Ivan Simson Brigedier Jeneral Ivan Simson adalah seorang pegawai Tentera British yang menjadi Ketua Askar Jurutera di Singapura semasa Penaklukan Jepun.

Perkhidmatan Tentera sunting

Ivan Simson dilahirkan dalam tahun 1890. Dalam tahun 1910, dia menyertai perkhidmatan tentera sebagai Leftenan Muda dalam pasukan Askar Jurutera Diraja. Dalam tahun 1912, dia mendapat kenaikan pangkat dan menjadi Leftenan. Apabila Perang Dunia I meletus dalam tahun 1914, Simson mengikuti Pasukan Ekspedisi British (British Expeditionary Force) di Perancis dan [Belgium]]. Simson berkhidmat cemerlang dan dinaikkan pangkat menjadi Kapten dalam tahun 1916.

Selepas Perang Dunia I, Simson bertugas sebagai pegawai turus di Jabatan Perang British sehingga tahun 1922. Dalam tahun 1926, Simson mendapat kenaikan pangkat menjadi Mejar dan menjadi jurulatih di Pusat Latihan Askar Jurutera Diraja. Dalam tahun-tahun 1930 hingga 1932, Simson berkhidmat di Burma dan India dalam pelbagai tugasan. Dalam tahun 1934, Simson dinaikkan pangkat menjadi Leftenan Kolonel dan dalam tahun 1936, Simson menjadi seorang Kolonel.

Di Tanah Melayu sunting

Dari tahun 1936 hingga tahun 1941, Simson ditugaskan di Jabatan Perang di dalam bahagian persenjataan. Dalam tahun 1941 Simson dinaikkan pangkat menjadi Brigedier Jeneral dan dilantik menjadi Ketua Askar Jurutera di Markas Gerakan Tanah Melayu dan juga sebagai Pengarah Kejuruteraan Awam di Tanah Melayu. Selepas penaklukan Jepun, Simson menjadi tawanan perang dan ditahan di kem tahanan Karenko dan Shirakawa. Simson menulis pengalaman perangnya di Singapura dan Melaka dalam buku “Singapore, Too Little Too Late” yang diterbitkan dalam tahun 1970, setahun sebelum kematian beliau.

Gabenor Singapura, Shenton Thomas melantik Brig. Jen. Ivan Simson menjadi Ketua Pertahanan Awam dan bukan untuk membuat pertahanan bagi pertahanan Singapura. Simson bertanyakan perkara pembinaan perkubuan kepada Lt. Jen Percival yang menafikan permintaan Simson, dengan alasan pembinaan kubu seperti yang dicadangkan adalah tidak baik untuk moral orang awam dan anggota tentera.

“Singapore, Too Little Too Late” sunting

Buku ini merupakan kritikan mengenai kurang persediaan pertahanan Tanah Melayu dan perjalanan kempen penaklukan Jepun yang hanya mengambil masa 70 hari. Simson tiba di Singapura pada 5 Ogos 1941 untuk perlantikan sebagai Ketua Askar Jurutera di Singapura. Pada penghujung bulan Disember 1941, Simson dilantik menjadi Pengarah Pertahanan Awam Singapura oleh Duff Coopper, Menteri Hal Ehwal Timur Jauh. Perlantikan itu adalah sebagai tambahan kepada jawatan hakiki beliau.

Simson kecewa dengan reaksi pegawai-pegawai berkuasa British berkenaan keperluan membuat persiapan pertahanan di Tanah Melayu dan juga di Singapura. Lt. Jen. Percival umpamanya enggan memberikan kebenaran kepada Simson untuk membuat perkubuan dengan alasan pembinaan itu akan menjejaskan moral askar dan orang ramai.

Apabila Percival meminta pembinaan perkubuan, keadaan sudah terlalu lambat. Keperluan untuk membina perkubuan di kawasan paya tidak mungkin dapat dibuat dalam masa yang singkat. Tenaga buruh juga sudah kurang, buruh-buruh sudah melarikan diri apabila keadaan menjadi terlalu bahaya.

Rujukan sunting

'Singapore - Too Little, Too Late' by Ivan Simson