Kampung Titingan (Tulisan Jawi: كامڤوڠ تيتيڠن) ialah sebuah kampung yang terletak di Tawau, Sabah. Kampung ini turut dikenali sebagai Kampung Ice Box atau Ice Box sahaja. Oleh kerana keluasannya serta populasi yang ramai di samping kebanyakan tanah di kampung ini ialah milik tanah kerajaan, kampung ini turut dilabelkan sebagai sebuah setinggan,[2][3] malah merupakan antara setinggan yang paling terkenal dan terbesar di Tawau.[4][5] Jumlah pendatang asing tanpa izin di kampung ini adalah ramai, kebanyakannya berasal dari Filipina[6] dan ada juga yang berasal dari Indonesia. Perkara ini menjadi salah satu faktor kes jenayah serta kegiatan gangsterisme dari kampung ini adalah tinggi.[7] Kampung ini juga pernah dilabel sebagai salah satu kawasan hitam di Tawau.[7]

Kampung Titingan
Perkampungan
Pemandangan Kampung Titingan pada waktu pagi
Pemandangan Kampung Titingan pada waktu pagi
Nama panggilan: Icebox
NegaraMalaysia Malaysia
NegeriSabah
Daerah Tawau
KampungKampung Titingan
Pentadbiran
 • JenisRaja berperlembagaan elektif dan demokrasi berparlimen
 • Yang di-Pertuan AgongSultan Ibrahim
 • Perdana MenteriAnwar Ibrahim
 • Ketua MenteriHajiji Noor
 • Ahli ParlimenChristina Liew
 • Ahli Dewan Undangan NegeriNizam Abu Bakar Titingan
Penduduk
 ( 1997 )[1]
 • Jumlah21,000
Zon waktuGMT
 • Musim panas (DST)GMT
Poskod
91000
Kod kawasan089
Lokasi Kampung Titingan di Peta Google

Pada 7 Mac 2010, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman mengumumkan bahawa kampung ini akan diubah wajah menjadi sebuah bandar dan akan dikenali sebagai Bandar Baru Titingan.[8]

Sejarah sunting

Kampung Titingan merupakan antara kampung terawal yang didirikan di Tawau.[9][10] Kampung ini turut dipanggil Kampung Ice-Box kerana pada 1970-an, banyak peti sejuk yang sudah tidak berfungsi diletakkan di tepi jalan berhampiran dengan sebuah kilang ais dalam kawasan kampung ini.[11] Selain itu, terdapat juga sebuah peti sejuk besar di kilang tersebut untuk memproses dan membuat ais batu. Nama "Titingan" diambil sempena nama seorang pemimpin di Sabah iaitu Datuk Abu Bakar Titingan, yang dilahirkan di kampung ini. Abu Bakar Titingan antara orang yang mempertahankan kampung ini daripada dihapuskan. Anaknya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan kini merupakan wakil rakyat bagi kampung ini yang terletak di kawasan P190 Apas.[12]

Pada tahun 1980-an, daerah Tawau mengalami pembangunan pertanian yang pesat, lantas ramai belia dari kampung ini telah meninggalkan kampung ini untuk bekerja di ladang-ladang.[11] Pendatang asing pula datang ke Kampung Titingan dan membuat rumah di kawasan-kawasan kosong. Keluasan kampung ini semakin meningkat sehingga menjadi antara kawasan setinggan yang paling terkenal di Sabah pada tahun 1990-an.[11]

Kebakaran sunting

Telah banyak kebakaran yang telah berlaku di Kampung Titingan dan dua daripadanya ialah kebakaran besar. Pada 4 September 1989, 1,060 buah rumah musnah dan 5,766 orang penduduk hilang tempat tinggal dalam sebuah kebakaran yang terbesar pernah dicatatkan dalam sejarah Sabah.[13] Sedekad selepas itu, sebuah lagi kebakaran besar telah berlaku pada tahun 1999 telah mendapat liputan daripada saluran-saluran televisyen di Malaysia. Dalam kebakaran tersebut, sebanyak 1,000 orang penduduk hilang tempat tinggal.[14] Pada bulan 31 Januari 2011, sebuah kebakaran berlaku di Blok 6 kampung ini yang melibatkan 50 buah rumah dan 300 orang penduduk.[15][16] Kawasan kebakaran terbabit telah menjadi kawasan larangan untuk mendirikan rumah.[17] Namun pada penggal kedua 2011, penduduk mendapat kebenaran mendirikan semula rumah dengan pembiayaan sendiri di atas kawasan bekas kebakaran dalam susunan yang lebih teratur.[18] Pada 8 Mac tahun yang sama, sebuah lagi kebakaran berlaku di Blok 9 yang melibatkan lebih 500 penduduk serta kira-kira 50 buah rumah telah musnah.[19] Tiada kemalangan jiwa di dalam kebakaran tersebut.

Pada 15 Januari 2012, sebuah kebakaran maut telah berlaku di kampung ini yang mengakibatkan kematian dua beradik, masing-masing berusia 19 dan 6 tahun. Kebakaran yang memusnahkan tujuh buah rumah ini menyebabkan 74 orang daripada 23 keluarga tinggal sehelai sepinggang.[20]

Pada 13 April 2016, lebih kurang 3,000 penduduk kehilangan tempat tinggal apabila 300 buah rumah terbakar di kawasan kampung ini dan jugak beberapa bahagian di kawasan Kampung Habib Abdul Rahman.

Pada 05 September 2017, kira-kira 300 penduduk tinggal sehelai sepinggang selepas 60 rumah di blok 6, 7 dan 8 di kampung ini terbakar. Punca kebakaran adalah disebabkan salah seorang penduduk membakar rumah sewanya apabila beliau berang kerana telah dihalau dari rumah tersebut. Seorang warga emas berumur lingkungan 80-an dikatakan pengsan lalu meninggal dunia di hospital.

Pada 07 Disember 2019, seramai 70 orang penduduk kampung ini kehilangan tempat tinggal apabila 20 buah rumah hangus terbakar dijilat api. Walaubagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Manakala, pada 19 Julai 2021 yakni sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidiladha, sebuah lagi kebakaran telah terjadi di kawasan kampung ini. Seramai 56 buah keluarga terpaksa tinggal dalam sehelai sepinggang apabila kediaman rumah mereka terbakar.

Tarikh Bilangan rumah musnah Mangsa (orang) Kematian (orang)
4 September 1989 1,060[13] 5,766
2 Ogos 1999 1,000[14]
20 September 2010 51[21] 365
31 Januari 2011 50[15] 300
8 Mac 2011 50[19], 60[22] 500
15 Januari 2012 7[20] 74 2
23 Januari 2013 6[23]
13 April 2016 300 3000 N/A
05 September 2017 60 300 N/A
07 Disember 2019 20 70 N/A
19 Julai 2021 56 N/A N/A
11 Jun 2022 5 N/A 2

Pemusnahan Rumah Setinggan Haram sunting

Pada bulan Februari tahun 2002, kerajaan Sabah telah melakukan operasi merobohkan rumah-rumah milik penduduk kampung yang didirikan di atas tanah kerajaan di kawasan Kampung Titingan Pasir dalam Operasi Nyah II Bersepadu.[24][11] Berikutan dengan ini, kebanyakan pendatang tanpa izin yang kehilangan rumah telah berpindah ke tempat lain dan lantas kegiatan gengsterisme berkurang. Walau bagaimanapun, kegiatan jenayah seperti perniagaan syabu (dikenali oleh penduduk setempat sebagai batu), perjudian haram (terutama sekali permainan judi serupa toto iaitu wahui), kecurian dan sebagainya masih berlaku. Sebuah kawasan perumahan pangsa telah dibina di atas tapak kawasan yang dirobohkan dan diberi nama Sri Titingan.

Pada 6 November 2013, Majlis Perbandaran Tawau mula menjalankan Operasi Roboh di mana 44 buah rumah di sekitar Tawau akan dirobohkan, 11 daripadanya ialah rumah-rumah di Kampung Titingan.[25]

Pada 23 Ogos 2016 pula, sebanyak 30 rumah di kawasan penempatan setinggan atas air dirobohkan pasukan polis dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam Ops Bersepadu yang dilaksanakan di Kampung Titingan yang diketuai oleh Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Bin Marsus.[26]

Geografi sunting

Kampung Titingan terletak lebih kurang 2.5 km dari Bandar Tawau dengan keluasan melebihi 7 hektar (17 ekar).[27][10] Ia terletak di persisir laut yang dulunya merupakan kawasan paya bakau dan terletak berhampiran dengan Sungai Tawau.[28]

Kampung ini dibahagikan kepada tiga iaitu Kampung Titingan Pasir, Kampung Titingan Tengah serta Kampung Titingan Hujung. Setiap bahagian kampung terdiri daripada lorong-lorong kampung dan setiap lorong tersebut terdiri daripada beberapa blok.

Bahagian yang terdekat sekali dengan Pusat Bandar Tawau ialah Kampung Titingan Pasir dan yang terletak paling hujung sekali ialah Kampung Titingan Hujung. Kampung Titingan Pasir telah dirobohkan dan sebuah flat Program Perumahan Rakyat (PPR) yang diberi nama Flat Sri Titingan dibangunkan di atas tapaknya.

Demografi sunting

Statistik 1997 menyatakan bahawa terdapat lebih kurang 21,000 orang penduduk yang menetap di Kampung Titingan, sama ada secara sah atau tidak. Manakala statistik SPR pada tahun 2017 menunjukkan bahawa 4,609 penduduk daripadanya merupakan pengundi sah yang mengundi di kawasan ADUN N68 Apas yang kebanyakannya bumiputera berketurunan Melayu.[1] Bilangan rumah berdaftar di kampung ini pula ialah sebanyak 800 buah unit dengan 80% daripadanya ialah bumiputra.

Terdapat lebih daripada 10 suku kaum yang menetap di kampung ini termasuklah orang Bugis, Bajau, Suluk, Buton, Tidung, Bisaya, Arab, Timor dan Banjar.

Ekonomi sunting

Ekonomi utama sehingga awal 2000-an penduduk Kampung Titingan ialah sebagai nelayan. Antara aktiviti nelayan yang dilakukan oleh penduduknya ialah menangguk udang geragau, memukat ikan dan memancing. Pada suatu ketika dahulu, majoriti penduduk di kampung ini memiliki bot sendiri untuk kegunaan para nelayan memukat ikan dipersisir pantainya, namun kini jumlahnya semakin berkurang lantasan peralihan aktiviti ekonomi oleh anak muda di kampung ini.[11]

Kebanyakan generasi muda kampung ini lebih memilihi untuk berhijrah ketempat lain terutamanya ke Semenanjung Malaysia untuk bekerja selepas tamat persekolahan atau pengajian.

Kemudahan sunting

Pasaraya sunting

Pada tahun 2021, sebuah syarikat bumiputra Sabah telah mewujudkan sebuah pasaraya di kampung ini yang bernama Gemilang Supermarket. Pasaraya ini dibina diatas tapak pasar lama kampung ini iaitu Pasar Hajah Nemah.

Pasaraya ini telah meningkatkan ekonomi serta peluang pekerjaan baharu kepada anak muda di kampung tersebut.

Selain itu, terdapat juga pasar-pasar peniaga kecil yang turut bertapak di kawasan pasaraya tersebut bagi merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat.

Riadah sunting

Kampung Titingan tidak disediakan kemudahan riadah yang banyak. Kampung ini disediakan dengan cuma satu gelanggang serba guna. Gelanggang ini terletak di hadapan Tabika Perpaduan A dan sering digunakan untuk aktiviti sepak takraw. Gelanggang ini juga menjadi tempat majlis serta acara seperti perkahwinan, pertandingan malah majlis formal diadakan.

Walaupun kekurangan kemudahan riadah, penduduk kampung ini masih boleh menikmati kemudahan yang disediakan di taman perumahan berdekatan yang terletak di seberang Sungai Tawau.[29] Kerana kedudukan yang begitu dekat, penduduk Kampung Titingan hanya perlu berjalan kaki ke sana. Disamping itu pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mentadbir Kampung Titingan, yakni Majlis Perbandaran Tawau, juga merangka pelan untuk menambah bilangan kemudahan riadah di semua kawasan perbandaran Tawau dalam rancangan pembangunannya.[30]

Kemudahan awam sunting

Bas Penumpang sunting

Pada awal tahun 2000-an, lebih kurang 20 buah bas daripada syarikat-syarikat pengangkutan telah disediakan di kampung ini bagi memudahkan penduduk Kampung Titingan untuk pergi ke bandar Tawau.

Seiiring dengan peredaran zaman, jumlah bas penumpang di kampung ini berkurangan akibat kurangnya penggunaan bas oleh penduduk kampung ini.

Teksi dan e-hailing sunting

Kemudahan teksi awam turut mudah didapati dikawasan kampung ini bagi mempercepatkan perjalanan penduduk kampung.

Selain teksi awam, perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Maxim juga mudah dicapai di kawasan kampung ini.

Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia sunting

Kampung ini juga diberikan kemudahan Internet Tanpa Wayar 1Malaysia dan telah diiktiraf sebagai sebuah Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia oleh kerajaan pada tahun 2011.[perlu rujukan]

Keagamaan sunting

Terdapat sebuah masjid di kampung ini yang terletak dihadapan kilang Kalimantan Fishery SDN BHD. Masjid ini dinamakan sebagai Masjid Babul Khair. Masjid ini dibangunkan dengan penggunaan bahan binaan daripada kayu dan mampu menampung lebih kurang 1,000 jemaah pada satu-satu masa.[31]

Pendidikan sunting

Bagi meningkatkan mutu pendidikan di kampung ini, badan kerajaan dan bukan kerajaan telah membina beberapa buah Prasekolah, sekolah kebangsaan dan sekolah menengah. Kemudahan sekolah-sekolah ini dapat memudahkan pelajar-pelajar di kampung ini untuk ke sekolah tanpa perlu menaiki kenderaan(sebahagiannya). Berikut ialah senarai sekolah mengikut jenis:

Pencemaran sunting

Selain kegiatan jenayah, masalah pendatang haram dan gangsterisme, kampung ini turut membawa kepada pencemaran alam sekitar terutamanya pencemaran laut serta sungai. Kampung Titingan ialah sebuah kampung di atas air, atau di terletak di tepi laut.[32] Oleh kerana ia merupakan setinggan, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) tidak menyediakan sebarang perkhidmatan pemungutan sampah. Penduduk kampung pula mengambil langkah mudah iaitu dengan membuang sampah ke sungai serta laut. Akibatnya kawasan tepi laut di kampung ini dipenuhi dengan sampah sarap. Perbuatan ini ialah satu kerugian kerana pantai di kampung ini ialah sebuah pantai yang cantik pada tahun 1970-an serta 1980-an.

Bandar Baru Titingan sunting

Pada 27 Jun 2007, Akar Budi Tuah Sdn Bhd dan Sabah Economic Development Corporation telah menandatangani perjanjian persefahaman di Hotel Hyatt, Kota Kinabalu, Sabah, untuk membangunkan projek mengubahsuai kawasan setinggan Titingan kepada sebuah bandar baharu yang akan dikenali sebagai Bandar Baru Titingan (BBT).[9][33] Majlis penandatanganan itu dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Industri.

Pembinaan BBT akan menelan belanja sebanyak RM1.5 juta dan akan dilakukan di atas kawasan berkeluasan 326 ekar, tanah letaknya Kampung Titingan sekarang.[34] [33] Bandar ini akan memiliki 36 zon kawasan dan akan menyediakan kemudahan seperti masjid, kawasan perumahan, pusat rekreasi, pangsapuri, restoran dalam air dan sebagainya.

Trivia sunting

  • Kampung Titingan lebih dikenali sebagai Kampung Ice Box di seluruh Sabah. Ia merupakan salah satu kampung yang terkenal di Sabah kerana pernah dilabelkan sebagai kampung gangsterisme.[33]
  • Walaupun Kampung Titingan ialah sebuah kampung yang bermasalah (suatu ketika dahulu), namun kampung ini turut dapat melahirkan insan-insan yang berjaya. Antaranya ialah Darman Nordin yang telah mendapat kepujian tertinggi, Anugerah Pelajar Diraja di Universiti Kebangsaan Malaysia.[35] Kini beliau bertugas sebagai Pensyarah Universiti di Jabatan Kejuruteraan Kimia & Proses, Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Seorang lagi anak kelahiran kampung ini yang tinggal di Blok 6, iaitu Fadil bin Marsus merupakan bekas Ketua Polis Daerah Tawau. Kini beliau menjawat jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah (D&C) Anti Pemerdagangan Orang/ Penyeludupan Migran (ATIPSOM) JSJ Bukit Aman dan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).[36]
  • Nama kampung ini ada disebut dalam novel Ralat karya Jusang Bolong.[37]

Lihat juga sunting

Rujukan sunting

  1. ^ a b "Discover". Bandartitingan.com. Dicapai pada 2011-11-01.[pautan mati kekal]
  2. ^ "Tawau District Diarkibkan 2008-08-28 di Wayback Machine", bhg. 1.2.1. Dicapai pada 26 Oktober 2011
  3. ^ "100 Penduduk Tinggal Sehelai Sepinggang Dalam Kebakaran Di Kampung Titingan, Tawau". Bernama. 5 Jun 2011. Dicapai pada 10 Disember 2013.
  4. ^ "Illegal Squatter Dwellings in Sabah". etawau.com. Dicapai pada 29 November 2013.
  5. ^ "1 Rapid Survey of Development Opportunities & Constraints (Doc) for Tawau District". Kerajaan Sabah. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-12-03. Dicapai pada 29 November 2013.
  6. ^ Abdul Samad Hj. Abdul Hadi (1990). Pembandaran dan transformasi bandar Negeri Sabah. Universiti Kebangsaan Malaysia. m/s. 243. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  7. ^ a b Dun Apas. (9 November 2009). Hayati Konsep 1Malaysia Diarkibkan 2011-04-30 di Wayback Machine, "...kampung Titingan pernah dilabel sebagai kawasan gejala negative seperti penagihan dan pengedaran dadah serta pusat gangsterisme...". Diambil pada 20 Februari 2011.
  8. ^ "Kampung Titingan Bakal Menjadi Sebuah Bandar Baru Diarkibkan 2013-12-03 di Wayback Machine", Blog Dun Apas. 9 Mac 2010. Diambil pada 20 Februari 2011.
  9. ^ a b "Kampung Titingan Akan Dibangun Sebagai Bandar Baru Titingan". KampungKu. Bernama. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-12-03. Dicapai pada 26 Oktober 2011.
  10. ^ a b "Kampung Titingan bakal jadi bandar baharu". Utusan Malaysia. 1 Jun 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-12-03. Dicapai pada 30 November 2013.
  11. ^ a b c d e Goh, Roy (4 Julai 2010). "All's Cool at Kampung Ice Box". New Strait Times. m/s. 30. Dicapai pada 29 November 2013.
  12. ^ Shaimon S Jumadi (16 November 2013). "Polis gagal banteras budak-budak nakal ganggu penduduk Flat Sri Titingan". Borneo Insider. Dicapai pada 10 Disember 2013.
  13. ^ a b Lai, James (September 1989). "ADRA Aids After Kumpung Fires" (PDF). Southeast Asia Union Messenger. Dicapai pada 29 November 2013.
  14. ^ a b "Fire Leaves 1,000 Squatters Homeless". The Strait Times. 3 Ogos 1999. m/s. 26. Dicapai pada 29 November 2013.[pautan mati kekal]
  15. ^ a b "50 rumah rentung kebakaran di Tawau". Dalam Negeri. Utusan Malaysia. 1 Februari 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2015-11-19. Dicapai pada 2011-02-20. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  16. ^ "Fire Victims To Be Given Aid According To Regulations: Shafie". Sabah News. 2 Februari 2011. Dicapai pada 19 Februari 2011.
  17. ^ "Kampung Titingan Fire Victims Not Allowed To Build New Houses There". BERNAMA. 1 Februari 2011. Dicapai pada 19 Februari 2011.
  18. ^ "ADUN nafi kebakaran dirancang". Berita Harian. 10 Jun 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-12-02. Dicapai pada 2 November 2011.
  19. ^ a b "500 tinggal sehelai sepinggang, 50 rumah hangus dalam kebakaran". Utusan Malaysia. 9 Mac 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-31. Dicapai pada 28 November 2013.
  20. ^ a b "Dua beradik rentung dalam kebakaran 7 buah rumah". Utusan Malaysia. 16 Januari 2012. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-12-03. Dicapai pada 28 November 2013.
  21. ^ "365 mangsa kebakaran di Kampung Titingan tinggal sehelai sepinggang". Berita Harian. 20 September 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-12-03. Dicapai pada 29 November 2013.
  22. ^ "60 rumah hangus di Kampung Titingan, Tawau". Berita Harian. 8 Mac 2011. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-12-06. Dicapai pada 29 November 2013.
  23. ^ "Enam Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Kampung Titingan". mStar Online. 23 Januari 2013. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-12-03. Dicapai pada 29 November 2013.
  24. ^ "Dr Ongkili Appointed Science & Technology Adviser To Sabah CM". Bernama (dalam bahasa Inggeris). 2 April 2003. Diarkibkan daripada yang asal pada 2008-05-17. Dicapai pada 28 November 2013.
  25. ^ "44 buah rumah setinggan akan dirobohkan". RTM Sabah. 6 November 2013. Dicapai pada 30 November 2013.
  26. ^ "Polis, ESSCOM roboh setinggan di Tawau". Satu Sabah. 23 Ogos 2016. Dicapai pada 13 Jun 2022.
  27. ^ Ardyhansah Amat. "Tak kenal alam sekolah". Harian Metro. Diarkibkan daripada yang asal pada 2016-03-04. Dicapai pada 30 November 2013.
  28. ^ Brookfield, Harold (1995). In place of the forest : environmental and socio-economic transformation in Borneo and the eastern Malay Peninsula. Tokyo [u.a.]: United Nations Univ. Press. m/s. 219–220. ISBN 9280808931. Unknown parameter |coauthors= ignored (|author= suggested) (bantuan)
  29. ^ "Penyerahan Gelanggang Futsal 1Malaysia". Jabatan Belia dan Sukan (Persekutuan) Negeri Sabah. Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-01-08. Dicapai pada 30 November 2013.
  30. ^ "Pelan Strategik (draft).pdf" (PDF). Majlis Perbandaran Tawau. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2013-12-31. Dicapai pada 30 November 2013.
  31. ^ "Masjid Babul Khair Kg. Titingan Terima Sumbangan". Blog DUN Apas. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-12-03. Dicapai pada 2 November 2011.
  32. ^ Tawau District - Waste disposal issues Diarkibkan 2008-08-28 di Wayback Machine, Diperolehi pada 28 April 2008
  33. ^ a b c "Bandar Baru Titingan". Taman Taman in Tawau. etawau.com. Dicapai pada 30 November 2013.
  34. ^ "SEDCO Features Bandar Baru Titingan at SIE2010". SEDCO. Dicapai pada 10 Disember 2013.
  35. ^ "Pelajar Buktikan Miskin Bukan Penghalang Untuk Berjaya". Bernama. 17 September 2005. Dicapai pada 2 November 2011.
  36. ^ "Kenaikan Pangkat Bukti Kecermelangan Fadil Dalam Kepolisan". Utusan Borneo. 8 April 2019. Dicapai pada 13 Jun 2022.
  37. ^ Bolong, Jusang (1999). Ralat. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributords [sic]. ISBN 967610986X.

Pautan luar sunting