.[15]

Sultan Hussain akhirnya dilihat lebih banyak menghabiskan masanya di kediaman rasminya di Singapura yakni Istana Kampong Gelam sehingga tahun 1834, sebelum baginda berpindah ke Melaka dengan menaiki sebuah kapal yang bernama Julia milik Sultan Kedah. Baginda sebenarnya telah diusir oleh Sir John Crowford yang tidak mengiktiraf baginda sebagai Sultan di Singapura. Baginda lebih disenangi untuk tinggal di Melaka kerana mempunyai saudara-mara yang ramai tinggal di Tengkera, Melaka. Menurut sumber laporan, Sultan Hussain ialah seorang yang lemah lembut, sifat dan perwatakannya cukup menunjukkan baginda kekurangan kuasa dan pemerintahan yang tidak setanding dengan gelaran Sultannya.[16]

Perjanjian dengan SHTI 1819 dan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 sunting

Sultan Hussain dikenali sebagai Sultan yang menandatangani dua perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Inggeris yang membolehkan penubuhan Singapura moden, di mana beliau telah diiktiraf sebagai Sultan Johor ke-18 dan Sultan Singapura yang pertama pada 6 Februari 1819. Baginda mengarahkan untuk dibinakan sebuah Istana di Singapura yang dinamakan Istana Kampong Gelam pada tahun 1820 dan pada 17 Mac 1824 selepas menandatangani surat perjanjian Inggeris-Belanda yang mana wilayah Johor di tanah semenanjung dan Singapura berada di bawah pengaruh Inggeris sementara Riau dan Kepulauan Lingga pula di bawah pengaruh Belanda. Kesan dariapda perjanjian tersebut:

  1. Negeri Pahang kemudiannya telah diperintah oleh keturunan Bendahara.
  2. Negeri Johor Moden pula telah diperintah oleh keturunan Temenggong sehingga ke hari ini.
  3. Di wilayah pengaruh Belanda pula, Keturunan Sultan Abdul Rahman Muadzam Syah kemudiannya menjadi Sultan Lingga.
  4. Keturunan Yang Di-pertuan Muda menguasai Riau.

Kesannya, pada 2 Ogos 1824 kuasa Sultan Hussain ke atas Singapura hilang setelah menandatangani Perjanjian 17 Mac 1824 dengan pegawai British Sir John Crawfurd untuk menyerahkan Singapura dan pulau sekitarnya buat selama-lamanya. John Crawfurd menggantikan William Farquhar sebagai Residen Singapura penghujung tahun 1823. John Crawfurd mendesak Sultan Hussain Shah dan Temenggong Abdul Rahman untuk melepaskan Singapura kepada British dan diberikan pencen sebanyak 20,000 Dolar kepada Sultan dan 15,000 Dolar kepada Temenggong secara bayaran penuh. Tetapi kedua-dua tokoh tersebut tidak mahu menandatangani perjanjian hak pelepasan Singapura kepada British. Akibat kelangsungan hidup yang agak sempit, Sultan dan Temenggong akhirnya menandatangani perjanjian tersebut. Dengan itu, Singapura berjaya diambil alih dan dilepaskan hak kepada British buat selama-lamanya.

Kemangkatan sunting

Sultan Hussain Shah berpindah ke Melaka pada tahun 1834 lalu mangkat di Tengkera, Melaka lima belas bulan kemudian pada 5 September 1835. Baginda dimakamkan secara sederhana di penjuru tanah perkuburan di dalam perkarangan Masjid Tengkera.[17]


Penyandang Terdahulu Sultan Johor ke-18
1819 – 1835
Penyandang Kemudian
Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah Sultan Ali Iskandar Shah

Rujukan sunting

  • Carl A. Trcocki (2007). Prince of Pirates : The Temenggongs and the Developments of Johor and Singapore. NUS Press. ISBN 9789971693763.
  • R.O. Winstedt (1992). A History of Johore. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS). ISBN 9839961462.

Nota kaki sunting

  1. ^ Bastin, Winks, Malaysia: Selected Historical Readings, pg 130
  2. ^ Marcus Scott-Ross, See Historical Malacca in One Day, pg 22
  3. ^ Sejarah Kesultanan Negeri Johor, Laman Web Rasmi Pejabat Daerah Kota Tinggi, retrieved 12 March 2009
  4. ^ Turnbull, A Short History of Malaysia, Singapore and Brunei, pg 97
  5. ^ Trocki, Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of Johor and Singapore, 1784-1885, pg 36
  6. ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 77
  7. ^ Trocki, Singapore: Wealth, Power and the Culture of Control, pg 82
  8. ^ Ministry of Culture (Publicity Division), Singapore; Ministry of Communications and Information, Singapore., Singapore: A Ministry of Culture Publication, pg 24
  9. ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 84
  10. ^ Trocki, Prince of Pirates: The Temenggongs and the Development of Johor and Singapore, 1784-1885, pg 108
  11. ^ Bastin, Winks, Malaysia: Selected Historical Readings, pg 132 Though in 1818 Major Farquhar had signed a treaty with the Underking of Riau by virtue of powers granted him by 'Abdu'r- Rahman Sultan of Johor, Pahang and dependencies, and though in his letter suggesting the Carimons (Karimun) for a port he had again referred to 'Abdu'r-Rahman as emperor, he now conveniently remembered that the potentate had deprecated being called ruler of the Johor empire and had declared that he was Sultan of Lingga only. So aware that under Dutch surveillance neither Sultan 'Abdu'r-Rahman of Lingga nor the Underking at Riau would be able to convey any rights at Singapore to the British,...
  12. ^ Royal Asiatic Society of Great Britain and Ireland, Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, pg 57
  13. ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 112
  14. ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 116
  15. ^ Winstedt, A History of Johore (1365–1941), pg 106
  16. ^ David Brazil, Street Smart Singapore, pg 231
  17. ^ Reports Service, by American Universities Field Staff, published by American Universities Field Studies, 1965, pg 20

Lihat juga sunting