Kamarulzaman Teh (15 Januari 1920 - 5 November 2002) yang ditahan di penjara Persekutuan Tanah Melayu selama 22 tahun ialah orang tahanan politik yang paling lama di Malaysia.

Biografi ringkas sunting

Dilahirkan di Kampung Broga, Sanggang, Temerloh, Pahang kepada seorang petani, Kamarulzaman menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) semasa pendudukan Jepun untuk bertempur dengan tentera Jepun. Beliau tertarik kepada PKMM disebabkan pendirian sosialisme parti ini yang merupakan jalan keluar untuk mematahkan putaran ganas kemiskinan yang diakibatkan oleh pemilik-pemilik tanah. Beliau juga tertarik kepada taktik gerila bawah tanah yang merupakan cara yang paling berkesan terhadap askar-askar Jepun. Kamarulzaman akhirnya dilantik sebagai ketua Angkatan Pemuda Insaf (API), Pahang yang merupakan sayap belia PKKM.

Ketika Darurat diisytiharkan pada tahun 1948, pihak British menangkap Kamarulzaman di stesen bas Temerloh tanpa sebarang waran dan beliau dituduh dengan pemilikan senjata api. Kamarulzaman dijatuhi hukuman gantung dan selepas rayuannya, beliau diberitahu pada hari untuk menjalani hukuman bahawa Sultan Pahang telah mengampuninya. Hukuman matinya digantikan dengan pemenjaraan seumur hidup. Beliau kemudian menghabiskan 14 tahun yang berikut di dalam penjara. Selepas pihak British bertolak dari Persekutuan Tanah Melayu, beliau dilepaskan tetapi diletak di bawah pengawasan. Bagaimanapun, kebebasannya mempunyai hayat yang pendek. Kamarulzaman ditangkap dan ditahan semula di bawah Akta Keselamatan Negeri selama lapan tahun lagi.

Selepas pelepasannya, Kamarulzaman menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (kini bergabung dengan Parti Keadilan Nasional menjadi Parti Keadilan Rakyat) dan bertanding dalam pilihan raya umum pada tahun 1974. Walaupun ditewaskan dalam pilihan raya itu, beliau masih amat aktif dalam kegiatan PRM sepanjang dekad 1970-an. Kesihatan Kamarulzaman kemudian merosot. Oleh sebab keluarganya tidak berupaya menanggung bayaran hospitalnya, beliau dijaga oleh seorang adik angkat dan suaminya. Pada tahun-tahun akhirnya, Kamarulzaman dihantar ke sebuah rumah orang tua di Kuala Lumpur.

Kesihatan Kamarulzaman mulai bertambah buruk teruk pada sekitar Julai 2002. Beliau dipindah dari Kuala Lumpur ke kampungnya di Temerloh, Pahang dan dari situ, ke Thailand Selatan untuk berjumpa dengan kawan-kawan lamanya. Kamarulzaman meninggal dunia semasa di Thailand Selatan pada lebih kurang 10.30 pagi, 5 November, dan dikebumikan di perkuburan Islam di Provinsi Narathiwat pada hari yang sama.


Pautan luar sunting