Kata nama

golongan kata dalam tatabahasa yang menandakan benda atau orang yang kiasan atau sebenar
(Dilencongkan dari Kata nama (bahasa Melayu))

Kata nama ialah perkataan yang boleh menjadi unsur inti bagi binaan frasa nama. Selalunya perkataan demikian menamakan orang, haiwan, tempat, benda, atau konsep.[1] Ia terbahagi kepada beberapa subgolongan berdasarkan ciri-ciri semantik perkataannya iaitu seperti kata nama khas, kata nama am, dan kata ganti nama. Sebagai contoh, berikut ialah beberapa binaan frasa nama yang menunjukkan kedudukan kata nama sebagai inti frasa nama dan perkataan-perkataan lain yang hadir sebelum dan selepasnya. Contohnya:

Frasa nama
Unsur sebelum Kata nama Unsur selepas

sebuah
semua
tiap-tiap
empat orang

dewan
bas
pendapat
pelajar

persidangan
pelancongan
bernas
sekolah menengah

Penggolongan kata nama

Penggolongan kata nama adalah berdasarkan ciri-ciri makna (atau semantik).

Kata nama khas

Kata nama khas ialah kata nama yang secara khususnya digunakan untuk menyebut nama orang, haiwan, benda, institusi, undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat, dan seumpamanya. Biasanya, dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Kata nama khas boleh dibahagikan kepada subgolongan

  • Hidup > Manusia / Bukan manusia
  • Tak hidup
 
Rajah kata nama khas.

Perkataan Nama Khas digunakan bagi menyebut sesuatu yang tertentu, khusus atau khas. Contoh perkataan ditunjukkan seperti di bawah:

Kata nama khas hidup manusia Kata nama khas hidup bukan manusia Kata nama khas tak hidup
Aminah

Puan Marita Tan
Tengku Abdullah
Prof. Fatimah
Senator Wong Ah Meng
Doktor Muthusamy

Jibrail

Tumpuk
Sang Kancil
Hevea brasiliensis (pokok getah)

Melayu

Proton Waja
Thailand
Piala Thomas
Istana Budaya
Tan Sri

Kata nama am

Kata nama am ialah perkataan yang merujuk benda, perkara atau konsep umum[2] seperti dalam contoh di bawah:

 
Gambar rajah kata nama am.
benda: sekolah, kereta, cakerawala
perkara: roh, udara, iklim
konsep: kesejahteraan, perpisahan, keindahan

Kata nama am boleh dibahagikan kepada dua iaitu konkrit dan abstrak. Kata nama am konkrit ialah nama sesuatu yang dapat dipegang, dirasa atau dilihat. Kata nama am abstrak pula ialah nama sesuatu yang hanya dibayangkan atau dikhayalkan. Kedua-dua kelas kata ini boleh terdiri daripada kata dasar dan kata terbitan.

Contoh: buai -> buaian

Seterusnya kata nama am boleh dibahagikan kepada jenis-jenis yang lebih kecil berdasarkan ciri makna perkataannya, seperti berikut:

  1. Kata nama am hidup manusia: petani, ayah, ibu, sasterawan, pelukis, jurujual
  2. Kata nama am hidup bukan manusia: ayam, pokok, harimau, malaikat, ikan, bidadari
  3. Kata nama am tak hidup institusi: sekolah, persatuan, perpustakaan, hospital, pejabat pos, stesen bas
  4. Kata nama am tak hidup bukan institusi konkrit: rumah, lautan, langit, cakerawala, kereta, pekan
  5. Kata nama am tak hidup bukan institusi abstrak berbilang: senyuman, bayangan, pendapat, cadangan
  6. Kata nama am tak hidup bukan institusi abstrak tak berbilang: iklim, keindahan, ajaran, hasrat

Kata nama am mestilah menggunakan huruf kecil melainkan pada awal ayat.

Kata ganti nama

Kata ganti nama ialah perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas dan kata nama am. Golongan kata ganti nama dapat dipecahkan kepada beberapa subgolongan seperti:

1. Kata ganti nama tunjuk

Dalam bahasa Melayu, terdapat hanya dua kata ganti nama tunjuk, iaitu: itu, ini

2. Kata ganti nama diri

Kata ganti nama diri terbahagi kepada dua, iaitu:

  • kata ganti nama diri tanya, yang terdiri daripada tiga: apa, siapa, mana
  • kata ganti nama diri orang, terdiri daripada tiga jenis: pertama, kedua, dan ketiga

Kata ganti nama digunakan untuk mewakili diri seseorang atau sebagai penunjuk. Kata ganti nama penunjuk terbahagi kepada dua iaitu penunjuk bersifat menerangkan (contohnya ini, itu), dan penunjuk bersifat pertanyaan (contohnya siapa, apa, mana).

Pembentukan kata nama

Dalam bahasa Melayu terdapat empat bentuk kata nama, iaitu:

  1. kata nama tunggal
  2. kata nama terbitan
  3. kata nama majmuk
  4. kata nama ganda

contoh:

kata nama tunggal kata nama terbitan kata nama majmuk kata nama ganda
ikan
roh
bapa
tempayan
belantara
poskod
pendaki
pekedai
kekasih
juruterbang
pinggiran
penantian
pekarangan
kedudukan
telapak
seruling
balai raya
Datuk Bendahara
deria rasa
anak emas
susu pekat manis
Timbalan Naib Canselor
medan sinaran
buku lima
meja-meja
kawasan-kawasan
tadika-tadika
lelangit
sesumbu
jejantas
sayur-mayur
biji-bijian
kementerian-kementerian
lauk-pauk
suku-sakat

Aspek pengimbuhan kata nama

Dalam bahasa Melayu proses pengimbuhan digunakan dengan amat kerap untuk membentuk perkataan.

Imbuhan kata nama

awalan kata nama akhiran kata nama apitan kata nama sisipan kata nama
penN-,
pe-,
peR-,
ke-,
juru
hanya satu akhiran kata nama, iaitu -an penN-...-an,
pe-...-an,
peR-...-an,
ke-...-an
-el-,
-er-,
-em-

Sisipan kata nama tidak produktif lagi dalam bahasa Melayu dan perkataan-perkataan yang mengandungi sisipan dianggap sudah membeku.

Lihat juga

Rujukan

  1. ^ Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Haji Musa, dan Abdul Hamid Mahmood. 2008. Tatabahasa Dewan ed. Ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  2. ^ Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin. 2002. Bahasa Melayu STPM (Kertas 1 & 2). Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.