Istana Negara, Jalan Duta

istana negara bagi Malaysia
(Dilencongkan dari Istana Negara Jalan Duta)

Istana Negara, Jalan Duta (Tulisan Jawi: ايستان نڬارا، جالن دوتا) ialah sebuah kompleks istana Malaysia yang terletak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, Malaysia. Secara rasminya, istana ini digunakan pada 15 November 2011 bagi menggantikan Istana Negara di Jalan Istana sebagai tempat bersemayam kediaman rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Malaysia. Istana ini telah diserahkan kepada pentadbiran Istana Negara pada 18 Oktober 2011 dan beroperasi sepenuhnya pada 11 November 2011. Istiadat Menaikkan Bendera Diraja Yang di-Pertuan Agong telah diadakan pada 15 November 2011 bagi melambangkan Istana Negara di Jalan Tuanku Abdul Halim telah diisytiharkan sebagai Istana Negara Malaysia yang baharu.

ايستان نڬارا
Istana Negara
Map
Maklumat umum
JenisIstana
Gaya seni bina
Seni bina Islam, Melayu
LokasiJalan Duta, Kuala Lumpur
NegaraMalaysia
Penyewa terkini
Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong
Pembinaan bermulaNovember 2007
Disiapkan pada
September 2011
PembiayaanRM 800 juta


Pentadbiran Istana Negara mula beroperasi sepenuhnya semasa pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tuanku Mizan Zainal Abidin manakala istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah merupakan istiadat pertabalan pertama di istana ini.

Ciri-ciri sunting

Istana Negara, Jalan Duta ini dibina merangkumi tiga komponen utama iaitu Komponen Rasmi, Komponen Diraja dan Komponen Pentadbiran.

Istana Negara ini juga mempunyai 3 laluan masuk utama iaitu Pintu Gerbang Masuk Utama yang menggunakan jalan masuk bertingkat dari Jalan Duta adalah bagi kegunaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta Duli-Duli Yang Maha Mulia Permaisuri-Permaisuri Baginda, Tuan-Tuan Yang Terutama Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri, Ketua-Ketua Negara, Ketua-Ketua Kerajaan dan Perdana Menteri Malaysia. Pintu 2 yang terletak di Jalan Semantan-Dungun adalah pintu masuk bagi Tetamu-Tetamu Diraja, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Menteri, Ahli Parlimen Malaysia dan bekas Perdana Menteri Malaysia. Pintu 3 pula yang terletak di Jalan Seri Hartamas, Mont Kiara adalah untuk kegunaan Rakyat Malaysia yang ingin berurusan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta Pentadbiran Istana Negara.[1]

Pembinaan sunting

 
Pintu masuk utama

Kerajaan Malaysia telah mencadangkan pembinaan Istana Negara yang baru yang terletak di Jalan Duta. Istana baru ini bertujuan untuk menggantikan Istana Negara yang lama yang telah digunakan sejak 1928. Ini ialah kali pertama kerajaan Malaysia membina sendiri istana Yang di-Pertuan Agong memandangkan istana yang terdahulu dibeli daripada seorang jutawan China.

Kompleks Istana Negara Baru ini dibangunkan di atas tanah seluas 241.3 ekar yang dibahagikan kepada empat sayap dan termasuk kawasan meletakkan kenderaan. Ia merangkumi pembinaan Bangunan Utama Istana Negara serta bangunan-bangunan dan kemudahan sokongan yang lain dengan keluasan lantai kasar keseluruhan sebanyak 90,082 meter persegi. Turut dilaksanakan bagi melengkapkan keperluan Kompleks ini ialah pembinaan jalan masuk bertingkat Jalan Duta ke Pintu 1 Istana Negara dan naik taraf Jalan Changkat Semantan ke Pintu 2 Istana Negara yang diuruskan oleh Cawangan Jalan, Ibu Pejabat JKR. Projek ini telah mula dibina pada akhir November 2007 dan siap sepenuhnya pada akhir September 2011. Kompleks ini juga merangkumi bangunan istana, perumahan untuk pekerja istana, pejabat polis dan sekuriti, kem tentera mini dan gerbang masuk dua tingkat dari Jalan Duta. [2]

Istana ini menelan belanja sebanyak RM812 juta dengan Maya Maju Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama yang dilantik dengan kontrak bernilai RM650 juta, manakala pembinaan lebuh raya bertingkat menuju ke gerbang masuk istana pula dilakukan oleh Ahmad Zaki Sdn. Bhd. pada nilai RM130 juta.

Dengan seni bina yang melambangkan Islam dan Melayu, tatarias lampu, pemalapan dan pencahayaan luar dan dalam istana adalah berbeza. Rekaan ini bertujuan untuk mencipta suasana yang tersendiri di samping menjimatkan tenaga. Sistem ini akan dipusatkan dan dikawal oleh 10 butang kawalan di lokasi yang berlainan.

Antara keunikan yang dapat dilihat pada Istana Negara ini adalah bilangan kubahnya yang berjumlah 22 buah kesemuanya. Pada dua kubah terbesar, terdapat reka bentuk seperti sirih bertindih. Pada waktu malam, cahaya daripada lampu hiasan yang menerangi kubah berkenaan akan memberi kesan ilusi yang sangat cantik. Cahaya tersebut, boleh bertukar warna mengikut jenis acara rasmi yang sedang berlangsung dan dapat dilihat dengan jelas dari luar kawasan Istana Negara ini.

Majlis Penyerahan Istana Negara sunting

Majlis Penyerahan Istana Negara Baru Jalan Duta, Kuala Lumpur telah diadakan di Dewan Serbaguna Diraja di antara Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Pihak Pengurusan Istana Negara pada 18 Oktober 2011.

Atur cara penyerahan bangunan disempurnakan dengan sesi menandatangani penyerahan dan penerimaan Sijil Penyerahan Bangunan antara Y.Bhg. Datuk Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Y.Bhg. Datuk Othman Bin Haji Mahmood daripada Jabatan Perdana Menteri dengan Y.M. Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Y.M. Datuk Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil yang mewakili pihak Pengurusan Istana Negara. Majlis yang diadakan secara sederhana ini turut dihadiri oleh para pegawai kanan dari Jabatan Perdana Menteri Malaysia dan Istana Negara.[3]

Perpindahan sunting

 
Istana Negara dari pandangan sisi

Pada 15 November 2011, Yang di-Pertuan Agong secara rasminya berpindah dari Istana Negara, Jalan Istana ke Kompleks Istana Negara Jalan Duta. Perpindahan tersebut dilakukan dengan simbolik melalui perpindahan bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong. Upacara menurunkan bendera peribadi baginda di Istana Negara, Jalan Istana dilakukan pada jam 9 pagi manakala upacara menaikkan bendera peribadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di kompleks Istana Negara baru disempurnakan tepat jam 10.25 pagi.

Acara berlangsung di dataran Istana Negara, menandakan pemindahan secara rasminya. Upacara bermula dengan perbarisan 52 anggota Rejimen Askar Melayu Diraja serta 12 Skuadron Istiadat Berkuda diiringi tiupan fajar. Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Hussein Tengku Abdul Jalil kemudiannya menyerahkan bendera kepada Pemangku Pegawai Memerintah Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Mejar Mohd Kadri Abu Bakar. Bendera Yang di-Pertuan Agong dinaikkan dengan diapit dua bendera Jalur Gemilang serta 14 bendera negeri-negeri. Kaedah menaikkan bendera pada tiang berketinggian 30 meter dilakukan secara automatik, berbeza di Istana Negara lama, yang dinaikkan secara manual.

Upacara diakhiri dengan bacaan doa.[4]

Kontroversi sunting

Semasa di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Yong Khoon Seng menyatakan kos pembinaan melonjak daripada RM400 juta (2006) kepada RM811 juta (2010). Tiga syarikat dipilih melalui perundingan langsung, dan bukan melalui tender terbuka. Tujuannya kerana pertimbangan keselamatan dan laluan alternatif.[5] Ahli parlimen Taiping, Nga Kor Ming mempersoalkan kredibiliti kontraktor yang membina Stadium Gong Badak di Kuala Terengganu yang runtuh tahun 2009 selepas setahun digunakan.

Rujukan sunting

  1. ^ Istana Negara Jalan Duta
  2. ^ "Pembinaan Istana". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-09-10. Dicapai pada 2011-11-15.
  3. ^ Majlis Penyerahan Istana Negara
  4. ^ Istana Baru
  5. ^ Kontraktor Stadium Gong Badak bina istana baru