Jambatan Galton adalah sebuah jambatan besi tuangan di Smethwick, berdekatan Birmingham di tengah England. Dibuka pada tahun 1829 sebagai jambatan jalan raya, struktur untuk laluan pejalan kaki telah ditambah sejak 1970-an. Jambatan ini telah dibina oleh Thomas Telford untuk membawa jalan raya merentasi laluan utama baharu bagi Terusan Birmingham, yang dibina dalam racik lebar. Jambatan Galton berada 70 kaki (21 m) di atas terusan, yang kononnya merupakan jambatan gerbang dengan rentangan tunggal tertinggi di dunia semasa ia dibina, dengan 26 kaki (7.9 m) lebar dan 150 kaki (46 m) panjang. Komponen-komponen besi jambatan dihasilkan di kilang besi Horseley dan dipasang di atas tembok landas batu. Reka bentuknya termasuklah tiang-tiang lampu berhias dan rembat berbentuk X di layar gerbang.

Jambatan Galton
جمبتن ݢالتون
Galton Bridge
Jambatan logam langsing di atas lembah yang dalam
Jambatan Galton (latar depan) dari depan
Koordinat52°30′07″N 1°58′46″W / 52.5019°N 1.9794°W / 52.5019; -1.9794Koordinat: 52°30′07″N 1°58′46″W / 52.5019°N 1.9794°W / 52.5019; -1.9794
MembawaRoebuck Lane
MenyeberangiLaluan utama baharu Terusan Birmingham
LokasiSmethwick, England
PenyelenggaraAmanah Terusan & Sungai
Status warisanBangunan terpelihara gred I
Nombor ID1214833 (Historic England)
Ciri-ciri
BahanBesi tuang
Panjang keseluruhan150 ka (46 m)
Lebar26 ka (7.9 m)
Tinggi70 ka (21 m)
Sejarah
Dibina olehThomas Telford
Dibuka1829
Lokasi
Map
sunting · sunting di Wikidata
Lihat pendokumenan templat ini
Lihat pendokumenan templat ini

Pada 1840-an, suatu jambatan kereta api telah dibina daripada salah satu tembok landas, dengan satu tembok tepi sesuai dengan yang asal. Jambatan Galton membawa lalu lintas untuk lebih 140 tahun sebelum dipintas oleh jalan raya baharu (Telford Way) pada 1970-an. Kini, ia membawa para pejalan kaki dan penunggang basikal. Jambatan ini adalah salah satu daripada enam jambatan yang dibina oleh Thomas Telford, berkongsi ciri-ciri reka bentuk yang sama dan hanya satu yang masih berdiri tanpa sebarang pengubahsuaian. Ia menjalani kerja pembaikan kecil pada tahun 1980-an, selepas itu ia dicat semula daripada warna hitam yang asal kepada suatu skema warna yang bertujuan untuk meningkatkan ciri-cirinya. Jambatan Galton diselenggarakan oleh Amanah Terusan & Sungai dan meminjamkan namanya kepada stesen kereta api Jambatan Smethwick Galton yang berada berdekatan. Ia juga telah disenaraikan sebagai bangunan terpelihara gred I sejak tahun 1971.

Latar belakang sunting

Terusan Birmingham yang asal telah dibina pada lewat 1760-an di sepanjang laluan berliku, menghubungkan Birmingham ke Wolverhampton melalui medan batu arang Black Country. Sala satu halangan besar di laluan itu ialah tompok tanah yang tinggi di Smethwick, kira-kira 4 batu (6.4 km) barat Birmingham. Jurutera pada asalnya merancang untuk membina terowong tetapi mendapati keadaan tanah tidak sesuai. Oleh itu, terusan itu dibawa ke atas bukit dengan suatu jalan kunci.[1][2]

Menjelang tahun 1820-an lalu lintas terusan telah berkembang dengan pesat dan kesempitannya menyebabkan kesesakan. Puncak di Smethwick adalah pendek dan bersempadan dengan kunci di setiap hujung; akibatnya, menjadi perkara biasa bagi bot beratur panjang di kedua-dua hujung dan sering berlaku salah faham dalam kalangan kru bot. Penambahbaikan telah dicadangkan selama bertahun-tahun, walaupun mangkin segera untuk pelaburan merupakan cadangan untuk kereta api yang menghubungkan Birmingham ke Liverpool melalui Wolverhampton. Pemunya terusan berunding dengan Thomas Telford, jurutera terusan paling terkemuka ketika itu, dan beliau mereka bentuk laluan baharu yang lebih lurus (dikenali sebagai Laluan Utama Baru, terusan asal menjadi Laluan Utama Lama) yang mengurangkan panjang terusan dengan ketara.[1][3] Skim ini melibatkan penggalian lembah buatan melalui tanah yang tinggi di Smethwick. Jambatan itu dinamakan sempena Samuel Tertius Galton, seorang ahli perniagaan tempatan dan pelabur utama dalam Syarikat Terusan Birmingham.[4][5]

Tiga jalan tempatan telah terputus oleh kerja tersebut; dua daripadanya telah digantikan dengan jambatan batu tradisional, tetapi Roebuck Lane harus menyeberangi tarahan pada titik terluas dan terdalam. Seperti semua jambatan di laluan baharu, ia perlu merentangi terusan tanpa menghalang laluan air atau laluan tunda. Oleh itu, Telford menganggap struktur yang lebih ringan adalah perlu.[1][6] Telford merupakan perintis bagi penggunaan besi tuang dan menjadi terkenal dengan buatan jambatan dan akueduknya yang menggunakan bahan tersebut. Beliau juga dapati bahan itu boleh digunakan untuk mencipta rentang yang lebih lebar daripada sebelum ini, yang mungkin dengan menggunakan bata atau batu.[4][7] Besi tuang adalah rapuh di bawah tegangan tetapi kuat di bawah mampatan; dalam pembinaan jambatan, ia cenderung digunakan dalam bentuk gerbang. Jambatan besi pertama di dunia dibuka di Shropshire, lima puluh tahun sebelum Jambatan Galton. Jurutera termasuk Telford menghabiskan baki abad ke-18 dan kebanyakan abad ke-19 memperhalusi kaedah-kaedah pembinaan.[8]

Reka bentuk sunting

Jambatan Galton merupakan jambatan rentangan tunggal sepanjang 150 kaki (46 m), 26 kaki (7.9 m) lebar dan 70 kaki (21 m) di atas terusan. Ia terdiri daripada enam rusuk besi tuang, setiap satunya diperbuat daripada tujuh segmen yang diselakkan bersama. Jambatan ini disokong oleh tembok landas bata tinggi yang dibina ke dalam tepian lembah. Plat geladaknya disokong pula oleh perembatan berbentuk X dalam layar gerbang. Telford menambah tembok tepi dan tinag lampu berhias yang juga diperbuat daripada besi tuang. Semasa dibina, Jambatan Galton dipercayai sebagai jambatan di atas terusan terpanjang dan jambatan gerbang dengan rentangan tunggal tertinggi di dunia; Telford menulisnya di dalam memoir beliau, "Di tempat penggalian terbesar didirikan jambatan terusan terbesar di dunia; ia diperbuat daripada besi".[a] Kesemua kerja besi dihasilkan oleh kilang besi Horseley yang terletak di tepi terusan, berdekatan Tipton.[4] Nama "Jambatan Galton" diacukan pada tengah struktur, di bawah tembok tepi pada kedua-dua sisi manakala "Horseley Iron Works 1829" (Kilang Besi Horseley 1829) diacukan di bawah kedua-dua layar gerbang di kedua-dua sisi.[11]

Dalam memoir yang diterbitkan selepas kematiannya, Telford menyifatkan Jambatan Galton sebagai "rentangan yang luar biasa". Beliau menjelaskan bahawa keputusannya untuk membina jambatan setinggi itu dan membinanya dalam besi tuang, yang ketika itu masih merupakan bahan baru adalah salah satu "keselamatan, digabungkan dengan ekonomi". Jambatan batu yang cukup tinggi untuk mencecah bahagian atas tebing tarah memerlukan tembok landas yang teguh, di mana ia berisiko kepada kerja batu digenangi dengan air dan membonjol semasa hujan lebat, manakala rentangan besi adalah lebih ringan dan memerlukan tembok landas yang lebih kecil. Telford menulis bahawa "pernyataan kerja batu adalah kecil, dan menghasilkan kepelbagaian dengan penampilannya yang ringan, menarik perhatian kepada setiap penonton."[12]

Jambatan Galton adalah yang terakhir daripada siri enam jambatan gerbang besi tuangan yang dibina oleh Telford dengan reka bentuk serupa. Jambatan pertama iaitu Jambatan Bonar dibina pada tahun 1810 di Tanah Tinggi Scotland dan menjadi prototaip. Jambatan Mythe di Tewkesbury pula telah dibina tiga tahun sebelum Jambatan Galton, serta Jambatan Holt Fleet di Worcestershire pula disiapkan pada 1828.[4][13] Jambatan Galton adalah satu-satunya daripada siri itu yang tidak menjalani pengubahsuaian kemudian hari; Jambatan Bonar telah dihanyutkan oleh banjir manakala Jambatan Mythe dan Holt Fleet telah diperkuat dengan bahan-bahan moden pada abad ke-20. Jambatan-jambatan lain iaitu Jambatan Craigellachie (1814) di timur laut Scotland dan Jambatan Waterloo (1816) di Betws-y-Coed, utara Wales juga telah diperkuat pada kurun ke-20.[14][15]

Pada asalnya, Jambatan Galton menguasai pemandangan di kedua-dua sisi lembah tetapi kini terhalang. Jambatan itu terkepung di antara Jambatan Stesen Smethwick, jambatan kereta api yang dibina pada 1860-an di sisi barat (Wolverhampton) dan isian separa tarahan di mana skim jalan raya 1970-an yang merentasi terusan di sisi timur (Birmingham).[4][16]

Rujukan sunting

Catatan sunting

  1. ^ Petikan asal: "At the place of greatest excavation is erected the largest canal bridge in the world; it is made of iron."[4][9][10]

Petikan sunting

  1. ^ a b c Bligh, Brown & Crowe (2007), m/s. 57.
  2. ^ Hadfield (1985), m/s. 65.
  3. ^ Hadfield (1985), m/s. 86.
  4. ^ a b c d e f Bligh, Brown & Crowe (2007), m/s. 59.
  5. ^ Broadbridge (1974), m/s. 105–106.
  6. ^ Rolt (2011), m/s. 210–211.
  7. ^ Paxton (2007), m/s. 13.
  8. ^ Hayman (2020), m/s. 35–40.
  9. ^ Glover (2017), m/s. 335.
  10. ^ "Galton Bridge, Smethwick" (dalam bahasa Inggeris). Amanah Pengangkutan Kebangsaan. Diarkibkan daripada yang asal pada 28 September 2022. Dicapai pada 28 September 2022.
  11. ^ "Galton Bridge including attached railway bridge span". Senarai Warisan Kebangsaan England (dalam bahasa Inggeris). Historic England. Diarkibkan daripada yang asal pada 11 Ogos 2019. Dicapai pada 6 Oktober 2021.
  12. ^ Telford (1838), m/s. 80–81.
  13. ^ Cragg (1997), m/s. 201–202.
  14. ^ Paxton (2007), m/s. 18–19.
  15. ^ Troyano (2003), m/s. 12, 301.
  16. ^ Pratt (2005), m/s. 32.

Bibliografi sunting

  • Andrew, Jim (1995). "The Canal at Smethwick – under, over and finally through the high ground". Industrial Archaeology Review (dalam bahasa Inggeris). 17 (2): 171–192. doi:10.1179/iar.1995.17.2.171.
  • Biddle, Gordon (2011). Britain's Historic Railway Buildings: A Gazetteer of Structures (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). Hersham, Surrey: Ian Allan. ISBN 978-0-7110-3491-4.
  • Bligh, David; Brown, David; Crowe, Nigel (2007). "Birmingham Canal, England – a future unlocked by Telford". Proceedings of the Institute of Civil Engineers (dalam bahasa Inggeris). 160 (5): 56–60. doi:10.1680/cien.2007.160.5.56. ISSN 0965-089X.
  • Broadbridge, S. R. (1974). The Birmingham Canal Navigations Volume 1: 1768–1846 (dalam bahasa Inggeris). Newton Abbot: David & Charles. ISBN 978-0-7153-6381-2. Tiada jilid kedua pernah diterbitkan
  • Cragg, Roger (1997). Civil Engineering Heritage: Wales and West Central England (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-2). London: Thomas Telford. ISBN 978-0-7277-2576-9.
  • Glover, Julian (2017). Man of Iron: Thomas Telford and the Building of Britain (dalam bahasa Inggeris) (ed. kulit lembut). London: Bloomsbury. ISBN 978-1-4088-3748-1.
  • Hadfield, Charles (1985). Canals of the West Midlands (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-3). Newton Abbot: David & Charles. ISBN 978-0-7153-8644-6.
  • Hayman, Richard (2020). Bridges (dalam bahasa Inggeris) (ed. kulit lembut). Oxford: Shire Books. ISBN 978-1-78442-387-2.
  • McFetrich, David (2019). An Encyclopaedia of British Bridges (dalam bahasa Inggeris) (ed. disemak semula dan dilanjutkan). Barnsley: Pen and Sword Books. ISBN 978-1-5267-5295-6.
  • Paxton, Roland (2007). "Thomas Telford's cast-iron bridges". Proceedings of the Institute of Civil Engineers (dalam bahasa Inggeris). 160 (5): 12–19. doi:10.1680/cien.2007.160.5.12. ISSN 0965-089X.
  • Pratt, Derek (2005). The Architecture of Canals (dalam bahasa Inggeris). Princes Risborough: Shire Books. ISBN 978-0-7478-0632-5.
  • Rolt, L. T. C. (2011) [1958]. Thomas Telford (dalam bahasa Inggeris) (ed. baharu). Stroud: The History Press. ISBN 978-0-7509-4576-9.
  • Ruddock, Ted (1979). Arch Bridges and their Builders 1735–1835 (dalam bahasa Inggeris). Cambridge: Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-21816-0.
  • Telford, Thomas (1838). The Life of Thomas Telford (dalam bahasa Inggeris). London: Institut Jurutera Awam. ISBN 978-0-7277-6116-3.
  • Troyano, Leonardo Fernández (2003). Bridge Engineering: A Global Perspective (dalam bahasa Inggeris). London: Thomas Telford. ISBN 978-0-7277-3215-6.

Pautan luar sunting