Asal Usul Kg. Narinang

Kampung Narinang terletak di daerah Kota Belud,Sabah yang mana jauhnya lebih kurang 20 kilometer dari pekan Kota Belud. Bilangan penduduk kampung ini hampir mencecah seramai lebih kurang 800 orang. Hampir 98 peratus penduduk kampung adalah berbangsa Dusun dan sebahagian adalah berbangsa seperti Cina dan sebagainya. Mereka yang bukan berbangsa Dusun ini menetap di kampung ini disebabkan telah berkahwin dengan penduduk di kampung ini sendiri.

Asal usul nama Kampung Narinang dikatakan telah diambil sempena nama 'Oringang' dalam bahasa Dusun yang bermaksud laju. Dikatakan oleh penduduk yang telah lama menetap di kampung ini, pada suatu ketika dahulu, orang-orang di kawasan kampung ini memiliki badan yang tegap dan tinggi. Selain daripada itu, mereka juga memiliki kepantasan berlari yang hebat dan diketahui oleh seluruh masyarakat yang ada di sekitar.

Pada ketika itu, sering kali orang-orang yang berada di daerah Kota Belud dan juga di luar daerah sering bertelingkah dan berperang kerana atas dasar kepuakan dan ketidakpuasan hati. Apabila berlaku perang, penduduk Kampung Narinang sukar dikalahkan kerana memiliki kepantasan yang jauh berbanding dengan penduduk dari kampung lain. Jika mereka merasakan tidak dapat mengalahkan pihak musuh, mereka akan melarikan diri dengan sangat laju dan tidak dapat dikejar musuh.

Maka beberapa tahun selepas itu, setelah peperangan sudah tidak berlaku lagi dan penstrukturan kampung telah dibuat oleh pihak British yang datang menjajah di negeri ini dahulu. Penduduk-penduduk di kampung inipun menamakan kampung ini sebagai Kampung Narinang sempena nama dusun 'oringang'.