Kawasan perlindungan

Kawasan perlindungan atau kawasan yang dilindungi merupakan kawasan atau wilayah yang dilindungi kerana nilai-nilai persekitaran alaminya, persekitaran sosial budayanya, atau hal-hal lain yang seumpamanya. Pelbagai jenis kawasan yang dilindungi terdapat di pelbagai negara, sangat berubah baik dalam aras atau peringkat perlindungan yang disediakannya mahupun dalam undang-undang atau aturan (antarabangsa, kebangsaan, atau daerah) yang dirujuknya dan yang menjadi landasan operasionalnya. Antara contohnya ialah taman kebangsaan, cagar alam, cagar alam laut, cagar budaya, dan lain-lain.

Safari gajah di tengah Taman Negara Jaldapara di Benggala Barat, India
Taman Negara Swiss Alps

Terdapat lebih dari 108,000 kawasan yang dilindungi di seluruh dunia, dan jumlah ini terus bertambah, merangkumi wilayah seluas 19,300,000 km2 (7,500,000 bt2), atau lebih dari 13% keluasan daratan dunia; melebihi luas Benua Afrika.[1] Pada pihak lain, hingga dengan 2008 baru sebanyak 0.8% luas lautan yang termuat dalam sekitar 5,000 kawasan perlindungan laut[2][3].

Salah satu –namun bukan satu-satunya– takrifan mengenai kawasan yang dilindungi dikeluarkan oleh Kesatuan Pemuliharaan Sedunia, IUCN.

Sejarah sunting

Keinginan dan tindakan manusia dalam melindungi persekitarannya yang berharga barangkali telah dilakukan semenjak ribuan tahun yang dahulu. Akan tetapi salah satu yang tercatat jelas dalam sejarah ialah apa yang dilakukan oleh Ashoka, salah seorang raja yang paling terkenal dari Dinasti Maurya, India. Pada tahun 252 SM, beliau mengumumkan perlindungan hidupan, ikan, dan hutan[4].

Di zaman moden, pemasyhuran Taman Negara Yellowstone di Amerika Syarikat pada tahun 1872 merupakan salah satu tonggak penting pemuliharaan alam masa kini. 

Komitmen antarabangsa untuk membina suatu rangkaian kawasan yang dilindungi di dunia berawal dari tahun 1972, yakni ketika Pengisytiharan Stockholm memandatkan perlindungan dan pelestarian wakil-wakil semua jenis ekosistem utama yang ada, sebagai bahagian fundamental dari program pemuliharaan di masing-masing negara. Sejak semasa itulah, usaha perlindungan dari perwakilan ekosistem perlahan-lahan tumbuh menjadi prinsip dasar pemuliharaan alam dan biologi pemuliharaan; dikukuhkan oleh resolusi-resolusi PBB untuk persekitaran seperti Piagam Dunia untuk Kelestarian Alam (1982), Pengisytiharan Rio (1992), serta Pengisytiharan Johannesburg (2002).

Suatu set dari pelbagai jenis kawasan yang dilindungi, luasan serta penyebarannya di suatu negara biasa disebut sebagai sistem kawasan yang dilindungi. Sayangnya, sistem kawasan ini umumnya masih terhad pada kawasan pemuliharaan daratan, dengan sedikit sentuhan pada kawasan pemuliharaan laut dan tanah lembap.

Kategori IUCN sunting

Menurut takrifan IUCN, kawasan yang dilindungi ialah:

Ruang yang ditentukan sempadan geografi dengan jelas, diperakui, didedikasikan dan dikelola dari segi undang-undang mahupun kaedah lain yang efektif, untuk mencapai tujuan pelestarian alam jangka panjang, lengkap dengan fungsi-fungsi ekosistem dan nilai-nilai budaya yang terkait.

Selanjutnya IUCN membezakan pelbagai jenis kawasan yang dilindungi kepada enam kategori, iaitu:[5]

  • Ia - Cagar Alam Tegas (Strict Nature Reserve)
Kawasan daratan atau lautan yang dilindungi kerana mempunyai keistimewaan atau merupakan perwakilan ekosistem, keadaan geologi atau fisiologi, dan atau spesies, tertentu, yang penting bagi ilmu pengetahuan atau pemantauan persekitaran.
  • Ib - Kawasan Keliaran (Wilderness Area)
Kawasan daratan atau lautan yang masih liar atau hanya sedikit diubah, yang masih mempunyai atau mengekalkan karakter dan pengaruh alaminya, tanpa adanya hunian yang kekal atau ketara; dilindungi dan dikelola untuk mengekalkan keadaan alaminya.
  • II - Taman Negara (National Park)
Kawasan daratan dan lautan yang masih semula jadi, yang ditunjuk untuk (i) melindungi integriti ekologi dari satu atau beberapa ekosistem di dalamnya, untuk kepentingan sekarang dan generasi akan datang; (ii) menghindarkan/mengeluarkan kegiatan-kegiatan eksploitasi atau okupasi yang bercanggah dengan destinasi pelestarian kawasan; (iii) membekalkan landasan bagi kepentingan-kepentingan kerohanian, saintifik, pendidikan, pelancongan dan lain-lain, yang semuanya perlu selaras secara persekitaran dan budaya.
  • III - Tugu Alam (Natural Monument)
Kawasan yang mempunyai satu atau lebih kekhususan atau keistimewaan alam atau budaya yang merupakan nilai yang unik atau luar biasa; yang disebabkan oleh sifat kejarangan, perwakilan, atau kualiti estetika atau nilai penting budaya yang dipunyainya.
  • IV - Kawasan Pengurusan Habitat/Spesies (Habitat/Species Management Area)
Kawasan daratan atau lautan yang diintervensi atau dikelola secara aktif untuk memelihara fungsi-fungsi habitat atau untuk memenuhi keperluan spesies tertentu.
  • V - Rupa Bumi/Laut Terlindung (Protected Landscape/Seascape)
Kawasan daratan atau lautan, dengan kawasan pesisir di dalamnya, di mana interaksi masyarakat dengan persekitaran alaminya selama bertahun-tahun telah membentuk wilayah dengan ciri-ciri yang khas, yang mempunyai nilai-nilai estetika, ekologi, atau budaya yang ketara, selalunya dengan kepelbagaian hidupan yang tinggi. Menjaga integriti hubungan timbang balik yang tradisional ini bersifat penting bagi perlindungan, pemeliharaan, dan evolusi wilayah yang dimaksudkan.

Nota kaki sunting

  1. ^ Mark Dowie. Conservation Refugees. Diterbitkan pertama kali dalam majalah Orion, Nopember/Desember 2005
  2. ^ Wood et al. 2008. Assessing progress towards global marine protection targets: shortfalls in information and action. Oryx 42:340-351
  3. ^ Protect Planet Ocean http://www.protectplanetocean.org
  4. ^ MacKinnon, J., K. MacKinnon, G. Child, dan J. Thorsell. 1990. Pengelolaan Kawasan Yang Dilindungi di Daerah Tropika. Gadjah Mada Univ. Press, Yogyakarta
  5. ^ Badman, Tim. "World Heritage and Protected Areas 2008 Edition" (PDF). IUCN. m/s. 2. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2008-12-17. Dicapai pada 2008-09-07.