Kampung Gudang Garam

Kampung Gudang Garam ialah sebuah kampung yang terletak beberapa kilometer dari bandar Segamat di Johor, Malaysia. Ia terdiri daripada sekitar 100 buah rumah, terutamanya rumah banglo, dengan kebanyakan penghuninya merupakan pesara yang pernah bekerja keras sewaktu muda. Walaupun nama kampung ini membayangkan salah satu jenama rokok kretek Indonesia yang popular, kampung ini langsung tidak ada sebarang kaitan dengan rokok tersebut.

Sejarah sunting

Kampung Gudang Garam wujud sejak lebih kurang 100 tahun dahulu,[1] iaitu sekitar tahun 1900. Kawasan ini memiliki suatu tempat yang sering dikunjungi oleh binatang liar seperti harimau dan gajah kerana terdapat banyak jenut garam di sini. Adalah dipercayai bahawa tempat ini pada asalnya merupakan sebahagian laut, dengan suatu pelabuhan terletak di sana. Pelabuhan itu dikaitkan dengan Malim Deman yang dikatakan merupakan raja Segamat dan yang memiliki kuasa ghaib yang luar biasa. Juga dikatakan bahawa setiap kali sewaktu ceritanya disandiwarakan, rohnya akan memasuki tubuh pelakon yang melakonkan wataknya lalu menyebabkan pelakon itu bersawai.

Oleh sebab tempat itu berhampiran dengan laut, pedagang dipercayai membina sebuah gudang untuk menyimpan garam sebelum garam itu dieksport. Ini mungkin menyebabkan tanah di kawasan ini menjadi terlalu masin dan digemari oleh binatang-binatang liar yang makan tanah itu sehingga tempat itu menjadi gaung. Apabila keturunan Tok Tenang, tokoh yang mengasaskan Kampung Tenang, membentuk Kampung Gudang Garam, gaung itu sudah menjadi rata. Kawasan ini kini merupakan salah satu paya bakau yang terbesar di Johor. Sebuah legenda menceritakan bahawa seekor naga pernah menjadikan paya bakau ini sebagai tempat persembunyiannya, dengan seorang pemburu yang menembak burung terlihat sesuatu yang keluar dari air lalu menyambar burung itu ketika burung itu jatuh.

Rujukan sunting

  1. ^ Rencana "No salt godown in Gudang Garam" yang muncul dalam akhar New Sunday Times (m.s. 25) pada 6 Februari 2011