Muslim Tibet

(Dilencongkan dari Islam di Tibet)

Muslim Tibet, juga dikenali sebagai Kachee (Kache), merupakan satu minoriti di Tibet. Walaupun mereka adalah orang Islam, mereka dikelaskan sebagai Orang Tibet, tidak seperti orang Islam Hui, yang juga dikenali sebagai Kyangsha atau Gya Kachee (Muslim China). Perkataan Bahasa Tibet Kachee secara harfiah bermaksud Kashmiri, dan Kashmir pernah dikenali sebagai Kachee Yul (Yul = Negara).

Pintu masuk ke masjid lama di Lhasa (1993).
Sebuah masjid yang baru dibina di Lhasa

Mereka bertaburan di seluruh Tibet, kebanyakannya terdapat di Lhasa dan Shigatse. Jika orang yang tinggal di luar Kawasan Autonomi Tibet juga diambil kira, maka kumpulan etnik seperti Orang Balti dan Orang Burig, yang juga berasal dari Tibet dan menganggap mereka sendiri berbangsa Tibet, juga adalah orang Islam. Namun mereka lebih banyak didapati di Ladakh yang dikawal oleh India dan Baltistan yag dikawal oleh Pakistan.

Leluhur sunting

Secara umum, golongan Muslim Tibet adalah unik disebabkan sebahagian besar dari mereka terdiri daripada keturunan Kashmir, Parsi, Arab, Turki melalui leluhur bapa dan turut juga merupakan keturunan Tibet asal melalui leluhur ibu, sungguhpun yang sebaliknya juga biasa. Dengan itu, kebanyakan mereka menunjukkan ciri-ciri campuran Aryan dan penduduk asal Tibet.

Disebabkan pengaruh Tibet, mereka mengambil nama Tibet sementara mengekalkan nama keluarga Parsi atau Urdu. Bagaimanapun, ini tidak biasa di kalangan penduduk Burig dan Balti. Di Baltistan atau Baltiyul sebagaimana dipanggil oleh penduduk tempatan, anak muda Islam mula menamakan diri mereka dalam bahasa Tibet tempatan seperti Ali Tsering, Sengge Thsering, Wangchen, Namgyal, Shesrab, Mutik, Mayoor, Gyalmo, Odzer, Lobsang, Odchen, Rinchen, Anchan dan sebagainya. Di kalangan orang Kache, bahasa Urdu atau Arab digunakan untuk acara keagamaan walaupun majoriti menggunakan bahasa Tibet dalam komunikasi harian.

Selepas penaklukan China di Tibet, orang Islam diberikan kewarganegaraan India oleh kerajaan India yang dianggap sebagai orang Muslim Kashmir Tibet, dan dengan itu adalah warganegara India, tidak seperti pelarian Tibet lain yang membawa Sijil Status Pelarian.

Sejarah sunting

Kemunculan orang Muslim pertama di Tibet masih tidak diketahui akibat tiada rekod rasmi yang dapat diperoleh, walaupun begitu nama orang Tibet banyak ditemui dalam buku sejarah Arab.

Ketika pemerintahan Khalifah Umaiyyah, Khalifah Umar bin Abdul Aziz , utusan dari Tibet dan China telah datang meminta menghantar pendakwah Islam ke negara mereka, dan salah seorang dari mereka yang dihantar ialah Salah bin Abdullah Hanafi. Pada pertengahan abad ke-8 dan ke-9, pemerintah Abbasiyah dari Baghdad mengekalkan hubungan dengan Tibet.

Bagaimanapun, terdapat sedikit sahaja di kalangan pendakwah yang datang pada peringkat awal, dan mereka inilah yang telah berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap di sana. Pada tahun 710-720,ketika pemerintahan Mes-ag-tshoms, orang Arab, yang ketika itu lebih ramai di negara China telah datang ke Tibet dan bersekutu dengan Turki Timur Turkistan menentang pemerintahan China.

Ketika pemerintahan Sadnalegs (799-815), atau Tride Songtsän (Khri lde srong brtsan - lebih dikenali dengan nama Sadnalegs), terdapat juga perang menentang kekuasaan Arab di sebelah Barat. Ianya bermula apabila pihak Tibet telah menangkap sekumpulan kabilah Arab dan memaksa mereka berkhidmat dengan pihak Tibet di perbatasan Timur pada 801M. Pihak Tibet telah berjaya menguasai kawasan di sebelah Barat sehingga Samarkand dan Kabul.Tentera Arab mula bertindak balas atas perkara itu dan berjaya memaksa Gabenor kabul yang dikuasai Tibet untuk menyerah kalah dan beliau memeluk Islam sekitar tahun 812-815 Masihi.[1]

Abad ke-12 telah menyaksikan migrasi besar-besaran pedagang Muslim dari Kashmir dan Parsi ke Tibet, dan mereka menetap di Lhasa. Mengikut adat Arab, pedagang Arab lelaki yang telah menetap dan berkahwin dengan wanita Tibet, isterinya perlulah mengikuti agama suami. Pengislaman yang pertama mengambil tempat di Baltistan dan Lembah Suru dari abad ke-14 hingga abad ke-16, di mana majoriti yang menukar agama adalah orang Tibet Burig dan komuniti orang Balti.

Ketika pemerintahan Lozang Gyatso, Muslim Tibet mempunyai hidup yang senang, dan diberi keistimewaan.Pada abad ke-17, komuniti kecil Muslim Tibet hidup maju di Lhasa bekerja sebagai penyembelih dan penjual daging halal.

Bagaimanapun, kebanjiran imigran dari Kashmir dan penukaran status agama asal Buddha ke Islam telah menimbulkan konflik antara penganut Buddha dan Muslim terutamanya di Leh. Terdapat juga sesetengah kes yang melibatkan ahli keluarga daripada Soma Gompa dan Jama Masjid yang berselisih faham dan meningkatkan lagi ketegangan antara penganut Buddha dan Islam dari keluarga yg sama.

Selepas pendudukan Tibet pada 1959, sekumpulan Muslim Tibet telah memohon untuk mendapatkan kerakyatan negara India berdasarkan kepada asal usul mereka dari Kashmir dan ini diperakui oleh kerajaan India yang mengisytiharkan mereka sebagai warganegara kemudiannya. [1] Diarkibkan 2005-02-05 di Wayback Machine

Budaya sunting

Pada hari ini, kebanyakan oarang Islam Tibet ialah pengikut Mazhab Sunni,walaupun kebanyakan Balti dan Burig ialah pegikut mazhab Shi'a . Walaupun berlainan agama, orang Islam Tibet masih dapat menyerap dalam masyarakat Tibet di samping mengikut tradisi Islam. Walau bagaimanapun,Balti dan Burig lebih cenderung untuk mengamalkan adat orang Iran.

Dalam bidang muzik terutamanya, orang Islam Tibet telah memberi sumbangan dalam budaya orang Tibet. Nangma, yang juga dikenali sebagai Naghma dalam Urdu yang bermaksud melody (melodi), ialah lagu yang pic tinggi dan condong dan amat popular dalam kalangan orang Tibet. Mereka juga mengamalkan adat orang Tibet, terutamanya dalam aspek perkhawinan, walaupun mereka masih pegang tegas terhadap adat Islam pada masa yang sama.

Orang Islam Tibet mempunyai gaya seni bina yang unik, dan merupakan yang terbagus di Ladakhi. Sebagai contohnya, masjid adalah dibina mengikut gaya campuran yang menarik tetapi ganjil antara orang Parsi dan orang Tibet. Hal ini dapat dibuktikan dengan dinding yang dihias cantik, dinding direka cerun untuk bertahan dari gempa bumi, dan malah skaf Kada digantung di pintu masuk masjid. Masjid-masjid Syiah dan Imambara boleh dilihat dengan bendera sembahyang dengan warna hitam, hijau dan merah berserta ayat-ayat Al-Quran.

Ciri menarik yang lain dalam senibina Muslim Tibet adalah masjid mereka yang memiliki Imambara, sebuah artifak yang menyelubungi kubah dengan lapisan logam.

Keistimewaan khas sebelum pemerintahan China sunting

Orang Islam Tibet memiliki masjid mereka sendiri di Lhasa dan Shigatse, dan sekeping tanah telah diberi bagi tujuan pengebumian. Mereka juga dikecualikan daripada mengambil makanan sayur-sayuran semasa hari jadi Buddha, yang merupakan suatu kewajipan bagi pengikut Buddha Tibet, dan arahan ini terkecuali bagi pengikut-pengikut Bön. Ponj (berasal dari Urdu/Hindi Pancch bermaksud jawatankuasa kampung atau Panchayat) dipilih bagi menjaga hubungan di dalam komuniti Islam Tibet.

Rujukan sunting

  1. ^ Beckwith, Christopher I. The Tibetan Empire in Central Asia. A History of the Struggle for Great Power among Tibetans, Turks, Arabs, and Chinese during the Early Middle Ages, 1987, Princeton: Princeton University Press. ISBN 0-691-02469-3, p. 14, 48, 50.

Pautan luar sunting