Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin merupakan pelopor dan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis yang pertama. Beliau telah bersara dari jawatan tersebut pada Februari 2016 dan dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP sejak Oktober 2018. UniMAP yang dahulunya dikenali sebagai KUKUM ditubuhkan sebagai sebuah IPTA Malaysia yang ke 17 bertujuan melahirkan jurutera berkemahiran tinggi bagi memenuhi dan menyokong pelan industri negara, selain memberi alternatif kepada pelajar yang cenderung kepada pembelajaran secara amali.

Kamarudin Hussin
Kelahiran2 Februari 1955
Kuala Lumpur
WarganegaraMalaysia
PekerjaanNaib Canselor
OrganisasiUniversiti Malaysia Perlis
PasanganNoridah Yangman
Laman web rasmiwww.unimap.edu.my

Sejarah Perlantikan sunting

Pada 16 Februari 2002, Prof. Dr. Kamarudin Hussin telah dilantik sebagai Rektor Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) yang pada ketika itu masih belum beroperasi serta tidak mempunyai staf, tapak atau pembangunan. Bermula dari detik tersebut, satu persatu pembangunan KUKUM dilaksanakan disamping pengambilan staf yang sehingga kini telah mencecah lebih 1500 orang. KUKUM mula beroperasi di kampus sementara di Kubang Gajah, Arau, Perlis pada 2 Mei 2002 dan pengambilan pelajar pertama telah dilaksanakan pada 20 Jun 2002. Dalam pengambilan tersebut, 116 orang pelajar telah diterima masuk bagi sesi akademik 2002/2003.

Pada 1 Februari 2007 KUKUM telah dikenali sebagai UniMAP bagi proses penjenamaan semula universiti dan Dr. Kamarudin dilantik sebagai Naib Canselornya yang pertama. Dr Kamarudin telah bersara dari jawatan Naib Canselor sejak Februari 2016. Pada Oktober 2018, Dr Kamarudin telah meneruskan khidmatnya kepada UniMAP dengan dilantik sebagai Pengerusi Lembaaga Pengarah.

Sejarah Hidup sunting

Beliau dilahirkan pada tanggal 10 Februari 1955 di Pudu, Kuala Lumpur . Atas ikatan kasih sayang, Dato' Prof. Dr. Kamarudin telah mendirikan rumahtangga dengan Noridah Yangman pada 4 Jun 1978 dan hasil perkongsiaan hidup yang damai dan bahagia, pasangan ini dikurnia Allah empat orang cahaya mata, dua orang putera dan dua orang puteri. Menurut Dato' Prof. Dr. Kamarudin, Datin Noridah ialah insan di sebalik kejayaaannya dan merupakan insan yang paling banyak memberikan dorongan serta sokongan dalam kerjaya dan kehidupan beliau. Kini berkat disiplin dan asuhan yang disemai oleh kedua-dua pasangan ini, keempat-empat putera dan puteri mereka telah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar Negara dalam pelbagai bidang pengajian.

Pendidikan sunting

Anak kelima pasangan Hussin Salleh dan Hasmah Hj. Abu Bakar ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Pasar Road dan Sekolah Rendah Kampung Pandan. Beliau meneruskan persekolahannya di Sekolah Menengah Aminuddin Baki dan seterusnya menamatkan pengajian di tingkatan enam di Sekolah Menengah Alam Shah. Selepas zaman persekolahan, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dan mendapat Ijazah Sarjana Muda (kepujian) dalam bidang Kimia pada 1979, dan dalam tahun 1982 beliau memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Elektrokimia di universiti yang sama.

Dalam tahun 1993 beliau melengkapkan pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dalam program kerjasama antara USM dengan Kalgoorlie School of Mines, Australia dalam bidang Kejuruteraan Bahan (Metalurgi Pengekstrakan). Kejayaan beliau memperoleh ijazah sarjana muda hingga doktor falsafah di USM menempatkan beliau sebagai antara sebilangan kecil mahasiswa atau siswazah yang pertama yang berupaya menamatkan pengajian dalam bidang sains dan kejuruteraan sepenuhnya di universiti yang sama di dalam negara.

Kerjaya sunting

Sejarah perkongsian ilmunya dalam dunia penyelidikan bermula apabila beliau memulakan kerjayanya di USM sebagai Pensyarah Pusat Pengajian Kimia. Dalam tempoh bermula dari 1982 dan berakhir pada 1985, beliau dilantik sebagai Pengerusi Rancangan Kimia di Pusat Matrikulasi, USM. Apabila Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral ditubuhkan di USM dalam tahun 1986 beliau memilih untuk membangunkan pusat pengajian baru itu dan USM (Kampus Cawangan Perak), yang memberikan tumpuan pada program-program pengajian kejuruteraan, bersama-sama beberapa orang rakan pensyarah yang lain. Mulai tahun 1989-1991 beliau dilantik sebagai Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral sebelum menyambungkan pengajian peringkat Ph.D-nya, dan dilantik semula pada tahun 1993-1996 bagi jawatan yang sama sebaik sahaja menamatkan pengajian. Pada tahun 1996 hingga Mei 2001 beliau dilantik pula sebagai Dekan di pusat pengajian tersebut.

Dato' Prof. Dr. Kamarudin pernah juga dilantik sebagai Penolong Penggawa (yang bertanggungjawab mengurus asrama dan mentadbir aktiviti mahasiswa peringkat asrama) pada tahun 1984-1986 dan sebagai Penggawa di USM (Cawangan Perak) dari tahun 1986-1991. Kemuncak kerjaya beliau di USM terserlah setelah dilantik sebagai Pengarah, Kampus Kejuruteraan USM di Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Mei 2001 sehingga Mac 2002 sebelum dilantik sebagai Rektor Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia pada 16 Februari 2002. Menurut Dato' Dr. Kamarudin, pada waktu transisi (ketika masih menjadi staf USM dan dalam masa yang sama telah dilantik sebagai Rektor) inilah beliau dapat dikatakan setiap hari berulang-alik dari Nibong Tebal ke Kangar (sekitar 3 bulan) untuk seperti biasa mengurus Kampus Kejuruteraan USM, dalam masa yang sama menggerakkan dan membangunkan kampus baru UniMAP.

Membangunkan kampus baru bukan kerja baru bagi beliau, Dato' Prof. Dr. Kamarudin merupakan seorang daripada tenaga penggerak yang terlibat dalam pembangunan kampus sementara USM di Ipoh mulai tahun 1986 hingga 1989, dan kampus tetap USM (Cawangan Perak) yang berpindah ke Tronoh dalam tahun 1990. Selanjutnya, beliau bertanggungjawab membangunkan kampus tetap USM (Cawangan Kejuruteraan) di Nibong Tebal, Pulau Pinang mulai 1997 hingga 2001.

Sumbangan Luar sunting

Di samping mencipta kejayaan gemilang dalam kerjayanya, kebolehan dan sumbangan beliau juga begitu terserlah dalam kerja-kerja sukarela dan kemasyarakatan. Bakti dan jasa beliau tidak terkira dengan jari. Naib Canselor pertama UniMAP ini merupakan Mantan Naib Yang Di Pertua PEMADAM Kebangsaan dan Pengerusi Biro Pencegahan di IPT & Kelab PEMADAM Kebangsaan. Kerana ketokohan dan minatnya melakukan kerja-kerja sukarela yang mendalam, Dato' Prof. Dr. Kamarudin dilantik sebagai Naib Pengerusi PBSMM Perlis pada tahun 2005. Selain itu, beliau telah lama aktif sebagai tenaga penggerak dan Penceramah Biro Tatanegara (BTN) sejak tahun 1995. Dalam Pasukan Sukarela Askar Wataniah pula, nama Dato' Prof. Dr. Kamarudin bagai tidak dapat dipisahkan daripada pasukan itu. Namun, oleh sebab kewibawaan, keprihatinan, disiplin dan sekali lagi minatnya yang amat mendalam, beliau pernah dilantik sebagai Pegawai Memerintah Batalion 1 berpangkat Leftenan Kolonel di Rejimen 504 pada tahun 1 Januari 2003 hingga 2006 sebelum ditukarkan ke Rejimen 509 di Pulau Pinang sebagai Komandan yang berpangkat Kolonel pada 30 November 2006.

Pingat dan Anugerah sunting

Pingat: Panglima Jasa Negara (PJN) - 2013; Darjah Dato' Paduka Mahkota Perlis - 2013; Darjah Paduka Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) - 2004; Ahli Mahkota Perak (AMP) - 1998