Istiadat Pembukaan Penggal Majlis Parlimen Malaysia

Istiadat Pembukaan Penggal Majlis Parlimen Malaysia ialah istiadat yang secara rasmi menandakan permulaan penggal Parlimen. Ia termasuk ucapan dari takhta yang dikenali sebagai Titah Ucapan Diraja. Istiadat Pembukaan Parlimen adalah satu majlis yang mempunyai sedikit kemiripan dengan Pembukaan Sidang Parlimen di United Kingdom yang menzahirkan kehadiran Yang di-Pertuan Agong selaku ketua negara untuk merasmikannya.

Di Malaysia, Pembukaan Sidang Parlimen dilakukan setiap tahun (kecuali ketika parlimen telah digantung/dibubar) oleh Yang di-Pertuan Agong. Berbeza dengan United Kingdom dan kebanyakan negara Komanwel yang menyaksikan Majlis Pembukaan berlaku di ruang Dewan Pertuanan, di Malaysia, Istiadat Pembukaan Parlimen berlaku di Dewan Rakyat dengan semua ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara akan duduk di Dewan Rakyat.

Aturcara Istiadat sunting

Sebelum bermulanya Istiadat, ahli-ahli Parlimen akan menunggu di Dataran Parlimen dalam pakaian rasmi dan formal. Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong di Dataran Parlimen akan disambut oleh Yang di-Pertua Dewan Negara, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri Kabinet serta perwakilan asing bersama pasangan isteri/suami masing-masing.

Atur cara pentadbiran istiadat pembukaan yang diadakan di Dataran Parlimen itu bermula dengan pasukan Kawalan Kehormatan yang terdiri daripada pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) untuk menyembahkan "Hormat Diraja". Sejurus selepas itu, lagu Negaraku dimainkan oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja dan sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan.

Acara diteruskan dengan Tuanku memeriksa barisan Kawalan Kehormatan, "Hormat Diraja" kedua dilakukan dan selepas itu lagu Negaraku dimainkan buat kali kedua.

Sekiranya cuaca buruk, istiadat "Hormat Diraja" akan diadakan di Dewan Bankuet.

Selepas acara di Dataran Parlimen selesai, Yang di-Pertuan Agong diiringi ke Bilik Diraja untuk sesi bergambar bersama ahli Parlimen. Sesi ini juga boleh diadakan selepas tamat istiadat titah diraja.

Apabila loceng istiadat dibunyikan, Tuanku berdua akan berangkat ke dalam Bangunan Parlimen untuk memasuki Dewan Rakyat dengan diiringi oleh Yang di-Pertua Dewan kedua-dua dewan, Timbalan-Timbalan Yang di-Pertua Dewan dan Setiausaha Perlimen. Baginda berdua akan bersemayam di kerusi khas dan Perdana Menteri akan menghadap bagi menyampaikan teks Titah Ucapan Diraja untuk dibaca oleh Yang di-Pertuan Agong.

Maka, bermulalah penggal baharu yang menyaksikan Dewan Rakyat akan bersidang selama 2 penggal setiap tahun.

  • Mesyuarat pertama bersidang selama 20 hari.
  • Mesyuarat kedua bersidang selama 12 hari.
  • Mesyuarat ketiga bersidang selama 36 hari.

Lihat juga sunting