John Sculley (lahir 6 April 1939) ialah ahli perniagaan Amerika yang merupakan presiden PepsiCo antara 1977 sehingga 1983 apabila beliau menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Apple pada 8 April, suatu jawatan yang dipegangnya sehingga tahun 1993.

John Sculley
Lahir: (1939-04-06) 6 April 1939 (umur 84)
Pekerjaan: Presiden PepsiCo (1977-1983)
Ketua pegawai eksekutif Apple Computer (kini Apple Inc.) (1983-1993)
Pekongsi Sculley Brothers, LLC (1995-kini)

Sculley paling terkenal kerana kemahiran pemasarannya, khususnya pengenalan Cabaran Pepsi di PepsiCo yang membenarkan syarikat tersebut memperoleh bahagian pasaran daripada pesaing utamanya, Coca-Cola. Beliau mempergunakan strategi pemasaran yang serupa di Apple pada sepanjang dekad 1980-an dan 1990-an untuk memasarkan komputer peribadi Macintosh secara besar-besaran. Dalam tempoh Sculley di Apple, jualan syarikat naik dari AS$800 juta sehingga AS$8 bilion.[1] Pada Mei 1987, Sculley dinamai sebagai eksekutif yang dibayar gaji yang tertinggi di Lembah Silicon, dengan gaji tahunan sebanyak AS$2.2 juta. [2] Sesungguhnya, tempohnya di Apple masih penuh dengan perbalahan kerana beliau menyimpang daripada struktur jualan pengasas Steve Jobs, khususnya keputusannya untuk bersaing dengan IBM dalam penjualan komputer kepada jenis pelanggan yang sama.[3] Keputusan itu akhirnya membawa kepada penyingkiran Sculley dari Apple pada 1993 apabila keuntungan, jualan, dan nilai saham syarikat merosot.[4] Sculley kini merupakan pekongsi Sculley Brothers, LLC, sebuah firma pelaburan swasta yang diasaskan pada 1995.

Kehidupan awal sunting

Dilahirkan di Bandaraya New York, Amerika Syarikat, Sculley memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam bidang reka bentuk seni bina daripada Brown University lalu memperoleh ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Wharton School of Business di University of Pennsylvania.[5] Pada 1960, beliau berkahwin dengan anak perempuan Donald M. Kendall, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi PepsiCo (1971-1986). Selepas dikurniai dua anak, pasangan itu bercerai pada 1965, dengan kedua-duanya masing-masing berkahwin semula. Sculley menyertai Pepsi-Cola, salah satu bahagian Pepsico, pada 1967 sebagai pelatih dan sewaktu berumur 30 tahun pada 1970, menjadi naib presiden pemasaran syarikat itu yang paling muda. Sewaktu memegang jawatan itu, beliau memulakan salah satu daripada kajian penyelidikan pengguna yang pertama di syarikat itu dan berdasarkan dapatannya, Pepsi mencuba mengatasi Coca-Cola sebagai ketua pasaran dalam apa yang kemudian dikenali sebagai Perang Kola. Pada 1977, Sculley dinamakan sebagai presiden Pepsi yang paling muda.

Di Apple (1983–93) sunting

Pada 1983, Sculley dipujuk oleh Steve Jobs supaya menyertai Apple. Jobs dikatakan menanyakan Sculley: "Adakah kamu mahu menghabiskan seumur hidupmu menjual air gula atau kamu mahu peluang untuk mengubah dunia?" [6] Sewaktu itu, Mike Markkula, pengasas bersama yang juga presiden Apple, ingin bersara dan menganggap Steve Jobs yang mengharap-harapkan menjadi presiden syarikat, tidak bertatatertib atau berpembawaan untuk mengendalikan tugas harian Apple. Sculley, dengan latar belakang perniagaan yang lazim serta juga pencapaian kejayaan baru-baru ini, akan memberikan Apple suatu imej kebolehpercayaan dan kestabilan yang lebih besar. Akhirnya, suatu perebutan kuasa antara Jobs dan Sculley terjelma selepas Sculley menyertai Apple. Jobs menjadi "tak linear" dan sengaja mengakibatkan mesyuarat berlangsung sehingga melewati tengah malam. Selepas suatu mesyuarat sedemikian pada 1985, Lembaga Pengarah tidak tahan lagi dan menyingkirkan Jobs daripada semua tanggungjawab operasinya.

Sungguhpun demikian, "Era Sculley" di Apple dicirikan oleh sejumlah besar model komputer serta pembahagian pasaran yang terlalu rumit, sebagaimana ditegaskan oleh pengkritik. Antara 1990 dan 1995, tidak banyak produk Apple berjaya. Juga pada awal 1990-an, Sculley mendorong Apple menjalankan sistem pengendalian sendiri pada PowerPC, sebuah mikropemproses yang baharu, pada kos yang amat sangat tinggi. Beliau kemudian mengakui bahawa ini merupakan kesilapannya yang terbesar, lalu mengatakan bahawa beliau seharusnya menyasarkan seni bina Intel yang dominan.[7] Meskipun Sculley menegaskan bahawa matlamat Apple yang paling penting adalah untuk menembusi pasaran komputer peribadi, Apple gagal menangani sungutan utama pembeli perniagaan terhadap sistem pengendalian Macintosh pada sepanjang sepuluh tahun yang Apple diketuainya. Diakibatkan oleh ketakupayaannya mengurus barisan keluaran Apple dengan berkesan, Lembaga Pengarah Apple akhirnya menyingkirkannya pada lewat 1993.

Selepas Apple sunting

Hanya sehari kerja selepas meninggalkan Apple, Sculley menyertai Spectrum Information Technologies, sebuah syarikat komunikasi wayarles AS$100 juta yang telah disiasat oleh Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti (SEC) kerana penipuan. Apabila beliau mengetahui siasatan itu empat bulan kemudian, beliau mengambil tindakan guaman terhadap presiden syarikat itu kerana merosakkan reputasinya.[8] Pada 1995, Sculley menjadi pekongsi pelaburan Sculley Brothers LLC, sebuah syarikat pelaburan swasta yang diasaskan bersama-sama dengan dua adiknya di Bandaraya New York. Beliau kemudian memegang jawatan kanan dalam pelbagai syarikat berkait teknologi maklumat dan kini bertindak sebagai anggota lembaga pengarah untuk:

Rujukan sunting

  1. ^ The New York Times: "Company News - Visionary Apple Chairman Moves On"
  2. ^ Malone, Infinite Loop, m.s. 412.
  3. ^ The New York Times: "New Strategy Set by Apple"
  4. ^ The New York Times: "Sculley Gives Up One Post at Apple"
  5. ^ Wharton - Leadership Across Industries, High-Tech, John Sculley
  6. ^ "John Sculley". Frontline. WGBH educational foundation. Dicapai pada 2007-12-13.
  7. ^ "MacWorld, John Sculley Admits Intel Blunder (2003)". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-12-08. Dicapai pada 2007-12-08.
  8. ^ Inc. Magazine, Happiness and the Downwardly Mobile CEO, May 1999

Pautan luar sunting