Jesus Christ

(Dilencongkan daripada Jesus)
Untuk melihat Yesus Kristus menurut pandangan Islam, sila ke halaman Nabi Isa a.s.

Jesus[3] atau dieja Yesus[4][b] (Yunani: Ἰησοῦς, Iesous; s. 4 SM sampai 30–33 M; Arab: يسوع; Ibrani: יֵשׁוּעַ) (kira-kira 4SM - 30/33TM), juga dirujuk sebagai Jesus dari Nazaret atau Jesus Kristus (Yesus Kristus[5])[4][c] merupakan seorang pendakwah untuk kaum Yahudi.[6] Baginda merupakan tokoh utama agama Kristian, agama terbesar di dunia dan juga dihormati oleh agama kedua di dunia iaitu Islam. Kebanyakan orang Kristian percaya baginda ialah jelmaan Tuhan Anak dan Mesias yang dinantikan (Kristus) sebagaimana yang diramalkan dalam Perjanjian Lama.[7][8] Manakala masyarakat Islam pula menganggap baginda sebagai utusan tuhan (Nabi) yang diwahyukan oleh Allah kepada kaum Yahudi.

Jesus Kristus
"Figure of Christ" lukisan Yesus Kristus, yang dicipta oleh pelukis Jerman Heinrich Hofmann pada tahun 1880-an.
Kelahiran25 Disember (masih diragui) kira-kira 4 atau 6 sebelum masihi
Hilang padaantara tahun ke-30 ke 33 Masihi
Taman Gethsemane, Jerusalem
Meninggal dunia30-33M
Yerusalem, Empayar Rom (Sekarang Bumi Palestin)
Sebab kematianPenyaliban
Nama lainYeshua Ha-Mashiach, Yasu' Al-Masih
Kampung asalNazaret, Galilea[2]
Ibu bapa
Dalam mozek abad ke-6 di Ravenna, Yesus digambarkan sebagai paderi dan raja Yunani-Rom – Pantokrator ditabalkan yang memakai pakaian diraja berwarna tirian ungu, dan membuat gerak isyarat salib.
Doa Bapa Kami dalam kaligrafi Arab

Kewujudan watak bernama Yesus dipersetujui hampir kesemua cendekiawan sejarah manusia. Sejarah dan penceritaan kehidupan Yesus terkandung dalam buku-buku injil, terutamanya empat buah Injil menurut kanun gereja dalam Perjanjian Baru kitab suci Kristian, iaitu Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes. Cendekiawan dalam bidang-bidang kajian alkitab dan sejarah bersetuju bahawa Yesus adalah guru Yahudi dari Galilea yang dianggap sebagai penyembuh, dibaptiskan oleh Yohanes Pembaptis (John the Baptist), dan mati disalib atas perintah Gabenor Rom, Pontius Pilatus disebabkan tuduhan hasutan terhadap Empayar Rom. [9] Namun, masih ada sebilangan kecil cendekiawan yang mempersoalkan kewujudan Yesus dalam sejarah. [10]

Pandangan-pandangan penganut agama Kristian terhadap Jesus, walaupun berlainan dan rumit, bertumpu kepada kepercayaan bahawa Jesus adalah Mesias atau Kristus yang dijanjikan dalam Perjanjian Lama, serta kepada Kebangkitannya selepas disalibkan. Kebanyakan orang Kristian mempercayai bahawa Jesus adalah Anak Tuhan yang dihantar untuk memberikan penyelamatan dan pendamaian dengan Tuhan melalui penebusan dosa insani. Kebanyakan orang Kristian mendukung kepercayaan Tritunggal dan mempercayai bahawa Yesus adalah jelmaan Tuhan, manakala mereka yang tidak mempercayai Tritunggal memegang pelbagai tafsiran yang lain mengenai ketuhanan Jesus. Bidang kajian mengenai persoalan-persoalan ini dikenali sebagai Kristologi. Kepercayaan-kepercayaan lain yang dikongsi oleh kebanyakan orang Kristian termasuk Kelahiran dari Perawan, Kenaikan ke Syurga, dan Kedatangan Kedua kali pada masa hadapan. Kebanyakan orang Kristian juga mempercayai bahawa Jesus melakukan mukjizat dan menunaikan ramalan Alkitab.

Etimologi

sunting

Nama "Yesus" berasal dari pembelandaan nama Jesus atau Jezus pinjaman nama Latin Iesus yang menyerap lanjut dari nama Yunani Ἰησοῦς Iesous; bentuk ini menerjemahan nama Ibrani ישוע Yeshua bentuk lain varian יהושע Yehoshua yang merupakan nama sebelumnya.[11] Bentuk nama ini mula dimunculkan melalui nama "Iesu" (ejaan dalam teks asal: Ieſů Chriſti) dalam penerjemahan Kitab Perjanjian Baharu ("Testamentvm Baharv") oleh Albert Corneliszoon Ruyl, petugas Syarikat Hindia Timur Belanda pada 1629 sebelum disempurnakan sebagai "Yesus" oleh H. C. Klinkert dan M. Leijdekker pada abad ke-18.[12] Nama Yesua nampaknya telah digunakan di Yudea pada masa kelahiran Yesus.  Karya nukilan sejarawan Flavius Josephus dalam bahasa Yunani Koine sezaman masa kitab Perjanjian Baru menyebut sekurang-kurangnya dua puluh orang yang berbeza dengan nama Yesus (Ἰησοῦς).  Etimologi nama Yesus dalam Konteks Perjanjian Baru secara amnya disampaikan sebagai "Yahweh adalah keselamatan".

Terjemahan digunakan masyarakat Kristian Baba Nyonya Negeri-Negeri Selat pernah menggunakan nama "Isa al-Masih" sepertimana tokoh dikenali umat Islam tetapi segera digugurkan berikutan tamat Perang Dunia Kedua lagi-lagi kerana dilihat menyanggah kefahaman teologi Kristian terhadap Yesus; penggunaan nama "Isa" itu sendiri didukung William Shellabear yang mahu menerjemahkan semula seluruh isi kitab menggunakan dialek-dialek Melayu Melaka dan Johor yang dianggap lebih tulen daripada terjemahan sedia ada oleh Klinkert dan Leijdekker.[13]

Orang Yahudi biasa pada zaman Yesus hanya mempunyai satu nama, kadang-kadang ditambah dengan nama bapanya atau kampung halamannya. Oleh itu, dalam Perjanjian Baru, Yesus biasanya dirujuk sebagai'

Senarai Nama-nama Yesus dalam Alkitab
Gelaran Yesus di Alkitab Ayat
Yesus orang Nasaret Markus 1:9
Yesus anak Daud Markus 10:47
tukang kayu, anak Lelaki Maria, saudara Yakobus, Yoses, Yudas dan Simon Markus 6:3
anak tukang kayu Matius 13:55
anak Yusuf Lukas 4:22
Yesus anak Yusuf dari Nazaret Yohannes 1:45
Yesus Raja orang Yahudi Yohannes 19:19

Sejak permulaan agama Kristian, orang Kristian biasanya merujuk kepada Yesus sebagai "Yesus Kristus".  Perkataan Kristus (Kristus dalam bahasa Inggeris) berasal dari perkataan Yunani Χριστός (Christos), yang merupakan terjemahan perkataan Ibrani מָששִׁיחַ (Meshiakh), yang bermaksud yang "diurapi" dan biasanya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai "Messiah" ("Messiah" dalam bahasa Indonesia).  Orang Kristian menetapkan Yesus sebagai Kristus kerana mereka percaya bahawa Yesus adalah Mesias yang dijangkakan, yang dinubuatkan dalam Kitab Ibrani dan Perjanjian Lama (John 4:25–26). Dalam penggunaan pasca-alkitabiah, Kristus dilihat sebagai nama— satu bahagian "Yesus Kristus"—tetapi pada asalnya adalah tajuk.  Istilah "Kristian" (bermaksud "seseorang yang terikat dengan kesetiaan kepada orang Kristus" atau hanya "pengikut Kristus" sahaja) telah digunakan sejak abad pertama.

Kehidupan dan ajaran, sebagaimana yang dikisahkan dalam Perjanjian Baru

sunting

Oleh sebab tidak banyak daripada perincian-perincian kehidupan Yesus dapat ditentusahkan secara berasingan, adalah sukar untuk mengukur ketepatan sejarah tentang pengisahan dalam kitab Bible (Alkitab). Keempat-empat injil menurut kanun gereja merupakan sumber maklumat utama bagi kisah Kristian yang tradisional mengenai kehidupan Yesus.

Salasilah dan keluarga

sunting
 
Yesus dan Maria: Madonna Hitam dari Częstochowa

Daripada keempat-empat injil, hanya injil Matius dan Lukas mengisahkan tentang salasilah Yesus. Pengisahan oleh Matius memberikan nasab bapa melalui bapa angkatnya, Yusuf; manakala pengisahan Lukas pula memberikan nasab bapa, atau menurut lagi satu tafsiran, nasab ibunya, Maria.[14] Kedua-dua pemerian mengesan nasab Yesus sehingga Raja Daud dan dari situ, ke Abraham. Kedua-dua senarai itu adalah serupa antara Abraham dan Daud, tetapi berbeza antara Daud dan Yusuf. Matius bermula dengan Salamo dan menerusi raja-raja Yehuda, berakhir dengan Zedekia, raja terakhir apabila Babilonia menaklukkan Yehuda. Oleh itu, Matius menunjukkan bahawa Yesus ialah pewaris takhta Israel yang sah. Salasilah Lukas adalah lebih panjang daripada salasilah Matius; ia bermula dengan Adam dan memberikan lebih banyak nama antara Daud dan Yesus.

Yusuf muncul hanya dalam pengisahan sewaktu Yesus masih kanak-kanak. Ketika Yesus menyerahkan ibunya Maria kepada jagaan pengikut-pengikutnya yang dikasihi semasa dia dihukum salib (John 19:25–27), kemungkinan Yusuf telah meninggal dunia semenjak Yesus memulai pengkhutbahan baginda. [15] Tiga buku kitab dalam Perjanjian Baru, iaitu Injil menurut Matius, Injil menurut Markus, dan Surat kepada orang Galatia, memperkisahkan tentang saudara-saudara Yesus, termasuk mungkin adik-beradiknya. [16] Perkataan Yunani, adelphos, di dalam ayat-ayat ini, sering diterjemahkan sebagai anak kandung lelaki, yang boleh juga merujuk kepada mana-mana saudara terdekat. Maka kebanyakan orang Katolik dan Ortodoks Timur menterjemahkan perkataan ini sebagai saudara atau saudara sepupu dalam konteks ini (lihat keperawanan abadi Maria).

Kelahiran dan kehidupan awal

sunting
 
Gembala-gembala memuja, Matthias Stom, abad ke-17

Menurut injil Matius dan Lukas, Yesus dilahirkan di Bethlehem, Yehuda, oleh Maria, seorang yang masih perawan, melalui mukjizat Roh Kudus. Injil menurut Lukas mengisahkan tentang malaikat Gabriel yang mengunjungi Maria untuk memberitakan bahawa dia telah terpilih untuk melahirkan Anak Allah (Luke 1:26–38). Menurut injil Lukas, ketika Maria sarat mengandung, dia dan Yusuf membuat perjalanan dari Nazareth ke kampung nenek moyang Yusuf di Bethlehem untuk menjalani pembancian dan pendaftaran diri, sebagaimana yang diperintahkan Raja Roma, Augustus. Ketika di situ, Maria melahirkan Yesus, dan pasangan itu terpaksa menggunakan palung di kandang sebagai pengganti untuk katil bayi kerana tidak ada lagi bilik untuk mereka di rumah penginapan kota itu (Luke 2:1–7). Menurut Lukas, malaikat mengumumkan kelahiran Yesus kepada gembala-gembala yang datang untuk melihat bayi baru dan kemudian mengumumkan apa yang disaksikan mereka ke seluruh kawasan (lihat Hari Natal Pertama). Matius juga mengisahkan tentang Tiga orang Majusi yang membawa hadiah kepada bayi Yesus selepas mengikut sebuah bintang yang dipercayai mereka sebagai tanda kelahiran Mesias atau Raja Orang-orang Yahudi, (Matthew 2:1-12). Matius juga menceritakan tentang Raja Herodes Agung, yang setelah dia mengetahui tentang kelahiran Yesus, iaitu Mesias yang diramalkan, menitahkan untuk semua bayi lelaki berumur di bawah 2 tahun di Bethlehem untuk dibunuh. Akan tetapi, Yusuf diberi amaran awal oleh malaikat, maka keluarganya melarikan diri ke Mesir, dan kembali semula ke Nazareth.

Rumah Yesus semasa kanak-kanak yang dinyatakan dalam alkitab berada di Nazareth di Galilea. Menurut Lukas, Yusuf dan Maria tinggal di Nazareth sebelum kelahiran Yesus dan kembali ke sana selepasnya. Matius pula mengatakan bahawa keluarga Yesus masih tinggal di Mesir dan hanya berpindah ke Nazareth selepas kematian Herodes untuk mengelakkan kehidupan di bawah kuasa Archelaus, anak dan pewaris Herodes Agung. (Matthew 2:19-23).

Selain daripada pelarian ke Mesir dan satu perjalanan pendek ke Tyre dan Sidon, semua peristiwa yang lain dalam Injil berlaku di Israel kuno. [17] Mengikut Lukas (Luke 3:23Template:Bibleverse with invalid book), Yesus berumur "sekitar tiga puluh tahun" ketika beliau dibaptiskan. Peristiwa tunggal yang disebut antara masa bayi dan masa pembaptisan dalam mana-mana Injil berkanun ialah dalam Pencarian dalam Kuil oleh Lukas (Luke 2:41–52). Dalam injil Markus, Yesus ialah seorang tukang kayu (Mark 6:3Template:Bibleverse with invalid book), manakala dalam injil Matius, beliau adalah anak tukang kayu (Matthew 13:55Template:Bibleverse with invalid book). Kedua-dua injil itu menunjukkan bahawa Yesus menghabiskan sebahagian masanya untuk berlatih pertukangan kayu dengan ayahnya.

Pembaptisan dan Godaan

sunting
 
Godaan Kristus, Ary Scheffer, abad ke-19.

Injil Markus bermula dengan Pembaptisan Yesus oleh Yohanes Pembaptis yang diperihalkan oleh ahli pengkaji alkitab sebagai permulaan pengkhutbahan Yesus ke orang ramai. Menurut Markus, Yesus datang ke Sungai Jordan di mana Yohanes Pembaptis sedang berkhutbah dan membaptiskan orang ramai. Injil Matius mengembangkan penceritaan peristiwa ini dengan memerihalkan percubaan Yohanes Pembaptis untuk menolak permintaan Yesus untuk dibaptiskan, dengan mengatakan bahawa Yesuslah yang harus membaptiskan Yohanes. Bagaimanapun, Yesus mendesak dan berkata bahawa ini harus terjadi untuk memenuhi ramalan. (Matthew 3:15). Selepas Yesus dibaptiskan dan keluar dari air sungai, Markus mengisahkan bahawa Yesus "melihat langit terbuka lantas Roh Allah turun bak merpati. Kemudian, suatu suara dari syurga berkata: "Kamu ialah AnakKu yang Aku kasihi, kepadamu Aku berkenan." (Mark 1:10–11).

Selepas pembaptisannya, menurut Matius, Roh Kudus memimpin Yesus ke gurun di mana beliau berpuasa selama 40 hari dan 40 malam. Semasa ini, syaitan menjumpainya dan menggoda Yesus untuk menunjukkan kuasa-kuasanya sebagai bukti bahawa beliau adalah benar-benar Anak Allah, walaupun setiap godaan ditolak oleh Yesus dengan suatu petikan alkitab daripada Kitab Ulangan dalam Perjanjian Lama. Pada keseluruhannya, Yesus digoda tiga kali. Injil-injil menyatakan bahawa selepas kegagalan syaitan menggodai Yesus, syaitan meninggalkannya dan malaikat datang melayani Yesus (Matthew 4:1-11).

Penceritaan tentang Pembaptisan dan Godaan terdapat dalam injil-injil Sinoptik, tetapi tidak terdapat dalam injil menurut Yohanes.

Tempoh Pengkhutbahan Yesus

sunting
 
Khutbah di atas Gunung, Carl Heinrich Bloch, abad ke-19
 
Yehuda (Judæa) dan Galilea (Galilee) pada zaman Yesus

Injil-injil menyatakan bahawa Yesus, sebagai Mesias, telah dihantar untuk "mengorbankan nyawanya sebagai tebusan untuk banyak orang" dan untuk "memberitakan khabar baik tentang Kerajaan Allah ". [18] Pada sepanjang tempoh pengkhutbahannya, Yesus dikatakan melakukan berbagai-bagai mukjizat, termasuk menyembuhkan pesakit, menghalau iblis, berjalan di atas air, mengubahkan air menjadi wain, dan menghidupkan semula banyak orang, umpamanya Lazarus (John 11:1–44).

Injil Yohanes mengisahkan tentang tiga perayaan Paskah Yahudi yang berasingan sepanjang tempoh pengkhutbahan Yesus. Ini menunjukkan bahawa Yesus berkhutbah selama tiga tahun, walaupun sesetengah tafsiran Injil Sinoptik mencadangkan hanya setahun. Tumpuan pengkhutbahannya adalah kepada pengikut-pengikutnya yang paling rapat, iaitu dua belas rasul/murid Yesus, walaupun ramai yang lain juga dianggap sebagai pengikutnya. Yesus berkhutbah bahawa hari kiamat akan datang dengan mengejut dan oleh itu, beliau memanggil pengikut-pengikut agar sentiasa berwaspada dan beriman.

Pada kemuncak tempoh pengkhutbahannya, Yesus menarik perhatian beribu-ribu orang, khususnya di kawasan-kawasan Galilea dan Perea (masing-masing di Israel dan Jordan kini). Sesetengah ajaran Yesus yang paling masyhur datang dari Khutbah di atas Gunung yang mengandungi Ucapan Berbahagialah dan Doa Tuhan. Yesus sering menggunakan cerita ibarat, seperti Perumpamaan anak yang kesesatan, dan Perumpamaan si penabur benih. Ajaran-ajarannya menumpukan kepada kasih sayang dan pengorbanan diri tanpa syarat. Yesus berkhutbah tentang berbuat amal dan kerendahan hati, pengampunan dosa, iman dan memalingkan pipi yang lain dan menunjukkan kasih sayang biarpun ke musuh sendiri. [19]

Yesus sering bertemu dengan orang-orang terbuang, seperti publicani (pemungut-pemungut cukai empayar yang dibenci kerana memeras wang), termasuk muridnya Matius; apabila Farisi membantah tentang pertemuan dengan orang-orang dosa berbanding dengan orang-orang yang salih, Yesus menjawab bahawa hanya orang yang sakit memerlukan pakar perubatan, bukannya orang-orang yang sihat (Matthew 9:9–13). Menurut Lukas dan Yohanes, Yesus juga berusaha untuk berkhutbah kepada sekumpulan Samaritan yang menganuti sejenis bentuk agama Israel yang berbeza. Ini dibayangkan dalam khutbahnya kepada kumpulan Samaritan dari Sychar, dan menyebabkan mereka mempercayai Yesus. (John 4:1–42).

Penangkapan, perbicaraan, dan wafat

sunting
 
Ecce Homo (Lihatlah Orang Itu!), Antonio Ciseri, abad ke-19: Pontius Pilatus menunjukkan ke orang ramai yang memerhati akan Yesus yang disengsarakan: motif yang amat popular dalam seni Kristian.

Menurut injil-injil, Yesus datang dengan pengikut-pengikutnya ke Yerusalem semasa perayaan Paskah Yahudi dan disambut oleh ramai orang yang bersorak, "Hosanna! Teberkatilah Dia yang datang atas nama Tuhan! Teberkatilah Raja Israel! [20] Selepas kemasukannya dengan jaya, menurut injil-injil sinoptik, Yesus mengakibatkan kekacauan di Bait Suci Herodes apabila beliau menterbalikkan meja-meja pengurup wang yang berniaga di sana dan mendakwa bahawa mereka telah menjadikan Bait itu sebagai "sarang perompak" (Mark 11:17). Pada lewat minggu itu, menurut injil-injil sinoptik, Yesus merayakan makan Paskah dengan murid-muridnya (kemudiannya dikenali sebagai Santapan Terakhir dan semasa itu, meramalkan pengkhianatan oleh salah seorang muridnya dan juga pelaksanaan hukuman mati ke atasnya. Dalam upacara tersebut, beliau mengambil roti dan wain dan berkata: "ini adalah tubuhku yang Kuberikan kepadamu" dan "cawan ini adalah perjanjian baru oleh darahKu, yang ditumpahkan bagi kamu", dan mengarahkan mereka "melakukan ini sebagai peringatan kepadaKu" (Luke 22:7-20). Selepas makan lewat malam, Yesus dan murid-muridnya pergi bersembahyang di Taman Gethsemane.

Semasa di taman itu, Yesus ditangkap oleh askar-askar Rom atas perintah Sanhedrin dan pendeta besar, Caiaphas. [21] Penangkapan itu dilakukan secara rahsia pada waktu malam untuk mengelakkan rusuhan kerana Yesus telah menjadi terkenal dengan orang ramai (Mark 14:2). Menurut injil-injil sinoptik, Yudas Iskariot, salah satu muridnya, mengkhianati Yesus dengan mengenal pastinya kepada pengawal-pengawal dengan ciuman salam. Seorang murid menggunakan pedang untuk menyerang salah seorang pengawal dan memotong telinganya. Menurut Lukas, Yesus menyembuhkan pengawal itu dengan segera. [22] Yesus memarahi muridnya itu, dan menyatakan "semua mereka yang mengambil pedang akan mati dengan pedang" (Matthew 26:52). Selepas penangkapannya, murid-murid Yesus menyembunyikan diri mereka.

 
Penyaliban, Diego Velázquez, abad ke-17

Semasa Perbicaraan Yesus oleh Sanhedrin, pendeta-pendeta besar dan orang-orang tua menanyakan Yesus, "Adakah kamu Anak Allah?" dan apabila Yesus menjawab "Sebegitulah kata kalian", mereka menghukumnya sebab menistakan nama Allah (Luke 22:70–71). Pendeta besar kemudian menyerahkan Yesus kepada Gabernor Rom Pontius Pilatus, berdasarkan tuduhan hasutan kerana menggelar dirinya Raja Orang-orang Yahudi. [23] Semasa di hadapan Pilatus, Yesus ditanyakan, "Adakah kamu raja orang-orang Yahudi?" Jesus menjawab, "Adalah seperti yang kamu katakan." Menurut injil-injil, Pilatus sendiri berasa Yesus tidak bersalah atas apa-apa jenayah terhadap orang-orang Rom dan oleh sebab terdapat adat pada perayaan Paskah untuk gabenor Rom membebaskan seorang banduan (suatu adat yang tidak direkodkan di luar injil-injil), Pilatus menawarkan orang ramai pilihan antara Yesus dari Nazareth dan seorang pemberontak bernama Barabbas. Orang ramai memilih untuk Barabbas dibebaskan dan Yesus disalib. Pilatus mencuci tangannya untuk menunjukkan bahawa dia sendiri tidak terlibat dalam ketidakadilan keputusan ini (Matthew 27:11–26).

Menurut keempat-empat injil, Yesus meninggal dunia sebelum lewat petang. Seorang orang Yehuda yang kaya, Joseph dari Arimathea, dan menurut injil Markus dan Lukas merupakan seorang ahli Sanhedrin, memperoleh kebenaran Pilatus untuk mengambil mayat Yesus dan dimakamkan. [24] Menurut injil Yohanes, Joseph disertai oleh Nicodemus dalam pengebumian Jesus, dan ini juga ditulis dalam bahagian-bahagian lain dalam injil Yohanes (John 19:38–42). Ketiga-tiga Injil Sinoptik mengisahkan gempa bumi dan kegelapan langit dari pukul dua belas sehingga pukul tiga pada petang itu.

Kebangkitan Yesus dan Kenaikan ke Langit

sunting
 
Christ en majesté, Matthias Grünewald, abad ke-16: Kebangkitan Yesus

Menurut injil-injil, Yesus dibangkitkan semula pada hari ketiga selepas penyaliban. [25] Injil Matius menyatakan bahawa malaikat muncul dekat makam Yesus dan mengumumkan kebangkitan Yesus kepada wanita-wanita yang telah tiba untuk menyapukan minyak pada badannya. Menurut Lukas, terdapat dua malaikat, dan menurut Markus, adalah seorang pemuda yang berpakaian putih. Markus menyatakan bahawa pada pagi kebangkitan, Yesus bertemu buat pertama kali dengan Maria Magdalena (Mark 16:9). Yohanes mengisahkan bahawa apabila Maria melihat ke dalam makam, dua malaikat menanyakannya mengapa dia sedang menangis; dan apabila dia menoleh, dia gagal mengenal Yesus pada mula-mulanya sehingga Yesus memanggil namanya. (John 20:11-18).

Buku Kisah Para Rasul menyatakan bahawa Yesus muncul di hadapan sebilangan orang di pelbagai tempat selama empat puluh hari kemudian. Beberapa jam selepas kebangkitannya, Yesus muncul di hadapan dua orang pengembara dalam perjalanan menuju ke Emmaus. Kepada pengikut-pengikutnya yang berkumpul, beliau menunjukkan diri pada petang selepas kebangkitannya. Walaupun pengkhutbahannya sendiri adalah khusus untuk orang-orang Yahudi, Yesus menyuruh pengikut-pengikutnya untuk berkhutbah kepada orang-orang bukan Yahudi dalam Tugasan Agung dan naik ke syurga sementara suatu awan menyembunyikannya daripada penglihatan. Menurut Kisah Para Rasul, Paul dari Tarsus juga nampak Yesus semasa mengalami peristiwa di Jalan ke Damascus. Yesus berjanji akan datang semula lagi untuk menunaikan ramalan Mesias yang tinggal. [26]

Yesus sebagai tokoh sejarah

sunting

Cendekiawan-cendekiawan menggunakan kaedah sejarah yang kritis untuk membina semula dan mengembangkan sejarah kehidupan dan ajaran Yesus. Ini harus dibezakan dengan Yesus dalam alkitab yang bersumberkan pembacaan teologi teks-teks injil. Sebilangan cendekiawan mempersoalkan kesejarahan Yesus, iaitu kewujudan Yesus sebenar-benar dalam sejarah. [10]

Binaan semula sejarah dan arkeologi kehidupan harian Yesus

sunting

Pada umumnya, ahli-ahli sejarah sekular menggambarkan Yesus sebagai seorang ketua gerakan agama Yahudi yang mengembara dari satu tempat ke satu tempat untuk berkhutbah.[27]

Latar sosial

sunting

Kebanyakan sejarahwan sependapat bahawa Injil-injil ditulis tidak lama sebelum atau selepas kemusnahan Bait suci Yahudi pada tahun 70TM oleh orang-orang Rom. Hasil kajian kisah-kisah dalam Kitab Perjanjian lama membolehkan sejarahwan mentafsir lebih lanjut akan latar belakang tentang pengisahan tersebut. Ramai orang telah cuba untuk membina semula kehidupan Yesus dari sudut politik, budaya dan agama yang sezaman di Israel. Ini termasuk perbezaan-perbezaan antara Galilea dan Yehuda; kepelbagaian mazhab Yahudi seperti Farisi, Sadducee, Essene dan Zilot;[28] dan juga dari segi perselisihan antara orang-orang Yahudi dengan orang-orang Rom.

Perkaitan dengan Kumpulan-kumpulan Agama tertentu

sunting

Injil-injil merekodkan bahawa Yesus berasal dari Nazareth, tetapi maksud pernyataan itu samar-samar.[29] Sesetengah cendekiawan menegaskan bahawa Yesus adalah seorang Farisi.[30] Pada zaman Yesus, terdapat dua aliran fahaman yang utama antara orang-orang Farisi iaitu Mazhab Hillel dan Mazhab Shammai. Teguran Yesus tentang kemunafikan mungkin ditujukan kepada ahli-ahli mazhab Shammai yang nampak lebih tegas ajarannya, walaupun Yesus masih bersetuju dengan ajaran-ajaran mereka tentang perceraian (Mark 10:1–12).[31] Yesus juga mengulas tentang ajaran-ajaran Mazhab Hillel (Talmud Babylon, Shabbat 31a) mengenai hukum yang terutama (Mark 12:28–34) dan aturan emas (Matt 7:12).

Cendekiawan-cendekiawan lain berpandangan bahawa Yesus seorang pengikut Essene, satu mazhab agama Yahudi yang tidak disebut dalam Perjanjian Baru.[32] Terdapat juga cendekiawan-cendekiawan yang menganggap Yesus seorang ketua mazhab hari kiamat yang mungkin berkait dengan Yohanes Pembaptis,[33] dan kemudiannya menjadi agama Kristian awal selepas Tugasan Agung untuk menyebarkan ajaran-ajarannya kepada orang-orang bukan Yahudi.[34] Ini adalah berlainan dengan tugasan Yesus yang lebih awal yang diberikan kepada keduabelasan rasulnya yang dihadkan kepada "domba sesat Israel"; tidak termasuk orang-orang bukan Yahudi atau orang-orang Samaritan (Matt 10).

Nama dan gelaran

sunting

Salah satu kajian yang menimbulkan banyak minat adalah kajian tentang nama-nama dan gelaran-gelaran yang diberikan kepada Yesus.

Menurut pandangan ahli-ahli sejarah yang paling kritis, Yesus mungkin tinggal di Galilea hampir sepanjang hayatnya dan beliau mungkin bertutur dalam bahasa Aramia dan Ibrani. Nama "Yesus" ialah transliterasi bahasa Melayu daripada bahasa Latin (Iēsus) yang pula berasal daripada nama Yunani (Ιησους). Oleh sebab kebanyakan pengkaji menganggap bahawa Yesus adalah orang Yahudi yang bertutur dalam bahasa Aramia dan tinggal di Galilea pada sekitar 30 Masihi, kemungkinan besar beliau tidak mempunyai nama peribadi Yunani. Kajian kitab Septuagin yang mendalam menunjukkan bahawa perkataan Yunani itu merupakan transliterasi nama bahasa Ibrani Yehoshua (יהושוע) (Yeho - Yahweh [ialah] shua` - bantuan/penyelamatan) atau singkatan perkataan Ibrani/Aramia, Yeshua atau Jeshua (ישוע). Oleh itu, cendekiawan-cendekiawan berpendapat kemungkinan besar beliau dipanggil dengan nama-nama sama ada Yehoshua, Yeshua, atau Jeshua semasa hayatnya di bumi.[35]

Kristus (yang merupakan gelaran dan bukan sebahagian nama Yesus) ialah pemelayuan istilah Yunani untuk Mesias, dan secara harfiah bermaksud "orang yang diurapi minyak". Ahli-ahli sejarah memperdebatkan tentang maksud gelaran ini pada masa hidup Jesus; sesetengah ahli sejarah mencadangkan bahawa gelaran-gelaran yang digunakan untuk Jesus dalam Perjanjian Baru (umpamanya Tuhan, Anak Manusia, dan Anak Allah) mempunyai maksud-maksud yang amat berbeza pada abad pertama dengan maksud-maksudnya pada hari ini: lihat Nama-nama dan gelaran-gelaran Yesus.

Kesejarahan teks

sunting

Kebanyakan pakar sejarah moden yang mengkaji alkitab menganggap bahawa kitab-kitab yang mengisahkan Yesus pada asalnya disebarkan secara lisan, dan tidak ditulis sehingga beberapa dekad selepas penyalibannya. Teks-teks terawal yang masih wujud adalah surat-surat Paulus yang lazimnya dianggap nukilan pertengahan abad pertama. Paulus menulis bahawa sungguhpun dia hanya melihat Yesus dalam visi-visinya, akan tetapi penglihatan ini datangnya dari Tuhan Yesus sendirinya (Gal 1:11–12). Teks-teks terawal yang lebih perinci dan yang masih wujud ialah keempat-empat injil dalam Perjanjian Baru. Teks-teks ini yang merupakan sebahagian daripada buku kitab yang dikanunkan gereja telah dianalisa dengan lebih teliti dan diterimapakai oleh lingkungan umat Kristian berbanding sumber-sumber maklumat yang lain.

Banyak lagi teks-teks awal Kristian yang memperincikan peristiwa-peristiwa dalam hayat Jesus dan ajaran-ajarannya, walaupun teks-teks itu tidak dimasukkan ke dalam alkitab ketika pengkanunan buku-buku kitab gereja, kerana:

  • teks-teks tersebut dipercayai adalah pseudepigrafi yang tidak diilham Allah; atau
  • penulisan siap terlalu lama selepas kematian Jesus,

manakala yang lain disekat kerana kandungannya bercanggah dengan kepercayaan ortodoks Kristian. Penyusunan alkitab mengambil masa beberapa abad untuk memutuskan apakah yang harus menjadi sebahagian alkitab dan apa yang bukan. Contohnya, pada peringkat awal pembukuan, buku kitab Wahyu tidak dimasukkan ke dalam kitab, sedangkan buku kitab Gembala dari Hermas dimasukkan.

Buku-buku yang tidak termasuk dalam senarai terakhir kini dikenali sebagai Apokrifa Perjanjian Baru, di antaranya Injil Tomas, sebuah himpunan logia tanpa rangka naratif — frasa-frasa dan pepatah-pepatah yang diperkatakan Yesus — yang hanya dijumpai semula pada abad ke-20. Karya-karya apokrifa lain yang penting dan yang amat mempengaruhi pembentukan kepercayaan-kepercayaan Kristian tradisional termasuklah Wahyu Petrus, Injil menurut Yakobus, Injil Kanak-kanak menurut Tomas, dan Kisah Petrus. Sebilangan tradisi Kristian (seperti Selendang Veronica dan Maria diangkat ke Syurga) juga tidak didapati dalam injil-injil menurut kanun gereja akan tetapi terdapat dalam karya-karya ini serta karya-karya apokrifa yang lain.

Teks-teks awal yang mungkin

sunting

Sesetengah teks lebih awal yang mempunyai maklumat sejarah atau mitos mengenai Yesus diduga wujud sebelum injil-injil,[36] walaupun teks ini belum dapat ditemui. Berdasarkan persamaan dan perbezaan yang luar biasa (lihat masalah sinoptik) antara Injil-injil Sinoptik — Matius, Markus dan Lukas yang merupakan injil-injil pertama dikanunkan gereja — banyak cendekiawan alkitab mencadangkan bahawa tradisi lisan dan logia (seperti Injil menurut Tomas dan teori dokumen Q[37] ) mungkin pada mula-mulanya memainkan peranan yang kuat dalam menyampaikan cerita-cerita mengenai Yesus dan mungkin memberi ilham kepada sebahagian Injil-injil Sinoptik.

Khususnya, banyak cendekiawan mempercayai bahawa dokumen Q dan Injil Markus merupakan dua sumber yang digunakan untuk injil-injil Matius dan Lukas; walau bagaimanapun, teori-teori yang lain seperti hipotesis Augustine lebih lama mempengaruhi sesetengah cendekiawan-cendekiawan Bible. Lagi sebuah dokumen teori ialah Injil Petanda yang dipercayai merupakan salah satu sumber bagi Injil Yohanes.[37]

Persoalan kebolehpercayaan

sunting

Diakibatkan oleh lompang selama mungkin banyak dekad antara waktu penulisan Gospel-gospel dan peristiwa-peristiwa yang diperihalkannya, ketepatan kesemua teks-teks awal yang menuntut kewujudan Jesus atau perincian hayatnya telah dipertikaikan oleh berbagai-bagai pihak. Sebagai tradisi, pengarang-pengarang Gospel dianggap menyaksikan peristiwa-peristiwa yang diperihalkan dengan mata sendiri. Selepas cerita-cerita lisan yang asal telah ditulis, ia ditranskripsikan dan kemudian diterjemahkan kepada bahasa-bahasa yang lain. Banyak ahli sejarah Bible telah menjawab tuntutan ketidakbolehpercayaan pemerian gospel dengan menunjukkan bahawa kesemua dokumentasi sejarah seringnya adalah bersifat tidak berkecuali serta tidak asli, dan biasanya ditulis banyak dekad selepas peristiwa yang diperihalkan.

Zaman Kesedaran dan Revolusi Saintifik telah menyebabkan keraguan tentang ketepatan sejarah teks gospel-gospel ini. Walaupun sesetengah cendekiawan kritis, termasuk ahli-ahli arkeologi, masih meneruskan penggunaannya sebagai rujukan dalam kajian sejarah Timur Dekat kuno, [38] yang lain menganggap teks-teks ini sebagai dokumen-dokumen kebudayaan serta kesusasteraan. Secara umumnya, mereka menganggap teks-teks ini sebagai sebahagian genre sastera yang dipanggil hagiografi, iaitu pemerian tentang seorang tokoh suci yang dianggap sebagai mewakili ideal moral dan ketuhanan. Hagiografi mempunyai tujuan utama untuk mengagungkan agama, dengan contoh yang ditunjukkan oleh seorang tokoh suci yang sempurna merupakan tumpuan utamanya.

Sesetengah orang mengatakan bahawa pemerian Gospel bukan sahaja tidak objektif tetapi juga tidak tepat kerana karya-karya itu ditulis atau disusun oleh pengikut-pengikut dan kelihatan hanya menggambarkan pandangan yang positif dan ideal tentang Jesus, sedangkan yang lain menunjukkan kekurangan sumber-sumber bukan Kristian sehingga Josephus pada tahun 93 Masihi. Mereka yang menyokong pandangan naturalis terhadap sejarah umumnya tidak mempercayai campur tangan ketuhanan atau mukjizad seperti kebangkitan Jesus yang disebut dalam Gospel-gospel. Salah satu kaedah yang digunakan untuk mengukur ketepatan fakta cerita di dalam gospel-gospel dikenali sebagai "kriteria rasa malu" yang menganggap bahawa cerita mengenai peristiwa-peristiwa yang mempunyai aspek-aspek rasa malu (seperti penafian Peter terhadap Jesus, atau pelarian hawari-hawari selepas penangkapannya) mungkin tidak akan dimasukkan jika pemerian-pemerian itu tidak benar.

Pengaruh luar terhadap perkembangan gospel

sunting
 
Mozek Vatican (abad ke-3): Sol Invictus

Banyak cendekiawan, umpamanya Michael Grant, tidak mengesan persamaan yang penting antara mitos pagan dan agama Kristian. Grant menyatakan dalam bukunya, Jesus: An Historian's Review of the Gospels (Jesus: Ulasan Ahli Sejarah mengenai Gospel-gospel) bahawa "agama Yahudi merupakan suatu agama yang mana doktrin-doktrin kematian dan kelahiran semula, serta dewa-dewa mitos, kelihatan adalah perkara-perkara asing bagi mereka sehingga kemunculan pemalsuan ini adalah amat susah untuk dipercayai." [39]

Bagaimanapun, sesetengah cendekiawan mempercayai bahawa pemerian gospel tentang Jesus tidak mempunyai atau tidak banyak mempunyai asas sejarah. Sekurang-kurang pada sebahagiannya, ini adalah disebabkan oleh banyak persamaan yang diperhatikan mereka antara cerita-cerita mengenai Jesus dengan mitos-mitos yang lebih lama mengenai dewa-dewa pagan seperti Mithras, Apollo, Attis, Horus dan Osiris-Dionysus. Ini telah menyebabkan dugaan-dugaan bahawa mitos-mitos pagan telah diterima oleh sesetengah pengarang dalam pemerian awal mereka tentang Jesus untuk membentuk asimilasi dalam agama Kristian. Sebilangan kecil seperti Earl Doherty memutarbelitkan konsep ini dengan mencadangkan bahawa gospel-gospel sebenarnya merupakan usaha penulisan semula mitos-mitos yang lebih lama dan tidak berdasarkan seorang tokoh sejarah. Walaupun kaitan-kaitan ini telah dipertikaikan oleh banyak orang, adalah benar bahawa banyak unsur cerita-cerita tentang Jesus sebagaimana yang dikisahkan oleh Gospel-gospel mempunyai persamaan dengan mitologi pagan, di mana mukjizat-mukjizat seperti kelahiran dara amat dikenali. Sesetengah penulis Kristian seperti Justin Martyr dan C.S. Lewis mempertahankan dakwaan ini dengan mengatakan bahawa mitos-mitos itu dicipta oleh orang-orang pagan kuno yang mempunyai pengetahuan lebih dahulu yang kabur dan tidak tepat tentang Gospel-gospel; dengan kata yang lain, orang-orang pagan memberikan sifat-sifat ramalan terhadap Christ yang ditunjukkan di dalam Torah Yahudi dan Nabi-nabi kepada dewa-dewa mereka. Sebenarnya, Lewis menulis bahawa agama Kristian akan kurang dipercayai jika ia tidak mempunyai tema-tema yang sama dengan mitos-mitos pagan yang tersebut.

Warisan

sunting
 
Pietà, Michelangelo, abad ke-16: Ibu Jesus mengangkat mayat anaknya.

Menurut kebanyakan tafsiran Kristian mengenai kitab Bible, tema khutbah-khutbah Jesus adalah taubat, pengampunan dosa, limpah kurnia, dan kedatangan Kerajaan Tuhan. Jesus melatih pengikut-pengikutnya dengan perinci dan selepas kematiannya, mereka mentafsirkan dan menyebarkan ajaran-ajarannya. Dalam tempoh beberapa dekad, pengikut-pengikutnya membentuk sebuah agama yang jelas berbeza dengan agama Yahudi. Agama Kristian tersebar di seluruh Empayar Rom di bawah versi yang dikenali sebagai agama Kristian Nicene dan dijadikan sebuah agama negara di bawah Constantine Agung. Pada abad-abad yang berikut, agama ini tersebar ke kebanyakan bahagian Eropah, dan di seluruh dunia.

Jesus telah dilukis, diukir, dan digambarkan di atas pentas dan dalam filem dalam banyak cara yang berbeza, termasuk kedua-dua jenis serius dan lucu. Sebenarnya, kebanyakan seni dan kesusasteraan zaman pertengahan, dan banyaknya juga sejak masa itu, ditumpukan pada tokoh Jesus. Sebilangan novel popular, seperti The Da Vinci Code, juga menggambarkan berbagai-bagai idea mengenai Jesus. Banyak pepatah yang dikatakan dikata oleh Jesus telah menjadi sebahagian budaya tamadun Barat. Terdapat juga banyak benda yang dikatakan merupakan relik-relik Jesus. Yang termasyhur ialah Kafan Turin dan Sudarium Oviedo.

Warisan-warisan lain termasuk pandangan Tuhan sebagai lebih bersikap seperti seorang bapa, lebih menaruh belas kasihan, dan pertumbuhan kepercayaan tentang hidup selepas mati dan Kebangkitan Semula. Ajaran-ajarannya mempromosikan nilai mereka yang biasanya dianggap berkedudukan rendah: wanita, orang miskin, orang luar etnik, kanak-kanak, pelacur, pesakit, banduan, dan sebagainya. Jesus dan ajaran-ajarannya telah ditafsirkan, dijelaskan, dan difahami oleh banyak orang. Jesus telah diterangkan, terutamanya oleh Paul dari Tarsus, Augustine dari Hippo, Martin Luther, dan baru-baru ini oleh C.S. Lewis.

Bagi sesetengah orang, warisan Jesus merupakan sebuah sejarah panjang anti-Semitisme Kristian, walaupun selepas kejadian Holokus, banyak kumpulan Kristian telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk berdamai dengan orang-orang Yahudi dan mempromosikan dialog antara agama serta perasaan saling hormat menghormati. Bagi orang-orang yang lain, agama Kristian sering dikaitkan dengan dasar penjajahan Eropah (lihat Empayar British, Empayar Portugis, Empayar Sepanyol, Empayar Perancis, Empayar Belanda); sebaliknya, orang-orang Kristian sering mendapati diri sebagai golongan-golongan minoriti yang tertindas di Asia, Afrika, Timur Tengah, dan di Maghreb.

Lihat juga

sunting
  1. ^ Mengikut tradisi, orang Kristian percaya bahawa Maria mengandung anaknya dengan ajaib oleh perantaraan Roh Kudus. Yusuf dari perspektif ini bertindak sebagai bapa angkat.
  2. ^ Bahasa Yunani Kuno: Ἰησοῦς; Ibrani: ישוע, rumi: Yēšū́aʿ; Arab: عيسى, rumi: Isa
  3. ^ Perjanjian Baru merakam berbagai-bagai nama dan gelaran diberi kepada Yesus.

Rujukan

sunting
  1. ^ Brown, Raymond E. (1977). The birth of the Messiah: a commentary on the infancy narratives in Matthew and Luke. Doubleday. m/s. 513. ISBN 978-0-385-05907-7.
  2. ^ Theissen & Merz 1998.
  3. ^ https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=Jesus&d=102572&#LIHATSINI
  4. ^ a b nama digunakan dalam terjemahan Alkitab Versi Borneo dan SABDA
  5. ^ Dieja oleh Kristian Malaysia Timur
  6. ^ Vermes 1981, m/s. 20, 26, 27, 29.
  7. ^ McGrath 2006, m/s. 4–6.
  8. ^ Ehrman, Bart D. (2014). How Jesus became God: The Exaltation of a Jewish Preacher from Galilee. HarperOne. ISBN 978-0-06-177818-6.
  9. ^ Raymond E. Brown, The Death of the Messiah: From Gethsemane to the Grave (New York: Doubleday, Anchor Bible Reference Library 1994), m.s. 964; D. A. Carson, et al., m.s. 50-56; Shaye J.D. Cohen, From the Maccabees to the Mishnah, Westminster Press, 1987, m.s. 78, 93, 105, 108; John Dominic Crossan, The Historical Jesus: The Life of a Mediterranean Jewish Peasant, HarperCollins, 1991, m.s. xi-xiii; Michael Grant, m.s. 34-35, 78, 166, 200; Paula Fredriksen, Jesus of Nazareth, King of the Jews, Alfred A. Knopf, 1999, m.s. 6-7, 105-110, 232-234, 266; John P. Meier, Jilid 1:68, 146, 199, 278, 386, 2:726; E.P. Sanders, m.s. 12-13; Geza Vermes, Jesus the Jew (Philadelphia: Fortress Press 1973), m.s. 37.; Paul L. Maier, In the Fullness of Time, Kregel, 1991, m.s. 1, 99, 121, 171; N. T. Wright, The Meaning of Jesus: Two Visions, HarperCollins, 1998, m.s. 32, 83, 100-102, 222; Ben Witherington III, m.s. 12-20.
  10. ^ a b Thomas L. Thompson The Messiah Myth: The Near Eastern Roots of Jesus and David (Jonathan Cape, Publisher, 2006); Bruno Bauer; Timothy Freke & Peter Gandy. The Jesus Mysteries: Was the 'Original Jesus' a Pagan God? London: HarperCollins Publishers, 1999, m.s. 133, 158; Michael Martin, The Case Against Christianity (Philadelphia: Temple University Press, 1991), 36-72; John Mackinnon Robertson; G.A. Wells. The Jesus Legend, Chicago: Open Court, 1996, m.s. xii.
  11. ^ M. Philippa, F. Debrabandere, A. Quak, T. Schoonheim & N. van der Sijs, penyunting (2009). "Jezus (grondlegger van het christendom)". Etymologisch Woordenboek van het Nederlands. Amsterdam – melalui EtymologieBank. < latijn Iēsus < grieks Ièsous < hebreeuws jēšūaʽ, een jongere vorm van jəhōšūaʽ [Joshua].CS1 maint: multiple names: editors list (link)
  12. ^ Vries, Lourens de (Mac 2018). "Iang Evangelivm Ul-Kadus Menjurat kapada Marcum: The First Malay Gospel of Mark (1629–1630) and the Agama Kumpeni". Bijdragen tot de taal-, land- en volkenkunde (dalam bahasa Inggeris). 174 (1): 47–79. doi:10.1163/22134379-17401002. ISSN 0006-2294.
  13. ^ Hunt, Robert A. (1989). "The History of The Translation of The Bible Into Bahasa Malaysia". Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. 62, (1(256)) 35-56
  14. ^ Matt 1:2–16; Luke 3:23–38
  15. ^ Easton, Matthew Gallego.Joseph (bapa angkat Jesus Christ). Dicapai pada 26 Jun 2006
  16. ^ Matthew 13:55–56, Mark 6:3, dan Galatians 1:19
  17. ^ Untuk Mesir: Matt 2:13–23; Untuk Tyre dan kekadang Sidon:Matt 15:21–28 dan Mark 7:24–30
  18. ^ Mark 10:45Template:Bibleverse with invalid book, Luke 4:43Template:Bibleverse with invalid book, John 20:31Template:Bibleverse with invalid book.
  19. ^ Gunung di atas Gunung: Matt 5–7; Anak Boros: Luke 15:11–32; Cerita Ibarat Penyemai: Matt 13:1–9; Kasih sayang: Matt 22:34–40.
  20. ^ Orang ramai itu memetik daripada Psalms 118:26; didapati di John 12:13–16.
  21. ^ Petikan daripada Matt 26:65–67.
  22. ^ Hawari ini dikenal pasti sebagai Simon Peter dalam John 18:10; penyembuhan telinga didapati dalam Luke 22:51.
  23. ^ Matt 27:11; Mark 15:12.
  24. ^ Mark 15:42–46; Luke 23:50–56.
  25. ^ Matthew 28:5-10; Mark 16:9; Luke 24:12–16; John 20:10–17; Acts 2:24; 1Cor 6:14
  26. ^ Pengkhutbahan kepada Israel: Matthew 15:24; Kebangkitan Yesus: Mark 16:19; Luke 24:51Acts 1:6–11.; Pemelukan agama Kristian di jalan ke Damascus: Acts 9:1–19., 22:1-22; 26:9-24; Kedatangan kedua: Matthew 24:36–44
  27. ^ Harrison, John B. and Richard E. Sullivan. A short history of Western civilization. New York: Knopf. 1975.
  28. ^ Untuk perbandingan gerakan Jesus dengan Zilot, lihat S.G.F Brandon, Jesus and the Zealots: a study of the political factor in primitive Christianity, Manchester University Press (1967) ISBN 0-684-31010-4
  29. ^ Untuk perbandingan am ajaran-ajaran Jesus dengan aliran-aliran agama Yahudi abad pertama, lihat John P. Meier, Companions and Competitors (A Marginal Jew: Rethinking the Historical Jesus, Jilid 3) Anchor Bible, 2001. ISBN 0-385-46993-4.
  30. ^ Berdasarkan perbandingan Gospel-gospel dengan Talmud dan risalah-risalah Yahudi yang lain. Sanders, E. P. Jesus and Judaism, Fortress Press, 1987. ISBN 0-8006-2061-5; Maccoby, Hyam Jesus the Pharisee, Scm Press, 2003. ISBN 0-334-02914-7; Falk, Harvey Jesus the Pharisee: A New Look at the Jewishness of Jesus, Wipf & Stock Publishers (2003). ISBN 1-59244-313-3.
  31. ^ Neusner, Jacob A Rabbi Talks With Jesus, McGill-Queen's University Press, 2000. ISBN 0-7735-2046-5. Rabbi Neusner berpendapat bahawa ajaran-ajaran Yesus adalah lebih dekat dengan Mazhab Shammai berbanding dengan Mazhab Hillel.
  32. ^ Berdasarkan perbandingan injil-injil dengan Naskah Laut Mati, khususnya Guru Kesolehan dan Mesias yang ditusuk. Eisenman, Robert James the Brother of Jesus: The Key to Unlocking the Secrets of Early Christianity and the Dead Sea Scrolls, Penguin (Bukan Klasik), 1998. ISBN 0-14-025773-X; Stegemann, Hartmut The Library of Qumran: On the Essenes, Qumran, John the Baptist, and Jesus. Grand Rapids MI, 1998. Lihat juga Broshi, Magen, "What Jesus Learned from the Essenes," Biblical Archaeology Review, 30:1, m.a. 32-37, 64. Magen memperhatikan persamaan antara ajaran-ajaran Yesus mengenai kebaikan kemiskinan dan perceraian, dan ajaran-ajaran Essene yang dikisahkan dalam Josephus dalam bukunya Perang-perang Yahudi dan Dokumen Damascus bagi Naskah Laut Mati.
  33. ^ Penceritaan injil menunjukkan yang kedua-dua Yohanes Pembaptis dan Yesus mengajar pertaubatan dan kedatangan Kerajaan Allah. Sesetengah cendekiawan mengutarakan pendapat bahawa Yesus adalah seorang nabi hari kiamat yang gagal; lihat Schwietzer, Albert The Quest of the Historical Jesus: A Critical Study of its Progress from Reimarus to Wrede, m.s. 370–371, 402. Scribner (1968), ISBN 0-02-089240-3; Ehrman, Bart Apocalyptic Prophet of the New Millennium, Oxford University Press USA, 1999. ISBN 0-19-512474-X. Bagaimanapun, Crossan membezakan antara pengkhutbahan hari kiamat Yohanes dan pengkhutbahan etika Yesus. Lihat Crossan, John Dominic, The Birth of Christianity: Discovering What Happened in the Years Immediately After the Execution of Jesus, m.s. 305-344. Harper Collins, 1998. ISBN 0-06-061659-8.
  34. ^ This includes the belief that Jesus was the Messiah. Brown, Michael L. Answering Jewish Objections to Jesus: Messianic Prophecy Objections Baker Books, 2003. ISBN 0-8010-6423-6. Brown menunjukkan bagaimana konsep Kristian mengenai Messiah berkait dengan idea-idea semasa lewat Kuil Kedua agama Yahudi. Lihat juga Klausner, Joseph, The Messianic Idea in Israel: From its Beginning to the Completion of the Mishnah, Macmillan 1955; Patai, Raphael, Messiah Texts, Wayne State University Press, 1989. ISBN 0-8143-1850-9; Crossan, John Dominic, The Birth of Christianity: Discovering What Happened in the Years Immediately After the Execution of Jesus, m.s. 461. Harper Collins, 1998. ISBN 0-06-061659-8. Patai dan Klausner menyatakan bahawa salah satu tafsiran ramalan mendedahkan dua orang Messiah, iaitu Messiah ben Yosef (Messiah yang hampir mati) dan Messiah ben David (Raja Davidik), atau seorang Messiah yang datang dua kali. Crossan memetik ajaran-ajaran Essene mengenai Messiah kembar. Bandingkanlah dengan doktrin Kristian mengenai Kedatangan Kedua.
  35. ^ Durant, Will. Caesar and Christ. New York: Simon and Schuster, 1944. m.s. 558; John P. Meier, A Marginal Jew. New York: Doubleday, 1991 vol. 1:205-7;
  36. ^ Henry Bettenson, Chris Maunder, Documents of the Christian Church (edisi ke-3), Oxford University Press, 1999. ISBN 0-19-288071-3
  37. ^ a b Daniel Gaztambide, "The Synoptic Problem: Two-Source Hypothesis and Q", AramaicNT.org, dicapai pada 19 Ogos 2006. Ralat petik: Tag <ref> tidak sah, nama "aramaicnt.org" digunakan secara berulang dengan kandungan yang berbeza
  38. ^ Craig S. Hawkins, "The Book of Acts and Archaeology" Diarkibkan 2007-10-11 di Wayback Machine, Apologetics Information Ministry, dicapai pada 14 Mac 2006.
  39. ^ Michael Grant, Jesus: An Historian's Review of the Gospels, Scribner, 1995 m.s. 199. ISBN 0-684-81867-1

Pautan luar

sunting

Pandangan-pandangan sejarah dan skeptis

sunting