Imam

(Dilencongkan dari Imamah)

Imam (bahasa Arab: إمام) bererti pemimpin. Dalam erti biasa Imam adalah individu yang dilantik bagi memimpin golongan para jemaah ketika melakukan ibadah solat atau amal kebaikan. Erti lain ialah mereka yang diberi kepercayaan menjadi pemimpin bagi satu kumpulan untuk memimpin ke jalan yang benar (Khalifah).

Imam solat sunting

Keperluan untuk mendapatkan Imam (ketua dalam solat) diklasifikasikan sebagai suatu kepentingan yang diperlukan, namun tidak semestinya merupakan suatu kewajipan.[1] Imam tetap mestilah seorang yang bebas (tidak terkongkong dengan pekerjaan lain), adil, jujur dan mempunyai pengetahuan dalam agama Islam yang baik.[1] Bagi masjid yang dibina oleh kerajaan dan dikawal selia olehnya, biasanya pihak badan agama yang diiktiraf oleh kerajaan seperti jabatan agama Islam negeri atau negara bertanggungjawab untuk menentukan siapa yang layak menjadi Imam. Bagi sesetengah negara orang yang layak menyandang jawatan dan tugasan sebagai Imam adalah dipilih oleh Raja/Sultan mahupun menteri yang bertanggungjawab;[1] Manakala bagi Masjid yang dikawal selia atau dibina oleh pihak swasta, pemilihan Imam walau bagaimanapun adalah berdasarkan kepada undian atau pemilihan rasmi jawatankuasa qariah yang dilantik, atau merujuk kepada pemilihan umum khususnya dari kalangan para jemaah. Berdasarkan kepada mazhab Hanafi, orang yang membangunkan Masjid ialah orang yang lebih berhak untuk mendapat gelaran Imam, namun pandangan ini tidak mendapat sokongan dan dokongan dari mazhab Islam yang lain.[1]

Imam solat boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama, yakni bergantung kepada jenis waktu tugasan pengimaman solatnya sama ada 5 kali waktu solat sehari semalam, Solat Jumaat sahaja atau solat-solat tertentu sahaja.[1] Berdasarkan pandangan mazhab Hanafi dan Maliki, Imam adalah diperlukan untuk setiap kali Solat Jumaat, tetapi solat-solat lain tidak diperlukan. Namun Mazhab Syafii dan Hanbali membantah bahawa penyataan di atas adalah tidak diperlukan dan menyifatkan setiap solat selagi ia dikerjakan secara berjamaah ia kekal perlu mempunyai Imam. Kanak-kanak juga boleh menjadi Imam dalam solat, tapi pemerintah Muslim rata-rata kurang setuju dengan tugasan ini melainkan jika kanak-kanak itu bersolat bersama dengan golongan kanak-kanak yang lain.[1]

Menurut Abdul Rahman Al-Jaziry, syarat sah Imam ialah akil baligh, maka tidak sah kanak-kanak (sibyan - ) mumaiz yang belum baligh [menjadi Imam] di dalam solat fardu, dan ini dipersetujui oleh ketiga-tiga Imam, tetapi terdapat khilaf (perselisihan pendapat) dalam mazhab Imam Syafie. Antara catitan yang diberikan oleh Sheikh Abdul Rahman ialah :

  1. Mazhab Syafie - boleh Imam yang belum baligh dikalangan kanak-kanak didalam solat fardu melainkan solat Jumaat, tetapi jika terdapat Imam yang biasa (lelaki sudah akil baligh) maka tidaklah sah melainkan dengan Imam tersebut.
  2. Mazhab Hanafi - Tidak sah kanak-kanak yang belum akil baligh secara mutlak, tidak sah pengimamannya didalam solat fardu dan juga solat sunat.
  3. Mazhab Maliki - Tidak sah menjadikan wanita [sebagai Imam], Tidak (sah) khunsa (sebagai imam) - (kerana) masalah bagi mengetahui ia lelaki atau wanita, tidak (sah) didalam fardu, tidak (sah) didalam solat sunat. Lelaki (bukan sibyan) adalah syarat Imam Mutlak dan kedua-dua (wanita dan khunsa) menjadi makmumnya.

Oleh itu Ulama bersependapat bahawa sah makmum kanak-kanak mengikut Imam kanak-kanak. (Fiqh 4 mazhab, 1/330-331).

Pandangan ini diperjelaskan oleh Dar Al-Ifta' bi Al-Azhar atau Rumah Fatwa Al-Azhar dengan kenyataannya yang berbunyi:

"Mazhab Hanafi secara khusus menyatakan secara tepat bahawa umur akil baligh merupakan syarat sah Imam didalam solat fardu dan solat sunat kepada makmum yang akil baligh sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas : "Tidak menjadi Imam sehingga mencapai kedewasaan", dan ini diikuti oleh Mazhab Maliki yang mengatakah akil baligh merupakan syarat sah solat fardu dan sunat. Bagi Imam Syafie pula mengatakan bukan dari syarat Baligh merupakan syarat sah Imam solat fardu dan solat yang lain berdasarkan sebuah hadith dimana: "Sesungguhnya Amr ibn Salamah telah menjadi Imam kepada kaumnya didalam solat semasa hayat Nabi SAW semasa beliau berumur enam atau tujuh tahun" melainkan Imam Baligh menjadi keutamaan."

Tambah kenyataan tersebut lagi :

"Bagi mengajar dan sebagai pelajaran anak-anak kamu [persediaan menjadi Imam], mereka digalakkan menjadi Imam didalam solat-solat sunat."

Ulama-ulama salaf lebih cenderung kepada pandangan Mazhab Syafie iaitu sahnya kanak-kanak menjadi Imam dengan meletakkan syarat:

  1. Ada ilmu pengetahuan mengenai solat.
  2. Baik didalam bacaan Al-Qurannya.

Pandangan ini disokong oleh bekas Mufti Saudi, Sheikh Abdul Aziz bin Baaz didalam Kitab Majmu' fatawa beliau dengan berkata:

"Sah kanak-kanak menjadi Imam jika baik solatnya sebagaimana yang di riwayatkan oleh Al-Bukhari didalam Hadith Sahih mengenai Amr ibn Salamah Al-Jarami berkata : "bapaku datang dari Nabi SAW dan berkata bahawa beliau mendengar Nabi SAW bersabda,"Bila tiba waktu untuk bersolat, jadikan dikalangan kamu yang paling pandai Al-Quran menjadi Imam solat". Mereka meninjau dan tidak mendapati sesiapa yang mengetahui banyak mengenai Al-Quran melainkan aku, maka mereka menjadikan aku Imam didalam solat, dan aku adalah anak berumur 6 atau 7 tahun".

Di dalam riwayat Muslim dan Sahihnya pula:

"Menjadi Imam kepada kaumnya mereka yang baik bacaan Al-Qurannya"

Sheikh Sayyid Saabiq, seorang Ulama Al-Azhar, didalam buku Fiqh Al-Sunnah (1/257), mengatakan bahawa sah imam kalangan kanak-kanak (sibyan) yang mumayiz.

Menurut Sheikh Mohammad Saleh Al-Munajjid, didalam Ahkaam al-Imaamah wa’l-I’timaam fi’l-Salaah oleh ‘Abd al-Muhsin al-Muneef, dalil dari hadith pertanyaan 'Amr ibn Salamah [seperti yang dinyatakan oleh Bin Baaz] menunjukkan kanak-kanak boleh menjadi Imam solat. Jika ianya tidak dibenarkan, pasti ada kenyatan yang mengatakan kanak-kanak tidak dibenarkan menjadi Imam. Kenyataan-kenyataan ini disokong oleh Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 7/389-390 dan al-Maghaazi, 3963.

Kesimpulannya, terdapat khilaf didalam permasalahan ini dimana 3 Imam mazhab tidak membenarkan Imam dikalangan kanak-kanak. Tetapi ulama dikalangan Syafie dan salaf membenarkan Imam dikalangan kanak-kanak, dengan syarat mereka mempunyai ilmu pengetahuan yang baik mengenai solat dan baik bacaan solatnya. Pandangan ini disokong Lembaga Fatwa Arab Saudi. Mazhab Syafie memberi keutamaan kepada Imam yang akil baligh untuk menjadi Imam. Jika berlaku keadaan tidak berjumpa Imam, maka hadith 'Amr ibn Salamah boleh digunakan.

Menurut kisah ulama Qatar terkenal, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradawi, di dalam buku yang ditulis oleh anak muridnya menceritakan bahawa Al-Qardhawi sebelum berumur 10 tahun sudah hafaz Al-Quran dan hukum-hukum tajwid dan menjadi Imam di kampungnya, khususnya pada waktu Solat Subuh.

Imam yang terikat menjadi Imam kepada Solat Jumaat juga terikat untuk menjadi Imam kepada solat lima waktu sehari semalam; Cendekiawan Islam bersetuju bahawa Imam yang mengimamkan solat fardu lima waktu sehari semalam juga perlu mengimamkan Solat Jumaat.[1]

Walau bagaimanpun paling jelas menunjukkan lelaki yang berakal (tidak gila) sahaja boleh menjadi Imam kepada golongan lelaki, wanita dan kanak-kanak lain.[1] Wanita tidak dibenarkan menjadi Imam kepada jemaah lelaki kecuali kepada jemaah perempuan Muslim sahaja.

Rujukan sunting

  1. ^ a b c d e f g h Abu al-Hasankok Ibn Muhammad Ibn Habib, Al-Mawardi (2000). The Ordinances of Government (Al-Ahkam al-Sultaniyya w'al-Wilayat al-Diniyya). Lebanon: Garnet Publishing. m/s. 184. ISBN 978-1-85964-140-8. line feed character in |last= at position 16 (bantuan)