Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu

Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (Jawi: جاوتنکواس تتڤ بهاس ملايو) merupakan sebuah lembaga kebahasaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan bertindak sebagai sebuah badan penasihat dalam hal-hal kebahasaan. Ia juga merupakan badan tertinggi bagi pihak Malaysia dalam hal-hal kerjasama kebahasaan pada peringkat negara serantau yang dinamakan sebagai Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM)[1]. Pengerusi bagi Jawatankuasa Tetap ini adalah Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.

Penubuhan dan bidang tugas sunting

Jawatankuasa Tetap ini ditubuhkan pada 23 Disember 1972 bagi melaksanakan hasrat yang terkandung dalam Pernyataan Bersama Indonesia-Malaysia[2] yang telah ditandatangani oleh Malaysia dan Indonesia pada 23 Mei 1972 di Jakarta, Indonesia[3].

Fungsi sunting

Jawatankuasa Tetap ini berfungsi sebagai badan induk dan daya penggerak bagi negara Malaysia dalam MABBIM. Ia juga menyelaraskan dan menyeragamkan penggunaan bahasa di ketiga-tiga negara anggotanya iaitu Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia. Ketua dan anggota perwakilan Malaysia ke Sidang MABBIM dipilih daripada kalangan ahli jawatankuasa ini[3].

Tugas sunting

Jawatankuasa Tetap ini bertindak merancang dan memantapkan bahasa Melayu dari segi sistem ejaan , istilah dan tatabahasa, dan membuat perakuan dan cadangan mengenai pengisian dan pelaksanaan dasar-dasar bahasa kepada Menteri Pendidikan Malaysia. Selain itu, ia juga menyusun serta menerbitkan beberapa pedoman dan panduan bahasa, antaranya termasuklah Pedoman Umum Ejaan Bahasa Melayu, Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Melayu, Panduan Penyusunan Kamus Istilah, dan Pedoman Transliterasi Huruf Arab ke Huruf Rumi[3]

Keanggotaan sunting

Ahli Jawatankuasa Tetap ini dilantik oleh Menteri Pendidikan Malaysia. Mereka terdiri daripada tokoh yang berwibawa dalam bidang kebahasaan atau mewakili institusi pengajian tinggi tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (khususnya badan kebahasaan), badan perundangan, badan korporat, Bahagian Pembangunan Kurikulum, dan Lembaga Peperiksaan Malaysia. Tempoh perkhidmatan mereka adalah 3 tahun.

Rujukan sunting

  1. ^ Universiti Kebangsaan Malaysia (27 Mac 2019). "Tahniah: Pelantikan Sebagai Ahli Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) Malaysia". Universiti Kebangsaan Malaysia. Dicapai pada 4 September 2020.
  2. ^ "Pernyataan Bersama Malaysia-Indonesia". Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 4 September 2020.
  3. ^ a b c "Pengenalan Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM)". Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 4 September 2020.