Kamaruzzaman bin Abdul Kadir

penulis Malaysia

Kamaruzzaman bin Abdul Kadir (23 Jun 1937 - 21 April 2005) atau lebih dikenali sebagai Dharmawijaya merupakan seorang penulis novel dan pengkaji kesusasteraan Melayu Malaysia.

Kamaruzzaman bin Abdul Kadir
LahirKamaruzzaman bin Abdul Kadir
(1937-06-23)23 Jun 1937
Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan
Meninggal dunia21 April 2005(2005-04-21) (umur 67)
Hospital Seremban, Negeri Sembilan
Nama penaDharmawijaya
PekerjaanPenulis, pengkaji kesusasteraan Melayu

Biodata sunting

Beliau dilahirkan pada 23 Jun 1937 di Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan.

Latar belakang sunting

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kampung Talang, Tanjung Ipoh, Negeri Sembilan hingga tamat Darjah Tujuh (1952). Setelah itu, beliau mengikuti latihan perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim, Perak (1954-1956).

Pada tahun 1960-an, beliau mengikuti latihan di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Di samping bekerja, beliau belajar secara persendirian hingga lulus Sijil Pelajaran Malaysia dan beberapa tahun kemudian beliau lulus Sijil Tinggi Persekolahan. Pada tahun 1973, beliau melanjutkan pengajiannya di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya hingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera (1976). Semasa bertugas di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, beliau melanjutkan pengajiannya pada peringkat sarjana dan berhasil memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (1981).

Beliau juga pernah menjadi guru Bahasa dan Kesusasteraan Melayu selama 20 tahun di beberapa buah sekolah menengah, sebelum bertugas sebagai pensyarah sambilan Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu di Pusat Latihan Daerah (1966-1968) di Negeri Sembilan. Seterusnya bertugas sebagai penyelidik sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur (1971-1973) diikuti sebagai penyunting serta penilai manuskrip dan buku. Di samping itu beliau pernah menjadi penulis skrip dan pantun untuk rancangan Dondang Sayang di TV1 RTM (1971-1973), selain aktif menjelajah ke seluruh tanah air menyampaikan ceramah penulisan kreatif, khususnya dalam genre puisi untuk sekolah mahupun persatuan-persatuan penulis negeri. Dharmawijaya juga pernah bertugas sebagai Pensyarah dan Prof. Madya Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1980-1994) sebelum berpindah ke Fakulti Pengajian Bahasa Moden, UPM. Jawatan terakhirnya ialah sebagai pensyarah tamu di UPM.

Karya sunting

Dharmawijaya menghasilkan sekitar 30 buah buku ilmiah termasuk 15 buah buku kreatif yang terkenal antaranya ialah Warna Maya (1974), Di Penjuru Matamu (1975), Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957 (1982), Lagu Kehidupan (1983), Bintang Mengerdip (1984), Bunga Gerimis (1986), Derita Buana (1992) dan Gurindam Alam (1994).

Anugerah yang pernah diterima oleh Dharmawijaya ialah Hadiah Sastera Malaysia genre puisi tahun 1971, 1976, 1982/83, Hadiah Sastera Malaysia bahagian buku 1982/83 dan Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 1993 sebagai pengiktirafan berprestij terhadap perjuangannya dalam bidang kesusasteraan yang berkualiti.

Kematian sunting

Dharmawijaya menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit barah paru-paru di Hospital Seremban pada 21 April 2005.