Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia

Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (Tulisan Jawi: جابتن مينرال دان ڬيوساءين س مليسيا; singkatan: JMG) merupakan salah satu jabatan kerajaan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA). Jabatan ini berperanan menguruskan pengendalian eksplorasi mineral dan perlombongan galian serta melakukan penyiasatan dan penyimpanan maklumat berkaitan kajian pelbagai bidang geosains seperti pemetaan geologi, sumber air bawah tanah, geologi kejuruteraan, bencana geologi, geologi alam sekitar, geologi marin, geofizik, dan bidang-bidang lain, kesemuanya secara sistematik.

Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia
جابتن مينرال دان ڬيوساءين س مليسيا
Kerajaan Malaysia
Intisari agensi
Dibentuk1 Julai 1999; 24 tahun yang lalu (1999-07-01)
Agensi-agensi terdahulu
  • Jabatan Penyiasatan Kajibumi
  • Jabatan Galian
JenisKerajaan
Ibu pejabatAras 9, Menara PjH, No. 2, Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2, 62100 Putrajaya
Eksekutif Kerajaan
  • YBhg. Datuk P.Geol. Zamri bin Ramli, F.I.G.M., Ketua Pengarah
Agensi induk
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli Malaysia
Dokumen penting
  • Akta Penyiasatan Kajibumi 1974
  • Akta Pembangunan Mineral 1994
Laman sesawang
www.jmg.gov.my

Ketua Pengarah JMG ialah YBhg. Datuk P.Geol. Zamri bin Ramli, F.I.G.M.

Sejarah penubuhan sunting

JMG merupakan hasil penggabungan Jabatan Penyiasatan Kajibumi dan Jabatan Galian. Penggabungan ini merupakan keputusan Kementerian Perusahaan Utama setelah mendapat kelulusan Kabinet yang bertujuan untuk memantapkan dan menyelaraskan aktiviti kedua-dua jabatan kerajaan. Pelaksanaan pengabungan bermula pada 1 Januari 2000 setelah semua kakitangan diberi pilihan sama ada untuk berkhidmat di Jabatan baru atau diberi pilihan bersara.

Jabatan Penyiasatan Kajibumi sunting

Sejarah penubuhan Jabatan Penyiasatan Kajibumi bermula sejak tahun 1903 apabila Pejabat Kajibumi diasaskan di Kuala Lumpur oleh pentadbiran British. Penubuhan awal Pejabat Kajibumi ialah untuk menjalankan aktiviti berkaitan kajibumi di Negeri-negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Pada tahun 1908, Pejabat Kajibumi dipindahkan ke Batu Gajah, Perak. Tujuan perpindahan ini ialah untuk kajian dan penyelidikan lapangan berikutan penemuan deposit bijih timah besar-besaran di Lembah Kinta.

Pada tahun 1927, Pejabat Kajibumi dinaiktaraf menjadi Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaya. Aktiviti jabatan diperluaskan ke Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Pada tahun 1957, Ibu pejabat Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaya dipindahkan ke Ipoh, Perak.

Pada tahun 1963, nama jabatan ini ditukar kepada Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia Timur. Pada tahun ini juga Jabatan Penyiasatan Kajibumi Jajahan British Borneo ditukar nama kepada Jabatan Penyiasatan Kajibumi Wilayah Borneo. Pada tahun 1968, Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia Timur dan Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia Borneo digabungkan di bawah satu pentadbiran berpusat di Ipoh, Perak.

Pada tahun 1973, ibu pejabat dipindahkan sekali lagi dari Ipoh, Perak ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1999, jabatan ini bergabung dengan Jabatan Galian membentuk Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia (JMG).

Penggabungan sunting

Struktur organisasi Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia telah diluluskan dan diwartakan pada 1 Julai 1999 dan diletakkan di bawah Kementerian Perusahaan Utama. Pada April 2004, JMG telah diletakkan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berikutan penyusunan semula Kabinet. Pada Jun 2018, JMG telah diletakkan di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli Malaysia (KATS) berikutan penyusunan semula Kabinet. Pada tahun 2020, JMG ditempatkan di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Visi dan Misi sunting

Visi sunting

Menjadikan JMG sebagai organisasi terunggul dalam sektor mineral dan geosains di rantau ini setanding dengan yang terbaik di dunia.

Misi sunting

Menyumbang kepada peningkatan daya saing ekonomi, kualiti hidup, sosial dan alam sekitar melalui penggunaan maklumat dan perkhidmatan mineral geosains yang berkesan.

Pengurusan dan pentadbiran sunting

 
Muzium Geologi di Kompleks JMG di Ipoh, Perak.

Pengurusan tertinggi JMG diterajui oleh Ketua Pengarah dan dibantu oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan).

Ibu pejabat JMG terletak di Menara PjH, Wilayah Persekutuan Putrajaya.

JMG mempunyai 10 pejabat negeri yang diketuai oleh Pengarah Negeri iaitu:

  1. JMG Kedah / Perlis / Pulau Pinang di Alor Setar, Kedah.
  2. JMG Perak di Ipoh, Perak.
  3. JMG Selangor / Wilayah Persekutuan di Shah Alam, Selangor.
  4. JMG Negeri Sembilan / Melaka di Seremban, Negeri Sembilan.
  5. JMG Johor di Johor Bahru, Johor.
  6. JMG Pahang di Kuantan, Pahang.
  7. JMG Terengganu di Kuala Terengganu, Terengganu.
  8. JMG Kelantan di Kota Bharu, Kelantan.
  9. JMG Sabah di Kota Kinabalu, Sabah.
  10. JMG Sarawak di Kuching, Sarawak.

Selain itu, JMG turut mempunyai Bahagian Perkhidmatan Teknikal (BPT) dan Pusat Penyelidikan Mineral (PPM) di Ipoh, Perak.

Satu pejabat cawangan iaitu JMG Perlis telah ditubuhkan di Kangar, Perlis pada tahun 2020.

Aktiviti jabatan sunting

 
Majlis Perasmian Tapak Terpelihara Geowarisan Batu Rijang di Bukit Larek, Kedah atas inisiatif bersama JMG dan kerajaan negeri Kedah.

Eksplorasi Mineral sunting

  1. Eksplorasi mineral berlogam.
  2. Eksplorasi mineral perindustrian.
  3. Eksplorasi mineral tenaga.

Perkhidmatan Geosains sunting

  1. Pemetaan geologi.
  2. Penilaian warisan geologi.
  3. Perkhidmatan geologi kejuruteraan.
  4. Perkhidmatan hidrogeologi.
  5. Aktiviti geologi alam sekitar.

Perkhidmatan Lombong Dan Kuari sunting

  1. Aktiviti pembangunan lombong dan kuari.
  2. Kawalselia dan penguatkuasaan operasi lombong dan kuari.
  3. Khidmat nasihat dan kepakaran.

Penyelidikan Dan Pembangunan sunting

Perkhidmatan Makmal sunting

  1. Perkhidmatan Analisis Geokimia
  2. Perkhidmatan Analisis Mineralogi dan Petrologi

Penglibatan nasional sunting

Pembangunan sumber air tanah sunting

JMG merupakan jabatan kerajaan yang mempelopori aktiviti penggerudian air tanah dan pembinaan telaga tiub untuk kegunaan masyarakat setempat selain pemantauan dan pemodelan sumber air tanah.

Eksplorasi sumber mineral sunting

JMG mempunyai kepakaran dan telah melaksanakan eksplorasi mineral berlogam dan bukan logam di kawasan tanah milik kerajaan sebagai usaha mengenal pasti, menentukan potensi dan menilai rizab mineral. Antara mineral yang dieksplorasi ialah unsur nadir bumi (REE), bijih timah, bijih besi, emas, batu kapur, dolomit dan felspar yang kemudian dinilai sebagai komoditi utama negara.

Pembangunan geopark sunting

JMG diberi peranan utama oleh kerajaan menerusi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk menilai dan membangunkan kawasan-kawasan yang dirancang sebagai geopark kebangsaan, iaitu Geopark Jerai, Geopark Lembah Kinta, Geopark Mersing, Geopark Perlis, Geopark Lenggong dan Geopark Gunung Kinabalu. Usaha ini merangkumi kerjasama erat dengan penyelidik tempatan, masyarakat setempat dan kerajaan negeri.

Pengurusan geobencana sunting

JMG juga mempunyai kepakaran dalam mengenalpasti dan mengawal pembangunan agar tidak terpengaruh dengan geobencana seperti lubang benam, zon sesar aktif dan gempa, bahaya cerun, runtuhan tebing dan lereng bukit dan sebagainya. Usaha ini melibatkan kajian lapangan, pemodelan kawasan pembangunan dan ulasan teknikal kepada perancang bandar dan desa serta kerajaan negeri.