Impak Maksima the Series

Impak Maksima the Series merupakan versi drama televisyen kepada filem 2007 Impak Maksima. Sama seperti filemnya, siri ini ialah arahan Ahmad Idham sendiri dan bersiaran selama 26 episod dan banyak mengekalkan barisan pelakon utama dari filem termasuk Awal Ashaari, Eizlan Yusof, Shaheizy Sam dan Fizz Fairuz, di samping muka-muka baru dalam untuk siri ini seperti Fasha Sandha dan Jue Aziz.

Impak Maksima the Series
GenreAksi, drama
PengarahAhmad Idham
Dibintangi oleh
Awal Ashaari
Eizlan Yusof
Shaheizy Sam
Fizz Fairuz
Ashraf Muslim
Fasha Sandha
Jue Aziz
Nabila Huda
Lagu pembukaan"Marabahaya"
oleh Pop Shuvit
Negara asalMalaysia
BahasaMelayu
Bilangan musim2
Bilangan episod26 (Senarai episod)
Penerbitan
PenerbitAhmad Idham
Tempoh siaran50 minit
Syarikat penerbitan
Excellent Pictures
Penyiaran
Saluran asalTV3
Format gambar4:3
Format audioStereo
Siaran asal18 Februari 2008 – 11 Ogos 2008
Kronologi
Diikuti olehRempit vs Impak Maksima
Pautan luar
Laman sesawang

Dengan tajaan Celcom yang meletakkan jenama khidmat prabayar X-Pax, siri ini disiarkan dalam Slot Aksi TV3 mulai 18 Februari hingga 11 Ogos 2008, dan bersambung dengan Rempit vs Impak Maksima yang disiarkan pada tahun 2009.

Plot sunting

Episod 1–13 sunting

Sebagai bekas pelumba kereta dan anak yatim piatu, Johari berpegang teguh kepada amanah arwah ibu bapanya untuk membesarkan adiknya Ayie, agar berjaya dalam kehidupan. Dengan mengusahakan bengkel keretanya, Johari boleh dikira berjaya, sehingga mampu membiayai adiknya itu yang sedang menuntut di kolej.

Ayie yang masih berdarah muda, bagaimanapun, menyimpan minat yang mendalam dalam dunia pemotoran dan perlumbaan, sehingga menyebabkan hubungan dua beradik ini seringkali bermasalah. Mujurlah mereka dikerumuni sekumpulan rakan baik yang selalu menjadi orang tengah dalam memperbaiki hubungan mereka.

Fara dan Shikin merupakan dua adik-beradik yatim piatu yang membuka warung berhampiran dengan bengkel. Hubungan Johari dan Fara baik sekali, sehingga kadang-kala mereka berasa sukar untuk mendefinisikan perhubungan yang sebenar. Shikin pula bercinta dengan Amran, seorang pekerja di bengkel Johari, yang juga merupakan kawan baik Ayie. Bersama-sama dengan Loyai, mereka bertiga selalu menimbulkan huru-hara dan mengharungi suka duka kehidupan bersama.

Ayie mula menunjukkan perubahan yang ketara selepas berkenalan dengan Eva, seorang gadis baru di kolej, yang baru pulang dari Australia. Namun begitu, kehadiran Zack (musuh Ayie di kolej) dan Mimi (bekas kekasih Ayie) menimbulkan banyak masalah, sehingga akhirnya hubungan Ayie dan Eva terputus di tengah jalan.

Bosan dengan kehidupannya yang sering kali dilanda masalah, Ayie akhirnya membawa diri ke kampung selepas berkenalan dengan Hanim. Hubungan Hanim dan Ayie semakin rapat apabila Ayie membantu gadis itu menangani masalah pembuli budak kampung. Di saat hubungan mereka semakin baik, Eva pula terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan Ayie berada dalam dilema semula untuk memilih dua orang gadis yang dicintainya.

Johari turut menghadapi masalah yang sama selepas berkenalan dengan Anita yang merupakan kakak Eva. Hubungan mereka bertambah baik, tetapi jauh di sudut hati, Johari seolah-olah masih menaruh harapan terhadap Fara. Bagaimanapun, kehadiran Rizwan, bekas kekasih Fara, menyebabkan Johari akhirnya melepaskan niatnya, kerana dia mahu Fara mendapat kehidupan yang lebih baik dengan lelaki itu.

Tidak cukup dengan masalah emosi yang dihadapi, hidup Ayie dan Johari juga bakal tergugat dengan kemunculan Zul, bekas pemandu yang baru keluar dari penjara. Terulit semula sejarah hitam antara keluarga Zul dan Johari, sehingga menyebabkan lelaki itu sanggup menggadaikan segalanya untuk menghancurkan keluarga Johari, demi mahu menuntut bela terhadap keluarga. Bukan sekadar itu, Zul turut cuba menganiaya orang-orang di sekitar Johari termasuk Amran, dengan melibatkannya dalam sindiket mencuri motosikal.

Segala permasalahan emosi dan rencah aksi ini akhirnya terungkai apabila perangkap Zul akhirnya memakan diri sendiri. Dengan segala pancaroba yang melanda, Johari semakin matang menghadapi dugaan. Dia melawan ego dan akhirnya memutuskan untuk mengikut gerak hatinya dan berhadapan dengan Fara untuk menyatakan isi hati. Pun begitu, masa yang ada mungkin tidak mengizinkan Johari berbuat demikian, memandangkan Fara bakal dinikahkan pada bila-bila masa sahaja.

Begitu juga dengan dilema Ayie yang harus memilih antara Eva dan Hanim. Walau siapa pun pilihannya, Ayie yakin pasti ada yang akan terluka.

Episod 14–26 sunting

Fara meneruskan perkahwinannya dengan Rizwan. Melihat pengorbanan yang telah Anita lakukan, Johari akhirnya melamar wanita itu menjadi isterinya. Ayie dan Eva pula kekal menjadi kawan biasa. Sementara Hanim berundur dalam hubungan itu, lalu pulang meneruskan kehidupan di kampung. Mereka semua meneruskan kehidupan seperti biasa, sehinggalah muncul seorang lelaki tua bergelar Atai di bengkel. Atai merupakan bekas ketua Johari di zaman remajanya dan baru sahaja dibebaskan dari penjara. Kerana rasa terhutang budi, Johari mengajak Atai hidup bersamanya dan menjadi mekanik di bengkelnya.

Kehadiran Atai menimbulkan banyak masalah. Loyai menyangsi niat orang tua itu apabila melihat hubungannya yang sebegitu rapat dengan Shikin. Ironiknya, Atai juga yang akhirnya menjadi orang tengah dalam merapatkan hubungan Loyai dan Shikin, sehingga mereka berjaya menjadi pasangan kekasih.

Kemunculan Atai juga menyebabkan Johari terpaksa berhadapan dengan kumpulan samseng yang mahu Atai mati, kerana khuatir lelaki itu cuba merampas kedudukannya dalam hierarki kumpulan gengster. Tidak cukup dengan masalah itu, Johari menghadapi masalah rumah tangga apabila isterinya, Anita, masih menyangsi perasaannya yang sebenar terhadap Fara. Hubungan Fara dan Rizwan juga sering kali tercabar, sehingga akhirnya, Rizwan dan Anita bertemu untuk berbincang tentang masalah sebenar yang dihadapi. Malangnya, pertemuan Rizwan dan Anita itu bakal membawa kepada masalah baru yang lebih besar dan rumit.

Kemuncak permasalahan ini berlaku apabila Anita meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Johari yang mengesyaki penglibatan samseng, mula menukar fikiran. Apabila bedah siasat mendapati arwah isterinya telah mengandung semasa kemalangan itu, Johari pasti kandungan itu bukan miliknya, dan lelaki yang bertanggungjawab itu ada kaitan dengan kematian Anita. Hubungan baik antara Johari dan Fara bakal berubah apabila mereka dapati Rizwan mungkin menjadi orang yang bertanggungjawab menghamilkan Anita.

Bermula dengan pembabitannya sebagai pelagak ngeri filem, Ayie akhirnya ditawarkan untuk menjadi artis realiti dalam program berkisar tentang kehidupan keluarga mereka di bengkel. Hubungan Ayie dengan Eva bagaikan teranyam semula, tetapi kepulangan Tommy, bekas tunang Eva dari Australia, mencungkil masalah baru.

Pelbagai masalah diharungi mereka, sehingga akhirnya Tommy dipenjarakan kerana menyebabkan kematian dalam suatu kemalangan. Abang Tommy, Shawn, yang merupakan seorang peguam yang licik mula menyimpan dendam untuk menghancurkan mereka sekeluarga.

Tidak cukup dengan rancangan Shawn, Johari, Ayie dan rakan-rakan mereka bakal berhadapan pula dengan Ray, bekas ketua samseng kejam, yang turut mempunyai sejarah hitam dengan Johari. Apabila Shawn dan Ray akhirnya bersatu, segalanya macam tidak kena untuk Johari dan Ayie yang menghadapi suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan mereka buat selama-lamanya.

Pelakon sunting

Episod sunting

Episod Tarikh siaran
"Episod 1"18 Februari 2008 (2008-02-18)
Johari mendapat mimpi buruk yang berulang lagi menyebabkan dia menghadapi masalah menguruskan bengkelnya. Tanpa pengetahuan sesiapa, mimpu buruk Johari itu ada kena-mengena dengan sejarah hitam yang dirahsiakannya selama ini. Ayie mula berkenalan dengan seorang gadis baru di kolej yang bernama Eva. Masalah berlaku apabila Zack cuba merebut Eva dengan memburuk-burukkan Ayie. Menambahkan lagi masalah, Zack kini sedang bercinta dengan bekas kekasih Ayie, iaitu Mimi.
"Episod 2"25 Februari 2008 (2008-02-25)
Eva terlibat dalam kemalangan jalan raya akibat kecuaian Ayie. Kemalangan ini menyebabkan Johari semakin marah dengan sikap Ayie yang suka berlumba, sehingga hubungan mereka semakin bermasalah. Kemalangan itu juga memperkenalkan Johari kepada Anita, kakak Eva. Perkenalan itu pula membuatkan Fara berasa cemburu dengan hubungan mereka. Johari berasa seronok sekali dengan perkembangan itu, sehinggalah muncul lelaki baru dalam hidup Fara.
"Episod 3"3 Mac 2008 (2008-03-03)
Fara berasa terkejut dengan sikap aneh adiknya, Shikin, yang semakin perahsia. Siasatan lanjut lebih mengejutkan apabila dia mendapati Shikin berhubung semula dengan bekas tunang Fara, iaitu Rizwan. Hubungan Eva dan Ayie semakin rapat menyebabkan Zack semakin cemburu. Perbalahan berlaku apabila Zack menghantar samseng untuk menyerang Ayie. Penglibatan samseng itu menyebabkan Ayie bakal menghadapi masalah yang lebih besar dengan abangnya, Johari.
"Episod 4"10 Mac 2008 (2008-03-10)
Hubungan Eva dan Ayie mula tergugat apabila Mimi memutuskan hubungan dengan Zack, dan mengakui bahawa dia masih menyimpan perasaan terhadap Ayie. Memburukkan lagi keadaan, Eva seolah-olah rela mengundurkan diri selepas melihat kemesraan mereka berdua. Anita berhadapan dengan Fara untuk mengetahui masalah sebenar yang dihadapi Johari, lantas menyebabkan kedua-dua wanita itu cemburu. Sementara Amran pula mula berkenalan dengan geng mat rempit yang mempunyai niat tersembunyi di sebaliknya.
"Episod 5"17 Mac 2008 (2008-03-17)
Selepas satu perbalahan, Amran bertindak mencuri motosikal milik orang kampung. Malangnya, perbuatan Amran itu dikesan, sehingga akhirnya Ayie dan Loyai terpaksa membantu. Apabila Johari mendapat tahu hal itu, keakraban yang lama dibina itu bagaikan mula menampakkan keretakan. Hubungan Ayie dan Eva berakhir, dan untuk mematahkan hati Ayie, Eva akhirnya mengajak Zack untuk berpura-pura menjadi kekasihnya. Perbuatan Eva itu tidak membantu, sebaliknya, menyebabkan Ayie bertambah tertekan dan kembali kepada aktiviti perlumbaan haram.
"Episod 6"24 Mac 2008 (2008-03-24)
Amran terus terperangkap dengan helah kawannya yang mahu menggunakan kepakarannya untuk terlibat dalam sindiket mencuri motosikal. Shikin mula menyangsi perubahan Amran itu, sehinggalah dia ternampak Amran bersama wanita lain. Johari mula menyangsi perbuatan Amran apabila mendapati alat ganti di kedainya hilang sebegitu sahaja. Tidak cukup dengan masalah itu, musuh lama Johari, Zul, muncul semula dan berjanji akan melingkupkan hidup Johari.
"Episod 7"31 Mac 2008 (2008-03-31)
Semasa mencuri motosikal, Amran dan kawannya telah menyebabkan kecederaan seseorang. Amran merasakan dia tidak mempunyai jalan keluar lalu akhirnya berputus asa terhadap kehidupannya. Selepas bergaduh dengan Johari, Amran terus meletak jawatan dan terus berdamping dengan samseng yang terlibat dalam sindiket curi motosikal. Zul memaksa Johari untuk berlumba kereta sebagai syarat untuk melupakan semua sengketa lama mereka. Tidak mempunyai pilihan, Johari bersetuju dengan syarat itu sehingga mengejutkan semua pihak, terutamanya Ayie dan Anita.
"Episod 8"7 April 2008 (2008-04-07)
Ayie bergaduh dengan Johari selepas Amran meletak jawatan dari situ, lalu terus berpindah untuk menetap bersama. Ayie berkenalan dengan Hanim, lalu membawanya pulang ke kampung. Kerana semua masalah yang dihadapinya, Ayie bersetuju menetap di kampung bersama-sama Hanim dan neneknya untuk melarikan diri daripada kesibukan kota. Ketiadaan Ayie menyebabkan Loyai semakin bosan dengan hidupnya. Hubungannya dengan Eva semakin rapat, sehingga menimbulkan bibit perasaan.
"Episod 9"14 April 2008 (2008-04-14)

Ayie terus menetap di kampung untuk membantu Hanim dan neneknya daripada menjadi mangsa sakat dan buli budak kampung yang diketuai oleh Abu. Hubungannya dengan Hanim juga semakin baik, sehinggalah Ayie mendapat panggilan mengejut daripada Loyai.

Eva telah terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan dirinya terlantar koma. Hubungan Loyai dan Eva yang semakin rapat, menyebabkan Loyai sanggup melakukan apa sahaja, termasuk merayu Ayie pulang untuk membantu.
"Episod 10"21 April 2008 (2008-04-21)
Ayie pulang untuk melawat Eva. Hubungan Ayie dengan abangnya, Johari juga semakin baik, selepas Johari mendedahkan sejarah hitam antara dirinya dan Ray yang dirahsiakannya selama ini. Zul memerangkap Amran ke kancah jenayah dengan harapan untuk menarik perhatian Ayie dan Johari. Apabila Ayie mengetahui Amran terlibat dalam pergaduhan besar, dia terus cuba membantu tanpa mengetahui jerat yang telah dipasang oleh Zul.
"Episod 11"28 April 2008 (2008-04-28)
Johari terkejut selepas mengetahui sejarah sebenar perhubungan Fara dan Rizwan. Dia seolah-olah menyesal merelakan Fara berkahwin dengan Rizwan. Namun, pasangan itu sudah pun membuat segala persediaan untuk berkahwin dan Johari enggan menjadi orang yang terlibat untuk meruntuhkan masjid. Ayie terus berada dalam dilema apabila Eva yang tersedar daripada koma menyangka mereka masih bersama. Sedangkan di kampung, Hanim mula merindui Ayie lalu bercadang bertemunya di Kuala Lumpur.
"Episod 12"5 Mei 2008 (2008-05-05)
Zul meneruskan rancangannya untuk membalas dendam dengan menangkap Amran dan membakar bengkel Johari. Shikin yang nampak akan perbuatan itu cuba membantu, tetapi perbuatannya itu mungkin akan membawa padah kepada dirinya sendiri. Eva mula menyedari bahawa dia dan Ayie bukan pasangan seperti dahulu kala. Dia cuba menerima Loyai semula, lantas Loyai mengambil peluang itu untuk melamarnya.
"Episod 13"12 Mei 2008 (2008-05-12)
Eva menolak lamaran Loyai, kerana hati kecilnya percaya dia masih menyimpan perasaan terhadap Ayie walaupun mereka sudah berpisah. Ayie berada dalam dilema apabila dia harus memilih antara Hanim dan Eva. Johari akhirnya berjaya memerangkap Zul sehingga lelaki itu ditangkap polis. Selepas memikirkan segala cabaran yang dilaluinya, Johari akhirnya memberanikan diri untuk bertemu Fara dan menyatakan isi hatinya di hari perkahwinannya itu.
"Episod 14"19 Mei 2008 (2008-05-19)
Johari bergegas ke majlis perkahwinan Fara dan Rizwan, lalu mendapati mereka sudah selamat diijabkabulkan. Anita akhirnya berhadapan dengan Johari lalu menyatakan kekesalan terhadap hubungan mereka. Dalam keadan itu, Johari terus melamar Anita. Anita menerima Johari seadanya. Ayie akhirnya memutuskan untuk memilih Hanim, tetapi Hanim terlebih dahulu menolak cintanya untuk menjaga Abu yang telah lumpuh akibat kemalangan. Ayie ingin kembali kepada Eva, tetapi gadis itu enggan menjadi pengganti kedua di hati Ayie.
"Episod 15"26 Mei 2008 (2008-05-26)
Hubungan misteri antara Johari dan Atai akhirnya terjawab apabila Johari mengakui bahawa Atai merupakan bekas ketuanya di zaman remajanya yang bergelora. Kedatangan Atai bagaimanapun menimbulkan banyak masalah. Loyai meragui niat sebenar Atai selepas melihat hubungan rapatnya dengan Shikin. Anita tidak gembira dengan perkahwinannya dengan Johari, dan berpendapat Johari masih menyimpan perasaan terhadap Fara. Rizwan juga kurang senang dengan niat Fara untuk membuka warung dan bertemu Johari. Akhirnya, Anita dan Rizwan bertemu untuk berbincang tentang masalah keluarga mereka.
"Episod 16"2 Jun 2008 (2008-06-02)
Salah faham antara Rizwan dan Shikin akhirnya membawa Shikin keluar dari rumah Fara. Eva menjadi orang tengah lalu menyuruh Shikin menetap bersama-samanya. Semakin hari hubungan mereka semakin baik, sehingga Shikin mengetahui banyak rahsia tentang Eva. Kerana Atai, Johari terpaksa berhadapan dengan samseng Jon, yang takut Atai akan merampas kepentingannya semula. Ayie pula mendapat tawaran untuk membintangi rancangan realiti TV, yang berkisah tentang kehidupan mereka sekeluarga di bengkel.
"Episod 17"9 Jun 2008 (2008-06-09)
Anita maut selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya. Johari mengesyaki pembabitan samseng Jon, tetapi apabila Anita didapati mengandung, dan Johari yakin bahawa kandungan itu bukan anaknya, dia merasakan ada unsur lain yang mungkin terlibat dalam kematian isterinya itu. Hubungan Ayie dan Eva pula terus renggang dengan kemunculan semula Tommy, bekas kekasih Eva yang pulang dari Australia untuk menyambung cinta mereka. Mimi akhirnya memutuskan untuk bekerjasama dengan Tommy untuk mendapatkan semula Ayie.
"Episod 18"16 Jun 2008 (2008-06-16)
Fara mengesyaki pembabitan Rizwan dalam kes kematian Anita. Dia ingin memberitahu Johari hal sebenar, tetapi berada dalam dilema apabila Rizwan merayunya agar merahsiakan hal itu. Rizwan mendapatkan bantuan kawan rapatnya dan peguam licik, Shaun, untuk menyelesaikan itu. Merumitkan lagi keadaan, Shaun merupakan abang kepada Tommy, bekas tunang Eva. Eva yang terselamat dalam kemalangan bersama Tommy menghadapi dilema yang lebih besar apabila Tommy mungkin didakwa di mahkamah kerana menyebabkan kematian orang awam.
"Episod 19"23 Jun 2008 (2008-06-23)
Shikin mendapat kejutan besar apabila rakaman rancangan realiti membongkarkan rahsia perasaan sebenar Loyai terhadapnya. Shaun pula marah dengan apa yang terjadi pada adiknya, Tommy, lalu menyalahkan Eva dan Ayie atas apa yang berlaku. Johari semakin rimas dengan kedatangan Fifi, seorang wartawan yang cuba mencungkil kes di sebalik kematian Anita. Dalam masa yang sama, Fifi pula sedang terlibat dalam perhubungan dengan Shaun, menyebabkan lelaki itu rimas dengan hubungan rapat mereka. Semua perkembangan ini membuatkan Shaun merancang untuk menjahanamkan mereka sekeluarga.
"Episod 20"30 Jun 2008 (2008-06-30)
Ayie mula menyangsi niat lelaki bernama Jimi, yang baru muncul dalam hidup Mimi. Selepas Zack mati dalam keadaan penuh misteri, Ayie semakin pasti Jimi turut berniat jahat terhadap Mimi. Shikin mendapat tahu tentang pembabitan Rizwan dalam kematian Anita. Dia marah akan Fara, yang turut merahsiakan hal itu daripada Johari. Malangnya, Johari sudah terlebih dahulu tahu tentang keadaan sebenar.
"Episod 21"7 Julai 2008 (2008-07-07)
Ayie berkenalan dengan Ifa selepas menyelamatkan gadis itu daripada menjadi mangsa ragut. Ifa yang sememangnya menjadi peminat setia rancangan realiti itu, semakin menyimpan perasaan terhadap idolanya, Ayie. Berkat bantuan Eva, hubungan Shikin dan Loyai semakin baik. Dengan bantuan Shaun, akhirnya Johari berdamai dengan Rizwan dan Fara tentang kes kematian Anita. Tanpa pengetahuan sesiapa, Johari bakal terperangkap dalam rancangan Shaun yang lebih besar.
"Episod 22"14 Julai 2008 (2008-07-14)
Loyai dan Ayie mula meragui niat Shaun apabila dia terlibat bersama dalam kemalangan yang melibatkan Jimi dan Mimi. Eva yang turut terlibat secara tidak langsung menghadapi trauma berat. Ayie cuba menjaga Eva, tetapi malangnya mereka ditangkap khalwat apabila berada dalam rumah yang sama. Berita penangkapan Ayie dan Eva itu sampai pada Tommy di penjara, menyebabkan lelaki itu bergaduh dengan banduan yang lain, lalu tercedera. Keadaan ini menyemarakkan lagi niat Shaun untuk menghancurkan Ayie dan orang di sekelilingnya.
"Episod 23"21 Julai 2008 (2008-07-21)
Shaun khuatir akan implikasinya apabila mengetahui keadaan Mimi semakin stabil. Untuk menutup rahsia, rancangan dan hubungan sebenarnya dengan Jimi, Shaun telah mendapatkan bantuan samseng Ah Fai untuk membunuh Mimi. Ah Fai pula membawa bersama Ray, samseng besar yang mempunyai agenda sendiri terhadap Johari. Kelakuan aneh Atai akhirnya terbongkar apabila dia mendedahkan komplot besar Ray terhadap Johari, yang diperolehinya menerusi orang hubungan kongsi gelap. Johari memberi amaran kepada Atai dan Ayie agar jangan masuk campur urusan itu. Namun, Ray sudah pun bersedia untuk memerangkap Ayie.
"Episod 24"28 Julai 2008 (2008-07-28)
Ayie dikejutkan dengan panggilan Ray yang mendakwa telah menculik Eva. Kejutan paling besar berlaku apabila Shikin sebenarnya yang telah diculik. Ray menukar rancangan, dan akhirnya berjaya memerangkap Ayie dan Loyai untuk menyelamatkan Shikin. Ayie dan Loyai mengalami kemalangan sehingga menyebabkan ‘kematian’ Loyai. Ray terus melibatkan Shaun dalam rancangan besarnya. Kerumitan mula berlaku apabila Fifi meragui perubahan Shaun yang ketara, lalu dia mula membuat siasatan sendiri.
"Episod 25"4 Ogos 2008 (2008-08-04)
Shikin dilepaskan Ah Fai dan Ray tetapi berada dalam keadaan yang amat traumatik. Johari semakin tertekan dengan perkembangan itu, dan sengaja mencabar Ah Fai dan Ray untuk keluar bersemuka dengannya. Fifi dan Rizwan bertemu untuk berkongsi pendapat tentang perubahan Shaun. Rizwan menjejaki Shaun sehingga akhirnya mendedahkan perbuatan sebenar lelaki itu. Rizwan menyuruh Shaun menyerah diri. Shaun bukan sahaja enggan, tetapi mencederakan Rizwan dalam keadaan penuh tertekan itu.
"Episod 26"11 Ogos 2008 (2008-08-11)
Selepas Rizwan tercedera, Shaun terus mendapatkan bantuan Ray untuk menyelesaikan segalanya. Malangnya, Fifi telah terlebih dahulu menjejaki mereka dan menghubungi Johari. Rizwan diselamatkan. Shaun mati. Tetapi, Ray sempat melarikan diri. Ray menculik Eva, dan memerangkap Ayie untuk menyelamatkannya. Di saat genting itu, Ray cuba membakar Eva hidup-hidup, tetapi Atai berjaya mematahkan cubaan Ray, sehingga rancangan lelaki itu memakan diri sendiri.

Penerbitan sunting

Siri TV Impak Maksima merupakan olahan semula filem asal yang sama tajuknya dengan unsur-unsur baru agar sesuai dengan bentuk siri drama. Menurut Ahmad Idham yang ditemu bual dalam majlis pelancaran siri ini di 1 Utama, Petaling Jaya pada 14 Februari 2008[1]:

Kami masih mengekalkan konsep permotoran cuma siri ini lebih kepada penceritaan dengan menambah plot percintaan, persengketaan antara abang dan adik, kekeluargaan dan sebagainya. Kita juga mengembangkan graf penceritaan dengan memasukkan aksi suspens dan thriller agar jalan cerita penuh dengan adegan yang mendebarkan dan menyentuh perasaan. Cerita ini juga memaparkan dua sudut positif dan negatif. Ia perlu seimbang di mana tidak terlalu positif dan tidak terlalu negatif. Kita memasukkan sedikit aspek negatif tetapi cuba selesaikan persoalan yang ditimbulkan itu agar persepsi orang ramai terhadap sukan permotoran tidak disamakan dengan aktiviti lumba haram. Kita ingin menonjolkan yang sukan permotoran ini ada baiknya dan penonton juga digalakkan untuk menyertai sukan ini dengan cara yang sihat.

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ Siti Azira Abd Aziz (15 Feb 2008). "Impak Maksima The Series lebih suspens dan menarik". mStar Online. Dicapai pada 24 Apr 2010. Unknown parameter |dead-url= ignored (bantuan)[pautan mati]

Pautan luar sunting

TV3: Aksi, Isnin 9:00 malam
Sebelumnya Impak Maksima
(18 Februari 2008 – 11 Ogos 2008)
Berikutnya
Dunia Baru
  • Bukan di bawah jenama Aksi.
Pepaya