Jangan Tidur Lagi
Rencana ini perlu dikemas kini. |
Rancangan Jangan Tidur Lagi disiarkan di TV3 setiap Rabu jam 11.00 malam. Pengacaranya adalah Azwan Ali dan Adlin Aman Ramli.
Program rakaman 13 episod selama satu jam ini akan membincangkan pelbagai topik dalam suasana santai tetapi menghiburkan. Program ini menyajikan suasana sungguh ceria, menyeronokkan dan lebih bertenaga. Selain itu, ia juga adalah hiburan ringan yang turut menyelitkan unsur lucu, lawak jenaka dan usik-mengusik antara pengacara, tetamu dan penonton di studio.
Setiap episod disiarkan mengundang beberapa selebriti setiap minggu bagi memberi peluang kepada mereka meluahkan pendapat dan pandangan atas topik dan isu diutarakan pengacara. Ia juga adalah ruang mereka mempromosikan apa saja berkaitan diri serta kerjaya mereka. Tidak ketinggalan, mereka juga akan ditanya mengenai kehidupan peribadi mereka.
Turut diselitkan dalam program ini adalah topik atau pemerhatian pengacara berkenaan isu semasa, acara atau majlis besar, selain fakta menarik dunia. Pengacara juga akan berinteraksi dengan tetamu undangan dan juga penonton di studio bertanya mengenai pendapat mereka berkaitan topik dibincangkan dan semuanya ini turut disokong visual, keratan akhbar dan juga gambar. Pada akhir rancangan, pengacara akan menjemput penyanyi untuk membuat persembahan.
Antara topik yang bakal dibincangkan dalam program ini termasuklah filem, di sebalik tabir, sukan, muzik, isu semasa dalam dan luar negara, hobi, fesyen dan gaya hidup, sikap dan perangai, sains dan bermacam lagi. Antara segmen yang terdapat dalam program ini termasuklah segmen Apa Yang Dibaca, Jom Tonton, Jalan-Jalan - What to do, where to go, Apa Terjadi?, Investigate dan What’s on the net. Program ini juga diterajui Jamil Hassan, selaku penerbit.