Kampung Baru Jenderam Hilir

SEJARAH PENUBUHAN KAMPUNG BARU JENDERAM HILIR


1 MUQADDIMAH

Perkembangan dakwah yang pesat pada awal tahun 1980 an melanda Kuala Lumpur khususnya dan Malaysia amnya. Kesan daripadanya menyebabkan ramai lapisan masyarakat berminat menyertai pelbagai kumpulan dakwah bagi mendalami ilmu agama termasuklah beberapa orang kakitangan UDA (Perbadanan Pembangunan Bandar) yang terletak di Bukit Bintang Plaza Kuala Lumpur.

Kebanyakkan kumpulan dakwah ini menjurus kepada ceramah agama sahaja. Justeru itu Al Fadhil Tuan Guru Hj. Muhd Hafidz b Selamat selaku Pengerusi BADIM (Badan Didikan Islam UDA) ketika itu mengesyorkan kepada beberapa orang kakitangan UDA yang mengikut kumpulan dakwah agar meningkatkan diri dari tahap mendengar kepada tahap belajar ilmu secara berkitab iaitu berguru dengan guru-guru yang muktabar. Pada waktu yang sama Al Fadhil Tuan Guru sendiri telah pun mengikuti pengajian berkitab semenjak 1980 dengan beberapa orang ulamak seperti Tuan Guru Hj. Sulaiman Basri atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Sulaiman Kuang, Tuan Guru Hj. Saudi bin Jonid, Tuan Guru Hj. Bunyamin iaitu Qadhi Sungai Besi dan Tuan Guru Sheikh Hj Abdullah Khajiri.

Semenjak itu beberapa orang pemuda yang diketuai oleh Al Fadhil Tuan Guru Hj. Muhd Hafidz rancak menghadiri kelas pengajian di pejabat di waktu rehat tengahari dan selepas solat Asar. Akhirnya mereka berpindah ke rumah sewa di Batu 10, Cheras pada sekitar tahun 1984 berhampiran dengan rumah sewa Al Fadhil Tuan Guru Hj. Muhd Hafidz. Di antara mereka ialah Hj. Ahmad Roee Abidin, Sdr. Wahid b. Jani, Allahyarham Mohd Faizol b. Nordin, Sdr. Muhammad B. Jawi, Hj. Muhammad b. Rani, Sdr. Azman Tajuddin, Sdr. Adnan Nordin ,Sdr. Mohd Wadzir b. Abu Zarin dan Abu Shahmah Hassan.

Setelah berpindah ke Batu 10, Cheras bermulalah era mengaji kitab kuning secara serius. Setiap malam menghadiri pengajian kitab bersilih ganti oleh Allahyarham Tuan Guru Hj. Hashim b. Hj. Abdul Aziz atau Allahyarham Tuan Guru Hj. Muhammad Zain b. Hj. Tama di surau dan masjid sekitar Cheras dan Kajang. Sementara di waktu siangnya menghadiri kuliah subuh hari Ahad di Madrasah Taufiqiyah berhampiran Masjid Kajang. Namun di antara mereka ini Al Fadhil Tuan Guru Hj. Muhd Hafidz lebih gigih dan bersungguh berlajar ilmu di mana beliau belajar ilmu nahu dengan Allahyarham Tuan Guru Hj. Hashim b. Hj. Abdul Aziz di Sungai Kantan Dalam pada petang hari Sabtu dan di Sungai Sekamat dengan Allahyarham Tuan Guru Hj. Muhammad Zain b. Hj. Tama.

Setelah mengikuti pengajian beberapa lama, di sekitar awal tahun 1985 iaitu selepas pengajian di Masjid Batu 10, Cheras maka tercetus idea membeli tanah untuk membuka pondok dengan menempatkan kedua-dua Tuan Guru di situ. Cadangan ini timbul untuk menghidupkan peradaban Al-Ilmu Wal Ulama serta mengujudkan kembali sebuah perkampungan yang hidup secara berjamaah dan bermasyarakat berlandaskan nilai ilmu dan amalan daripada pembelajaran dan pentarbiyahan kitab-kitab tua (kuning) karangan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang muktabar. Dengan adanya perkampungan ini juga akan memudahkan anak isteri menuntut ilmu apabila pembuka kampong ini berkahwin kelak dan juga untuk masyarakat yang tinggal di kawasan berhampiran.

Maka beberapa lokasi tanah telah dikenal pasti. Salah satunya tanah di Batu 13, Kajang tetapi disebabkan harganya yang mahal maka lokasi baru dipilih iaitu di Jenderam Hilir. Setelah bersetuju dengan lokasi tersebut maka satu kertas kerja telah dibuat dengan menyatakan syarat-syarat pembelian dan syarat-syarat untuk menetap di perkampongan ini. Pencarian bakal-bakal pembeli tanah yang ingin menyertai dimulakan, keutamaan ialah kepada mereka yang selalu menghadiri kelas pengajian dan berminat kepada kertas keja tersebut.


2 PEMBELIAN TANAH

Akhirnya tanah di lot 4029, Kg. Jenderam Hilir telah dibeli dengan harga sebanyak RM95,000.00 seluas 3.56 ekar pada tahun 1985. Hampir 90% pembeli tanah adalah kakitangan UDA. Tanah dipecahkan kepada 38 lot kecil di mana 8 lot diwakafkan oleh pembeli untuk pembinaan masjid dan sekolah dan selebihnya dijual kepada pembeli dengan harga RM4,200.00 selot di mana pembeli dikehendaki membayar lebih kurang RM60.00 selot sebulan. Bagi menampong kekurangan bayaran bulanan ada pembeli memiliki 2 dan 3 lot tanah. Pembayaran tanah telah dapat diselesaikan dalam masa 5 tahun sahaja. Di antara pembeli asal tanah ini ialah Tuan Guru Hj. Muhd. Hafidz Selamat, Sdr. Muhammad Jawi, Hj. Ahmad Roee Abidin, Sdr. Abdul Wahid Jani, Sdr. Adnan Hj. Nordin, Hj. Misman Mingan, Sdr. Abu Shahmah, Sdr. Mohd Faizol Nordin (meninggal dunia tahun 1991), Hj. Muhammad Abd. Rani, Hj. Mohd Yahya, Sdr. Ahmad Shah, Sdr. Mohammad Syukor Abd. Majid, Hj. Mohd. Fadhil Yusuf, Sdr. Ahmad Azman Tajuddin, Hj. Abdul Aziz Ibrahim, Tuan Hj. Yusuff Omar, Sdr. Mohd Wadzir Abu Zarin ,Sdr. Mazlan Mohd Shariff, Sdr. Ahmad bin Abdullah, Sdr. Bashir Abdullah dan Hj. Mohd. Yusop b. Mahmud. Ada lagi beberapa oang pembeli yang menarik diri di pertengahan jalan kerana pelbagai masalah seperti tidak mampu meneruskan pembayaran bulanan, tidak sanggup tinggal disini kerana tidak ada kemudahan asas dan ada yang ragu dan bimbang akan keberjayaan rancangan pembukaan perkampongan pondok ini. Kebanyakkan pembeli adalah berumur sekitar 20 hingga 25 tahun dan masih bujang kecuali Tuan Guru, Hj. Mohd Yusuff Omar, Hj. Mohd Yusop Mahmud, Hj. Mohd Yayha, Hj. Abdul Aziz Ibrahim dan Sdr. Mazlan Shariff yang sudah berumah tangga.


3 PEMBERSIHAN TANAH

Kerja-kerja pembersihan tanah dimulakan pada tahun 1985. Setiap pembeli diwajibkan datang bergotong royong setiap Sabtu selepas pejabat, pada hari Ahad dan pada cuti umum. Gotong royong ini diadakan berterusan hampir setahun. Kesukaran membuka kampong ini amat dirasai. Di mana pada peringkat awal kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan menggunakan kudrat tangan kerana untuk menjimatkan kos. Justeru itu terdapat mereka yang mengalami kecederaan akibat terkena ranting belukar dan duri pokok kelapa sawit.

Bagi tujuan mandi dan bersolat, Masjid Jenderam Hilir, Jenderam Hulu dan Masjid Sungai Buah yang selalu digunakan. Setelah bangsal dan perigi dibina dan digali maka segala aktiviti diadakan dibangsal tersebut. Bagi meratakan tanah jentolak digunakan untuk beberapa hari. Oleh itu beberapa oang bersilih ganti untuk bermalam menjaga jentolak tersebut.


4 INFRASTRUKTUR

Tapak tanah ini dahulu ialah kebun kelapa sawit yang berumur sekitar 3 tahun yang masih belum berbuah dan kawasan sekitar ialah kebun getah yang tidak diusahakan.


4.1 Jalan Masuk

Terdapat dua jalan masuk ke tapak iaitu dari jalan besar Salak (sebelah rumah Allahyarham Cikgu Rahim) dan dari jalan kubur (berhampiran Masjid Jenderam Hilir). Kedua-dua jalan ini ialah jalan tanah merah yang sesuai untuk motosikal sahaja yang jarang dilalui oleh orang ramai.



4.2 Kemudahan Air

Kemudahan air paip tidak ada ditanah ini. Justeru itu pada peringkat awal air perigi digunakan. Apabila penduduk telah bertambah ramai sebuah kolam besar seluas lebih kurang 25’ X 40’ dikorek iaitu ditapak rumah Hj. Zainal Abidin sekarang ini. Air kolam dipam kesetiap rumah ketika itu untuk kegunaan membasuh dan mandi. Walaubagaimana pun kolam ini masih digunakan oleh beberapa orang kampong untuk mandi dan belajar berenang iaitu Sunnah Nabi di waktu lapang. Ada pun untuk air minuman diambil dari punca mata air yang terdapat berhampiran rumah Sdr. Mihat sekarang.

Pernah berlaku kemarau pada tahun 1987 dimana air perigi dan kolam kekeringan. Ada diantara penduduk kampong membasuh di Sungai Semenyeh yang airnya keroh kekuningan dan ada yang tumpang membasuh dirumah kawan yang menyewa diluar. Setelah hampir 5 tahun menggunakan air perigi dan kolam barulah air paip dibekalkan pada tahun 1991.

4.3 Kemudahan eletrik

Diawal pembukaan kampong bekalan letrik masih belum dibekalkan oleh itu bagi menerangkan rumah dimalam hari ahli qariah menggunakan lampu geselin, lampu ayam, bateri kereta, pelita dan ada yang berkongsi menggunakan generator.

Hampir kesemua suri rumah membasuh pakaian dengan tangan dan membeli ikan setiap hari kerana ketiadaan letrik. Walaupun sesetengahnya sudah pun mempunyai mesin basuh dan peti ais sebelum berpindah ke sini. Pada tahun 1990 seorang dermawan iaitu Tuan Hj. Asyaari yang dikenali sebagai Apak (ketua keselamatan UDA ketika itu) mewakafkan RM15,000.00 bagi membekalkan letrik ke perkampongan.

4.4. Talifon

Kemudahan talipon diperolehi pada tahun 1994.


5 PERPINDAHAN

Sebuah pondok kecil dibina di atas tanah di atas tanah Sdr. Roslan Latif sekarang ia digunakan seperti sebuah rumah sementara menunggu rumah di perkampungan ini didirikan. Rumah Tuan Guru adalah yang pertama didirikan dan beliau jugalah yang pertama berpindah ke perkampungan ini pada awal tahun 1986. Pada ketika itu beliau telah pun meletakkan jawatan di UDA. Beberapa bulan kemudian Hj. Mohd Yusop Mahmud, Sdr. Wadzir Abu Zarin, Hj. Mohd Yayha, Hj. Abdul Aziz Ibrahim dan Sdr. Mazlan Shariff turut berpindah pada tahun yang sama. Kemudian diikuti oleh beberapa orang budak bujang iaitu Sdr. Muhammad Jawi, Sdr. Adnan Hj. Nordin, Hj. Misman Mingan, Sdr. Abu Shahmah, Sdr. Mohd Faizol Nordin (meninggal dunia tahun 1991), Hj. Muhammad Abd. Rani, Sdr. Azman Tajuddin dan Sdr. Syukor Abdul Majid. Sementara itu Hj. Ahmad Roee Abidin, Sdr. Abdul Wahid Jani dan Hj. Mohd Yusuff Omar menyewa rumah Hj. Ali (Bilal Masjid Jenderam Hilir) di kampong luar pada tahun 1986 dan berpindah ke dalam perkampungan pada awal 1987. Semua rumah didirikan secara bergotong royong dan mereka berpindah dalam keadaan rumah belum siap dengan sempurnanya. Ada pun ahli qariah baru berpindah selepas tahun 1987 hingga kini.


6 AKITIVI-AKTIVITI

6.1 Pengajian Khususi

Pengajian yang pertama diadakan di rumah Tuan Guru telah dihadiri oleh pembeli yang masih bujang dan juga kelamin yang telah berpindah ke dalam dan menyewa di luar. Pengajian ini tidak terbuka kepada orang ramai ketika itu Di awal pengajian Tuan Guru banyak menekankan bab tarbiyah dengan menggunakan kitab Pelita Penuntut. Tujuannya ialah untuk merapatkan ukhwah sesama sendiri dan membina peribadi yang mantap bagi membangunkan perkampungan yang serba kekurangan ini.

6.2 Pengajian Umumi

Apabila surau siap dibina pada awal tahun 1987 maka Tuan Guru Hj. Mohd Zain dan Tuan Guu Hj. Hashim telah dijemput untuk mengajar pada hari Sabtu malam Ahad berselang seli. Pengajian ini telah dibuka kepada orang luar. Di antara ahli muzakarah luar yang awal ialah Sdr. Ismadi (kontraktor) dari Kg. Jijan, Nilai dan beliau masih berlajar sehingga sekarang.




6.3 Gotong Royong

Diperingkat awal kesemua bangunan seperti Madrasah, sekolah Tadika dan KAFA dibina secara gotong royong sehingga siap, siang dan malam tanpa menggunakan mengupah tenaga kerja luar.





7 PENUTUP

Selain daripada aktiviti-aktiviti di atas diadakan juga program-program seperti : a. Ziarah ke pondok sekitar Malaysia seperti Kedah, Kelantan, Trengganu, Perak dan juga Selatan Thailand. b. Kursus-kursus Imam, Kursus Jenazah

Seterusnya berkembang pesat dari semasa kesemasa sehinggalah tertubuhnya Yayasan Al-Jenderami pada 2003.