Istana Negara, Jalan Istana

bekas istana negara di Kuala Lumpur

Istana Negara adalah tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sebelum Istana Negara, Jalan Duta. Istana ini terletak di Jalan Istana bertentangan dengan Jalan Syed Putra, suatu kawasan seluas 25 ekar atau 11.34 hektar di tepi Bukit Petaling di Kuala Lumpur yang menghadap Sungai Klang. Setelah Istana Negara yang baharu telah siap, istana ini telah dijadikan sebagai Muzium Diraja.

Istana Negara, Jalan Istana
إستان نڬارا، جالن إستان
(Muzium Diraja)
Kompleks Istana Negara di Kuala Lumpur
Map
Maklumat umum
JenisIstana Negara rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
(1957 - 2011)
Muzium Istana
(2013 - sekarang)
Gaya seni bina
Seni bina Barat
Bandar/pekanWilayah Persekutuan Kuala Lumpur
NegaraMalaysia
Pecah tanah
1928
Pembinaan bermula1928
Disiapkan pada
1928
Dirasmikan pada
1957
Diubah suai pada
1980
Perkarangan Istana Negara, Kuala Lumpur
Dua kubah Istana Negara.

Sejarah sunting

 
Rumah Chan Wing pada tahun 1945.

Bangunan ini pada asalnya sebuah rumah agam yang telah dibina pada tahun 1928 dengan harga RM150,000 dan dahulunya adalah rumah kediaman seorang jutawan dari China, iaitu Encik Chan Wing. Pada zaman pemerintahan Jepun dari tahun 1942-1945, bangunan ini telah digunakan sebagai Mes Pegawai Tentera Jepun. Jepun menyerah kalah pada 15 Ogos 1945 dan bangunan ini telah dijadikan sebagai pusat pentadbiran The British Royal Air Force. Berikutan itu, bangunan ini telah dibeli oleh Kerajaan Negeri Selangor dan selepas diubahsuai bangunan ini dijadikan sebagai istana Almarhum Duli Yang Maha Mulia Sultan Hisamuddin Alam Shah, Sultan Selangor dari tahun 1950 hingga tahun 1957.


Bangunan yang indah itu kemudiannya dibeli oleh kerajaan persekutuan dengan harga RM1.4 juta pada 1957 dan diubahsuai dengan harga RM328,000 untuk menjadikannya sebagai istana yang sesuai untuk kediaman Raja bagi sebuah negara merdeka yang baru.

Yang di-Pertuan Agong yang pertama, Tuanku Abdul Rahman ibni Tuanku Muhammad merupakan ketua negara Malaysia yang pertama mendiami Istana Negara iaitu bangunan putih yang mempunyai dua kubah emas beberapa minggu sebelum kemerdekaan diisytiharkan.

Istana tersebut kemudiannya direka semula oleh arkitek Jabatan Kerja Raya, E.K. Dinsdale sementara pengubahsuaian dilakukan oleh kontraktor tempatan yang mengambil masa empat bulan dan tidak mempengaruhi struktur utama bangunan. Pengubahsuaian dilakukan dengan menambah bilangan bilik daripada 13 buah kepada 20 buah, dengan dapur bagi 100 orang, balai mengadap, 4 bilik tetamu, 2 balai kemasukan dan 1 dewan santapan.

Istana ini digunakan secara rasmi sehingga 15 November 2011 apabila seisi istana berpindah ke Kompleks Istana Negara Jalan Duta.

Balairong Seri sunting

Bagi upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Balairong Seri sementara yang dibina pada harga RM170,000 kemudiannya telah dimusnahkan pada penghujung tahun 1957 dan digantikan dengan Balairong Seri yang lebih besar.

Pada 1980, Istana Negara telah mengalami pengubahsuaian yang besar bagi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong dengan penambahan Balairong Seri Utama iaitu tempat singgahsana diletakkan. Itu adalah kali pertama singgahsana diletakkan di Istana Negara yang sebelumnya pertabalan Yang di-Pertuan Agong diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang. Singgahsana baru telah dibina di bawah pengelolaan arkitek Jabatan Kerja Raya Kapten David Wee yang berasaskan alat kebesaran diraja. Ia digunakan pertama kalinya ketika pertabalan Sultan Pahang Sultan Haji Ahmad Shah Sultan Abu Bakar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-7 pada tahun 1980. Selain istiadat pertabalan, Balairong Seri juga digunakan bagi santapan rasmi, istiadat pengurniaan bintang-bintang kebesaran dan keagamaan.

 
Singgahsana di Balairong Seri di Istana Negara.

Singgahsana di Balairong Seri merupakan lambang kebesaran takhta kerajaan sesebuah negara. Raja yang memerintah akan bersemayam di atas Singgahsana dengan penuh berdaulat lagi mulia. Maka, dengan tujuan yang sama, Singgahsana yang terdapat di Balairung Seri, Istana Negara telah dibina dengan penuh pengertian dan makna untuk memperlihatkan sebuah struktur yang mempunyal nilal kesenian Melayu yang tinggi mutunya, bersesualan untuk kegunaan rasmi Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan tugas sebagal Ketua Negara. Singgahsana digunakan sebagal tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ketika Istiadat Pertabalan dilangsungkan. Bagi memenuhi hakikat tersebut, Singgahsana telah dihiasi dengan motif ukiran yang menggabungkan ciri-ciri awan larat dan ditaburi dengan motif bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan. Motif-motif ukiran ini pula diserikan dengan salutan berwarna keemasan bagi menimbulkan ciri keagungannya. Keseluruhan reka bentuk Singgahsana ini melurus ke atas untuk memberi makna bahawa segala makhluk dan umat manusia yang dijadikan Tuhan hendaklah sentiasa mengingati dan menghormati pencipta alam iaitu Allah S.W.T. Tiang-tiang lurus yang berukir melambangkan inspirasi, daya utama dan cita-cita rakyat yang berbilang kaum untuk mencapai perpaduan, keamanan dan kemakmuran. Selain daripada itu terdapat juga tulisan Allah, Muhammad dan sepotong ayat suci Al-Quran yang melambangkan kedudukan Islam sebagai Agama Rasmi dan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Persekutuan. Ukiran ayat suci Al-Quran yang digunakan bermaksud: Katakanlah (Wahai Muhammad), Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintah, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintah dari sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintah dari sesiapa yang Engkau kehendaki (Ali-Imran:26).

Kemudahan lain sunting

 
Bilik singgahsana kecil.

Istana Negara turut mempunyai singgahsana kecil di aras satu digunakan bagi tujuan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Menteri Persekutuan (jika diadakan berasingan daripada Istiadat penuh yang melibatkan semua menteri); Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Sebagai Duta-duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi-Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Luar Negara; Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri; Istiadat Menghadap Dan Menerima Surat cara Pelantikan sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi: Istiadat Pengurniaan watikah perlantikan kepada Ketua Pengarah SPRM; Istiadat Pengurniaan Watikah Perlantikan kepada Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia; dan Istiadat Pengurniaan Watikah Perlantikan kepada hakim-hakim Mahkamah Syariah.

Yang di-Pertuan Agong menggunakan Bilik Duta di aras bawah untuk berinteraksi dengan duta dan pesuruhjaya tinggi yang baru. Di sini jugalah Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mempengerusikan mesyuarat Kabinet mingguan pada hari Rabu.

 
Pengawal berkuda yang menjaga pintu masuk Istana Negara.

Istana tersebut turut mempunyai dewan kecil bagi Yang di-Pertuan Agong bertemu dengan pemerintah yang lain sementara Bilik Permaisuri adalah tempat keluarga diraja bertemu dengan pasangan diraja atau bagi upacara tidak rasmi. Bersebelahan dengan Balairong Seri ialah Bilik Mesyuarat Majlis Raja-Raja iaitu tempat bagi Majlis Raja-Raja bersidang setiap tahun manakala Bilik Menteri adalah tempat untuk menunggu sebelum mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Dewan badminton juga digunakan untuk upacara yang berkaitan dengan mencemar duli seperti menyerahkan hadiah bagi golongan miskin pada bulan Ramadhan. Kemudahan rekreasi adalah seperti gelanggang tenis, gimnasium dan kolam renang.

Istana Negara mempunyai pengawal istana dari batalion pertama Rejimen Askar Melayu Diraja. Sejak tahun 2001, pengawal berkuda turut diletakkan di pintu gerbang masuk pada 8 pagi hingga 5 petang yang menjadi tarikan pelancong.

Perpindahan sunting

Istana yang menjadi kediaman rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sejak merdeka ini menyaksikan perpindahan seisi istana pada 15 November 2011 apabila Istana Negara, Jalan Duta dijadikan kediaman rasmi Seri Paduka Baginda yang baharu. Bermula tarikh tersebut, persemayaman baginda dan segala urusan rasmi Majlis Raja-raja akan turut berpindah sama dan Tuanku Mizan Zainal Abidin merupakan Yang di-Pertuan Agong yang terakhir bersemayam dan ditabalkan diistana ini.

Istiadat menurunkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga dilakukan pada jam 9 pagi bagi menyatakan secara rasminya bahawa Yang di-Pertuan Agong tidak lagi bersemayam di istana ini selain simbolik penamatan tugas di Istana Negara lama yang seusia kemerdekaan negara.

Tiupan paluan akhir juga diperdengarkan ketika bendera tersebut diturunkan. Selepas bendera diturun dan dilipat, ia menyaksikan perarakan kumpulan pengawal istana dan kumpulan penurun bendera disertai kawalan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja dan Skuadron Istiadat Berkuda. Mereka menuju ke pintu masuk utama Istana Negara, bagi upacara penyerahan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Tengku Abdul Jalil.

Upacara disaksikan Pengerusi Majlis Rasmi Kerajaan, Datuk Othman Mahmud dan kira-kira jam 9:40 pagi, pintu masuk utama Istana Negara ini, dikunci sebagai simbolik berakhirnya fungsi Istana Negara ini sebagai kediaman rasmi Seri Paduka Baginda. [1]

Galeri sunting

Rujukan sunting

Pautan luar sunting