Kampung Lata Kasah

Kampung Lata Kasah termasuk Kg. Binjai dan Kg Sungai Badak ialah sebuah kampung yang berada 8 km dari bandar Jerantut, Pahang dibawah JKKK Kg Lata Kasah dan boleh dicapai melalui jalan Benta - Jerantut.

SejarahSunting

Asal usul kampung ini dikatakan bermula apabila orang asli menduduki kampung ini. Orang asli tersebut membuat penempatan berhampiran dengan sungai Teh. Lokasi mereka berhampiran kawasan lata. Kampung Lata Kasah mendapat nama apabila seorang asli telah meninggal berhampiran dengan lata tersebut. Sebutan lata tempat kasah mati yang berulang kali menyebabkan tempat tersebut dinamakan lata kasah. Kawasan lata ini masih wujud hingga sekarang dan di kawasan lata tersebut terdapat sebuah lubang seolah-olah telah digali oleh manusia. Dulunya Kg Lata Kasah terletak didalam sebuah kampong yang bernama Kg Tualang Sebatang. Lokasinya adalah didalam kawasan Kg. Binjai ketika ini. Kg. Tualang Sebatang adalah kampong besarnya sedangkan lata kasah adalah nama satu kawasan ketika itu sebelum wujud sebelum ada penempatan baru di Kg. Lata Kasah dan Kg. Sg. Par. Penempatan di Lata Kasah hanya bermula setelah terbinanya jalan raya dari Jerantut ke Benta sedangkan Kg Tualang Sebatang dan Kg Binjai telah ujud lama sebelum itu lagi.

Kegiatan ekonomiSunting

Pada keseluruhannya Lata Kasah merupakan perkampungan tradisional. Pertanian dan perikanan merupakan kegiatan utama penduduk di sini. Ladang getah dan kelapa sawit memberikan sumbangan yang besar kepada kegiiatan ekonomi kampung. Kegiatan penternakan ikan dalam kolam merupakan kegiatan ekonomi yang memberikan pulangan yang lumayan. Pernah suatu ketika terdapat lebih daripada 60 buah kolam diusahakan oleh penduduk kampung. Sumber air untuk kolah ini dibekalkan oleh sungai Teh melalui pembinaan empangan dan saliran tali air yang merentasi dua buah kampung tersebut. Namun demikian kegiatan pertanian sawah padi telah lama pupus dan tidak diusahakan lagi. Pada awal 1970-an penanaman padi amat luas bermula dari kampung Binjai hinggalah ke Kg Lata Kasah. Pada awal 80 an kegiatan ini semakin merosot jumlah kawasan tanaman. Keadaan ini berlaku kerana generasi muda tidak lagi mewarisi pekerjaan ibu bapa mereka. Budaya berderau amat dititiikberatkan di mana penduduk kampung akan bergotong royong membajak, menyemai benih padi, menanam padi hinggalah aktiviti membanting padi. Pada awal musim menuai juga aktiviti mengemping padi menjadi budaya. Peralatan mengemping padi seperti lesung indik kini telah pupus ditelan zaman malahan generasi kini tidak kenal alat budaya melayu yang pada suatu masa dahulu begitu bernilai. Kini, kebanyakan budaya Melayu hanya tinggal kenangan dan tidak dapat dirasai oleh generasi muda.

PendudukSunting

Keseluruhan penduduk Kg Lata Kasah terdiri daripada kaum Melayu. Kebanyakkan penduduk mempunyai pertalian keluarga antara satu sama lain. Namun demikian, kini jumlah penduduk kampung semakin berkurangan di mana generasi muda telah berhijrah ke bandar untuk mendapatkan pulangan ekonomi yang lebih baik. Kebanyakan penduduk generasi tua semakin berkurangan.

KemudahanSunting

Kemudahan awam telah disediakan oleh pihak kerajaan. Bekalan air bersih mula dibekalkan seawal tahun 1986. Manakala bekalan eletrik juga dibekalkan pada tahun yang sama. Sementara ini kemudahan telefon persendirian dibekalkan seawal tahun 1990. Jalan raya turut diturap dan menghubungkan kampung Binjai ke Kg Lata kasah. Pembinaan jalan raya ini memudahkan penduduk kampung memasarkan hasil pertanian seperti kelapa sawit, getah, koko serta tanaman kontan yang lain. Kemudahan lain yang terdapat di sini termasuklah masjid dan Balai Raya.